Bab 53

Short Story Series 55831

Aqil duduk bertafakur di atas tikar sejadah selepas selesai menunaikan solat sunat disepertiga malam. Air matanya kembali mengalir apabila dia mengucapkan istighfar. Dadanya turun naik akibat sarat menahan rasa. Kata-kata doktor yang merawat Rina sebentar tadi seakan bom atom yang jatuh menghancurkan wilayah hatinya. Selepas akad nikah mereka, Rina jatuh pengsan tidak sedarkan diri. Banyak darah yang mengalir dari hidungnya. Aqil sangat terkejut ketika dia mencempung Rina, badan wanita itu sangat kurus dan ringan. Selama ini badan Rina ditutupi dengan jubah labuh yang tidak diketahui bentuknya jadi tiada seorang pun yang tahu tentang keadaan fizikalnya yang semakin kurus. Aqil memasukkan Rina di tempat duduk belakang kereta Aqilah sebelum mengambil alih tempat pemanduan dengan Aqilah dan menuju ke hospital yang berdekatan dengan masjid itu.

Mereka tidak bercakap sepatah kata pun sesama sendiri kerana masing-masing sibuk dengan keadaan Rina. Aqil masih memandu dengan berhati-hati walaupun dia membawa kereta itu dengan sangat laju. Ini kali kedua di dalam hidupnya membawa Rina ke hospital di dalam keadaan sakit seperti itu. Pertama dahulu ketika Rina jatuh pengsan kerana ingin melahirkan. Perasaan debaran yang sama juga turut dirasakan seperti dahulu. Di dalam hatinya dia berdoa kepada Allah agar isterinya itu baik-baik saja.

Setibanya mereka di hospital, Rina di bawa ke bilik kecemasan oleh kakitangan hospital itu sementara Aqil dan Aqilah diminta untuk menunggu di luar. Aqil memandang baju kurta bewarna putih yang dipakainya. Ada beberapa tompokan darah Rina di atas baju itu mungkin terkena saat dia mencempung Rina masuk ke dalam kereta. Hampir setengah jam mereka menunggu doktor perempuan berbangsa Melayu yang merawat Rina pun keluar daripada wad kecemasan itu.

“Siapa ahli keluarga, Puan Rina?” Doktor yang bernama Hafsa itu bertanya sambil melihat ke arah Aqil dan Aqilah.

“Saya suami Rina doktor. Bagaimana keadaan isteri saya?” Aqil bertanya dengan penuh debaran kerana dia takut Rina jatuh koma lagi seperti dahulu.

“Adakah encik tahu isteri encik menderita penyakit Meningioma atau kanser otak?” Doktor Hafsah meneliti riak wajah Aqil kerana mahu mendapatkan kepastian.

“Saya…tak tahu.” Aqil menjawab dengan tergagap kerana terkejut dengan pertanyaan Doktor Hafsah. Aqil sempat menoleh ke arah Aqilah yang sudah menangis haru. Dia seakan tidak mahu mempercayai apa yang baru saja didengarinya.

“Saya sudah menyangka kemungkinan encik tidak mengetahuinya kerana kanser itu sudah merebak ke peringkat tiga. Tumor yang puan hidapi sangat dalam di bahagian otaknya sehingga tidak memberikan kesan kepada pesakit yang menghidapinya dalam erti kata lain ia adalah sejenis kanser yang membunuh secara perlahan-lahan. Tumor Puan Rina terletak di area yang sangat tidak memungkinkan untuk di operasi atau dilakukan kemoterapi. Adakah puan sering mengambil ubat-ubatannya?” Doktor Hafsah bertanya lagi.

“Sebenarnya mereka baru sahaja berkahwin. Saya yang tinggal bersama Rina doktor selama beberapa bulan. Saya sering juga melihat dia memakan ubat tetapi apabila saya bertanya dia kata itu adalah vitamin.” Aqilah menjawab soalan Doktor Hafsah apabila Aqil tidak menjawab kerana terlalu terkejut dengan apa yang didengarinya sehingga kehilangan fokus.

“Baiklah kalau macam itu, buat masa sekarang Puan Rina masih tidak sedarkan diri kerana bius ubat yang kami berikan. Saya harap encik banyak bersabar dan berdoa. Semoga Puan Rina diberikan kesembuhan. Semuanya terletak di tangan Tuhan. Saya minta diri dulu.” Doktor Hafsah meminta izin pergi apabila selesai berbicara kerana dia masih mempunyai pesakit lain yang harus ditanganinya.

“Astaghfirullah.” Aqil mengadu lirih kepada Allah. Ditutup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Setiap kali kata-kata Doktor Hafsah terngiang-ngiang di ingatannya setiap kali itu dia akan menangis hiba.

“Ya Allah, hamba menadah tangan kepada-Mu merayu dengan selemah-lemah hati hamba agar Kau selamatkan isteri hamba. Sudah banyak dugaan hidup yang dia hadapi, sudilah Kau menyembuhkan segala penyakit yang berada di tubuhnya. Hamba bermohon Ya Allah.” Tangisan Aqil semakin kuat sehingga Aqilah yang duduk disamping Rina ikut menangis. Tangisan mereka bersahut-sahutan sehingga Rina terjaga dari tidurnya.

“Aqilah.” Rina memanggil apabila melihat wajah Aqilah disaat dia mengerling ke sisi. Aqilah yang mendengar suara Rina segera memanggil Aqil dan memberikan ruang kepada lelaki itu untuk duduk disamping Rina.

“Rina…” Aqil menyebut nama Rina dengan air mata yang berguguran. Dia tidak sanggup meneruskan ayatnya apabila melihat senyuman Rina yang cukup indah dimatanya walaupun wajah isterinya itu pucat lesi.

“Tinggalkan kami sebentar, Aqilah.” Rina meminta Aqilah agar memberikan ruang untuk dirinya dan Aqil berbicara empat mata.

Aqilah mengangguk dan keluar daripada bilik wad itu. Saat itu juga tangisannya turut pecah sehingga kedengaran oleh Rina dari dalam bilik. Mendengar tangisan Aqilah yang lirih dan Aqil yang masih menangis hiba sambil menyembamkan wajah di tangannya tahulah Rina bahawa kedua insan itu sudah mengetahui tentang penyakitnya yang selama ini dia rahsiakan dengan rapi. Sebenarnya Rina sudah mengetahui tentang penyakitnya itu sejak kali pertama dia bertemu dengan Areen semula di hospital dahulu tetapi memang dia memilih untuk tidak melakukan operasi kerana doktor yang merawatnya ketika itu juga sudah memberitahu kemungkinan yang akan terjadi jika menjalaninya. Dia boleh kehilangan ingatan, mempunyai masalah saraf atau meninggal dunia. Mendengarkan kemungkinan itu Rina memilih untuk menghabiskan waktunya dengan Qalifh sehingga jantungnya berhenti berdegup.

“Aqil, jangan tangisi keadaan saya. Saya hanya perlukan senyuman awak untuk menguatkan saya menjalani hari-hari yang akan datang.” Rina mengusap rambut Aqil dengan tangannya lagi satu sehingga Aqil memandangnya.

Sekali lagi tangisan Aqil kedengaran setiap kali dia melihat wajah Rina. Dipeluknya Rina dengan erat. Sangat erat sehingga tiada ruang diantara mereka.

“Mengapa Ya Allah? Mengapa begitu berat ujian yang Kau berikan.” Aqil mula mengadu mempertanyakan takdirnya sehingga didengari Rina.

“Jangan pernah salahkan takdir. Tidakkah awak bahagia Allah memilih awak untuk menjadi orang yang dicintai-Nya? Ujian ini tiada apa-apanya dibandingkan dengan keredaan Allah terhadap kita.” Rina mengusap belakang Aqil lembut dan sekali lagi Rina terdengar Aqil beristighfar mengingati kesalahannya. Rina tersenyum mendengarnya dan membiarkan Aqil memeluk dirinya selama yang lelaki itu inginkan.

Keesokan paginya, Tan Sri Mansur datang ditemani oleh Haikal dan Areen. Mereka bertiga mendekati Aqil yang berada di luar bilik wad sambil termenung. Mereka mendapat panggilan telefon daripada Aqilah sewaktu subuh hari dan memberitahu keadaan Rina. Mendengar keadaan Rina itu Tan Sri Mansur jatuh pengsan tidak sedarkan diri hampir satu jam. Disaat Tan Sri Mansur sedar dia segera meminta Haikal dan Areen membawanya ke hospital tempat Rina dirawat. Disepanjang perjalanan lelaki tua itu tidak berhenti menangis walaupun sudah dipujuk oleh Areen berkali-kali. Dia tidak sabar mahu berjumpa dengan Rina. Mendengar Rina sakit tenat membuatkan Tan Sri Mansur menyalahkan dirinya sendiri. Seandainya dia tahu Rina sakit sejak daripada dulu dia sudah membawakan doktor yang terbaik untuk merawat menantunya itu.

“Aqil.” Tan Sri Mansur menyeru nama Aqil. Dia lantas memeluk anak angkat yang sangat dirindukannya itu. Rina dan Aqilah berjaya menemui Aqil yang selama ini dicarinya tetapi tidak menjumpainya. Aqil juga memeluk Tan Sri Mansur erat dan hampir saja dia mencium kaki lelaki itu tetapi sempat dicegah oleh Tan Sri Mansur.

“Maafkan Aqil, papa. Maafkan Aqil jika papa terasa dengan perbuatan Aqil. Aqil minta ampun dunia dan akhirat.” Aqil memohon keampunan Tan Sri Mansur, bapa angkatnya itu.

“Tidak, nak. Papa yang patut minta maaf pada kamu. Papa yang salah dan zalim terhadap kamu. Maafkan papa.” Tan Sri Mansur memeluk Aqil semula dengan perasaan bersyukur kerana satu masalahnya telah dipermudahkan Allah.

“Aqil, aku minta maaf. Aku yang bersalah dalam perkara ini kerana menzalimi Rina dan kau. Aku dah menyesal dengan perbuatan aku sehingga Allah tarik balik nikmat berjalan dengan kaki di bumi ini. Aku mohon kau maafkan aku.” Haikal yang sejak daripada tadi menjadi pemerhati beranikan diri untuk bicara.

Aqil yang baru sedar dengan kehadiran Haikal dan Areen disitu terkejut dengan apa yang dilihatnya. Dia terkejut apabila melihat Haikal yang berkerusi roda dan Areen yang berada di situ. Aqil mendekati Haikal dan merendahkan dirinya agar setinggi Haikal yang duduk. Dilihat kaki abangnya yang tidak bergerak seakan lumpuh. Disentuhnya kaki Haikal sebelum memandang Haikal dengan penuh pertanyaan.

“Aku kemalangan sehingga kaki aku lumpuh. Semua ini adalah balasan Allah terhadap aku yang sering bermaksiat dan melupakan-Nya. Ini Areen, isteri aku. Aku juga baru dapat tahu yang dia adalah kawan universiti Rina dahulu. Kami terlanjur sehingga Areen mengandung terlebih dahulu sebelum kami berkahwin.” Haikal menjelaskan apabila melihat Aqil memandang Areen dan perut Areen yang sudah semakin kelihatan membesar.

Aqil beristighfar dan memeluk Haikal dengan erat. Dia sangat sayangkan Haikal kerana Haikal sudah seperti abang kandungnya sendiri. Mereka membesar bersama sehinggalah Haikal berubah menjadi seorang yang liar apabila terdedah dengan kehidupan yang melalaikan. Dia memaafkan Haikal apabila dia berasa kasihan melihat keadaan Haikal itu. Dahulu abangnya itu adalah seorang lelaki yang sangat tampan dan bergaya. Semua wanita suka terhadapnya sehingga abangnya itu tidak kisah menghabiskan duit untuk mereka. Lihatlah kebesaran Allah, apabila Allah berkehendak menarik kembali apa yang diberikan kepada hamba-Nya yang tidak bersyukur sekelip mata saja semuanya berubah.

“Dimana Rina?” Tan Sri Mansur bertanya apabila teringat kepada Rina semula.

“Dia berada di dalam sedang berbual dengan Aqilah.” Aqil menolak daun pintu bilik wad yang menempatkan Rina dan menyuruh mereka masuk.

Rina dan Aqilah menoleh serentak apabila pintu bilik wad ditolak daripada luar. Rina tersenyum gembira menyambut tetamu yang datang untuk melawatnya tetapi tidak para tetamunya yang menitiskan air mata saat melihat dirinya.

“Bagaimana khabar kamu, nak?” Tan Sri Mansur bertanya sambil mengusap kepala Rina yang dibaluti tudung itu. Wajah Rina pucat lesi dan kelihatan sangat cengkung walaupun hanya beberapa hari mereka tidak berjumpa.

“Alhamdulillah Rina sihat papa.” Rina cuba membuat suara ceria kerana dia tidak mahu kelihatan sedih di hadapan Tan Sri Mansur. Dia tidak mahu Tan Sri Mansur berasa sedih dan memikirkan keadaannya. Sudah cukup lelaki tua itu dibebani dengan fikiran anak-anaknya tidak perlu dia tambahkan lagi fikiran lelaki tua itu.

“Jangan risau, papa akan bawakan doktor yang terbaik daripada luar negara untuk menyembuhkan kamu. Papa akan lakukan apa saja untuk kamu asalkan kamu sihat seperti dulu.” Tan Sri Mansur menggenggam tangan Rina memberikan semangat kepada Rina agar tidak berputus asa walaupun kenyataannya Rina tidak pernah berputus asa dengan ujian yang Allah berikan kepada dirinya.

“Tidak. Rina tidak mahu dioperasi. Rina harap papa dapat menghormati keputusan Rina. Rina mahu menghabiskan masa Rina dengan suami dan anak Rina.” Rina menolak dengan baik tawaran daripada Tan Sri Mansur itu kerana dia memang tidak mahu menjalani operasi.

“Suami?” Ketiga tetamunya itu bertanya serentak dan memandang ke arah Aqil.

“Benar, kami sudah menikah semalam.” Rina menjawab pertanyaan mereka sambil menghulurkan tangannya kepada Aqil. Dengan cepat Aqil menyambut tangan Rina dan berdiri di samping katil Rina.

Aqil melihat wajah Tan Sri Mansur kerana dia mahu tahu reaksi wajah bapa angkatnya itu apabila mengetahui dirinya sudah menikah dengan bekas isteri kepada Haikal, abangnya itu. Tan Sri Mansur tidak membuat sebarang riak wajah dan mendekati Aqil. Ditatapnya wajah Aqil dengan tajam sehingga Aqil menundukkan wajahnya dan senyuman di wajah Rina hilang apabila melihat keadaan itu. Adakah Tan Sri Mansur masih tidak ikhlas dengan perkara yang telah terjadi?

“Barakallahufikum, anakku. Semoga kalian berdua menjadi keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah.” Tan Sri Mansur ketawa kecil sambil memeluk Aqil dan mencium kepala Rina. Dia tidak menyangka Aqil masih sangat takut jika mengguriskan hatinya. Dia sudah ikhlas melepaskan Rina sebagai isteri Haikal anak kandungnya dan dia juga ikhlas menerima Rina sebagai isteri kepada Aqil anak angkatnya.

Mereka yang berada di dalam bilik turut sama ketawa kecil kerana tidak menyangka Tan Sri Mansur akan bergurau seperti itu. Haikal juga mengucapkan tahniah di atas perkahwinan diantara adik angkat dan bekas isterinya itu. Benarlah kata orang-orang, jodoh tidak akan ke mana. Walau sudah banyak ujian yang mereka jalani seperti tiada jalan untuk Rina dan Aqil bersama akhirnya dengan izin Allah mereka dipersatukan dengan ikatan yang halal yang didambakan oleh Aqil selama ini. Haikal belajar untuk mengikhlaskan semuanya kerana dia mahu berubah menjadi manusia yang lebih baik.
Di dalam waktu yang sama Areen juga kagum dengan perancangan Allah. Dahulu dia sangat tergila-gilakan Aqil sehingga jika ada wanita lain yang menyukai Aqil pasti akan memastikan wanita-wanita itu tidak akan mendapat peluang untuk mendekati lelaki itu. Dahulu dia juga sangat membenci Rina kerana wanita itu adalah wanita yang menjadi pilihan Aqil selama ini. Dalam diam Aqil menyimpan rasa terhadap Rina dan mengharapkan agar wanita itu menjadi isterinya. Akibat dengki dan dendam dia sebarkan cerita tentang kehamilan Rina di universiti sehingga semua orang menjauhi wanita itu termasuk kawan baiknya Jun dan Syahiran. Berkat kesabaran dua insan itu dan redha menerima ujian Allah dengan hati yang ikhlas, Allah balas kebaikan mereka dengan mempersatukan dua jiwa yang selama ini saling menjaga.

“Jika Rina sudah diizinkan pulang ke rumah, tinggallah semula di rumah papa. Papa mahu merasakan keluarga yang lengkap yang selama ini papa rindukan. Papa mahu menghabiskan masa tua papa bersama anak, menantu dan cucu papa.” Tan Sri Mansur memujuk Rina dan Aqil agar tinggal bersamanya semula.
Rina memandang Aqil yang turut sama memandang dirinya sebelum Aqil bersetuju apabila melihat anggukan kecil yang diberikan kepadanya.

“Tapi, sebelum balik ke rumah papa, Rina mahu balik ke kampung Rina dahulu melawat kubur ibu dan nenek. Sudah lama rasanya Rina tidak ke sana menziarahi mereka.” Rina memberitahu perancangannya selepas mendapat keizinan daripada Doktor Hafsah untuk pulang ke rumah.

“Baiklah, kita pergi bersama-sama. Papa juga mahu ikut menziarahi kubur ibu dan nenek kamu. Papa mahu mengucapkan terima kasih kerana mereka sudah berjaya mendidik kamu menjadi anak yang baik.” Tan Sri Mansur memberikan keizinan dan mahu ikut serta.

“Abang juga mahu ikut jika Rina izinkan. Abang harus meminta maaf kepada keluarga Rina kerana kesalahan abang yang lalu.” Haikal juga ingin turut serta.

Melihat suaminya yang ingin mengikuti menziarahi kubur ibu dan nenek Rina, Areen juga ingin turut serta. Dia juga sudah melakukan banyak kesalahan terhadap Rina jadi dia mahu meminta maaf kepada ahli keluarga Rina agar roh mereka berasa tenang.

“Kalau macam itu saya pun nak ikutlah kalau semua orang nak pergi.” Ucapan Aqilah itu sekali lagi membuatkan orang yang berada di dalam wad Rina itu ketawa kecil.

Lupa sebentar mereka tentang penyakit Rina yang tenant itu. Rina melihat satu persatu orang yang berada di dalam biliknya seakan mahu mengingati wajah-wajah itu. Dia suka keadaan itu, ketawa bersama tanpa memikirkan apa-apa masalah yang menimpa. Semoga hubungan baik mereka berkekalan sehingga di penghujung hayat itu doa Rina untuk orang-orang yang dicintainya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience