KDS 1 - TEMUDUGA

Romance Completed 250160

Note : Novel Kahwin Dengan Saya? sudah dibukukan. Nak lagi mudah, boleh dibeli di Shopee @ Lazada. Harga RM32 tidak termasuk pos. Search tajuk novel, dan dijual di bawah pihak novelplus_book.

SUDAH merata tempat Damia mencari pekerjaan. Dari satu tempat ke satu tempat, tetapi tiada langsung kekosongan untuknya.

“Maaf dik, buat masa sekarang ni kita tiada kerja kosong lagi. Baru je hari tu kami dah ambil pekerja baru.”

“Memang tak da langsung ke kak?” tanya Damia lagi. Dia masih berharap, jika masih ada kekosongan kerja untuknya.

“Ya dik, memang sekarang ni kita tiada lagi jawatan kosong dah. Sorry ya dik.”

“Okey tak apa kak. Kalau macam tu terima kasih ya kak.” Lesu sahaja Damia menjawab.


SETELAH seharian Damia mencari kerja, akhirnya Damia pulang ke rumah dengan keadaan hampa. Sehingga ke hari ni, masih belum ada lagi rezeki untuknya.

“Assalammualaikum kak,” ucap Damia sambil menanggalkan kasutnya dan berlalu masuk ke dalam rumah.

“Waalaikummussalam. Ha, macam mana Mia, dapat tak cari kerja?” tanya Dahlia.

“Entahlah Kak Lia, penatlah Mia cari kerja. Semuanya nak ada pengalaman.” Damia duduk di sofa sambil melepaskan lelahnya.

Dahlia memandang adiknya dengan penuh rasa kasihan.

“Macam mana nak ada pengalaman, cubalah bagi kerja dulu, barulah boleh dapat pengalaman,” ujar Damia sambil mengomel.

“Nanti adalah kerja tu, cepat atau lambat je.”

“Ya tahu, tapi tak kanlah tiada langsung kerja kosong. Ini kan Kuala Lumpur, tempat macam ni mesti banyak kerja kosong dekat luar sana,” ujar Damia sambil berpeluk tubuh.

“Mia kenalah sabar. Allah sayang hambaNya yang bersabar. Ha, lepas solat tu jangan lupa berdoa semoga Allah permudahkan urusan Mia untuk dapat kerja. Senangsenang tak payah cari kerjalah Mia, baik Mia sambung belajar je. Sayang je dah dapat keputusan yang baik, tapi Mia tak nak sambung belajar pulak,” ujar Dahlia panjang lebar.

“Kak, kan kita dah bincang pasal ni sebelum ni? Mia nak kerjalah. Mia tak nak susahkan akak lagi.” Damia tertunduk lesu.

“Yalah, yalah, dah pergilah mandi, busuklah bau badan Mia ni,” usik Dahlia.

“Eee, Kak Lia ni, saje je tau. Tak sukalah macam ni.” Damia memuncungkan mulutnya.

“Akak nak gurau dengan Mia pun tak boleh?” Dahlia mengangkat keningnya.

“Ha, tahu pun takut. Okeylah Kak Lia, Mia pergi mandi dulu. Esok nak cari kerja lagi. Manalah tau, tiba-tiba dapat kerja ke esok,” ujar Damia sambil melangkah menuju ke anak tangga.

“Jangan lupa turun makan,” jerit Dahlia kepada adiknya.

“Ya, kejap lagi Mia turun,” balas Damia.

Dahlia memandang Damia berlalu pergi. Dia tersenyum melihat adiknya. Damia sahajalah satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal, setelah ibu bapa mereka meninggal dunia dua tahun yang lepas, akibat kemalangan jalan raya.

Pada masa itu, Damia masih di tingkatan 6. Damia juga telah lulus dengan cemerlangnya dalam peperiksaan STPM. Cuma sekarang ini, adiknya itu tidak mahu menyambung pelajarannya. Walaupun dia sudah berulang kali memberitahu adiknya yang dia tidak kisah jika adiknya itu mahu menyambung pelajaran. Dia juga sedia membantu dari segi wang ringgit.

Setelah selesai Damia membersihkan diri dan menunaikan solat maghrib, Damia turun ke bawah untuk makan malam. Kelihatan kakaknya Dahlia sedang menghidangkan makanan di atas meja makan.

“Ni akak nak beritahu berita gembira kat Mia. Baru je tadi akak call kawan akak. Saje akak tanya dia, kot-kot ada kerja kosong. Memang ada kerja kosong tau. Rezeki Mia.”

“Eh, betul ke ni kak?” Damia kelihatan teruja.

“Ya betul. Company tempat kawan akak kerja tu, memang tengah nak cari kerani. Kerani lama dia dah berhenti kerja, ikut suaminya ke Sabah. Jadi macam mana Mia? Nak tak, pergi interview esok?” tanya Dahlia kepada adiknya.

“Isy... mestilah nak. Apalah akak ni, lagi mau tanya ke?” Damia begitu gembira mendengarnya.

“Mestila akak kena tanya Mia, buatnya Mia tak minat ke kerja kerani?”

“Mia tak kisahlah. Janji ada kerja. Jadi, esok Mia nak pergi interview tu dekat area mana tu?” soal Damia.

“Kawan akak ada mesej alamat kat akak tadi. Jap eh akak pergi ambil phone,” ujar Dahlia sambil menuju ke ruang tamu.

Dahlia muncul semula, sambil membawa telefon bimbitnya ke arah Damia. “Okey nama company dia Syarikat Empayar Holdings, dekat area Bangsar. Jadi, tak jauhlah dari rumah kita,” ujar Dahlia.

“Okeylah kalau macam tu. Tak sabar pulak nak pergi
interview esok.” Damia kelihatan sungguh teruja. Dia tidak menyangkakan yang esok dia akan menghadiri temuduga di syarikat tersebut.

TEPAT jam 6.30 pagi Damia sudah selesai membersihkan diri dan juga menunaikan solat subuh. Dari malam tadi Damia sudah menyiapkan resume dan sijil sekolahnya di dalam fail. Dia tidak mahu ada yang tertinggal nanti. Dia mengenakan baju kebaya berwarna navy blue dan dipadankan dengan selendang bunga berwarna pink. Dan wajahnya pula, dioleskan dengan bedak yang nipis bersama lipstik berwarna pink lembut.

“Dah siap ke semua sijil-sijil dengan resume sekali?” tanya Dahlia pada adiknya.

“Dah kak. Dari malam tadi Mia dah siapkan.”

“Nanti akak hantar Mia ke ofis kawan akak tu. Hari ni akak pergi sekolah lambat sikit. Malam tadi akak dah beritahu kawan akak tu, yang Mia nak datang interview hari ni. Nama kawan akak tu Liyana. Nanti Mia carilah dia ya. Lagipun dia dah tahu Mia nak datang.”

“Oh, okey. Ni akak nak terus pergi sekolah ke?” soal Damia.

Kakaknya Dahlia mengajar di sekolah kebangsaan sebagai guru mata pelajaran Sains. Sudah lima tahun dia mengajar di sana.

“Yalah, kenapa? Takkan nak suruh akak teman pula,” balas Dahlia.

“Manalah tau, kut Kak Lia nak temankan Mia ke?”

“Tak adanya akak nak temankan Mia. Akak nak terus pergi sekolah je ni, lepas hantar kamu. Dahlah, cepatlah makan. Nanti lambat pulak Mia sampai sana. Lebih-lebih lagi ni waktu jalan jammed.”

“Yalah, akak oi,” balas Damia sambil mengunyah roti bakar.


JAM 8.30 pagi, Damia sudah terpacak di hadapan bangunan lima tingkat. Sebelum Damia keluar dari perut kereta tadi, sempat lagi kakaknya berpesan supaya dia pulang dengan Grab sahaja, selepas habis temuduga nanti.

“Emm, boleh tahan juga syarikat ni. Tinggi.” Damia mengomel sendirian, dan mula menuju ke pintu lif. Liyana sudah pun mesej kepadanya supaya naik ke tingkat lima.

“Ramai pula yang nak naik lif. Biar jelah dia orang naik dulu,” gumam Damia.

Tidak lama itu, pintu lif terbuka semula, lalu Damia melangkah masuk ke dalam perut lif tersebut. Baru sahaja, pintu lif hendak tertutup, tiba-tiba sahaja ada satu tangan menahan pintu lif tersebut dari ditutup.
Terjegul satu susuk tubuh lelaki yang bertinggi lampai dan bertubuh sasa mengenakan kemeja berwarna biru laut berserta seluar slek berwarna hitam dan dipadankan pula dengan tali leher berwana biru gelap sambil memegang briefcase. Lelaki itu tersenyum manis ke arah Damia.

Lelaki itu betul-betul kacak. Wajah yang sempurna tanpa cacat celanya. Damia betul-betul terpegun melihat sepasang mata coklat milik lelaki itu.

“Handsomenya mamat ni. Eh, apa aku fikir ni? Nak kerja ke nak cari lelaki?” bisik Damia. Dia mengerutkan dahinya.

Pintu lif ditutup. Serentak jari Damia dan lelaki itu menekan butang lif bernombor lima.

“I’m sorry.” Serentak Damia dan lelaki tu bersuara.

“Sorry sir. I don’t know, you want to go to the 5th floor,” ucap Damia, di dalam bahasa inggeris. Dia agak kelam-kabut waktu itu.

Ini kerana lelaki di hadapannya berwajah kacukan Inggeris-Melayu, dan dia juga buntu untuk berbahasa Melayu ataupun berbahasa Inggeris.

Adam Ian tidak pernah melihat gadis itu di pejabatnya. Tiba-tiba sahaja dia mahu ketawa, kerana melihat gadis itu kelihatan buntu apabila bercakap dengannya tadi. Tetapi ditahannya, supaya tidak mahu gadis itu terkejut jika dia tiba-tiba sahaja ketawa.

“It’s okay,” jawab Adam Ian.

Mereka berdua sama-sama keluar dari perut lif. Damia terus sahaja berdiri di tepi pintu masuk. Manakala Adam Ian pula terus menuju ke pejabatnya. Damia melihat susuk tubuh lelaki itu yang sudah menghilang daripada pandangannya. Setelah itu, dia mula mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangannya lalu mendail nombor telefon Liyana.

“Assalammualaikum Kak Yana, Mia dekat luar ni.”

“Waalaikummussalam, okey Mia masuk pintu depan tu. Akak ada dekat dalam ni,” balas Liyana.

“Okey, Kak Yana.” Talian dimatikan, lalu kakinya menuju ke pintu masuk.

“Masuklah Mia,” ajak Liyana.

“Terima kasih Kak Yana. Sorry, Mia lewat 5 minit sikit.”

“Tak apalah. Lagipun bos baru masuk,” balas Liyana.

Erk, bos dah masuk? Seram sejuklah pulak. Aduh macam mana ni nak interview ni. Tua ke muda ke bos tu? Garang ke? fikir Damia. Dia mula berteka-teki sendiri.

“Okeylah Mia, isi borang ni dulu, nanti setiausaha kat dalam tu akan panggil Mia okey?” kata Liyana.
Damia mengambil borang tersebut dari tangan Liyana, lalu berjalan mencari tempat duduk untuk dia mengisi borang.

Setelah lima minit mengisi borang, Liyana datang ke arahnya semula, untuk mengambil borang tersebut.
Jantung Damia mula berdebar-debar. Dia berharap sangat yang dia diterima bekerja di situ. Semoga ada rezekinya di situ. Mulutnya tidak henti-henti berselawat.

Share this novel

AyrEen Asri
2021-07-29 06:19:36 

Lamanya tggu nak update

yanajer
2020-06-28 18:01:07 

sebab tak sabar tunggu aku isterinya baca novel ni lah

Nur Hidayah Ida
2020-03-29 12:45:51 

lmanyaaa tgu nk update...huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience