Bab 4
Namun adik perempuannya langsung tidak meniru perangai Amalina. Amira seorang yang penakut.
“Mak nak risau apa? Bukan pertama kali Alin masuk hutan macam ni… Alin kan kerap bercamping.”
“Yalah… Tapi kali ni kau nak pergi lama, bukan sekadar semalam dua.”
“Mak… Mak doakan Alin selamat. Insya Allah Alin tak apa-apa mak. Lagipun bukan Alin sorang. Nanti ada orang yang akan temankan Alin masuk ke hutan tu.”
Puan Salimah melepaskan keluhan. Dia tidak berkata apa-apa lagi.
“Selama Alin tak ada ni, mak tolonglah jagakan rumah Alin. Kalau boleh tolong siramkan bunga Alin kat balkoni tu tiap-tiap hari ya.”
Amalina duduk di sisi emaknya.
Puan Salimah mengangguk. Mujur rumah Amalina dengan rumahnya tidak jauh. Mereka masih duduk di dalam satu taman perumahan. Amalina telah membeli apartment empat tingkat itu dengan hasil duit dia bekerja selama beberapa tahun. Puan Salimah tidak kisah anaknya tinggal sendiri. Jarak antara rumahnya dan rumah Amalina tidak jauh hanya sepuluh minit berjalan kaki. Jadi setiap hari dia boleh datang menjenguk anaknya itu, membawakan lauk pauk. Dia tahu Amalina selalu sibuk. Sebagai wartawan anaknya itu bekerja tidak mengira masa. Pulang lewat sudah perkara biasa.
Itu semua sudah dapat diterimanya sebagai sesuatu yang wajar. Cuma dia mulai rasa bimbang apabila Amalina mengambil keputusan untuk bercuti tanpa gaji selama tiga bulan. Amalina mendapat satu projek yang amat mengujakan hati anak gadisnya itu.
Puan Salimah tidak mengerti mengapa anaknya itu sanggup bersusah payah semata-mata hendak menulis buku tentang kehidupan liar di Malaysia. Tidak cukupkah gaji sebagai wartawan yang mencecah hampir RM2,000 sebulan?
Mereka pun bukannya keluarga susah. Bapa Amalina, Encik Hamdan bekas guru besar. Selepas pencen Encik Hamdan membuka minimarket di kawasan taman perumahan tempat mereka tinggal. Mereka sudah tinggal di taman perumahan itu sejak dua puluh lima tahun yang lalu.
“Bekalan semua dah cukup?” tanya Puan Salimah sambil memandang tepat ke wajah anak gadisnya yang berbentuk bujur sirih itu. Rambut Amalina dipotong pendek seperti lelaki. Seingat Puan Salimah, anak gadisnya yang seorang ini tidak pernah berambut panjang.
“Dah,” jawab Amalina sambil tersenyum.
Dia meneliti senarai barang yang sudah tertulis. Semuanya sudah ada termasuk kuali, periuk belanga dan dapur gas kecil. Dia turut membawa sebuah tabung gas sederhana besar untuk kegunaan memasak. Tidak lupa lampu kalimantang, dan lampu kabait.
Cahaya lampu itu penting untuk menentang kegelapan. Binatang buas pun takut hendak menghampiri khemah jika terlihat api atau cahaya terang.
Semua barang-barang keperluan sudah dimasukkan ke dalam Pajero. Barang-barang tersebut termasuk khemah, tilam angin, tikar, bantal dan kanvas. Dia turut membawa katil besi yang boleh dilipat, beralaskan kanvas. Dibawanya juga meja kecil dengan kerusi lipat untuk duduk ketika menulis dan makan. Semuanya sudah lengkap. Hanya menunggu masa untuk bertolak sahaja.
Peralatan kerjanya juga sudah sedia. Sebuah laptop, kamera, video kamera dan tv kecil. Besar kemungkinan siaran televisyen tidak boleh diterima di sana nanti, tetapi dia boleh memainkan CD dan memasang kembali rakaman yang telah dibuat melalui video kamera. Buku-buku catatan, pen, kertas dan lain-lain sudah dimasukkan semuanya ke dalam Pajero. Hanya beg pakaiannya sahaja yang akan dimasukkan pada awal pagi esok. Malam itu dia berhasrat hendak tidur awal, supaya esok dia merasa segar dan cergas untuk memulakan perjalanan menuju ke Sungai Berakit.
Hashim menunggunya di Temerloh. Mereka bertemu di hadapan Masjid Sultan Abu Bakar. Hashim senyum melihat Amalina turun dari Pajeronya bersendirian.
“Dah lama tunggu?” tanya Amalina.
“Aku pun baru je sampai.”
“Berangkat sekarang?” tanya Amalina tidak sabar.
Hashim ketawa lembut.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah projek yang akan Amalina jayakan?
Share this novel