Hujan

Horror & Thriller Series 22056

"Kenapa kau perlu takut? Himawari boleh buat benda yang sama Maha boleh buat untuk aku, kau cuma perlu minta sahaja."

Kata kata Ana bermain dalam fikiran aku ketika aku membancuh kopi di dapur bilik asrama aku. Ana telah meninggalkan bilik aku pagi pagi lagi. Ternyata dia cuma mahu tidur semalam di bilik aku tanpa ada sebab yang kukuh.

Barangkali hanya mahu mengganggu aku dengan visinya tentang Maha itu. Bila teringatkan Maha, aku baru sedar yang Himawari sudah lama tidak melawat aku. Dan aku harap dia tidak akan melawat aku lagi. Walaupun harapan aku itu ibarat sesuatu yang mustahil.

Hujan mula membasahi lantai di luar bilik asrama aku daripada tempias yang terkena pada atap pejalan kaki. Aku benci hujan. Terlalu sejuk dan gelap. Dan hujan mengingatkan aku pada air mata dan kesedihan.

Ini mengingatkan aku tentang kisah seorang Kamil dan hujan.

Kamil memandang ke jalan yang lengang tetapi sibuk dengan deraian hujan yang jatuh membasahi jalan tar. Tangan bermain main dengan pergelangan tangan bajunya yang longgar dalam kesejukan. Cermin matanya yang melurut ditolak naik ke atas.

Hatinya merasa berat dan kosong pada masa yang sama. Rakan baiknya baru saja meninggal dunia. Dia menghidap sakit kanser sudah 6 tahun. Doktor beritahu yang dia sebenarnya bernasib baik, kerana sudah hidup lebih lama dari apa yang mereka jangkakan.

Bernasib baik atau tidak, dia tetap mati kerana kanser. Kamil tidak nampak mana nasib baik rakannya itu.

Mereka sudah berkawan lama juga, hidup tiba tiba terasa kosong tanpa dia. Nafas berat dihela lagi sekali. Rasa rindu menyapa jiwanya sekali lagi hari ini.

Matanya berkaca sebelum ia tertancap ke jalan di depan matanya yang kini berdiri seorang wanita berbaju merah. Rambutnya panjang sampai ke kaki. Tangannya perlahan lahan diangkat dan kemudian dia menggerakkan jari jemarinya seakan memanggil Kamil untuk datang dekat.

Kamil menyeka air mata dan mengecilkan matanya, mahu melihat dengan lebih jelas. Dia kemudiannya menoleh ke belakang, kalau kalau perempuan itu memanggil orang lain.

Tetapi tidak. Perempuan itu memang memanggil dia.

Dia bangun dan membuka payungnya dan mendekati gadis itu dengan rasa sangsi bersarang di hatinya. Bagaimana kalau gadis itu mahu membunuh dia? Namun Kamil seorang yang tidak suka membiarkan orang yang perlukan pertolongan. Mungkin gadis itu benar benar memerlukan bantuannya.

Gadis itu cuma berhenti menggerakkan tangan saat Kamil sudah benar benar dekat dengannya. Wajahnya putih pucat dan apa yang membuat Kamil semakin hairan ialah bajunya dan wajahnya tidak basah lansung. Ibarat dia sedang duduk di satu tempat yang tidak hujan.

Kamil sudah mahu berpatah balik pada waktu itu namun gadis itu membuka mulut, "Kamil, kau rindukan Arvin?"

Kamil tersentak. Bagaimana gadis yang dia tidak pernah temui ini tiba tiba mahu bertanya tentang Arvin? Mendiang rakannya yang baru mati itu?

"Macam mana kau tahu pasal Arvin?" Dia bertanya. Tangan Kamil yang memegang payung mula bergetaran, agak takut.

"Kau rindukan dia?" Kepala gadis itu disengetkan sedikit. Matanya tidak berkelip merenung Kamil. Kamil mengangkat kaki untuk berpatah balik. Dia tahu gadis ini bukan manusia biasa.

Pada waktu dia berjalan itu, dia terlanggar sesuatu. Ibarat dinding kaca. Pada waktu itu, dia baru sedar, badannya kini kering, seperti terdapat bumbung di atas kepalanya dan dia menurunkan payung.

Air hujan jatuh di atas bumbung yang tidak kelihatan itu. Dia menoleh ke arah gadis tadi dan dia masih belum berganjak. Kamil menepuk nepuk dinding kaca itu untuk melepaskan diri namun hampa. Tiada pintu. Tiada tingkap.

Ini karut. Bagaimana perkara mustahil seperti ini boleh terjadi kepadanya?

"Macam mana kau tahu pasal Arvin?" Dia bertanya kali ini setelah dia menoleh. "Kau rindukan dia kan?" Gadis itu bertanya lagi.

"Ya." Kamil menjawab setelah jeda beberapa minit.

"Aku boleh bawak dia balik kalau kau nak." Gadis itu bersuara.

"Kau tipu. Lepaskan aku." Kamil berpusing ke arah dinding kaca kembali. Dia menendang dinding yang tidak kelihatan itu. Ketakutan menguasai mindanya saat ini.

Gadis berbaju merah itu mendekati Kamil. Jantung Kamil berdegup kencang apabila melihat kaki gadis itu tidak menjejak tanah. Dia terapung apung mendekati Kamil. Seakan hantu.

Kamil menolak nolak dinding halimunan tersebut, cuba untuk lari keluar daripada ruang yang pelik itu. Namun hampa, tiada apa terjadi. Payung di tangannya dihalakan ke wajah perempuan tersebut. Sudah siap sedia untuk memukulnya jika dia berani dekat.

"Aku hanya nak tolong kau." Gadis itu terapung di depannya dengan wajah polos tiada emosi. "Lepaskan aku." Kamil mengangkat payungnya tinggi.

"Arvin kata dia rindukan kau juga." Gadis itu membuka mulut selepas jeda beberapa saat. "Jangan berani cakap apa apa pasal Arvin." Kamil merenung gadis itu geram. Gadis itu tidak ada hak untuk berkata apa apa tentang Arvin.

"Dia kata dia nak jumpa kau." Sambungnya. Kamil terdiam, belakang badannya menghentak dinding di belakangnya dengan harapan dinding itu jatuh atau pecah walaupun dia tidak yakin perkara itu akan berlaku.

"Salam tangan aku. Kau akan dapat jumpa dia setiap hari. Macam dulu dulu. Sebelum dia pergi." Wajah pucat itu merenung ke wajah Kamil yang sama pucat. Mulutnya rasa kering. Siapa gadis ini?

"Kau takkan rugi apa apa." Gadis itu menghulurkan tangannya. Kamil menggeleng kepalanya laju laju. Matanya dipejam. Ini semua mimpi. Ini hanya ilusinasi kerana dia terlalu tertekan. Itu semua pintanya dalam hati.

"Kamil?"

Suara yang sangat dikenali itu menerjah telinga Kamil yang menggigil.

"Arvin?" Matanya dibuka dan di depannya kini berdiri susuk tubuh seorang rakan baik yang Kamil sentiasa terbayang sementalah dia menutup mata. Rakan yang selalu menyokongnya tidak kira apa. Rakan yang…

Sudah mati. Kamil nampak sendiri dia menghembuskan nafas terakhir di atas katil hospital. Setelah dia meminta Kamil untuk tidak melupakannya bila dia pergi.

Arvin pernah beritahu yang dia tidak mahu dilupakan. Itu ketakutan nombor satunya.

"Kau dah lupa aku ke?" Arvin yang kini berdiri di hadapannya bertanya. Dia tersenyum pahit.

"Takkan boleh lupakan kau Arvin." Kamil menelan liurnya dan kakinya kejap di situ.

"Kau tak nak jumpa aku dah?" Arvin bertanya, merenung lantai.

"Mestilah aku nak, Arvin. Kau gila ke? Kau kawan baik aku." Tangan Kamil menjamah bahu Arvin. Tubuhnya yang sejuk dirangkul. Rindu.

"Salam tangan dia." Arvin mengarahkan pendek. Mata Kamil buka dan Arvin dalam pelukannya tadi sudah ghaib. Yang ada cuma gadis berbaju merah di depannya.

"Kau rindukan dia, kan?" Gadis itu tersenyum menunjukkan giginya yang seperti kucing. Tajam tajam.

Kamil mendekati dinding di belakangnya. Gadis ini menakutkan. Perkara terakhir dia mahu lakukan ialah untuk memeterai apa apa perjanjian dengannya.

Bayangan Arvin muncul di fikirannya semula. Rindu menguasai hati yang kosong. Tangannya dengan sendirinya bergerak, menghulur ke arah gadis itu. Mungkin ini yang terbaik.

Kamil tidak ada sesiapa selain Arvin. Dia tiada apa apa lagi untuk hilang. Cuma dirinya.

Gadis itu mencapai tangannya. "Kau takkan rugi apa apa, Kamil." Gadis itu tersenyum.

Kamil mengerlip mata. Saat itu dia merasakan hujan membasahi kepalanya. Dinding dan bumbung halimunan tadi hilang serta merta dan gadis itu juga.

Kamil berdiri di dalam hujan itu sehingga badannya basah kuyup dan tiada siapa sedar dia sedang menangis.

Adakah dia sudah gila?

Tiga hari berlalu, tiada apa yang berlaku dan Kamil selalu merenung langit. Menanti awan yang putih bertukar kelabu.

Dia tahu yang apa dia lalui mungkin saja halusinasinya. Tiada apa yang akan berlaku namun jauh dalam sudut hatinya dia mengharapkan hari hujan supaya dia boleh berjumpa Arvin.

Tengah malam itu hujan mencucuri lantai bumi. Kamil yang sedang berbaring di atas katilnya berlari menyambar payungnya dan keluar dengan baju tidurnya.

Dan…

Dia nampak Arvin di tengah hujan itu. Berdiri dan melambai lambai ke arahnya. Kamil berlari dengan payungnya dan memeluk lelaki itu.

Rakan baiknya yang tidak mahu dilupakan itu.

Mereka berbual seperti tiada hari esok di dalam hujan yang lebat itu. Mereka berjalan ke tempat persembunyian mereka. Tempat mereka selalu habiskan masa, tempat Kamil melarikan diri dari isi rumah mereka yang merimaskan dan tempat Arvin melarikan diri apabila dia bosan dengan kehidupan dia hospital.

Mereka berbual dan ketawa kuat seperti dulu dulu. Apa yang berubah ialah Arvin tidak nampak sakit lansung. Dia tidak penat seperti sebelum dia mati..

Kamil tidak dapat menghentikan fikirannya yang mengingatkannya yang Arvin sudah mati. Namun, dia tidak dapat menyangkal yang dia tidak mahu Arvin pergi. Walaupun Arvin bukan manusia ataupun dia yang sudah gila, Kamil tidak kisah.

Dia hanya mahukan Arvin di sini.

Masa berlalu, setiap kali hujan. Kamil akan bertemu Arvin dan menghabiskan masa bersama sama dengannya.

Namun satu hari, ayah Arvin datang melawatnya. Wajahnya terlihat pahit dan kelat. Dahi Kamil berkerut apabila lelaki berbangsa cina yang sudah tua itu menceritakan yang mayat Arvin sudah hilang dari kuburnya.Matanya terbuntang. Bagaimana mayatnya boleh hilang?

Malam itu hujan lagi. Dia bertemu Arvin di tempat biasa.

Kamil menghabiskan malam itu memikirkan bagaimana harus dia tanya Arvin tentang perkara yang sudah terjadi itu.

"Arvin..Ayah kau kata mayat kau hilang dari kubur kau. Kenapa jadi macam tu?"

Arvin diam, tidak menjawab.

"Kau ingat perempuan baju merah tu?" Arvin membalas dengan pertanyaan semula.

"Ya." Kamil mengangguk.

"Dia bangunkan aku dari kubur aku. Dan dia beritahu aku yang aku kena gantikan tempat aku dengan orang lain. Sebab aku dah hidup semula." Arvin menunduk.

"Aku kena berikan dia nyawa seseorang untuk gantikan tempat aku. Esok ialah hari terakhir untuk aku. Kalau aku tak berikan dia nyawa sesiapa, aku akan mati semula." Arvin menyambung.

Kamil terdiam.

"Jangan risau. Aku akan tolong kau. Kau takkan mati semula. Kau takkan tinggalkan aku lagi." Kamil meletakkan tangan dia atas bahu Arvin.

Arvin tersenyum.

"Ya, sebab tu kita berjumpa malam ni." Arvin ketawa. "Supaya kau boleh tolong aku." Sambung lelaki itu lagi, masih dengan tawa yang tersisa.

"Macam mana aku nak tolong kau?" Kamil bertanya.

"Kau akan gantikan tempat aku."

Itu yang Kamil dengar sebelum Arvin menolaknya jatuh ke tanah dan mengeluarkan pisau dari beg sandangnya.

"Arvin, lepaskan aku!" Kamil cuba untuk menolak lelaki itu jauh darinya namun hampa. Dia terlalu kuat.

"Jangan lupakan aku." Arvin berbisik sebelum dia mengelar leher rakan baiknya itu.

Keesokan harinya, kejiranan gempar kerana mayat Kamil ditemui di dalam kubur Arvin yang kosong. Dan mereka selalu nampak Arvin merayau rayau setiap kali hari hujan.

Air kopi di dalam cawan aku hirup dengan tenang sambil melihat ke luar tingkap. Hujan yang tenang pada masa yang sama merimaskan.

Telefon aku berbunyi saat itu. Nama Ana tertera di atas muka skrin telefon aku.

"Apa kau nak?"

"Himawari." Ana menjawab sepatah. Suaranya tidak kedengaran tenang dan ceria seperti selalunya. Dia kedengaran marah.

"Kenapa dengan Himawari." Dahiku berkerut.

"Himawari bunuh Maha." Ana menjawab dengan tona yang tidak berubah ubah. Aku tidak pernah mendengar Ana bercakap seperti ini sepanjang aku mengenalinya.

"Pengikut pengikut Maha nak buat rusuhan. Aku takut. Aku taknak terlibat." Suara Ana bergetar.

"Jangan takut. Datang bilik aku dan kita bincang." Aku menenangkannya, terduduk di kerusi meja makan aku. Ini benar benar gila.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience