Bab 3

Romance Completed 66067

LELAKI itu tersenyum sambil menarik kerusi di depannya, lalu dia terus duduk tanpa dipelawa. Etasya memandang lelaki itu dengan muka tidak percaya. "Macam mana abang boleh cam..."

"Cam Zee?" Ashraf memintas percakapan wanita itu, lalu dia ketawa kecil sambil memandang Arini yang sedang membuat pembayaran di kaunter, kemudian dia memandang semula wajah wanita di depannya. "Abang hampir tak cam tadi. Masa Zee senyum tunjuk gigi taring berlapis yang comel tu, abang terus cam, tapi masih ragu-ragu. Lepas dah dengar suara, baru abang yakin. Lama betul kita tak jumpa. Bila lagi Zee balik?" soalnya sambil merenung wajah Etasya sambil tersenyum.

Jelas terlihat kelainan wajah wanita itu pada pandangannya, tetapi untuk seseorang yang kenal rapat dengan wanita itu seperti dirinya, tiada masalah pun untuk dia cam ciri-ciri yang masih kekal pada wanita itu.

Etasya berdeham, lalu dia memaksa bibirnya untuk tersenyum menyembunyikan rasa kekoknya direnung begitu. "Tengahari tadi sampai. Ermm... Abang jangan panggil nama tu lagi. Panggil Tasya je," kata Etasya dengan nada bersahaja.

Riak wajah lelaki itu serta merta berubah serius. "Kenapa pula? Itu memang nama panggilan Zee yang Zee kenalkan kat abang masa mula-mula kita jumpa dulu, kan?"

Buat seketika, Etasya membungkam sambil menguis-nguis permukaan meja menggunakan hujung kukunya. "Ya, betul... tapi... nama tu buat Tasya trauma. Rindu berat kat family. Nama tu kan, arwah mak yang bagi, sebab arwah mak dulu minat penyanyi nama Zee Avi yang nyanyi lagu Kantoi tu," luahnya tanpa berselindung disusuli tawa kecil untuk menghilangkan suasana yang terasa canggung itu.

Ashraf mengangguk kecil tanda faham. "Okeylah kalau macam tu. Mulai dari sekarang, abang kena biasakan dirilah panggil Tasya. Sebelum tu, abang nak cakap takziah walaupun perkara ni dah lama, sebab abang tak sempat jumpa Tasya lepas peristiwa kebakaran tu. Abang nak pergi melawat kat hospital lepas balik dari umrah, tapi masa tu, Rini cakap yang keluarga angkat Tasya dah bawa Tasya pergi ke Korea untuk buat surgery."

"Thanks." Hanya sepatah balasan daripada Etasya. Malas hendak memanjangkan cerita mengenai peristiwa yang memilukan hatinya. Dia memandang meja yang diduduki oleh lelaki itu tadi. "Perempuan tadi tu..."

"Perempuan tu, kawan lama abang. Dia dah pergi kerja dah. Dia kerja kat kilang solar. Kalau dia kerja shif malam, dia memang selalu singgah sini," jelas Ashraf sebelum sempat Etasya menghabiskan ayatnya tadi.

Etasya memicingkan matanya memandang lelaki di depannya itu dengan pandangan curiga. "Betul ke kawan? Tengok daripada cara kawan abang bercakap dengan tengok abang tu, nampak sangat dia ada hati kat abang."

"Ya ke? Tapi betul, kitorang kawan je," tegas Ashraf, lalu dia berdeham. "Ada jugalah terfikir nak hubungan abang dengan dia pergi lebih jauh..."

"Fikir je? Tak bertindak?" soal Etasya sambil mengerutkan dahinya. Ada secuit rasa cemburu mencuit tangkai hatinya, tetapi dia sedar kedudukannya di dalam hati lelaki itu. Dia tidaklah menaruh harapan terhadap lelaki itu pun.

Ashraf hanya tersengih selepas mendengar pertanyaan yang diajukan oleh wanita di depannya.

"Ya, fikir je mampu. Abang sebenarnya low confidence dalam hal-hal yang berkaitan dengan cinta ni. Ermm... Tasya masih single ke?"

Terpacul tawa kecil dari mulut Etasya. "Ada ke orang nakkan Tasya ni?" Soalan lelaki itu malah dibalas dengan soalan.

"Siapa cakap takde? Abang yakin ada lelaki yang sukakan Tasya dalam diam, tapi perempuan cantik macam Tasya ni, selalunya jual mahal," tukas Ashraf sambil menahan senyum.

"Dah namanya suka dalam diam, memanglah Tasya tak tahu, bukan sebab jual mahal. Apalah abang ni!"

"Ya tak ya juga, kan?" Ashraf tersengih sambil menggaru lehernya yang tidak gatal. "Ermm, Tasya nak tahu satu rahsia tak?"

Etasya ketawa kecil. "Nak kalau abang sudi bagitahu."

Belum sempat lelaki itu membuka mulut, salah seorang daripada pekerjanya memanggilnya. Kedengaran keluhan kecil terpacul dari mulutnya.

"Takpe, abang pergilah, lagipun Tasya pun dah nak pergi dah ni. Saja nak jalan-jalan pergi ke tempat kerja Rini," kata Etasya sambil memandang Arini yang sedang menuju ke tempat mereka.

"Jom." Arini membuat isyarat tangan untuk pergi sebaik sahaja dia tiba di sebelah Etasya.

"Rini sengaja je diam-diam tadi, kan?" kata Ashraf setelah dia berdiri.

"Sengaja apa?" soal Arini pura-pura tidak faham.

"Yang..."

"Abang Ash!" laung pekerja yang sama yang memanggilnya tadi.

"Hisy! Ya, ya! Kejap!" sahut Ashraf, lalu dia memandang dua orang wanita di depannya. "Esok korang datang sini lagi ye? Abang belanja. Datang tau," pesannya sambil mengangkat jari telunjuknya, lalu dia terus melangkah laju menuju ke bahagian dalam warung tanpa menunggu persetujuan daripada dua bersahabat itu.

"Korang sembang apa tadi? Dia cam kau ke?" soal Arini sambil mereka berjalan menuju ke kereta.

Etasya mengangguk. "Gigi aku juga yang dia cam dulu," jawabnya sambil ketawa kecil.

"Aku dah agak dah. Kalau orang yang betul-betul kenal kau, tak susah pun nak cam," balas Arini.

**

Etasya berjalan rapat mengekori Arini yang sedang menyelit di antara pengunjung yang bersesak di dalam ruangan berlampu malap berwarna-warni itu menuju ke tangga untuk ke tingkat atas. Suasana kelab malam yang membingitkan kerana bunyi muzik kuat dan suara manusia yang sedang terjerit-jerit menyanyi dan terkinja-kinja di atas pentas tari itu membuatkan Etasya berasa rimas.

Sejujurnya, ini merupakan pertama kali di dalam seumur hidupnya masuk ke tempat sebegitu. Dia tidak sangka pula suasana tempat itu seperti yang dia lihat sekarang, kerana selama ini, dia membayangkan tempat kerja rakannya itu seperti suasana di lounge hotel.

Etasya memandang ke kiri dan ke kanannya sebaik sahaja mereka sampai di tingkat atas. Ruangan itu lebih sunyi berbanding di tingkat bawah tadi dan orang-orang yang ada di situ pula kebanyakkannya kelihatan seperti orang-orang korporat dan lebih formal.

"Kau duduk sini. Kalau kau nak minum, kau pergi beli Coke atau Pepsi kat vending machine sebelah meja bar. Jangan kau pergi order minuman kat bahagian bar tu pula," seloroh Arini sambil menjuihkan bibirnya ke arah yang dimaksudkannya.

"Hisy! Gila ke aku nak order arak!"

"Manalah tahu kau tiba-tiba teringin nak minum," seloroh Arini lagi sambil ketawa, lalu dia mengeluarkan gitar dari dalam beg gitarnya. "Aku naik ke pentas dulu. Kau duduk diam-diam sini. Jangan nakal-nakal tau," pesan Arini yang masih dengan sisa tawanya.

"Ya, ya. Aku janji tak nakal. Pergilah!" balas Etasya sambil tersenyum. Tidak sabar pula rasanya hendak melihat persembahan rakan baiknya itu.

Arini mula bekerja sebagai penyanyi di kelab malam itu sejak setahun yang lepas selepas dia diberhentikan kerja akibat pengurangan pekerja di tempat dia bekerja dulu. Sudah banyak tempat dia cuba memohon kerja, tetapi tiada rezekinya.

Demi kelangsungan hidup, dia menggunakan bakat terpendamnya dan mencuba nasib di tempat itu. Kebetulan, kelab malam itu sedang mencari penyanyi wanita pada ketika itu dan sejak itulah kariernya sebagai penghibur di kelab malam itu bermula dan bayarannya pun agak lumayan.

Selepas menyanyikan empat buah lagu, Arini turun dari pentas menuju ke tempat Etasya untuk berehat sejenak. Sementara dia berehat, seorang penyanyi lelaki terus menggantikan tempatnya membuat persembahan.

Minuman tin di tangan Etasya dirampas selamba dan diteguk sebaik sahaja dia duduk. "Kau tak bosan ke? Siapa suruh kau ikut," kata Arini, lalu dia ketawa kecil.

"Tak bosan pun. Best weh persembahan kau! Aku tengok semua orang kat sini pun enjoy, termasuk aku," puji Etasya.

Arini tersenyum bangga dipuji begitu. "Kau tak nak request lagu ke? Lagu-lagu yang aku nyanyi tadi tu, semua request daripada pelanggan."

"Oh! Macam tu ke? Kalau macam tu, aku pun nak request jugalah. Aku nak lagu daripada kumpulan The Corrs, tajuk... Breathless," kata Etasya sambil memandang ke arah lelaki yang sedang membuat persembahan di atas pentas kecil di ruangan itu.

"Okay, no problem." Tanpa teragak-agak, Arini terus bersetuju.

"Lepas nilah. Aku nak terkencing ni. Kat mana tandas?" soal Etasya sambil melilau-lilau ke sekeliling.

"Tandas kat atas ni masih dalam proses pembaikan. Kau pergi tandas kat tingkat bawahlah. Dari pintu masuk tadi, lorong nak ke tandas, sebelah kanan," jawab Arini.

"Haa, yelah." Etasya berdiri dan dia terus berjalan keluar dari ruangan itu.

**

Dari jarak lima meter, dahinya berkerut melihat satu pasangan yang sedang berpelukan dan saling bercumbuan di tepi pintu tandas tanpa rasa malu.

Dalam banyak-banyak ruang kat kelab malam ni, kat tepi tandas juga port dua ketul ni. Kalau dah tak tahan, check-in hotel jelah kalau dah gersang sangat! cemuhnya dalam hati, padahal dia tahu, bukannya ada sesiapa yang peduli pun dengan hal sebegitu di tempat yang memang penuh dengan kemaksiatan itu. Etasya buat-buat tidak nampak dan dia terus masuk ke dalam tandas yang mempunyai empat buah pintu di dalamnya.

Seusai melaksanakan hajatnya, Etasya membasuh tangannya di singki sambil merenung wajahnya di cermin besar. Sehingga ke saat ini, tragedi kebakaran yang berlaku pada tiga tahun lepas pasti akan terbayang di layar fikirannya setiap kali dia melihat wajahnya sendiri.

Matanya disentuh, lalu beralih ke hidungnya, kemudian perlahan-lahan jari-jemari runcingnya turun mengelus bibirnya. Tidak berkedip matanya memandang pantulan imejnya sendiri pada ketika ini.

Bunyi tapak kasut tumit tinggi yang sedang menghampirinya, mematikan lamunannya. Cepat-cepat dia menarik tisu di tepi singki untuk mengeringkan tangannya sambil memandang cermin untuk melihat gerangan manusia yang masuk itu.

Dia tidak sempat melihat wajah wanita itu, tetapi dia sempat melihat pakaian yang dipakai oleh wanita itu sebelum sosok tubuh berpakaian seksi dan menggiurkan itu masuk ke dalam tandas. Wanita itulah yang dilihatnya sedang bermesraan dengan pasangannya di tepi tandas tadi.

Etasya segera keluar dari situ tanpa memandang kiri dan kanan lagi. Tiba-tiba, punggungnya ditampar oleh seseorang dari belakang. Spontan dia berpaling dan menampar pipi si pencabul itu dengan sekuat hati dan pada saat itu juga matanya terbeliak selepas dia melihat wajah orang yang ditamparnya itu.

"Kenapa garang sangat ni? I just tampar manja macam tu je. Geram," kata lelaki yang sedang bersandar di tepi dinding tandas itu sambil mengusap pipinya dan tersenyum dengan muka tidak bersalah. Bau arak menusuk rongga hidung.

Etasya membungkam. Entah apa yang membuatkan lelaki itu geram, padahal bukannya dia berpakaian seksi pun. Dia yakin lelaki itu tidak mengenalinya dengan wajah barunya sekarang, tetapi bukan itu masalahnya. Dia terus berpaling hendak segera pergi dari situ, tetapi lelaki itu dengan pantas menangkap pergelangan tangannya.

"Kita sembanglah dulu sekejap. I tak buat macam tadi lagi, I janji," ujar lelaki itu.

Tiada sepatah perkataan pun yang terpacul dari mulut Etasya. Dia menarik tangannya dengan sekuat tenaga dan ketika tangannya terlepas daripada pegangan lelaki itu, pada ketika itu juga lelaki itu rebah di atas lantai. Tanpa berlengah, Etasya segera melangkah pergi dari situ meninggalkan lelaki itu tanpa membantunya.

"You! Berdiri! Jom I hantar you balik. You dah mabuk sangat ni!"

Sempat lagi tertangkap di telinganya suara wanita separuh menjerit bercakap dengan lelaki yang masih bertiarap di atas lantai itu. Dia yakin, suara itu pasti milik wanita yang masuk ke dalam tandas tadi.

Etasya menoleh ke belakang. Cepat-cepat dia memandang semula ke depan dengan riak wajah yang tiba-tiba berubah tegang selepas dia melihat wajah wanita tersebut. "Minah tu rupanya!" gumamnya sambil mengetap gigi. Kedua-dua penumbuknya dikepal kuat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience