BAB 1

Family Completed 10579

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!” kata-kata inilah yang semakin menghantui hidupku.

Syiling bilik ini bagai mahu runtuh dek renungan aku yang terlalu lama memanah ke arahnya. Fikiran ini juga sudah terlalu jauh menerawang entah ke mana. Bersimpang siur hingga tiada hala tuju yang pasti. Namun rasa sesak di dada ini tidak juga berkurangan. Perasaanku terhimpit antara prinsip dan sahabat.

“Aku sanggup mati kalau kau bongkar rahsia ni!!”

Arghh…….. kata-kata berbaur amaran itu terngiang-ngiang lagi di dalam gegendang telingaku. Semenjak dua menjak kebelakangan ini, hidup aku dipenuhi dengan lamunan yang tidak bertepian.

Sesungguhnya kini aku sedar. Aku telah membuat satu kesilapan yang amat besar di dalam hidup. Sesuatu yang tidak pernah aku lakukan semenjak udara di muka bumi Allah ini aku nikmati.

Prinsip yang selama ini aku pertahankan ternyata layu dek pujukan rayu seseorang bernama sahabat. Atas nama bantuan kepadanya, tidak terduga akhirnya aku yang terjerumus ke dalam kancah masalah.

Penipuan yang dirancang olehnya turut mengheretku ke lembah penghinaan. Diari hitam kesayangan aku genggam dalam pelukan. Satu per satu peristiwa pahit menerjah ke dalam kotak fikiranku………

**********

Jeritan deringan telefon bimbit menyentak lamunanku yang semakin tidak berhaluan. Mujur aku berjaya kembali ke alam realiti. Pantas aku capai telefon bimbit di tepi bantal. Berderau darahku menatap nama si pemanggil. Seakan menggeletar aku menekan punat hijau telefon bimbit itu.

“Helo… Assalamualaikum!” Tegasnya suara si pemanggil membuatkan darahku berderau sekali lagi.

“Helo… Waalaikumussalam. Siapa ni ya?” aku berpura-pura tidak mengenali walaupun aku cukup tahu siapakah gerangan yang empunya suara. Inilah pertama kali dia menghubungiku. Namun, maklumat yang diberikan oleh sahabatku membolehkan aku mengecaminya.

“Saya Ikram. Ni Dilah kan?” Tanya Ikram penuh semangat.

“Betul saya Dilah,” prinsip tidak akan menipu yang menjadi pegangan mendorong aku untuk mengaku.

“Awak kenal fasha tak?” Soal Ikram persis seorang anggota polis.

“Erm…. fasha yang mana ek?” Aku berpura-pura tidak tahu lagi. Cepat-cepatlah panggilan ini berakhir. Aku tidak sanggup untuk menipu dan menyiksa diriku lagi.

“Hai…. ramai sangat ke kawan awak nama Fasha? Fasha kawan satu universiti awaklah,” Ikram cuba mengingatkan. Memang aku ingat sangat dengan Fasha. Fasha yang telah menceroboh benteng prinsipku dengan perasaan belas kasihan yang berjaya dia terapkan ke dalam hatiku.

Namun akhirnya, aku yang terjerat. Dia yang berjaya membuatkan aku melakukan pembohongan paling besar. Dan hanya dia seorang sahaja sahabat aku yang bernama Fasha. Tidak ramai pun seperti yang ditanya oleh Ikram.

“Ooo….. Fasha tu. Kenallah. Kenapa ya?” aku berpura-pura tidak mengerti lagi. Benarlah kata orang, sekali menipu kita akan menipu lagi berulang-ulang kali untuk menutupinya.

“Hai…. memang tak tau ke buat-buat tak tau awak ni??” terdengar rengusan kasar di hujung suara Ikram di sebalik sindiran yang baru dihamburkannya kepadaku. Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Oh Tuhan. Sedikit sebanyak aku mula berasa geram dengan tutur kata Ikram yang kedengaran agak kurang beretika.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience