Alif menikmati burger yang baru dibelinya sambil bersandar di sofa usang rumah sewanya. Entah kenapa, wajah Syam — si pemilik gerai burger — asyik terbayang di mindanya. Jelas, Syam bukan lelaki biasa. Wajahnya bersih, rapi dan... terlalu ‘jambu’. Bibir merah bak delima, hidung mancung seperti seludang.
“Eh, apa kena dengan aku ni? Takkan aku... jatuh cinta dengan lelaki?” bisik hati Alif.
Dia geleng kepala, cuba menolak rasa yang tiba-tiba bertunas dalam hatinya. Tapi semakin ditolak, semakin ia menghantui.
“Kau jangan jadi gila, Alif. Nanti Nabi tak mengaku umat,” dia menegur dirinya sendiri, namun perasaan itu tak mahu surut.
Sudah lama dia tahu nalurinya cenderung ke arah kaum sejenis. Sejak zaman sekolah lagi. Tapi dia berusaha menolak, menafikan, menyesuaikan diri dengan hubungan normal. Namun setiap kali dia cuba menjalin cinta dengan wanita, ia berakhir dengan kegagalan. Kata bekas-bekas kekasihnya — dia tak romantik, tak pandai melayan.
Alif mengambil semula kad yang diberi oleh Aiman, lalu menyimpan nombor telefon Syam. Dia sudah empat bulan menyewa di kawasan perumahan itu, tapi inilah kali pertama dia singgah ke Syam Burger Corner. Hidupnya terlalu rutin — keluar seawal enam pagi, pulang lewat petang. Tiada masa berbual dengan jiran. Kawan sepejabat pun jarang diajak keluar.
Tiba-tiba iPhone 15 miliknya berdering — lagu klasik Coldplay menari-nari sebagai nada dering. Nama Farez tertera di skrin.
“Assalamualaikum. Ada apa, Farez?” soal Alif sebaik menjawab.
“Kau kat mana? Jom keluar.”
“Ke mana?”
“Mana-mana je lah. Aku boring gila duduk rumah. Apa kata karaoke kat Sungei Wang?”
“Okay, on. Tapi bagi aku masa sikit nak bersiap.”
“Set. Aku dah gerak ni.”
Alif letak telefon dan masuk ke bilik. Tapi dia tahu sangat perangai Farez. Janji ‘dah gerak’ selalunya bermaksud — satu jam lagi baru nampak muka. Walhal rumah Farez hanya tiga kilometer dari rumahnya.
________________________________________
30 minit kemudian.
Masih tiada bayang Farez. Alif mula hilang sabar.
Dia capai telefonnya dan menaip mesej WeChat:
"Kau kat mana sekarang?"
Ditekannya butang Send. Lima minit... tiada balasan. Hatinya mula panas. Dia dail nombor Farez.
“Waalaikumsalam. Kau dah sampai mana?” soalnya, suara dikawal tenang walau sebenarnya hatinya sedang menyirap.
“Sorry Lif. Baru nak gerak tadi, tiba-tiba mak aku sampai. Takkan aku nak keluar juga.”
Alif tutup mata. Hatinya pedih. Tapi ditahan.
“Sabar Alif. Sabar… ni hari kau. Esok-esok hari dia. Tak guna marah, nanti rosak hubungan,” bisiknya.
“Okaylah, tak apa. Aku risau je, manalah tahu jadi apa-apa. Lagi pula mesej aku kau tak balas.” balas Alif, masih cuba menjaga nada.
“Sorry bro. Aku lupa nak balas tadi. Tunggu sikit lagi, aku sampai.”
“Okay.”
________________________________________
15 minit kemudian.
Bunyi kereta Satria GTI Farez kedengaran di luar. Farez, seperti biasa, tak sabar-sabar tekan hon.
Alif keluar, angkat tangan isyarat supaya tunggu.
“Sorry lambat sikit, Lif. Tadi mak aku sampai. Takkan aku nak keluar macam tu je.” jelas Farez sambil buka pintu kereta.
Alif hanya angguk.
“Tak apa la, Riz. Aku dah biasa dengan perangai kau. Cuma harap nanti, waktu akad nikah kau, Tok Kadi tak perlu tunggu kau satu jam.” jawab Alif berselindung dalam gurauan yang sinis.
“Eh, kau dah makan belum?” soal Farez menukar topik.
“Aku dah makan burger tadi. Kalau kau nak, kita singgah kat gerai burger depan kolej tu.”
“Sedap ke? Aku tengok macam tak ada orang je beli.”
“Aku okay je. Tak selevel McD la, tapi bolehlah. Lagipun tak salah kita cuba. Jangan terus hukum dari rupa.”
Farez memandu ke arah gerai. Perutnya memang dari tadi minta diisi.
________________________________________
“Riz, kau nak burger apa?” soal Alif.
“Double Ayam satu.”
Alif turun dan berjalan ke gerai. Syam sedang membalikkan daging burger atas gril.
“Bang, ayam double satu. Benjo satu.”
“Kejap bang.” balas Syam, membetulkan topinya.
“Eh, abang bukan tadi dah beli ke? Takkan sebiji tak cukup. Badan abang kecik, selera gajah ni. Jangan-jangan bela hantu raya?” usik Syam.
Alif tergelak. “Tak lah bang. Ini kawan saya punya. Kami nak ke bandar, takut dia lapar.”
“Kenapa tak call je? Aiman dah bagi kad kan. Tak payah tunggu.”
“Tak plan pun nak beli burger. Bila dia kata belum makan, terpaksa la singgah.”
“Amboi... teruk sangat ke rasa burger saya sampai terpaksa singgah? Aiman tak cakap ke, kalau tak sedap, boleh bakar je kedai ni?” Syam terus mengusik.
“Bukan tak sedap, bang. Kawan saya je tu yang kebulur.” kata Alif sambil ketawa.
“Seorang je malam ni? Mana kawan?”
“Aiman ke? Dia tu biasalah. Kerja dia curi tulang. Mesti tengah ngorat budak kolej depan tu. Muka macam penutup longkang, kerja malas, ada hati nak ngorat anak dara orang.” kata Syam sambil tersengih.
“Kalau dah jodoh, tak ke mana bang. Rupa bukan ukuran.” balas Alif tenang.
Mereka berpandangan seketika. Mata bertentang mata. Jantung Alif berdentum. Terasa mahu melompat keluar, singgah terus ke hati Syam. Lama mereka terdiam — hinggalah bunyi enjin Kawasaki Ninja menyedarkan mereka.
“Ops, ni burger abang.” kata Syam, cepat-cepat menghulurkan bungkusan.
“Berapa?”
“Tak payah. Saya belanja malam ni.” Syam terus berpaling, berlalu membawa dua bungkusan untuk Aiman hantar ke pelanggan lain.
________________________________________
Sepanjang perjalanan, Alif termenung.
“Ya Allah… patutlah Zulaikha boleh terpotong jari tengok Nabi Yusuf. Kalau Syam macam ni, agaknya Nabi Yusuf tu sepuluh kali ganda lagi kacak.”
Farez perasan Alif diam.
“Eh, kau okay ke? Kena sawan?”
Tiada respons.
“Hoi, burger aku mana?”
Masih tiada reaksi.
Farez tepuk paha Alif. Barulah Alif tersentak.
“Apa kau cakap tadi?”
“Burger aku!”
“Ni ha.” Alif hulur bungkusan.
“Eh, kau ni kenapa? Mengelamun sampai aku cakap pun tak dengar.”
“Takde lah... penat tunggu burger tadi. Lama sangat.”
“Ha’ah, aku pun pelik. Kau sorang je kat gerai, tapi burger siap lambat. Kalau macam ni la, memang tak ke mana la bisnes dia. Setengah jam goreng sebiji burger.”
“Rilek la bro. Kita pun datang lambat. Ikut giliran la.”
“Giliran kepala hotak kau. Aku tengok kau sorang je! Tak nampak pelanggan lain pun. Dia jual burger ke jual angin?”
“Kau ni suka sangat menghukum. Sebenarnya, dia ada servis delivery. Banyak pelanggan dia order guna telefon. Dia bukan jual angin, dia jual ‘kemudahan’.”
“Ohh... patut la setiap kali aku lalu tak nampak pelanggan. Rupanya sistem dia canggih juga. Door to door service.”
Alif senyum saja. Tapi dalam hati, dia masih terasa sebahagian jiwanya tertinggal di gerai burger itu — bersama seorang lelaki bernama Syam.
Share this novel