Terasa malam ini sangat panjang. Mata serasa masih segar macam aku dah minum 10 gelas kopi!
Aku masih cuba untuk tidur. Aku sempat melihat Ninia, Illa dan Eyra yang sudah lama melayari mimpi masing-masing.
Dalam kedinginan penghawa dingin bilik ni, otak aku kembali menayangkan kejadian siang tadi.
Sebenarnya, aku sendiri melihat bahagianya mereka bertiga berjalan beriringan. Gelak tawa menghiasi wajah masing-masing. Jebat Zulkarnain nampak begitu bahagia disamping wanita itu.
Wanita itu kelihatan sangat sempurna bergandingan dengan Jebat Zulkarnain.
Rambutnya yang panjang ikal menarik perhatian mata yang memandang, kulitnya putih langsat dan bentuk badannya seakan model.Tinggi lampai orangnya. Jika nak dibandingkan dengan aku yang tak cantik ni. Umpama langit dan bumi!
Aku benci dengan apa yang aku lihat. Aku tak suka! Aku cemburu? Yes! Memang aku cemburu!
Aku cemburu melihat Jebat Zulkarnain berbahagia disamping wanita lain yang lebih cantik dari aku. Aku sedar siapa diri aku.Tak mampu menarik perhatiannya untuk mengenali aku dengan lebih dekat.
Aku hanya gagak di rimba, sedangkan dia merak kayangan. Itulah perpatah yang mampu menampakkan bezanya kami berdua.
Terdengar batuk kecil dari arah Ninia.
“Kau tak tidur lagi ke Mea?” Ninia menegur aku.
Mungkin kerana posisi aku yang bersandar di kepala katil membuatkan dia pasti yang aku masih belum melelapkan mata.
“Belum. Aku tak boleh tidur. Kau nak air? Batuk tu tak ok lagi ke? Dari semalam aku tengok kau batuk. Itulah aku dah pesan berhenti merokok.” Aku ketawa kecil kerana tidak mahu menganggu mimpi indah Illa dan Eyra.
“Tengkorak kau! Hulurkan air tu kejap,” Ninia mencebik sambil mengambil air mineral yang aku hulurkan.
Masing-masing masih cuba mengawal bercakap dalam keadaan yang sangat perlahan. Tiba-tiba Eyra bangun dan mengomel. Aku dan Ninia masing-masing terkejut dengan situasi yang sedang terjadi.
“Aku nak air tu,” Eyra bersuara dan kemudian kembali ke pembaringannya.
Aku tergelak kecil.
Ninia memandang hairan kearah Eyra.
“Gila budak ni. Dia mengigau nak air apa pulak dah!” Aku hanya ketawa sambil menyuruh Ninia untuk tidur semula.
“Esok aku nak bahan dia! Haha,” Ninia kalau bab membahan memang bagi kat dia jelah.
“Tidurlah. Kau tu pun bukan sihat sangat. Sibuk nak membahan je kerjanya.” Ninia macam biasa akan buat bodoh dengan apa yang aku cakapkan.
“Kau kenapa tak tidur lagi?” Ninia memandang aku dengan penuh rasa curiga.
Eleh! Kalau tak cakap pun memang dia dah tahu apa yang ada dalam kepala aku saat itu.
“Kau fikirkan apa yang Illa nampak tadi ke?” Ninia masih mencuba mendapatkan satu jawapan dari aku.
Aku hanya memandangnya dan mengangguk lemah. Tak mampu nak berbohong kerana itulah yang menganggu fikiran aku malam itu.
Ninia mengajak aku untuk lepak di balkoni bilik. Aku hanya mengikut jejak langkahnya menuruni katil dengan perlahan-lahan. Bimbang Illa dan Eyra akan terjaga dari tidur.
“Nah!” Ninia menghulurkan air tin Nescafe favourite aku yang aku beli tadi sebelum kami naik ke rumah.
“Kau memang tak nak bagi aku tidur ke macam mana?” aku mengambil dan terus membuka air tu dan meneguk sekali lalu.
“Kau tu, minum ke tak minum ke bukan ada kesan pun! Ninia bercakap sambil menunjal kepala aku.
Hampeh betul member ni!
“Kau ni! Sakitlah!” Sengaja aku memarahinya walaupun kejadian itu langsung tak menguris hati aku.
Kami berdua diam seketika. Menghirup udara lewat malam sambil melihat dada langit yang dihiasi bintang-bintang. Aku memejamkan mata seketika dan saat itu Ninia bertanya adakah aku melihat sendiri apa yang Illa cakapkan tadi.
“Aku nampak sebenarnya. Tapi aku cuba menafikan apa yang aku tengok.” Aku tersengih sambil memaling muka sekilas kearah Ninia.
“Dia tak text kau lagi ke? DM still tak berbalas?” kedua-dua soalan itu aku hanya membalas dengan sebuah anggukan.
“Kau tak nak text dia dulu? Cuba kau tanya dia terus. Tak adalah kau nak fikirkan sangat sampai macam ni. Mungkin tu sepupu dia ke. Mak cik dia ke. Family bau-bau bacang ke?Mana kita tau.” Ninia cuba menyedapkan hati aku dan aku cuba memikirkan rasionalnya untuk menanyakan Jebat soal kedudukan wanita tadi.
Tapi apa hak aku? aku ni hanya seorang gadis yang entah dari mana-mana then muncul depannya.
Lepas tu pergi dinner pun baru sekali! Sekali je wei!
Itupun disebabkan dia rasa bersalah melanggar aku. Tapi aku kenal dia lebih dari sehari. Lebih dari sebulan! Malah bertahun! Jadi aku berhak untuk bertanya?
Tapi, adakah dia akan menjawab pertanyaan aku?
Argh!!!! Sakit otak fikir soal hati!
Tiba-tiba aku rasa kepala aku sakit sangat. Macam nak pecah!
“Mea…Mea….,” terdengar satu suara yang menyeru nama aku. tapi suara itu terdengar sayup-sayup. Makin jauh dan akhirnya suara itu hilang dan aku lamgsung tak mampu untuk membuka mata.
Mata aku kembali tertutup rapat.
Bunyi bising mula membingitkan pendengaran aku.
“Doktor! Pesakit dah mula respond.” Suasana yang agak bising membuatkan kepala aku kembali berdenyut-denyut.
Aku masih mencuba untuk membuka mata dan dengan sedikit kegigihan akhirnya mata aku terbuka. Sedikit kabur pada mulanya dan akhirnya aku mampu melihat keadaan sekeliling aku.
Siling putih, cermin kaca, langsir hijau turquoise dan beberapa orang manusia yang berpakaian putih mengelilingi tempat pembaringan aku.
Aku cuba mengamati wajah mereka tanpa mempedulikan baju apa yang dipakai.
Asing!
Tak seorang pun yang aku kenal dan disaat aku cuma mengamati wajah-wajah asing itu, datang seorang lelaki yang berambut paras bahu. Kemas berikat. Keningnya lebat dan kemas terurus. Bibirnya terukir indah. Tetapi, sepasang mata miliknya kelihatan agak cemas.
Cemas? Tapi kenapa?
Eh! Lelaki ini. Aku cuba memaksa kepala aku untuk mengingati dimana aku pernah bertemu dengannya.
“Argh!!! Sakitnya kepala aku!” aku mengerang kesakitan buat pertama kalinya setelah mata aku terbuka atau setelah aku kembali sedar?
Tapi kenapa?
Sambil memegang erat kepala aku yang sedang berdenyut, lelaki itu menghampiri aku dan cuba menenangkan keadaan aku. Saat itu, bau yang datang darinya membuatkan mata aku membutang memandang tepat kearah anak matanya.
Ketika itu aku langsung tak sedar yang aku sebenarnya berada di atas katil hospital.
“Ahhh!” aku menjerit untuk kesekian kalinya.
Aku menoleh kearah doktor dan nurse yang sedang mencuba memasukkan ubat tahan sakit melalui jarum yang telah tersedia ada di tangan kanan aku.
Lelaki itu memeluk aku erat dan disebabkan ubat itu, aku mula berasa seakan diawangan dan akhirnya aku kembali rebah di katil itu dan yang terakhir telingaku dapat menangkap kata-kata lelaki tadi ialah “saya tunggu awak!”
Dan akhirnya aku kembali ke pembaringan dan semuanya kembali kelam dan tenang.
Terima kasih sudi baca karya saya.
Share this novel