SAMPAI aje kat rumah, Mak Siti keluar dulu dari perut kereta tanpa bersuara sikit pun. Rasa geramnya masih membekas dalam hati. Tengok cara dia berjalan dengan menghentak-hentak kaki pun dah tahu dia masih marah.
"Najihah, terima kasih tolong hantarkan kami," ucap Damia sambil tersenyum nipis.
Syafiq yang berdiri seiringan Damia menundukkan kepalanya kepada Najihah. Mukanya muram dan tak bermaya je dari tadi.
Najihah diruntun pilu melihat keadaan Syafiq tu. Sungguh, amat berat dugaan yang ditimpa lelaki itu.
Tak cukup dengan rumah terbakar, Allah ambil nyawa adiknya. Najihah yang menjadi seorang pengajar dan ustazah pun turut terkesan dengan pemergian Syafiqah apatah lagi Syafiq yang merupakan abang kandung arwah.
Sebelum air mata yang tertahan tadi jatuh, Najihah cepat-cepat beredar pergi. Pedal minyak ditekan usai dia ucapkan salam dan selamat tinggal. Hatinya tak tahan bila mengenangkan Syafiqah.
Sewaktu di rumahnya tadi pun, entah berapa titis air mata merembes keluar kerana kesedihan yang menoreh jiwanya. Di depan Syafiq dan Damia, dia hanya berpura-pura kuat sahaja. Siap bagi kata-kata semangat untuk reda lagi. Padahal hatinya sendiri sedang terpukul lara. Sepanjang perjalanan pulang, air mata akhirnya membasahi jua pipinya.
Damia dan Syafiq menyambung langkah mereka. Tetapi langkah mereka terhenti semula apabila Mak Siti masih lagi tergopoh-gapah memasukkan kunci ke dalam lohong pintu rumah. Mulut Mak Siti tak henti-henti mengomel kerana tak puas hati.
Tak puas hati bukan sebab pintu tu, tapi sebab kata-kata Pak Ya tadi. Mendalam jugak nasihat yang diberikan Pak Ya sampaikan Mak Siti pun jenuh bergelut dengan kunci rumahnya.
Setelah beberapa ketika bertarung, akhirnya terbuka jua pintu tu.
"Eh? Mak dah bal ..." kata-kata Nadia segera terputus apabila dia dapati Damia dan Syafiq membuntuti langkah ibunya di belakang. Difikir tadi, ibunya akan pulang sendiri tetapi tidak. Musuh ketatnya pun ikut sekali?
Nadia yang sedang bersandar di sofa dan sedang menggenggam telefon pintarnya segera kaku. Wajahnya bertukar masam padahal tadi nada suaranya terdengar ceria saja.
"Ha, baru baliklah ni. Yang kamu pun, bila sampai rumah? Dari semalam keluar sampai tak ingat dunia. Mak call dan mesej, bukan nak balas pun," kritik Mak Siti. Rasanya berpuluh-puluh kali jugalah dia menelefon Nadia tetapi satu pun tak diangkat. Sebab dia percayakan Nadia ajelah yang membuatkan Mak Siti membiarkan perkara itu berlalu.
"Pukul 5:30 petang tadi." Mata masih tak lepas memandang Damia. Mata yang penuh dengan panahan dendam dan sakit hati. "Mak dari mana ni?"
"Dari majlis tahlil arwah Syafiqah. Kamu tahu kan Syafiqah tu dah meninggal kelmarin? Sebab rumah diorang ni terbakar." Jari telunjuk Mak Siti terarah kepada suami isteri yang senyap tercegat itu.
"Tahu, mak sendiri yang dah mesej semalam."
"Eh? Boleh je baca mesej mak. Mak ingat kamu tu tak pandai baca sampaikan mesej mak dari pagi tadi pun tak dibalas." Lagi-lagi Mak Siti memerli.
Nadia biarkan sindiran ibunya dibalas sepi. Malas mahu bersuara. Kalau diikutkan, dia memang tak nak bersuara sedikit pun dengan kewujudan adik yang dibencinya ini. Ditambah dengan adik iparnya itu, lagilah bertambah rasa bencinya. Dia rimas!
"Kami naik dulu." Damia putuskan untuk beredar masuk ke dalam biliknya. Tangan suaminya ditarik bersama. Dia fikir lebih baik mereka pergi daripada membeku di situ sambil mendengar Mak Siti dan Nadia berceloteh. Lama-lama kat situ, nanti perang besar pula yang akan timbul. Tahu sangat dia dan kakaknya memang pantang mahu bersua muka.
Pandangan tajam Nadia dilemparkan kepada Damia dan Syafiq yang sedang berjalan pergi. Dia masih tak faham kenapa ibunya biarkan pasangan suami isteri itu tinggal di sini. Pening betul dengan perangai ibunya ni.
"Mak dah kenapa?"
"Kenapa apa?" Mak Siti pura-pura tak faham.
Nadia mendengus. "Along tak faham dengan mak. Mak ni memang jenis tak tetap pendirian, kan? Hari tu bukan main lagi halau angah dengan suami dia, tapi hari ni biar je diorang menonong masuk rumah ni." Dadanya berombak-ombak.
"Mak jangan kata yang mak kesian kat diorang tu, mak biar diorang tinggal sini. Mak kata mak tak restui perkahwinan angah dan Syafiq tu, tapi kenapa tindakan mak tu lain dari apa yang mak cakapkan? Kejap halau, lepas tu ajak tinggal sini balik. Serius along tak faham." Nadia menyambung.
Mak Siti ketap bibirnya. Lidahnya seperti dikelukan oleh suatu kuasa apabila kata-kata Nadia tak henti-henti menyerangnya. Rasa kesian? Mungkin betul juga apa yang dihambur Nadia tadi. Sebagai seorang ibu, sebesar mana kecewanya terhadap seorang anak, pasti rasa kasihan itu tetap tersisa walaupun hanya secebis di dalam hati.
"Mak bagi diorang tinggal kejap je. Bukan lama pun."
"No!" tempik Nadia. "Along tak nak bersemuka dengan angah dan suami dia kat dalam rumah ni. Along tak suka diorang duduk kat rumah ni walaupun sehari."
Mak Siti tersentak. Nada suara Nadia itu sedikit mengejutkannya. Dia rasa sedikit terkilan sekarang ini padahal tindakannya membiarkan Damia dan Syafiq tinggal di sini bukannya salah pun. Lagipun dia orang laki bini tu menumpang sekejap aje.
"Ka ... kamu dah berani tinggikan suara kat mak?"
"Biarlah. Yang angah tu dah banyak kali tinggi suara dengan mak, tapi mak boleh je hadap. Tapi bila along sekali je tinggikan suara kat mak, kenapa mak nak sentap pulak? Mak sebenarnya dari dulu menyebelahi angah daripada along. Tak adil!"
Luluh hati Mak Siti. Anaknya dah kurang ajar dengan dirinya. Siap berteriak keras lagi.
"Mak tak menyebelahi sesiapa pun. Yang kamu ni dah kena rasuk ke? Tiba-tiba melalak macam ni?" Mak Siti gelengkan kepala.
"Ah! Yang kena rasuk tu mak. Cakap tak serupa bikin. Cakap benci tapi terima jugak angah dengan suami dia masuk sini." Berdas-das peluru lidah Nadia menembak raga ibunya. Dia tak kira, dia sudah muak dengan sikap ibunya itu.
"Along boleh tahan tiga hari je kat sini. Tapi lepas tulat, kalau mak tak halau angah dengan suami dia keluar, biar along je yang blah dari sini," sambungnya.
Tak memberi ruang dan peluang Mak Siti berucap, Nadia terus beredar pergi naik ke atas. Hatinya berdentum dengan guruh amarah.
"Hoi, along! Along! Astaghfirullahalazim ..." Mak Siti terduduk di atas sofa. Beban yang terasa mengalir ke bahagian lutut sudah tidak mampu ditampungnya.
Mak Siti mengucap panjang. Anak kesayangannya sudah berubah sikap. Sejak bila? Padahal sebelum ni, tak pernah-pernah Nadia bertekak dengannya seteruk ini. Ini siap ditambah pakej tempikan dan bentakan lagi.
*****
Segelas air jus epal yang terhidang di hadapannya direnung dengan pandangan kosong. Fikirannya sekarang ini sedang serabut. Suara orang ramai yang kedengaran seperti beribu-ribu ekor lalat yang berterbangan menambahkan kekusutan.
Nak atau tak, dia kena juga berhadapan dengan lelaki yang dicintainya di restoran ini. Masalah yang dia hadapi di rumah perlu dia luahkan. Hanya lelaki itu saja tempat dia bergantung sekarang ni.
Dia datang ke restoran mewah ini pun, tanpa kebenaran dan pengetahuan ibunya. Terfikir tentang ibunya, hati secara sendirinya disuguhi dengan rasa sebal.
"Nad, kenapa ni? Kenapa I tengok you macam senyap je tak macam selalu? Ada masalah ke?" tanya lelaki yang duduk tepat di depannya. Lelaki berumur pertengahan 30-an itu cuba meraih tangan Nadia tetapi cepat-cepat Nadia tarik tangannya.
Rozaimi dipandang Nadia dengan wajah muram. Benar, selalu jika bertemu dengan kekasih hatinya ni, dia akan ceria je tak macam sekarang.
Biarpun Nadia baru saja kenal Rozaimi lima bulan lalu, tetapi dia rasakan Rozaimi itu sesuai mengikut cita rasanya. Baik dan memahami. Dan tak lupa juga, kaya.
Setahunya, Rozaimi merupakan seorang ahli perniagaan. Bisnes apa yang Rozaimi uruskan, Nadia tak nak ambil tahu. Tetapi apa yang penting, dia yakin Rozaimi seorang lelaki kaya.
Tengok gaya berpakaian dan cara lelaki itu berbelanja, nampaknya kata-kata Rozaimi bukan sekadar angan-angan Mak Jenin semata-mata. Sepanjang lima bulan ini pun, Nadia banyak hidup dengan 'mandian' wang daripada Rozaimi.
Rozaimi la yang selalu menemani Nadia jika wanita itu perlukan pendamping. Kalau sedih sikit, adalah benda yang mahu diberinya. Kalau bab duit ini, cepat je Nadia berubah ceria.
Tapi disebabkan apa yang berlaku semalam, Nadia tak mampu lagi tertawa seperti duiu. Keluhan berat dilepaskan.
"Why? I ada buat salah ke? Ada benda yang you nak tapi I tak bagi? Bagitahu I. Jangan senyap macam ni. You nak pergi bercuti lagi ke, atau nak duit belanja?" Beria-ia Rozaimi cuba memujuk Nadia. Dengan menggunakan teknik pujukan harta, dia pasti Nadia akan rebah juga.
Tetapi riak wajah Nadia masih tak berubah. Sama sahaja dari tadi. "Bukan macam tu. Tapi I ada masalah dengan mak I tu."
"Masalah? You ada masalah apa dengan mak you tu sampai murung macam ni dari tadi?"
Nadia telan liur sebelum membuka ceritanya. Pergaduhan dengan ibunya malam tadi membuka satu tirai yang tak pernah dia rasakan. Dia amat kecewa dengan ibunya.
Kebiasaannya, ibunya selalu berkomplot dan menjadi penyokong tegar setiap tindakannya tetapi sekarang sudah tak lagi. Ibunya cakap je sentiasa mengutamakan dirinya tetapi dia tahu itu hanyalah dusta. Dia tahu ibunya sentiasa melebihkan adiknya.
Adiknya buat salah, ibunya tetap terima. Marah sekali saja lepas tu, amarahnya reda macam tu sahaja. Kata tak suka menantu miskin, tetapi boleh je dia terima Syafiq tu? Nadia rasa kesal.
"Jadi you bergaduh dengan mak you tu sebab adik you? Macam tu?" Rozaimi membuat kesimpulan atas alur cerita Nadia.
Nadia angguk.
"Habis tu, macam mana I nak jumpak mak you dalam keadaan you dan mak you bergaduh? Kalau macam ni, lambat lagilah progress hubungan kita." Rozaimi sedikit tak puas hati.
Nadia tenung sedalam-dalamnya tepat ke anak mata Rozaimi. Dahinya bertambah berkerut apabila wajah Rozaimi kelihatan serius.
"Jadi you serius nak kahwin dengan I?" tanya Nadia seperti tak percaya.
"Yes. Why not? Lepas kita kahwin nanti, macam-macam benda I boleh bagi kat you."
Hati Nadia sudah terfikirkan harta. Bibirnya ternaik sedikit. Tiba-tiba rasa tak sabar dan nak melompat-lompat pulak apabila dapat mengetahui seorang lelaki kaya terdesak mahu mengahwininya. Tetapi cepat-cepat bentengan ego diperkukuhkan apabila dia teringat yang Rozaimi ini masih bergelar suami orang.
"I takkan kahwin dengan you kalau you tak ceraikan bini mandul you tu. I tak nak jadi madu orang."
Rozaimi tertawa kecil. Sambil melepaskan sisa tawanya, jarinya menggenggam tangan milik Nadia.
"Of course I akan ceraikan dia. Kami dalam proses penceraian dah sekarang."
Nadia senyum lebar. Jadi betullah, Rozaimi memang serius dengannya. "Baguslah tu." Serta-merta wajahnya berubah muram semula. "Tapi I tak tahulah nak buat apa pasal mak I tu. Dia dah tak sayangkan I."
Rozaimi diam sejenak. Dia cuba memikirkan jalan untuk membantu Nadia keluar dari kepompong masalah.
"Hmm ... you ada kata yang you bagi tempoh tiga hari untuk bagi mak you halau adik you tu, kan?"
Sekali lagi Nadia angguk tanpa bersuara.
"Okey, that's mean mak you ada lagi dua hari untuk halau adik you tu. Kalau dia tak halau jugak, jadi memang betul dia dah tak sayangkan you. Jadi you kata you nak blah dari rumah tu, kan?"
"Entahlah. Waktu tu sungguh I main sembur je apa yang terlintas dalam kepala. I tak rasa yang I boleh lari dari rumah tu memandangkan I tak ada tujuan nak pergi. Rumah tu je tempat tinggal I." Jujur Nadia katakan.
"Siapa kata you tak ada tujuan nak pergi? I ada. I akan sentiasa tolong you."
Berkerut-kerut dahi Nadia. Dia tahu, Rozaimi sentiasa membantunya, tetapi bantuan apa pulak yang bakal dihulurkan Rozaimi? Takkanlah lelaki tu mahu beli rumah sebuah untuk dirinya pula. Kalau macam tu, sekarang jugak dia mahu lari rumah.
"Maksud you?"
"Lepas you keluar dari rumah tu, I nak you ikut I pergi balik ke Sabah. I akan uruskan segala tempat tinggal dan makan minum you. And then, lepas proses penceraian I berjalan dengan lancar, kita terus kahwin."
Nadia hampir tercekik mendengar rancangan tak masuk akal Rozaimi. Secepat dan sesenang itu sahaja Rozaimi berfikir?
Nak kata rancangan Rozaimi itu teruk, taklah sangat. Separuh hati Nadia merasakan senang dengan rancangan Rozaimi itu tetapi entah mengapa separuh lagi masih berasa ragu-ragu.
Berkahwin tanpa restu ibunya? Itu sama je dengan kelakuan adiknya itu. Dulu dia yang sering mengutuk adiknya kerana berkahwin tanpa restu tetapi sekarang dia bakal lakukan hal yang sama? Semua itu umpama meludah ke muka orang, tetapi terkena ke muka sendiri semula.
"You, biar betul? Nak ... kahwin tanpa kebenaran mak I?"
"Come on, Nad. You dah lari rumah nanti, takkanlah nak mintak restu dari mak you tu untuk berkahwin. Kita dah dewasa. Apalah sangat dengan restu mak ayah dan apa semua tu," jawab Rozaimi cuba meyakinkan Nadia.
Nadia apa lagi, membisu seribu bahasa dia selepas itu. Apabila difikirkan, betul juga kata-kata Rozaimi. Dah buat jahat, takkan nak berselang-seli berbuat kebaikan pulak.
Tetapi semua yang diperkatakan tadi hanyalah jika ibunya tidak menghalau Damia keluar dari rumah. Kalau ibunya menghalau, maka rancangan ini boleh dibiarkan terkubur begitu sahaja. Dia dan Rozaimi juga boleh berbincang untuk berkahwin dengan cara baik tak macam Damia.
Dia berharap sangat ibunya menghalau Damia. Takut jugak kalau ibunya tu lembik sangat, dibiarkan aje adiknya tu menetap kat rumah.
Kalau sampai ke tahap macam tu, Nadia tiada pilihan melainkan meneruskan dengan perancangan Rozimi tadi.
*****
Wajah Syafiqah yang sedang tersenyum diperhatinya lama. Syafiqah diapit oleh ibu dan ayahnya yang turut sama memberi senyuman manis.
Syafiq tak tahu dia di mana sekarang ini tetapi segala-galanya, putih? Bahkan persalinan yang dipakai ibu, ayah dan Syafiqah juga bersulam dengan warna putih suci itu. Cuma bajunya sendiri sahaja yang berbeza sekarang ini.
"Mak? Ayah? Adik?" Syafiq sebut satu per satu ahli keluarganya. Tetapi mereka di hadapannya masih tak bersuara. Cuma garisan senyuman sahaja yang tak lekang dari bibir mereka.
Langkah diatur dan Syafiq terus mendapatkan keluarganya. Pelukan diberikan. Dia ... dapat menyentuh mereka. Tetapi Syafiq tak fikir banyak tentang itu. Sekarang ni, dia mahu sangat bertemu dengan keluarganya. Mahu lepaskan rindu.
"Along rindu mak ... along rindu ayah ... along rindu adik ..." Bendungan air mata Syafiq pecah.
Pelukan semakin erat. Dia betul-betul tak mahu leraikan pelukan bersama keluarganya tu. Rasa rindunya bukan kepalang. Kalau boleh, dia mahu mereka selamanya seperti begitu.
Kepalanya terasa diusap. Bila dia angkat kepalanya, ibunya yang berbuat sedemikian. Lembut sahaja tangan ibu membelai. Kali terakhir dia dibelai sebegitu pada zaman kanak-kanaknya.
"Kami pun rindu along."
Suara ibunya menghentam pendengaran. Kedengaran sayu saja suaranya. Makin mencurah-curahlah air mata Syafiq ketika itu.
"Kami tahu along kuat. Insya-Allah, suatu hari nanti kita jumpa."
Kali ini ayahnya pula bersuara. Ya Allah, rindunya dia dengan suara ibu dan ayahnya itu. Sudah lapan tahun, mereka pergi meninggalkan dia tetapi suara mereka seperti masih segar dalam ingatan Syafiq.
"Selamat tinggal, along."
Syafiqah mengucapkan selamat tinggal. Pantas Syafiq angkat kepalanya. Dan ... mereka hilang.
Ya, hilang dari pandangan, padahal dia sedang memeluk mereka tadi.
Syafiq terpinga-pinga. Tidak! Jangan pergi! Dada Syafiq terasa sesak. Dia berasa tak cukup lagi melampiaskan rindunya. Kenapa mereka pergi secara tiba-tiba?
"Allahuakbar!"
Secara mengejut dia bangun daripada tidurnya. Mimpi. Ya, hanyalah mimpi. Biarpun mimpi, tetapi rasanya seperti berlaku di kehidupan sebenar pulak. Mana taknya, air mata sudah pun membasahi pipi. Dia menangis dalam tidur tadi.
"Abang, kenapa ni?" Damia turut terjaga daripada lenanya kerana suara Syafiq tu.
Syafiq raup wajahnya. Dia baru saja mimpikan keluarganya. Apakah dia tak reda dengan apa yang berlaku? Padahal sudah dua hari, Syafiqah pergi meninggalkannya. Kenapa baru sekarang dia dapat mimpi tu?
"Abang mimpi ... keluarga abang," adu Syafiq sambil menyeka air yang terasa bocor di hujung matanya.
Damia tak dapat menahan sebak. Bibirnya bergetar tetapi dia cuba tahan. Tak mahu melayan perasaan sendiri, tetapi perasaan suaminya patut dia utamakan sekarang ni. Suaminya memerlukan dirinya.
Pelukan diberi kepada Syafiq yang sedang mengongoi. Tersedu-sedan suaminya menyembamkan wajahnya ke bahu Damia.
"Sabar, bang. Ini ujian Allah. Abang kena kuat, abang kena reda dengan ketentuan Ilahi. Saya tak nak abang nangis macam ni." Damia menggosok belakang suaminya.
"Abang tak ada sesiapa dah kat dunia ni. Abang hanya ada ... sayang je sekarang."
Damia angguk. Tangannya semakin laju menenangkan Syafiq. Sewaktu hari Syafiqah disahkan meninggal, Syafiq banyak meraung dan menangis sebegini tetapi tangisan kali ini terasa lain. Tangisan seseorang yang kehilangan segala-galanya.
"Sayang tolong jangan tinggalkan abang. Keluarga abang semua dah pergi tinggalkan abang sorang diri. Kalau sayang pulak yang tinggalkan abang, abang tak boleh teruskan hidup ni dah," sambung Syafiq lagi. Makin menjadi-jadi tangisan yang penuh sedu-sedan.
Hanya Damia menjadi punca dia hidup sekarang. Hanya Damia menjadi akar kekuatannya tika ini. Tak sanggup lagi dia kehilangan insan yang dia sayang.
Juraian air mata Damia juga akhirnya jatuh di lurah pipinya. Dia tak tega melihat suaminya begini. Merengek kepedihan dalam keadaan lemah padahal dia tahu suaminya kuat. Suaminya mampu menempuh dugaan ini.
"Saya janji, bang. Saya takkan pergi mana-mana. Saya akan setia di sisi abang. Saya takkan tinggalkan abang berseorangan. Saya kalau boleh, sampai mati saya akan ada di sisi abang. Itu janji saya." Damia kotakan janjinya. Ikhlas dan tanpa paksaan.
Hatinya memang inginkan begitu. Dia terlalu sayangkan Syafiq sehingga tak sanggup lagi melihat Syafiq menderita dalam kesedihan.
Pelukan masih tak mampu dileraikan. Biarlah Damia yang menjadi peneman Syafiq di sisi sepanjang pagi ini, sehingga Syafiq mampu tidur semula. Suaminya itu perlukan sokongan. Apabila suaminya sudah kuat semula, dia yakin segalanya akan berubah seperti sediakala.
"Terima kasih, sayang."
Bersambung...
have a nice day everyone :)
Share this novel