Bab 2

Romance Completed 102226

AULIA membelokkan kereta Toyota Harrier putih miliknya di hadapan pagar rumah banglo empat tingkat. Hon ditekan sekali untuk memberi isyarat kepada pengawal rumah tersebut membuka pintu pagar. Selepas pintu pagar dibuka secara automatik, Aulia memakir keretanya di porch kereta yang memuatkan empat buah kenderaan di situ.

Dia keluar dari kereta selepas enjin kereta dimatikan. Beg tangan berjenama Louis Vuitton yang pernah dihadiahkan oleh ibunya semasa melancong di Paris dipegang di tangannya. Dia mengatur langkah mendekati pembantu rumah tersebut yang sedang tersenyum menunggunya di muka pintu.

“Assalamualaikum Mak Wan. Datin mana?” Ceria saja Aulia menegurnya memandangkan mereka memang sudah kenal lama.

“Waalaikumussalam Cik Aulia. Datin ada dekat laman. Sekejap ye Mak Wan panggilkan.” Jawab Mak Wan sambil tersenyum lebar. Ada sedikit perubahan pada wajah Aulia apabila mendengar kata-kata daripada mulut Mak Wan.

“Eh, tak apa… Tak apa… Saya pergi laman sana. Lagi satu Mak Wan, saya minta sangat tak perlu panggil cik. Nampak formal. Saya suka anggap orang yang saya dah kenal ni macam family saya. Ye Mak Wan?” Aulia tersenyum sambil memegang tangan Mak Wan.

Mak Wan tersenyum lebar sambil menganggukkan kepalanya. Sudah banyak kali ditegur, tetapi Mak Wan masih lagi tidak boleh membuang perkataan itu daripada mulutnya. Semua tetamu yang datang di rumah ini akan dipanggil dengan gelarannya. Itu memang sudah kerjanya.

“Okey! Saya pergi dulu ye. Bye Mak Wan.” Aulia melambaikan tangannya lalu pergi menuju ke arah laman.

Aulia berhenti di hadapan pintu sambil memerhatikan Datin Qaisurina berbual dengan anak perempuannya, Tengku Raziqah Insyirah di pangkin yang dibina sendiri oleh Dato’ Tengku Zahrin. Nampak begitu mesra dan bahagia sekali.

“Iqa, sebenarnya dah empat tahun mereka bertunang.” Datin Qaisurina berbisik di telinga Tengku Raziqah Insyirah. Berubah riak muka anaknya itu.

Aulia yang sedari tadi memerhati, pelik dengan riak muka yang terpancar di wajah Tengku Raziqah Insyirah. Perlahan saja langkahnya mendekati mereka berdua yang masih leka berbual.

“Iqa jangan bagi tahu kak Aulia tau. Ini rahsia. Kalau mama tahu Iqa yang bagi tahu, siap Iqa!” Datin Qaisurina berbisik keras kepada Tengku Raziqah Insyirah tanpa menyedari ada sepasang telinga mendengar perbualan mereka.

“Mama jangan risau. Iqa tak akan bagi tahu….” Tengku Raziqah terhenti hendak meneruskan kata-katanya apabila ternampak Aulia sedang berjalan mendekati mereka berdua.

“Eh! Kak Aulia! Bila sampai ni?” Tengku Raziqah Insyirah terus turun dari pangkin lalu dengan manja dia memeluk lengan Aulia. Aulia tersenyum senang apabila kedatangannya disambut mesra. Datin Qaisurina yang masih duduk di pangkin hanya memerhati sambil tersenyum simpul apabila melihat Aulia sudah sampai.

“Dah datang dah anak mama ni. Meh duduk sini.” Datin Qaisurina beralih tempat untuk memberi ruang kepada Aulia untuk duduk. Sebelum Aulia melabuhkan punggungnya untuk duduk, dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dan mencium kedua-dua belah pipi Datin Qaisurina. Itulah yang membuatkan Datin Qaisurina makin menyayangi Aulia, dia pandai mengambil hati dan menghormati orang yang sudah berusia.

“Mama borak apa ni sampai nama Aulia naik sekali?” Aulia bernada mengusik. Niatnya untuk mengetahui apa yang berlaku tadi.

Datin Qaisurina dan Tengku Raziqah Insyirah berbalas pandangan. Datin Qaisurina berubah riak menjadi sedikit cemas.

“Aaa… Ma, nampaknya kita tak boleh sorok lagi perkara ni.” Tengku Raziqah Insyirah melirik memandang Aulia yang sedang terpinga-pinga menunggu kata-kata Tengku Raziqah yang seterusnya. Datin Qaisurina yang sudah panik tidak dapat berbuat apa-apa. Mukanya berubah pucat.

“Kak, mama ingat nak ajak kita pergi jalan-jalan ke luar negara. Nak ikut tak?” Laju saja Tengku Raziqah menuturkan kata-kata. Mukanya yang yakin itu membuatkan Aulia tersenyum lega. Tengku Raziqah memandang mamanya sambil tersenyum penuh makna.

“Laa… Ingatkan apa tadi… Nak pergi melancong pun rahsia-rahsia ke mama?” Aulia tergelak kecil seraya menepuk lembut peha Datin Qaisurina.

“Eh! Tak adalah. Mama takut Aulia tak nak ikut je nanti. So, Aulia nak ikut tak?” Datin Qaisurina bertanya sambil tersenyum ke arah Aulia. Di dalam hatinya tidak habis-habis mengucap. Takut juga rahsia itu terbongkar! Berani sungguh anaknya itu membuat jantungnya bagai nak jatuh berdentum!

“Insya-Allah kalau Aulia boleh ye ma.” Aulia memegang erat tangan Datin Qaisurina sambil tersenyum. Datin Qaisurina menganggukkan kepalanya seraya tangan kirinya diletakkan di atas tangan Aulia.

“Aulia, mama nak minta tolong sikit boleh?”

“Apa dia ma?” Aulia mengangkat kening.

“Aulia tahukan Zayne dah habis belajar?”

Apabila nama Zayne itu disebut, terus berubah riak muka Aulia. Dia hanya menganggukkan kepalanya walaupun dia sudah lama tidak mendengar khabar lelaki itu.

“Weekend ni dia balik.” Datin Qaisurina berhenti hendak melihat riak wajah Aulia yang seterusnya.

“Jadi?” Aulia bertanya selamba.

“Mama nak Aulia ambil dia dekat KLIA boleh?”

Aulia membatukan dirinya sambil memandang Datin Qaisurina.

‘Gila! Aku kena ambil Mamat Siamang bin So’od tu?! Oh tidak! Tak mahu!’ Aulia menjerit di dalam hati.

“Aaa… Mama tak boleh ambil ke? Aulia ad……”

Kata-kata Aulia dipotong laju oleh Datin Qaisurina.

“Please sayang… Mama esok ada seminar dekat PD sampai hari ahad. Boleh ye sayang?” Datin Qaisurina mengeratkan lagi pegangannya di tangan Aulia dan memandangnya dengan penuh berharap.

“Iqa ada program dekat kampus.” Tengku Raziqah laju menyampuk. Bukannya dia hendak beri alasan untuk tidak mengambil abangnya yang baru balik dari luar negara, tetapi dia perlu utamakan orang yang penting dahulu.

Aulia menundukkan kepalanya sambil memejam matanya. Hatinya sungguh berat hendak menerima permintaan daripada Datin Qaisurina. Bukannya mereka tidak tahu hubungannya dengan Tengku Zayne Zafran itu bagaimana. Aulia juga tidak faham mengapa keluarganya dan juga keluarga Datin Qaisurina ini beriya-iya menyuruhnya berbaik dengan Tengku Zayne Zafran itu. Kalau mereka berjumpa memang tak sah kalau orang tak panggil seperti anjing dan kucing. Bergaduh aje!

“Aulia, boleh ya? Hmm? Boleh eh?” Datin Qaisurina menggenggam tangan Aulia lagi sekali. Aulia mengangkat muka memandang wajah Datin Qaisurina yang penuh dengan harapan.

“Okey ma. Esok Aulia pergi.” Dengan penuh keterpaksaan Aulia meluahkannya. Datin Qaisurina tersenyum lebar dan mukanya terus saja berseri-seri. Dia memeluk Aulia erat dan mencium pipi dan dahi Aulia.

“Thank you sayang! Thank you very much!” Ucap Datin Qaisurina dengan gembira.

Aulia menganggukkan kepalanya, terpaksa.

TENGKU Zayne Zafran melempar telefon bimbitnya di atas meja lalu berbaring di atas sofa. Penat. Satu perkataan yang sering kali berlegar di dalam fikirannya apabila melayan kerenah Linda. Dia sudah bosan dengan perempuan materialistik seperti Linda. Kalau boleh tadi, nak saja dia melempar semua barang-barang di hadapannya. Dasar perempuan tak sedar diuntung!

Telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada seseorang menelefon. Tengku Zayne bingkas duduk di atas sofa lalu mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Mama?

“Hello ma.” Sapanya dahulu.

“Erm… Assalamualaikum.” Datin Qaisurina memerli. Mukanya disebalik talian sudah mencuka. Anak sulungnya ini sudah pandai tidak memberi salam! Entah siapa dia ikut sepanjang duduk di luar negara sana. Barat kemain!

“Waalaikumussalam… Hmm, ma nak apa?” Malas-malas Tengku Zayne membalas.

“Esok balik kan? Pukul berapa bertolak dan sampai sini?”

“Pagi esok bertolak. Dalam pukul 12 atau pukul 1 sampailah.”

“Yelah. Esok mama tak jemput tau. Mama ada seminar, Iqa ada aktiviti.”

Kening Tengku Zayne berkerut. Alah, naik teksi ke?

“Maaa… Janganlah buat along macam ni.” Tengku Zayne berbaring semula di atas sofa lalu memeluk bantal kecil yang berada di sofa tersebut.

“Lantak kaulah.” Datin Qaisurina bersuara sarkastik.

“Mama!”

Datin Qaisurina tergelak mendengar suara anak sulungnya yang bertukar menjadi tegas. Bukan tegas apa, tegas merajuk!

“Your fiencee ambil. Tunggu dia.”

Wajah Zayne berubah. Tunang? Siapa lagi kalau bukan perempuan itu?!

“Ma, why? Kalau macam tu along balik naik teksi ajelah. Nanti gaduh lagi.” Tengku Zayne meletak tangannya di atas dahi. Pening!

“Siapa cari gaduh dulu? Cepat mengaku!”

Tengku Zayne terdiam. Alamak! Mama ni….

“No choice. You kena balik dengan dia. Lagipun dia future wife you. Nak tak nak, you kena terima. Okay, bye. I’ve got to go now. Assalamualaikum.”

Talian terus terputus. Tengku Zayne mengambil nafas dalam-dalam.

“Waalaikumussalam.” Jawab Tengku Zayne perlahan lalu menutup mukanya dengan bantal kecil yang dipeluknya tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience