“Ya Allah. Ini kubur Alia ke?” Aku duduk melutut di tanah. Membaca tulisan pada nisan kecil. Tulisan jawi cantik. Alia Syed Omar al Mahsyoor. Tarikhnya aku belek. Dia menemui Illahi pada hari aku menduduki kertas Fizik.
“Alia ni…Mama…kenapa sampai hati tak bagi tahu Aina? Kenapa Mama?” Aku terasa lemah longlai. Terbaring sambil menangis teresak-esak, memeluk batu nisan kecil di kubur Alia. Sedikitpun aku tidak mempedulikan tudung dan baju yang mula dicemari tanah merah. Gerimis pagi tadi membasahi bumi. Tanah lembut aku usap dengan tangan. Kotor tanganku tetapi aku tidak peduli. Hatiku terasa remuk redam, membayangkan jasad yang berada dalam tanah, ialah jasad Alia, yang aku belum sempat memohon maaf atas ketelanjuranku. Berkata yang jelik-jelik kepadanya.
“Mama dan Walid tak mahu ganggu konsentrasi Aina. Ini peperiksaan penting. Kami tak nak Aina hilang fokus. Tak ada apa lagi yang boleh kita buat. Allah nak panggil dia dulu. Mama sedih tapi Mama terima ketentuan Tuhan. Cukuplah kehadirannya yang sekejap tu untuk membahagiakan kita semua.
Mama redha.” Lirih suara Mama. Dia merangkul tubuhku yang masih terhinggut-hinggut kesan tangisan.
“Kenapa Alia meninggal Ma? Kenapa tiba-tiba saja? Alia kemalangan?” Saat ini, bagaikan mimpi ngeri. Seperti kelmarin, betapalah aku berharap aku memang sedang bermimpi. Sebentar lagi aku akan terbangun, bermandi peluh.
“Tak, bukan kemalangan, Sayang. Doktor kata dia mengidap jantung berlubang. Tapi malang sekali doktor tak dapat kesan sebab tu kita tak tahu. Not until it’s too late. Malam dia masuk hospital, keesokannya dia meninggal. Dalam pukul 9.00 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah. Dia ada sebut nama Aina sebelum meninggal.”
Ya Allah. Aku menyesal tidak terhingga. Gara-gara Syed Zain, aku memarahinya dan kini terus kehilangan Alia tanpa sempat memohon maaf dan berbaik-baik semula. Akhirnya kedua-duanya pun aku hilang.
Alia adikku, Kak Aina minta maaf atas segala kesilapan Kak Aina pada Alia. Ampunkan Kak Aina atas segala kata-kata dan perbuatan yang melukakan hati, juga menyakiti tubuh badan Alia. Semoga di akhirat nanti kita akan berjumpa lagi. Kak Aina berjanji akan selalu mendoakan Alia setiap kali selesai solat. Kak Aina akan memohon dengan Allah agar Alia ditempatkan di dalam syurga, bersama-sama semua ahli keluarga dan orang-orang beriman yang lain.
Tidak lama kami berada di kubur Alia kerana hujan lebat turun membasahi bumi. Kami pulang dan aku terkejut melihat kereta Toyota Wish milik Walid berada di bawah porch.
“Walid tak pergi kerja ke?”
“Walid pergi seminar di luar negara.” Mama menjawab sambil tangannya membuka pintu belakang kereta Waja, mengeluarkan beg pakaianku, membawanya terus ke dalam rumah.
“Tini…Kartini…” Mama memanggil Bibik Tina.
“Ya Mbak Ayu…” Bibik Tina sudah berlari-lari datang. Dia tersenyum kepada aku.
“Tolong bawa keluar barang-barang Aina..” Mama mengeluarkan arahan kepada Bibik Tini yang asyik melihat kesan-kesan tanah di baju kurung sekolahku. Akupun, menolong sama Bibik Tini mengeluarkan bakul empat segi bujur berisi buku-buku dan nota. Selesai kerja, aku terus ke bilik, menyalin pakaian. Apabila keluar bilik, aku duduk di sebelah Mama di atas sofa. Dia sedang membelek handphone.
“Mama, Walid pergi Amsterdam ya?”
“Bukan. Dia dah balik dari Amsterdam. Yang itu, Walid bentang kertas kerja. Kali ni dia ke Wellington. Ada seminar tentang pengurusan. Dia dah belikan music box baru untuk Aina. Ada dalam bilik, Mama letak atas rak perhiasan.”
Aku cuma mengangguk. Bukannya tidak bersyukur dan menghargai tetapi tiba-tiba aku berasa sudah terlalu tua untuk memiliki music box. Aku diam. Mengenang Alia. Rumah ini terasa sangat sunyi tanpa Alia. Kasihan Mama. Dia tentu lebih menderita tanpa Alia. Anak yang dikandung sembilan bulan. Dibesarkan dengan penuh kasihsayang selama 3 tahun 10 bulan, tiba-tiba menghilang dalam sekelip mata.
“Mama tak ambil cuti hari ni. Nanti lepas kita makan, Mama kena masuk kerja balik.” Dia memberitahu aku.
“Okay.” Akupun kehilangan idea. “Bila Walid balik?”
“Hari Rabu. Nanti kita ambil di airport Kepala Batas ya?” Dia mengusap rambut aku. Sudah lebih tiga tahun dia tidak melakukannya. Aku mengangguk dan menunduk. Aku tahu, Mama pasti bersyukur kerana aku sudah pulang ke rumah untuk menemani hari-harinya yang sunyi dan panjang.
“Mama rasa Aina patut belajar memandu. Kalau ada lesen, senang sikit.” Aku melongo. Betulkah apa yang aku dengar ini? Aku? Belajar memandu? Mama menyuruh dengan senang hati, sedangkan aku sendiripun takkan berani untuk membuka mulut meminta yang itu.
“Mama nak lebih terbuka dengan Aina. Selama ni, Aina dah buktikan yang Aina ikut semua saranan Mama dan Walid. Dah tiba masa untuk dapat ganjaran. Betul tak?” Aku hanya tersenyum.
Share this novel