Chapter 21

Mystery Completed 14816

Bab 21

Mereka beradu tenaga. Entah dari mana Leo mendapat kekuatan yang luar biasa. Dia melepaskan tumbukan bertubi-tubi tanpa henti hingga lelaki itu tidak dapat mengelak. Mereka terus bertumbuk dan berguling-guling di atas pasir. Ada ketika Leo terkena jua tumbukan lelaki itu. Namun akhirnya Leo dapat mengalahkannya. Lelaki itu terbaring lemah dengan muka yang dipenuhi darah.

Leo berdiri memerhati sahaja ke arah lelaki itu yang berusaha untuk bangun. Leo menghulur tangannya untuk membantu lelaki itu supaya dia dapat berdiri. Entah mengapa dia harus melakukan itu semua. Dia pernah mendengar orang berkata; Kita harus berbuat baik pada musuh yang telah tewas. Namun diluar dugaannya, lelaki itu melemparkan pasir ke dalam matanya.

Mata Leo menjadi kabur. Dia menggeleng-gelengkan kepala, sambil tangannya sibuk menyapu pasir yang terpalit di seluruh wajah. Lelaki itu dengan pantas mencapai pistol yang tadi dicampakkan ke atas pasir lantas menghala muncungnya ke arah Leo. Lelaki itu melepaskan tembakan ke arah dadanya. Leo tidak sempat berbuat apa-apa. Tubuhnya melayang jatuh, terlentang ke atas pasir.

Dadanya terasa amat sakit dan pedih. Dia meraba-raba dadanya yang dibasahi darah. Matanya memandang ke arah langit yang terbuka. Birunya langit kala itu. Tidak pernah dia melihat langit yang begitu indah. Leo tidak mahu menutup kelopak matanya, dia bimbang tidak dapat lagi melihat langit, awan dan alam yang menghijau. Dia takut tidak dapat kembali semula ke Gunung Ais.

Dia cintakan hutan dan semulajadi.

Dia rindukan Gunung Ais.

Dia ingin kembali ke kampung dan kembali ke pangkuan Mak Upeh.

Tapi tidak boleh. Dia tidak boleh meninggalkan Amalina di sini.

“Amalinaaaaa…..” Leo menjerit sekuat hatinya.

Leo terjaga dari mimpinya. Dia terpinga-pinga, sambil memerhati sekeliling. Kanopi tempat dia tidur terang benderang. Lampu kalimantang yang disambung dengan bateri Pajero Amalina memang terpasang hingga ke pagi.

Dia memerhati pula ke arah unggun api. Api sudah padam hanya tinggal baranya sahaja.

Kemudian matanya memerhati ke arah khemah yang berbaris tidak jauh dari situ. Suasana sepi dan sunyi. Semua penghuninya sedang tidur. Leo rasa lega kerana jeritannya tadi tidak akan didengari sesiapa.

Namun Leo langsung tidak tahu, Amalina sudah pun terjaga dari tidurnya saat dia mendengar lelaki itu menjeritkan namanya dengan kuat. Leo seperti dalam kesakitan dan meminta pertolongan darinya. Jika diikutkan hati, Amalina ingin keluar dari khemahnya untuk menghulurkan bantuannya pada Leo. Namun dia tidak mahu mengeruhkan lagi suasana yang sudah sememangnya keruh itu. Dia takut Airiel terus tersalah anggap. Dia dapat rasakan pertalian hubungannya dengan Airiel semakin tegang dan hampir-hampir putus…

Amalina mengeluh. Dia memang masih sayangkan Airiel. Namun dia tidak mahu dipaksa dan didesak. Biarkan masa menentukan segalanya. Jika jodohnya dengan Airiel masih ada, pasti suatu hari nanti ikatan itu akan termeterai.

Amalina bergerak mendekati kanopi. Di bawah kanopi yang besar itu kelihatan Airiel sedang sibuk menyediakan sarapan pagi bersama Megat dan Karim. Kawan-kawan mereka yang lain sudah turun mandi di sungai biarpun jam baru pukul tujuh pagi. Masing-masing amat teruja untuk merendam di dalam air yang jernih dan bersih. Di sini airnya memang belum tercemar. Tiada sebarang sisa buangan ataupun toksik seperti di sungai-sungai berdekatan dengan kawasan bandar.

Megat sibuk mengacau bihun dalam sebuah kuali yang besar dengan dibantu oleh Karim. Airiel sedang mengacau air di dalam jug plastik yang besar dengan menggunakan senduk. Amalina sengaja datang mendekati, mahu melupakan insiden semalam. Dia berharap kawan-kawannya tidak akan menganggap dia sengaja mahu melukai hati Airiel. Seboleh mungkin dia cuba untuk kembali menjernihkan keadaan.

“Sibuk? Boleh I tolong?”

“Kau nak tolong siapa? Tolong aku ke tolong Airiel?” jawab Karim sambil tersengih.

“Tolong sesiapa yang memerlukan pertolongan.” Amalina tertawa kecil.

“Aku tak perlukan pertolongan. Buat air je bukannya susah.” Airiel menjawab.

Dia tidak memandang pun ke wajah Amalina yang sedang merenungnya.

Karim tergelak mendengar jawapan Airiel.

“Kelas lah jawapan engkau. Aku suka,” balas Megat.

“Pinggan ni tak lap lagi. Biar I lap.”

Amalina sengaja mencari kerja, lantas dia duduk bersila di hadapan sebuah besen besar yang berisi dengan pinggan plastik yang sudah dibasuh bersih.

“Tak payah susah-susah Alin! Tak perlu lap. Susun aje atas meja tu!” kata Karim.

Amalina membuat apa yang disuruh oleh Karim. Dia menyusun pinggan di atas meja plastik kecil. Meja itu hanya muat diletakkan pinggan dan sebuah dulang kecil berisi gelas plastik. Karim mencurahkan bihun goreng yang sudah siap dimasak ke dalam besen besar. Kemudian dia mengarahkan Airiel supaya mencuci kuali itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dilakukan oleh Airiel bagi merebut perhatian Amalina semula? Apakah rancangannya untuk mengalahkan Leo?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience