“Tolong saya! Jangan seksa saya macam ni! Mana awak? Saya tak nampak awak! Tolonglah... jangan bunuh anak saya!” Dalam sorotan cahaya dian yang tidak begitu terang, muncul seorang laki-laki segak berpakaian seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Di tangannya memegang sebuah trompet. Lelaki mirip seniman agung itu lengkap bertopeng. Hanya dua anak matanya sahaja yang berkilauan kesan percikan cahaya dian.
“Siapa awak? Kenapa culik saya? Saya tak kenal pun awak! Tolong lepaskan saya. Kasihanilah saya! Tolonglah...,” lelaki itu merapatinya, duduk bercangkung sambil memegang lutut wanita itu.
“Cikgu tak kenal saya?” Topeng dibuka. Kelihatan suatu wajah yang masih sama seperti berbelas-belas tahun dahulu; wajah buruk Yanto.
“Yanto ?” Yanto mengangguk. Diarahkan kakinya menuju ke suatu sudut. Yanto mencapai beberapa buah bingkai kayu yang berpotretkan wajah Cikgu Hailey. Yanto menghampirinya semula.
Mengusap perut Cikgu Hailey. Membelai-belai tubuh Cikgu Hailey yang dirasakan sejuk dan gementar. Yanto merapatkan pipinya ke pipi Cikgu Hailey. Dielus-elus rambut Cikgu Hailey yang masih basah.
“Cikgu dah lupa ke janji kita? Janji cikgu enam belas tahun dulu?” Ujar Yanto mengembalikan semula memori mereka berdua.
“Janji apa?” Soalan Cikgu Hailey tidak membantu sedikit pun. Amarah Yanto tiba-tiba memuncak. Diterkamnya bahu Cikgu Hailey hingga kerusi yang melapik bontotnya terangkat sebelah.
“Janji untuk jaga saya sampai bila-bila! Cikgu lupa?” Wajah Yanto menyinga. Ditarik bow tie yang melekat di leher. Rambut yang disisir rapi tadi, turut dikusut-masaikan. Yanto sudah naik gila.
Ditolak segala botol-botol darah yang sudah kosong, perkakasan bedah yang tersusun di atas meja hingga jatuh ke lantai. Gitar, biola segala benda yang ada di dinding direntap sesuka hati.
Share this novel