Bab 3

Romance Series 4350

“Yana, tunggu kejap tau! Atau kau nak masuk sekali?” Khairul bersuara ketika mahu melangkah keluar dari keretanya. Setelah lima belas minit perjalanan tadi, kami pun sampai ke rumah sewa Khairul.

“Masuk sekali? Kau gila ke apa? Kawan-kawan serumah kau kan tak ada waktu-waktu sekarang ni! Kau ni suka hati saja nak ajak aku masuk. Tak naklah aku!” Marahku dan terus keluar dari keretanya.

Khairul cuma ketawa dengan kata-kataku. Sebaik sahaja dia menutup pintu keretanya, dia ketawa kecil pula.

“Iye, housemate aku semua takde ni pergi kerja tak balik lagi. Diaorang memang selalu balik lewat, dah malam baru sampai rumah. Tapi kalau kau nak masuk rumah aku ni pun apa salahnya.” Khairul rancak ketawa selepas itu.

“Cepatlah ambik CD tu. Jangan nak ketawa-ketawa lagi, okay!” Perintahku terus. Khairul cuma tersenyum dan mula membuka pintu pagar rumahnya. Dia melangkah menuju ke pintu utama dan selepas membuka kunci pintu dia terus menghilang ke dalam rumahnya.

Aku menghela nafas. Tampak sunyi saja kawasan rumah Khairul ketika ini. Mungkin penghuni disitu ramai yang bekerja dan pulang pula setelah lewat petang. Anak-anak kecil pula mungkin belum masanya untuk bermain diluar. Sebab itu semua rumah nampak bertutup rapat sahaja pintunya, fikirku.

Sedang aku membuang pandang ke sekitar tiba-tiba sebuah kereta melintas dihadapanku. Aku memerhatikan kereta tersebut sehingga hilang dari pandanganku. Aku sempat meneliti nombor plat kereta tersebut. Terasa seperti pernah melihatnya tetapi dengan tiba-tiba kepalaku berdenyut apabila aku cuba berfikir lebih dalam tentangnya.

Ah, kepala aku selalu saja begini apabila setiap kali aku ingin berfikir jauh tentang sesuatu hal. Mungkin inilah kesan kemalangan terkena papan luncur yang aku ceritakan pada Khairul tadi. Tetapi bagiku memang aku pernah melihat nombor pendaftaran kereta tersebut tetapi dimana, ya? Aku harap jawapannya akan aku temui suatu hari nanti.

“Yana oi! Tengok apa tu?” Tiba-tiba Khairul muncul disebelahku.
Eh, bila masa pula dia datang? Tak dengar pun bunyi dia tutup pagar. Getus hatiku. Aku pantas memandangnya.

“Nah, ni CD filem tu. Kau nak ulang tengok banyak kali pun tak apa. Sebab cerita ni memang best! Aku jamin.” Khairul tersenyum sambil tangannya membuat isyarat ‘okay’.

“Yelah tu. We’ll see, mister.” Balasku agak kurang yakin. Aku pantas mengambil CD tersebut dari tangan Khairul. Khairul tersengih sambil mengangkat kedua bahunya.

“Kenapa kau tak ajak kawan serumah kau main skate?” Aku menyoal sebaik sahaja Khairul memandu kembali keretanya untuk menghantarku pulang.

“Budak dua orang tu budak skuter, tak layan skateboard ni. Diaorang selalu balik kerja terus pergi dating bawa awek tengok wayang atau shopping. Tapi adalah juga diaorang keluar makan lewat malam dengan aku kalau tiba-tiba kitaorang lapar tengah-tengah malam,” cerita Khairul, ramah. Tenang sahaja bicaranya sambil matanya memandang ke arah jalan raya didepan. Aku menjelingnya seimbas.

Bagi aku Khairul selalu kelihatan seperti seorang lelaki yang benar-benar comel dan tampan. Ada kalanya hatiku bagai tertawan apabila melihatnya tenang memandu seperti sekarang.

Khairul seorang yang punya rupa yang agak kacak cuma kadang kala sikapnya yang selamba membuatkan dia tidak berkarisma seperti Daniel. Walaupun Khairul kelihatan tampan tapi hati aku tidak pernah tercuit untuk menjadi kekasihnya. Kenapa?

Aku masih belum terbuka hati untuk menerima cinta seorang lelaki setelah tiga tahun aku ditinggalkan kekasih lamaku. Aku masih menanti seorang lelaki yang bisa meruntun tembok hatiku agar luas terbuka untuk sedia bercinta. Entah bila agaknya masa itu akan tiba. Bagiku Khairul cuma sahabatku walaupun dia juga tidak mempunyai kekasih sepertiku. Kalaupun dia tampan dan sentiasa menarik perhatian gadis-gadis lain tetapi hatiku belum sepenuhnya terpikat padanya. Entahlah.

Aku hampir ketawa apabila terkenangkan usikan rakan sekerjaku suatu masa dulu. Gara-gara Khairul sering mengambilku pulang dari kerja, Shah, rakan sekerjaku menyangkakan bahawa Khairul adalah teman lelakiku.

Aku menyangkalnya dan cuma memberitahu bahawa Khairul adalah rakan biasaku sahaja. Namun Shah mengatakan bahawa aku membohonginya. Aku terus bersumpah dengan nama Tuhan sehingga Shah mentertawakanku dengan kuat. Dia percaya sumpahku namun kemudiannya menasihatiku supaya segera menjadi kekasih Khairul. Ini kerana baginya adalah sangat bertuah mempunyai kekasih seperti Khairul yang tampan dan memiliki kereta sendiri.

Apakah itu syarat utama untuk bercinta? Tapi jika hati aku langsung tidak berkenan, bagaimana?
Shah memintaku supaya menggunakan minyak pengasih sebagai jalan mudah untuk mendapatkan Khairul. Lantang jeritannya apabila aku mencubit lengannya. Bagi aku itu lagi tak waras sampai nak bomohkan orang semata-mata hanya untuk mendapatkan cinta. Jika benar Khairul ditakdirkan hadir cuma sebagai sahabatku, suatu hari nanti pasti aku akan temui jua cintaku yang sebenar. Mungkin juga Khairul sudah mempunyai kekasih tanpa pengetahuanku. Lagipun aku dan Khairul hanya rakan biasa dan rasanya masih banyak lagi perkara tentang Khairul yang aku belum tahu. Masakan Khairul mahu memberitahuku segala-gala tentang dirinya sedangkan itu tidak perlu.

“Kenapa kau tak cari girlfriend, Rul?” Entah kenapa lancar sahaja soalan itu muncul dari bibirku. Aku tekun memandang ke arah jalan raya didepan. Khairul yang sedang memandu agak tersentak.

“Girlfriend?” Dia senyum sumbing. Aku masih menunggu jawapannya.

“Buat apa nak cari. Kau dah ada sebelah aku ni. Girlfriend tu maksudnya teman wanita, kan? Sekarang ni kaulah teman wanita aku!” Khairul ketawa kecil.

Aku.. girlfriend dia?
Marka - bak kata orang Pulau Pinang?
Hati kecilku berteka-teki. Ah, dia ni gurau saja tu!

“Aku tanya betul-betul ni, Rul!” Aku bersuara serius. Khairul membelokkan kereta masuk ke suatu simpang. Rumahku sudah hampir sampai kini.

“Rilekslah Yana. Aku tak terfikir lagi soal awek ni. Baik aku tumpukan pada kerjaya aku, skating aku, kau..” Khairul sempat mencuit daguku.

“..lagi bagus!” Dia ketawa lagi. Aku pantas menepis jemarinya.

Ish, cuit-cuit pula dia ni! Selamba saja nak cuit dagu aku padahal sebelum ni tak pernah pun berkelakuan macam ni.

“Hai, termenung lagi kenapa? Tak nak turun ke? Atau kau nak ikut aku ke skate park?” Suara Khairul tiba-tiba kedengaran. Dan keretanya kini sudah berhenti benar-benar dihadapan rumahku.

“Thanks hantar aku.” Aku pantas bersuara sambil meleraikan tali pinggang keselamatan.

“You’re welcome.” Khairul tersenyum. Ah, tampannya dia! Entah kenapa hari ini aku asyik memujinya. Aku membuka pintu dan mula turun dari kereta.

“Yana, kenapa hari ni kau macam blur je? Dari tadi sampai sekarang.. kau tak macam selalu pun.” Bicara Khairul membuatkan tanganku terhenti dari menutup pintu keretanya.

“Mana adalah!” Protesku terus.

“Tak seronoklah macam ni.” Khairul bersuara sayu sambil merenungku.

“Yana kalau aku free malam ni kita dinner sama, ye?” Khairul tersenyum pula kali ini. Aduhai, cairnya hatiku melihat senyumannya. Kalau lama lagi aku hadapi senyuman macho dia, alamatnya memang cairlah satu badan aku!

“Rul, hari ni kau free sangat kenapa?” Aku menyoalnya cuba meminta kepastian.

“Aku tak ada kerja hari ni. Sebab aku nak luangkan masa dengan kau. Takkan tak boleh?” Khairul tersenyum nakal pula kini.

“Dahlah, chow dulu. Hati-hati drive.” Pesanku.

“Okey, Yana. Kau pun jaga diri tu. Kau tu tinggal seorang diri kat sini. Apa-apa hal kau telefon aku, ye?" Panjang lebar pesanan Khairul kepadaku.

“Baiklah. Selamat tinggal.” Terus aku tutup pintu keretanya.

Aku melangkah setapak ke belakang dan melambai ke arah Khairul. Dia membalas lambaianku dan terus memandu pergi dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience