RUMAH banglo tiga tingkat bercat putih yang terletak di Seksyen 9 Shah Alam kelihatan agak sunyi. Di ruang makan, kelihatan pasangan suami isteri iaitu Datuk Mansour dan Datin Sofia sedang menikmati makan malam.
Mereka tinggal berdua sahaja selain seorang pembantu rumah dan seorang tukang kebun. Pemandu mereka tidak tinggal di situ. Akan pulang sebaik tugasannya selesai. Kedua anak mereka pula sudah besar panjang. Yang sulung merupakan seorang akauntan, sudah berkahwin dan menetap di luar negara. Manakala yang seorang lagi memilih tinggal sendirian di sebuah kondominium di Damansara.
"I tahu semuanya salah I. I'm sorry. I tak tahu that girl was a spy," ucap Datin Sofia ke arah suaminya.
"I terkejut juga masa mula-mula dapat tahu tadi. Tapi, nak buat macam mana. Mungkin dah tertulis kita tak ada rezeki untuk dapat tender tu. Insya-Allah ada rezeki lain untuk kita nanti," ujar Datuk Mansour dengan tenang.
Datin Sofia mengangguk. Kadang-kadang dia kagum dengan sikap suaminya yang begitu positif menghadapi apa jua cabaran di dalam bidang perniagaan. Biar pun diasak kiri dan kanan oleh musuh, namun Datuk Mansour bukan seorang yang cepat melatah. Mungkin itulah salah satu rahsia dia berjaya kekal di dalam bidang tersebut selama bertahun-tahun.
"Yang, what do you think about Mika?" soal Datin Sofia.
"Kenapa dengan Mika?" balas Datuk Mansour kurang faham.
"Salah I ke paksa Mika balik Malaysia dan uruskan bisnes kita ni?"
Datuk Mansour memandang ke wajah Datin Sofia. Dia faham apa yang sedang difikirkan oleh isterinya. Lalu mengeluh perlahan.
"Kalau bukan Mika siapa lagi? Kita ada anak lelaki lain ke?" ujar Datuk Mansour. "...I think you've done the right thing."
"Tapi, dia tak happy. Selalu marah-marah dan ‘argue’ dengan apa yang I buat untuk dia."
"Mungkin you terlalu kawal hidup dia. He's already 28 years old. Let him decide what he wants to do with his life."
"I know. But, for me he's still a young boy."
Datuk Mansour tertawa. Tidak dinafikan begitulah yang sering dialami seorang ibu. 'Sindrom mak-mak' kata orang. Walaupun anak sudah besar panjang masih dianggap seperti masih kecil.
Sedang mereka berdua berborak di ruang makan, kedengaran pintu utama kediaman dibuka dari luar. Tidak lama kemudian, muncul seseorang di ruang makan kedua itu.
Tubuh tinggi Mikael dalam pakaian kasual sedang berjalan menghampiri meja makan. Datuk Mansour dan Datin Sofia sama-sama memandang ke arah anak lelaki tunggal mereka.
"Mika, come join us," ucap Datin Sofia menjemput.
Mikael mengambil tempat duduk di kerusi berhampiran Datuk Mansour. Dipandang ke arah lauk-pauk masakan Melayu yang terhidang di atas meja. Nampak sedap. Tetapi, perutnya sudah kenyang setelah menjamah makanan di sebuah restoran tadi.
"Dah makan tadi," balasnya ringkas.
"Dari mana?" Datuk Mansour bertanya.
Selalunya Mikael jarang muncul di rumah banglo tersebut pada waktu-waktu begini. Jika ingin bertemu pun mereka hanya akan bersua di pejabat. Sudah seperti orang luar.
"Jumpa kawan dekat Seksyen 7 tadi," ujar Mikael sambil melihat-lihat sebentar ke telefon pintar. "...actually, Mika datang sini nak jumpa mama."
Serentak itu Datin Sofia mengangkat wajah memandang ke arah Mikael. Wah, terharu perasaannya. Mikael datang semata-mata untuk bertemu dengannya. Sudah lama dia tidak mendengar ayat sedemikian keluar dari bibir anaknya.
"Oh, really? Rindukan mama ke? Itulah, mama dah cakap duduk seorang kat kondo tu sunyi. Why don't you come back and live here with us?” Spontan Datin Sofia berkata.
Mikael tersenyum sinis seraya berdesis.
"Actually, Mika datang sini nak tanya sesuatu. Mika nampak ada iklan jawatan kosong baru dalam website Jobstreet. Are you hiring a new secretary? Kan Mika dah cakap tak nak ada lagi secretary?!”
Datin Sofia memandang ke wajah Mikael. Terhenti suapan nasi ke mulut sebaik mendengar suara lantang anaknya. Pandangannya beralih ke arah Datuk Mansour.
Datuk Mansour mempamerkan wajah bersahaja. Dia tidak pernah masuk campur dalam urusan pengambilan kakitangan. Biarlah isterinya sahaja yang uruskan. Jika dia masuk campur lain pula jadinya nanti. Silap-silap boleh bergaduh mereka suami isteri.
"Yes, I'm hiring a new one," balas Datin Sofia dalam nada tegas ke arah Mikael.
Mikael mendengus kasar. “Untuk apa? Mika tak perlukan someone yang dipanggil SECRETARY!"
Datin Sofia mengeluh perlahan. “Mama tahu apa yang terbaik untuk Mika."
“Mika tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri. Mama tak perlu tentukan urusan hidup Mika!”
"Don't shout at me, Mika!" balas Datin Sofia sambil memandang anaknya dengan perasaan geram.
Datuk Mansour yang berada di sisi menggelengkan kepala dengan perbalahan dua beranak itu. Keduanya memang tidak boleh bertemu. Ada sahaja perkara yang tidak dipersetujui di antara mereka.
Mikael berpaling ke arah Datuk Mansour apabila kehendaknya tidak dituruti oleh Datin Sofia.
"Pa, could you please tell mama that I'm big enough? Don't treat me like a kid anymore!"
"Haish, kamu berdua ni. Dahlah, papa nak naik atas. Nak baca Al-Quran kejap," ujar Datuk Mansour sambil bangun dan mencuci tangan di sinki berhampiran ruang makan. "...Darling, you settled with your son okay."
Datin Sofia dan Mikael sama-sama memandang kelibat Datuk Mansour yang menghilang di sebalik tangga tengah untuk ke tingkat atas.
Mikael mendengus nafas. Manakala Datin Sofia melepaskan sebuah keluhan.
"Mika nak makan ke tak? Kalau tak mama nak letak lauk ni kat dapur," ujar Datin Sofia sambil menyusun pinggan dan mangkuk di meja makan.
Kebiasaannya kerja ringan seperti itu akan dilakukan sendiri tanpa memerlukan pertolongan pembantu rumah.
Mikael sekadar mengerling tajam. Perkara yang dibincangkan belum habis, mamanya sudah menukar ke topik makanan pula.
"No more secretaries for me!" ulang Mikael sekali lagi dengan pendiriannya.
Datin Sofia senyap seketika sebelum membalas kata-kata Mikael. “This is the last one."
Mikael membalas pandangan Datin Sofia sambil mengetap bibir.
"Okey. Ini yang terakhir dan tak akan ada lagi yang lain selepas tu. I will make sure she stays for one day only!"
Datin Sofia memandang ke wajah anak lelaki tunggalnya. Memang perangai Mikael saling tidak tumpah seperti perangainya sendiri. Ego, keras kepala dan degil. Apa sahaja kemahuannya harus dituruti. Kerana itu mereka berdua sukar untuk duduk berbincang bersama. Orang kata 'panas'.
"But this time, Mika tak ada hak untuk terminate your secretary. I'm hiring and firing."
Mendengarkan kata-kata mamanya perasaan Mikael menjadi berang. Dia bangun dan berlalu meninggalkan ruang makan tersebut dengan wajah yang sebal sebelum melangkah keluar melalui pintu utama. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi pintu dihempas kuat dari luar.
Datin Sofia sekadar memandang situasi itu sambil mengeluh perlahan. Biarlah. Dia sudah biasa dengan perangai dan sikap Mikael yang suka memberontak. Kali ini Datin Sofia akan pastikan dia menemui calon terbaik bagi mengisi jawatan sebagai setiausaha Mikael. Dia yakin ada seseorang di luar sana yang mampu mengubah peribadi anak keduanya itu.
SUASANA di sebuah pangsapuri berhampiran Kerinchi kedengaran masih hingar-bingar walaupun jam sudah menunjukkan hampir ke pukul sebelas malam.
Hanna tinggal bersama tiga orang lagi temannya di salah sebuah unit pangsapuri tersebut. Sudah beberapa tahun mereka menyewa di situ dan masing-masing sudah memahami perangai dan sikap satu sama lain.
Kawasan pangsapuri tersebut tidaklah begitu selesa. Namun, disebabkan sewa yang agak murah berbanding tempat lain di Kuala Lumpur menyebabkan mereka sanggup menghuni di situ.
Masing-masing bukan datang dari keluarga yang senang. Kebanyakan mereka merantau dari kampung halaman masing-masing untuk bekerja di Bandaraya Kuala Lumpur demi mencari rezeki untuk membantu keluarga.
Hanna menyertai teman serumah melepak di depan TV sambil menonton sebuah drama cinta dari Negara Korea Selatan. Dia sekadar menjadi penonton sahaja kerana dia bukan penggemar drama tersebut.
Sambil itu matanya sibuk memandang ke skrin telefon, membaca mesej-mesej yang masuk melalui aplikasi WhatsApp. Satu mesej daripada adiknya, Hadif menarik perhatian berbanding mesej lain.
Hadif sedang belajar di sebuah universiti di Jerman. Sekarang sudah berada di semester akhir dan dalam proses untuk menyiapkan tesisnya.
‘Assalam, akak. Apa khabar sihat ke?’ - Hadif
‘Alhamdulillah, sihat. Hadif sihat ke?’ - Hanna
‘Sihat juga. Akak, nak minta duit sikit boleh? Nak gunakan untuk projek final semester.’ - Hadif
Hanna sudah dapat meneka. Setiap kali adiknya hubungi tiada yang lain, pasti untuk meminta bantuan kewangan. Dia tidak kisah sebenarnya. Memang selama ini Hanna cuba membantu setakat mana yang termampu.
Hadif ada menerima tajaan biasiswa. Malah, dia juga bekerja separuh masa di sebuah kafe di sana. Tetapi, kos kehidupan yang meningkat membuatkan Hadif tiada pilihan selain perlu meminta bantuan daripada kakaknya juga.
‘Berapa Hadif nak guna? Nanti akak bank-in.’ - Hanna
‘Dalam dua ribu macam tu. Thanks, akak. Love you.’ - Hanna
‘Love you too. Jaga diri baik-baik kat sana. Belajar sungguh-sungguh. Make our parents proud of you.’ - Hanna
‘Insya-Allah, akak. You too take care.’ - Hadif
Selepas membaca pesanan mesej terakhir daripada Hadif, Hanna menghembuskan sebuah keluhan.
Hadif adalah satu-satunya ahli keluarga paling dekat yang Hanna ada. Kedua ibu bapa mereka telah dijemput Ilahi akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu. Ketika itu Hanna baru berusia lapan tahun dan Hadif lima tahun.
Selepas pemergian kedua ibu bapa, Hanna dan Hadif dibesarkan oleh ibu saudara mereka. Membesar di sisi orang lain walaupun ahli keluarga sendiri tidaklah seindah mana. Tidak akan sama dan bahagia seperti kasih yang diberikan oleh ibu bapa sendiri.
Dimarahi, dihina, dikutuk di kalangan sepupu-sepupu yang tinggal bersama dulu bagaikan perkara biasa dalam hidup Hanna dan Hadif. Disebabkan itu mereka berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya di dalam pelajaran.
Hanna berjaya memasuki MRSM ketika usianya 13 tahun manakala Hadif diterima masuk ke SBP tidak lama kemudian. Mereka ingin buktikan bahawa anak yatim-piatu seperti mereka juga mampu berjaya seperti orang lain.
Berbanding dirinya, Hadif lebih bijak dan cemerlang di dalam pelajaran. Saat Hadif ditawarkan untuk menyambung pengajian di Jerman dahulu, Hanna adalah insan yang paling gembira. Harapannya agar Hadif terus dapat membanggakan kedua ibu bapa mereka yang telah pergi. Biarlah dia yang bekerja untuk membantu menampung pengajian adik kesayangannya.
Selesai berbalas mesej dengan Hadif, Hanna terlihat ikon Gmail pada skrin telefon pintar yang menunjukkan ada satu emel diterima. Hanna membuka emel tersebut.
'INVITATION TO ATTEND AN INTERVIEW SESSION FOR THE POST OF SECRETARY'
Bulat mata Hanna membaca subjek emel tersebut. Emel yang ditunggu-tunggu. Akhirnya satu jemputan ke sesi temuduga telah diterima. Tidak sia-sia dia memohon di laman sesawang Jobstreet tempoh hari.
Hanna membaca satu-persatu maklumat yang terpapar di dalam emel tersebut. Berkerut sedikit dahinya saat nama syarikat yang menghantar jemputan tersebut menyapa pandangan.
'ADAM TAN SDN BHD'
Syarikat apa ni ye? Tak pernah dengar sebelum ini. Lalu Hanna menaip nama syarikat tersebut di laman carian Google. Dan maklumat yang dicari terpapar. Hanna membaca sedikit maklumat yang terdapat pada profil syarikat tersebut.
Oh, syarikat pembinaan rupanya. Ada beberapa projek yang lama dan yang terbaharu. Pemilik syarikat adalah seorang 'Datuk'. Datuk mana ni ye?
Lantas jemari Hanna menaip pula nama pemilik syarikat tersebut di laman carian sekali lagi. Sebentar kemudian wajah seorang ahli korporat terpapar di skrin telefon.
Oh, Datuk ini. Pernah nampak beberapa kali muncul di TV. Tapi, tidak begitu terkenal. Jadi, jawatan kosong berkenaan untuk menjadi setiausaha kepada Datuk inikah?
Hanna membentuk-bentukkan bibirnya sambil berfikir. Nak pergi atau tidak ke sesi temuduga tersebut? Hanna berbelah bahagi. Tengok waktu temuduga pula pada pukul empat petang. Betul ke ni? Selalu orang buat sesi temuduga pada waktu pagi. Sedikit musykil di situ.
Tapi, apa salahnya kalau mencuba. Sekurang-kurangnya dia boleh mengambil pengalaman menghadiri sesi temuduga di samping melihat-lihat syarikat tersebut.
Lalu dengan pantas jemari Hanna menaip untuk membalas emel yang diterima. Dia bersetuju untuk menghadiri sesi temuduga tersebut pada masa yang ditetapkan. Niatnya sekadar ingin mencuba. Kalau berjaya baguslah. Kalau tak berjaya pun tak mengapa. Dia akan cuba memohon di syarikat lain pula.
Sejujurnya Hanna benar-benar berharap akan berjaya mendapat pekerjaan baharu di mana-mana syarikat. Dia tak kisah lagi. Sudah tidak sabar-sabar ingin keluar dari syarikat tempatnya bekerja sekarang.
Gosip tentang kisahnya bercinta dengan suami orang dan peristiwa isteri Farouk datang menemuinya di pejabat tempoh hari sedang bertiup kencang di segenap bangunan pejabat. ‘Makcik-makcik bawang' menjalankan tugas mereka dengan penuh 'dedikasi' apabila kisah yang berlaku sengaja ditokok-tambah untuk menyedapkan cerita.
Hanna dikatakan menjadi punca Farouk ingin bercerai dengan isterinya. Ayat-ayat ‘pedas’ mereka meniti di pendengaran.
'Hanna diserang oleh isteri Farouk di pejabat.'
'Hanna perempuan tak sedar diri. Muka sahaja cantik tapi perangai buruk.'
'Hanna perampas suami orang.'
'Hanna penyondol rumah tangga orang.'
'Hanna penggoda. Perempuan murahan.'
Hanna itu, Hanna ini.
Aduhai. Hanna rasa tak tahan lagi mendengar gosip-gosip tersebut lalu-lalang tanpa sengaja di telinganya. Malu pun ada.
Dan kerana itu Hanna nekad dia perlu segera meninggalkan syarikat tersebut. Tidak sanggup menahan perasaan saat berhadapan dengan kelompok 'tentera bawang' yang sibuk mencanang cerita di dalam kain orang lain. Harap-harap jawatan kosong yang dipohon itu bakal menyelamatkan dirinya daripada segala tohmahan dan kecaman yang melanda.
Share this novel
cita best..tapi x dak rzeki nk continue baca sbb lock.. anyway tq author
fokus abam faliq n erin dulu. nanti layan yang ni
sedih nya tak dapat baca bab 4 sebab kena lock..