DENGAN sekali lafaz sahaja, Nurain kini telahpun sah menjadi isteri kepada Hans Azeem. Perkahwinan yang sangat mengejut, namun tiada bantahan daripada kedua-dua orang tuanya. Majlis mereka pula, ala kadar sahaja tetapi Nurain tidak kisah, asalkan mereka halal di mata Tuhan. Saat mencium tangan suaminya buat pertama kali, sedar tak sedar, menitis juga air mata wanita itu. Hanya Hans Azeem sahaja yang kekal membisu, bersuara jika perlu sahaja bahkan tiada seorang pun ahli keluarganya yang kelihatan. Ingin Nurain bertanya, namun terasa segan pula. Apalagi, Hans Azeem ialah seorang yang terlebih pendiam. Sudah berkali-kali Nurain mencuba untuk memancing percakapan suaminya, tetapi masih sahaja gagal. Angguk, geleng, menunduk, itu sahaja respon yang dia dapat daripada lelaki itu.
Walaupun begitu, Hans Azeem tidak menunjukkan sebarang sikap biadab pada kedua-dua orang tua Nurain. Dia melayan dengan sangat baik tetapi tanpa menggunakan suara. Malah, tangannya sempat juga menghulurkan sedikit wang belanja kepada kedua-dua orang mentuanya sebelum pulang petang tadi. Keikhlasan itu kadangkala tanpa perlu dengan kata-kata, cukuplah perasaan itu lahir dari hati nurani kita.
JARUM jam sudahpun menunjuk ke arah angka lapan. Suasana di dalam rumah besar milik Hans Azeem itu hanya sunyi dan kosong, mungkin kerana tiada insan lain selain daripada dia dengan Nurain yang berada di situ.
Melangkah keluar dari kamar mandi, Nurain lantas melirik ke arah Hans Azeem yang kelihatan begitu fokus melakukan kerjanya. Seperti biasa, lelaki itu akan hanya diam tanpa mengambil kisah pada keadaan di sekeliling.
Setelah meniliki semula penampilan dirinya, Nurain mula menyusun langkah untuk mendekati lokasi lelaki itu berlabuh. Sengaja mengenakan sehelai 'bathrobe' sahaja pada tubuh, kerana malam itu dia sudah bersedia dengan sepenuh hati untuk menjalankan kewajibannya yang pertama sebagai seorang isteri yang sah pada lelaki itu.
Nurain mengetap bibir, buntu sebenarnya mahu memanggil lelaki itu dengan gelaran apa. Apalagi, kehadirannya di situ seolah-olah tidak dipedulikan langsung oleh Hans Azeem. Namun Nurain tahu, dia yang seharusnya menjadi pemula untuk semua itu kerana Hans Azeem ialah seorang lelaki yang agak lain. Tidak gelojoh, namun bukan bererti memiliki selera yang pelik seperti bekas suaminya. Nurain menarik nafas, tangannya pula mula diangkat sebelum memberi urutan yang paling lembut pada bahu suaminya itu.
Hans Azeem yang masih tidak menoleh, tidak juga melarikan jari-jemari kasarnya dari atas papan kekunci komputer riba itu hanya mampu memejamkan matanya buat sejenak. Menikmati sentuhan Nurain dengan perasaan yang berdebar hebat. Dia tidak pernah menyentuh atau disentuh oleh mana-mana wanita selain daripada ibunya sendiri. Sumpah, Nurain insan yang pertama.
"Ab... abang." Nurain memanggil, dan kali ini dengan perasaan yang lebih yakin. Melangkah lebih dekat, Nurain akhirnya memacakkan tubuh tepat di hadapan Hans Azeem. Walaupun lelaki itu tidak memandang, tetapi Nurain tahu yang Hans Azeem sedang menunggu dan mendengarkannya. "Terima kasih sebab abang dah sudi... terima Ain jadi isteri abang yang sah. Ain janji, Ain akan jadi seorang isteri yang baik untuk abang."
Ikhlas kata-kata terluah daripada bibir Nurain namun mendapat respon yang kosong daripada Hans Azeem. Tiada tanggapan, tiada juga balasan mata yang Nurain terima. Lelaki itu kekal menunduk dan membisu seribu bahasa. Sepanjang mengenali Hans Azeem, hanya sekali sahaja Nurain mendengar lelaki itu bersuara. Hanya sekali. Selain lokek dengan suara, Hans Azeem juga selalu lokek dengan senyuman. Wajahnya sentiasa terlihat tegang, beku dan angkuh tetapi Nurain yakin, Hans Azeem ialah seorang insan yang sangat baik. Buktinya, lelaki itu tidak pernah sekalipun mencuba untuk mengambil kesempatan terhadap dirinya .
Tercabar dengan respon yang dia dapat, Nurain melangkah lebih dekat. Perlahan-lahan, segala barangan termasuk komputer riba yang sedang berada di hadapan suaminya dialihkan dengan selamba. Malam itu, dia mahu membuktikan keikhlasan dan kesungguhannya pada Hans Azeem.
"Ain dah bersedia." Nurain mengungkapkan sebaris ayat itu dengan yakin sambil merenung redup ke arah wajah suaminya dan ketika itu juga Hans Azeem mula mengangkat wajah. Riaknya tampil tenang dan tidak peduli, namun debaran di dalam hati terasa sangat menyeksakan ketika itu.
"Ain dah bersedia untuk jalankan tanggungjawab Ain pada abang. Malam ni... Ain milik abang." ungkapnya sebelum menanggalkan ikatan jubah mandi yang sedia tersarung pada tubuh.
Terpukau dengan apa yang telah terhidang di depan mata, Hans Azeem mula bangkit berdiri dengan tatapan yang tidak lepas daripada tubuh isterinya. Dia akur apabila Nurain datang mendekat lalu menarik tangannya untuk dibawa menuju ke arah katil. Sebagai seorang lelaki yang normal, tak mungkin dia mahu menolak. Apalagi yang menggoda itu ialah isterinya sendiri.
"Terima kasih sebab... abang sudi halalkan Ain. Ain janji, akan jadi isteri yang baik untuk abang." ungkapan yang sama seperti tadi, dia luahkan kembali seiring dengan pergerakannya menjatuhkan tubuh di atas tilam empuk.
Tiada balasan kata daripada bibir Hans Azeem. Hanya matanya sahaja yang tidak lepas daripada terus menatapi wajah Nurain dengan perasaan yang sangat berdebar-debar.
Beriak tegang tanpa suara namun Hans Azeem tetap melakukan kewajibannya dengan sangat cemerlang pada malam itu. Dimulakan dengan salam, diakhiri dengan bisikan terima kasih dan ciuman nipis pada dahi isterinya.
HANS AZEEM membukakan mata dengan perlahan-lahan saat merasa ada sentuhan halus yang menyapa kulit pipinya. Bauan wangi dan segar yang semakin kuat menusuk ke dalam rongga hidung membuatkannya semakin tidak sabar untuk terjaga daripada lena.
“Selamat pagi, abang. Bangun pun dia." Nurain tersenyum sebaik sahaja tatapan mereka saling berbalasan. Tanpa segan, satu ciuman dia berikan pada pipi lelaki itu. Memikirkan momen hangat mereka pada malam tadi benar-benar membuatkan hatinya bertambah bahagia. Satu pengalaman baharu yang dia rasa. Rupa-rupanya, tidaklah seperih yang dia sangkakan.
Tiada balasan daripada Hans Azeem. Lelaki itu hanya diam tanpa sebarang suara mahupun senyuman. Menatap penuh wajah cantik Nurain, membiarkan tangan wanita itu yang bermain-main pada tubuhnya.
“Abang… Ain nak minta izin daripada abang untuk keluar bekerja macam biasa. Abang izinkan tak?” soal Nurain lembut tanpa menghentikan usapan tangannya pada tubuh sasa Hans Azeem dengan harapan agar sentuhannya itu berbalas, namun Hans Azeem pula lebih memilih untuk kekal kaku.
“Ain perlu kerja untuk keluarga Ain kat kampung tu. Ain berharap sangat abang izinkan. Hrmmm?” Nurain menempatkan wajahnya pada sebidang dada luas milik Hans Azeem tanpa mengalihkan tatapan manjanya daripada wajah lelaki itu.
Hans Azeem melepaskan nafasnya dengan perlahan-lahan sebelum memberi anggukan kepada Nurain. Mengangguk sudah pasti bermaksud yang dia telah memberi keizinan. Memang seperti itu perancangannya tempoh hari, iaitu tidak akan menyekat kebebasan Nurain.
Nurain lantas mengukir senyuman senang. Walaupun agak kecewa dengan kebisuan suaminya, namun sekurang-kurangnya lelaki itu masih sudi untuk memberi anggukan. “Ain dah siapkan sarapan untuk abang. Lepas mandi abang turun ya? Ain minta maaf, Ain tak dapat nak temankan abang sebab takut jalan jem. Ain minta diri dulu, abang. Abang jaga diri, jangan lupa makan.” kata Nurain sambil menarik tangan suaminya untuk dicium. Masih mengharap agar lelaki itu membalas, namun tetap tiada apa-apa respon yang dia dapat. Tetap kaku dan kekal mendiamkan diri seribu bahasa, itulah yang sedang dilakukan oleh Hans Azeem sehinggalah susuk Nurain hilang daripada pandangannya.
Setelah hanya dia yang tersisa, barulah bibirnya sudi untuk mengoyak senyum. Sudah terlalu lama bibirnya tidak terkoyak manis seperti itu. Tidak tahu mengapa, tetapi setiap kali berada di sisi Nurain, hatinya terasa lebih terisi dan bahagia.
Ya, sesuai dengan janjinya, Nurain telah membuktikan dia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri yang baik. Rugi Khairi! Ketika itu, barulah Hans Azeem memahami benar akan maksud kata-kata Khairi tempoh hari. ‘Walaupun pernah dibeli, tapi tak terpakai.’ Bermaksud; Khari telah melepaskan Nurain dalam keadaan yang masih baharu atau dalam erti kata lain, Khairi tidak pernah meniduri Nurain. Tetapi Hans Azeem tidak terkejut langsung, kerana dia tahu… selera Khairi adalah dengan yang sejenis.
Hans Azeem insan pertama yang menyentuh Nurain. Memikirkan itu, sempat membuatkan lelaki itu berasa lebih bangga. Akan menjaga dan mempertahankan rumah tangga mereka; itu janji Hans Azeem terhadap dirinya sendiri. Dia bukan seorang lelaki yang pandai berbicara manis dan bertingkah romantis, namun, selagi hayat dikandung badan, dia berjanji akan menjaga Nurain dengan segenap hatinya. Baik buruk wanita itu dia terima, seperti mana Nurain ikhlas menerimanya.
Dibuang dan disisihkan oleh keluarga kandungnya sendiri sedari usia 10 tahun telah membuatkan Hans Azeem terseksa dalam kesepian. Dia dibesarkan oleh keluarga bekas pembantu rumah keluarganya sehingga dia berusia 18 tahun. Dititipkan dengan harta, namun dihalau menjauh hanya kerana kedua-dua orang tua kandungnya percaya bahawa Hans Azeem ialah seorang anak pembawa sial. Sehingga kini dia tidak pernah mengetahui khabar orang tuanya. Entah hidup, entah mati. Bukan tidak mahu mengambil tahu, namun hati Hans Azeem sudah terlanjur sakit. Cukuplah Nurain seorang yang hadir dalam hidupnya. Dia umpama seorang bidadari terutus yang membawa nur ke dalam kehidupannya.
"TUAN," Tazim bersama berberapa orang bawahannya segera memberi tundukan hormat ketika susuk Hans Azeem muncul di ruangan tamu rumah besar itu. Masing-masing sudah memasang telinga dan fokus kerana mereka tahu, ada hal penting yang mahu disampaikan oleh ketua mereka itu.
Hans Azeem duduk, menyilangkan kakinya dengan penuh gaya sebelum memberi isyarat mata kepada Tazim untuk memulakan semuanya. Tazim merupakan orang suruhan yang paling dia percaya. Hasil kerja lelaki itu tidak pernah mengecewakan. Ketaatan dan kepatuhan Tazim telah membuatkan Hans Azeem memberi seluruh kepercayaannya pada lelaki itu.
"Dengar sini, Tuan Hans Azeem dah arahkan kita untuk jaga dan pantau keselamatan Puan Nurain dan keluarga puan yang kat kampung tu. Tapi, pastikan mereka tak perasan dan tak rasa rimas. Pantau dari jauh. Jangan sesekali biarkan Khairi dekat. Faham?" Tazim memberi arahan dengan lantunan suara yang sangat keras dan tegas.
"Faham." para lelaki itu mengangguk akur tanpa sebarang bantahan.
"Kalau korang lalai, korang yang akan terima balasan. Jangan sampai puan atau keluarga puan tercedera!" ujar Tazim lagi.
Hans Azeem memandang ke arah orang-orang suruhannya seorang demi seorang. Puas; perasaan itu yang dia rasa. Para lelaki bertubuh tegap dan sasa itu tidak pernah membantah atau gagal dalam menjalankan tugasan mereka.
Hans Azeem tahu manusia yang bernama Khairi itu seperti apa. Lelaki itu licik, dan tidak mustahil jika suatu hari nanti dia akan mengganggu kehidupan Nurain. Dengan segala kekuasaan dan daya yang dia ada, Hans Azeem akan selalu memastikan kebajikan dan keselamatan isterinya dan keluarga mentuanya sentiasa terjaga dengan baik. Tidak mengungkap keluar, namun perasaan sayang itu mula bercambah dari hari ke hari.
MELANGKAH masuk sahaja ke dalam rumah, Nurain terus mendatangi dapur dengan segera. Perutnya ketika itu terlalu lapar kerana waktu rehat tadi dia tidak sempat menjamah apa-apa. Pelanggan yang datang terlalu ramai, tenaga pekerja pula kurang. Jadi mahu tidak mahu, dia terpaksa juga mengorbankan waktu makannya.
Sebaik sahaja kakinya sudah menginjak ke lantai dapur, dia kemudiannya langsung mengeluh kecewa. Meja makan itu hanya kosong. Namun dia tahu, perasaan kecewa itu tidak seharusnya ada. Tidak mungkin dia mahu meminta Hans Azeem yang memasak sedangkan lelaki itu sendiri sahaja seolah-olah tidak memerlukan makanan dalam kehidupannya. Entah apa yang dia makan selama ini, Nurain tidak tahu. Namun setiap kali diajak untuk makan bersama, lelaki itu pula tidak akan pernah menolak. Menyantap dalam kebisuan, seperti itulah keadaan Hans Azeem ketika berada di meja makan.
Nurain mencebik, sudahlah dia terlalu penat. Mahu memasak, rasanya sudah tidak larat pula. Setelah meneguk segelas air putih, Nurain akhirnya terus menaiki tingkat atas. Dia mahu mandi terlebih dahulu sebelum memikirkan apa yang hendak dimakan nanti. Mahu memasak atau... makan di luar?
Pintu kamarnya ditolak perlahan-lahan. Susuk suaminya yang sedang duduk membaca buku langsung kelihatan. Melihat wajah beku yang tampan itu semerta membuatkan rasa lapar Nurain hilang buat seketika.
"Abang... " Nurain memanggil dengan nada yang mengada-ada sebelum melangkah mendekati kedudukan lelaki itu. Tangan suaminya diminta lalu dikucup sedikit lama. "Lapar... " Nurain mengadu sambil asyik merenungi wajah lelaki itu tanpa rasa puas. Dia tidak tahu apa yang membuatkan dirinya selalu betah berada di sisi Hans Azeem walaupun belum ada perasaan cinta yang timbul. Namun dia sudah bertekad untuk menyayangi Hans Azeem selayaknya seorang suami. Rasa cinta itu boleh dipupuk, tetapi yang penting dalam sesebuah rumah tangga adalah rasa hormat dan saling mempercayai.
"Abang dah makan?" soal Nurain lagi sebelum menarik buku tebal dari tangan suaminya dan diletakkan ke sisi. Lalu dengan selamba sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas rangkulan Hans Azeem, sementara kedua-dua tangannya pula dilingkarkan erat pada leher lelaki itu. "Ain nak masak tapi... rasa penat sangat. Kita makan kat luar? Nak?"
Tetap tiada balasan kata daripada Hans Azeem, namun untungnya, lelaki itu masih sudi untuk membalas tatapan Nurain.
"Kita makan kat luar, okey? Ada je kedai makan yang masih buka time-time macam ni. Please... jomlah abang. Kita makan kat luar, abang belanja. Malam nanti, Ain pula yang belanja. Deal?" bisik Nurain dengan nakal sebelum memberi kucupan pantas pada bibir suaminya. Lama wajah Hans Azeem ditenung, beberapa detik setelah itu barulah lelaki itu mengangguk. Mengangguk dengan wajah yang beku, namun Nurain tidak kisah. Yang paling penting, perutnya harus segera diisi dan setiap permintaannya pula tidak pernah dibantah oleh suaminya itu.
Share this novel
mana episod 4....lama tunggu