Bab 43
Hamzah menggeleng. “Tak pernah dengar pun! Gunung yang tak terkenal langsung.” katanya menambah.
Puan Suriati ketawa.
“Puas hati aku. Bila Affendi dah hilang… siapa yang akan berkuasa sekarang?” katanya sambil tergelak.
“Affendi tu nak memperbodohkan aku. Ada ke dia kata Zakuan hidup lagi? Siapa yang percaya? Orang dah mati hidup balik. Aku nak tengok macamana orang bijak pandai tu meloloskan diri daripada kurungan.”
“Tapi kau yakin ke yang Zakuan tu dah mati? Kan pihak berkuasa tak pernah jumpa mayat dia walaupun dah cari berbulan-bulan. Abang Omar dulu pun upah orang cari… Tak jumpa. Kan ke pelik? Ada kemungkinan juga dia masih hidup, siapa tahu? Kalau tak, takkanlah Affendi tu berani mempertahankan pendapatnya. Dia yakin betul, Zakuan tu ada.”
Puan Suriati diam sejenak, kemudian berkata.
“Ada juga aku terfikir macam yang kau katakan tu. Kalau dia masih hidup, di mana dia sekarang?”
“Kat Gunung Ais tu ada kampung orang Asli,” kata Puan Suriati.
“Dia selamat ke? Diselamatkan oleh orang asli, agaknya?”
“Tak mustahil!” jawab Hamzah.
“Pagi esok aku akan suruh Airiel pergi siasat di kampung Perus. Selagi gus pergi tengok keadaan Affendi. Buat masa ni aku tak mahu hapuskan dia lagi.”
Leo benar-benar terperanjat kerana Puan Suriati memang nekad hendak membunuh Affendi.
“Aku nak seksa Affendi dulu. Kita perlukan maklumat betul atau tidak, yang Zakuan masih hidup. Di mana Zakuan. Aku yakin, Affendi banyak simpan rahsia.”
Leo segera pergi meninggalkan rumah itu dengan penuh hati-hati. Dia harus segera kembali ke kampung. Rasanya dia tahu di mana letaknya pondok yang pernah didirikan oleh Perus serta rakan-rakannya. Dia akan pergi menyelamatkan Affendi malam ini juga. Dia harus bertindak lebih dulu.
Leo memandu laju balik ke rumah. Dia harus mengambil peralatan yang mencukupi untuk kembali ‘beraksi’ di dalam hutan. Dia masih cekap biarpun sudah agak lama meninggalkan hutan dan Gunung Ais. Aku akan pulang! Gunung Ais… Aku akan kembali untuk menaklukimu lagi!
Leo terus melangkah gagah. Ada kerja yang perlu dia laksanakan.
Dari jauh dia terlihat kerlipan api. Ada unggun api dinyalakan. Dia sudah hampir dengan pondok tersebut. Memang Perus cepat dan tangkas. Dia pastilah dibantu oleh konco-konconya di kampung, membawa Affendi ke pondok itu. Jika sebarang orang, tak mungkin dapat tiba dengan cepat. Apalagi jika mereka bergerak dengan berjalan kaki meredah hutan.
Leo berjalan perlahan, mengendap. Ada beberapa orang mengelilingi unggun api. Salah seorang darinya adalah Perus. Leo memandang ke arah bayang-bayang pondok yang gelap. Pintunya bertutup rapat. Dia yakin Affendi ada di dalamnya. Pondok bertiang kayu dan berdinding buluh itu kemas buatannya, terlindung di bawah pohon yang rendah. Tak mungkin Affendi akan dapat meloloskan diri apalagi dia tidak mempunyai sebarang alat. Lebih malang lagi jika kaki dan tangan terikat. Walau bagaimana pun, pondok itu dibina di atas tanah. Dengan parang yang dibawa Leo, dia boleh merobohkan dinding buluh itu dengan mudah.
Leo berjalan di celah-celah pokok dan belukar, menuju ke arah belakang pondok. Kegelapan yang mengelilingi membuat kehadirannya tidak diketahui oleh Perus dan rakan-rakannya yang seramai empat orang itu. Mereka duduk berbual-bual dalam nada perlahan di depan unggun api, sambil minum kopi.
Leo berjalan perlahan, mendekati belakang pondok itu. Dia duduk di tepi dinding, berseru perlahan nama Affendi.
“Fendi! Fendi! Kau ada di dalam tak?”
Tidak terdengar sebarang suara. Diam. Leo bingung. Tak mungkin dia salah dengar. Bukankah Puan Suriati menyatakan Affendi dibawa oleh Perus ke hutan berdekatan Gunung Ais.
“Fendi!” seru Leo perlahan.
Terdengar bunyi erangan. Ada gerakan perlahan di dalam pondok. Leo menunggu dengan sabar. Sesekali terdengar lolongan serigala di kejauhan, ditingkah suara binatang liar yang lain.
“Fendi!” panggil Leo lagi.
Terasa ada ketukan dinding. Perlahan sekali. Ianya adalah isyarat menyatakan ada orang di dalamnya. Mungkin Fendi terikat dan mulutnya ditutup.
Leo tidak berani menyuluh. Cahaya di malam yang pekat itu akan segera dapat dilihat oleh Perus dan rakan-rakannya. Leo mulai memotong dinding buluh itu perlahan-lahan. Satu demi satu kepingan buluh tipis itu roboh. Akhirnya setelah sejam barulah Leo dapat meloloskan diri masuk ke dalam pondok. Dia merangkak mencari Affendi. Pondok itu berukuran 12 kaki persegi.
Affendi terbaring di satu sudut, dengan tangan dan kaki terikat. Sukarnya meleraikan ikatan di dalam gelap pekat begitu. Namun dia terus berusaha juga melepaskan sahabatnya itu. Leo menanggalkan pelekat yang melekap di mulut Affendi. Dia mengeluh perlahan, sakit. Kemudian Leo dan Affendi merangkak keluar dari pondok tersebut.
...bersambung
Bab akan datang:
Berjayakah Leo menyelamatkan Affendi?
Share this novel