Encik Akram tergamam mendengar luahan bersama amarah dari anaknya Teja Aryana.
“Ayah...ayah minta maaf Teja. Ayah, dah susahkan Teja dari kecil lagi...” ujar Encik Akram dalam nada sayu. Dia memang pandai memujuk untuk melembutkan hati anaknya itu. Kerana itu jugalah Teja mudah simpati dengan rayuannya.
Jiha pula terdiam di belakang suaminya. Anak kecil mereka berusia dua tahun sedang tidur di dalam bilik. Mungkin akan terjaga jika pertengkaran terus berlangsung.
Teja ketap gigi. Segala kepahitan hidupnya terbayang seperti layar kaca di hadapannya.
“Arwah mak...buat nasi lemak, buat kuih dan Teja jual di tepi-tepi jalan. Letak di kantin sekolah. Teja tak sempat nak belajar sebab lebih banyak masa tolong mak. Ayah? Ayah tak habis-habis dengan business tak menjadi. Ayah tipu orang sana-sini sampai semua orang cari kami. Sampai hari ini...ayah tidak berubah, Teja akan cari pak cik sampai lubang cacing dan pastikan dia bertanggungjawab! Termasuklah ayah!” jerit Teja lagi melepaskan segalanya ketika itu.
Encik Akram menapak selangkah ke hadapan.
“Teja, Teja berhutang budi tau dengan Pak Cik Lan...jangan lupa tu...Teja masih muda, masih laku. Kahwin je dengan lelaki kaya yang kejar-kejar Teja tu...semua masalah Teja akan selesai. Datuk Az...”
“Diam!!!!” jerit Teja sekuat hati.
“Ya, memang Teja berhutang budi dengan Pak Cik Lan! Tapi...semua tu tak bermakna kamu berdua boleh gunakan Teja sampai macam ni...” luah Teja sambil menahan getaran suaranya. Dia menahan segalanya yang menghimpit dada. Dia berkerja keras sehingga tidak menikmati zaman remaja seperti orang lain. Hidupnya sudah terikat dengan kontrak dan segalanya diaturkan.
Ketika itu kedengaran suara anak kecil menangis kerana terkejut dengan suara jeritan Teja. Teja melihat ibu tirinya tergesa-gesa berlari ke arah bilik untuk mendapatkan anaknya.
Encik Akram membuat wajah simpati kepada Teja Aryana.
“Teja...kesianlah ayah dan mak cik Teja. Dan jugak adik Teja...Teja je tempat ayah bergantung selama ni. Ayah sudah berusaha keras untuk naikkan nama Teja. Masa awal-awal Teja dilamar jadi pelakon dulu, ayah dan pak cik kamu yang uruskan Teja. Ayah dan pak cik juga, selamatkan karier Teja dulu...Sekarang, bila Teja dah ada pengurus sendiri, dah berjaya, Teja lupakan ayah dan pak cik?” balas Encik Akram kononnya mahu Teja Aryana tidak melupakan kulit.
Teja ketawa sinis. Dia menyeka air mata di tubir mata.
“Bagi ayah dan adik ayah tu...I'm just like a machine that makes money for both of you! Bukannya manusia atau anak ayah...” kali ini Teja menggigit bibir yang bergetar.
Encik Akram tergamam dan hilang kata-kata.
“Suruh pak cik jumpa Teja! Sekurang-kurangnya mengaku salah depan Teja!”
Teja membentak dengan wajah kesal lalu memusingkan badan dan berjalan ke arah pintu.
“Haishh...” rungut Encik Akram lalu duduk di sofa setelah Teja pergi.
“Dia dah nak bankrup...apa patut aku buat ni? Siapa yang akan tanggung keluarga aku nanti. Hutang-hutang aku?” keluh Encik Akram yang sudah hampir 25 tahun tidak bekerja. Jika dahulu arwah isterinya yang bekerja, kemudian dia bergantung kepada Teja Aryana sehingga ke hari ini.
Encik Akram pantas mendail satu nombor di telefon bimbitnya.
*******
Teja masuk ke dalam kenderaannya sambil menghapuskan air mata. Dia sememangnya pelakon yang hebat, tidak dinafikan tidak banyak rakan-rakan artis yang tahu masalahnya. Walaupun latar belakangnya dari keluarga yang susah itu diketahui ramai. Sehinggakan dijadikan kisah-kisah inspirasi.
“Dari Remaja Menjual Nasi Lemak, berubah Menjadi Ratu Filem.”
Itulah antara tajuk yang pernah digunakan oleh media-media ketika di puncak kejayaannya.
Noorul pantas menolak gear D untuk bergerak. Ketika dalam perjalanan ke set penggambaran, Teja Aryana diam dan termenung sehingga Noorul tidak berani mengganggu wanita itu.
“Cepat Noorul! Kita tak boleh lambat ke set!Saya tak nak orang tunggu saya.”
“Baik, Cik Teja.”
Noorul terus menekan pedal minyak. Dia tahu Teja Aryana seorang pelakon yang sangat berdisiplin tinggi walaupun dia adalah star dalam setiap filem atau drama. Kadang-kadang pelakon baru dan watak sampingan yang selalu buat spoil. Teja Aryana walaupun masih muda, dia sudah lama di dalam industri, kariernya bermula sejak usianya 17 tahun.
Teja Aryana mendapat keputusan SPM hanya cukup-cukup makan, dia akui tidak pandai dalam pelajaran, tetapi dia mempunyai kelebihan dan memiliki bakat semula jadi serta kecantikan yang luar biasa. Itu adalah anugerah.
*******
Teja tertidur sehingga matahari naik meninggi. Dia terjaga sendiri apabila terasa mahu ke tandas. Tangannya meraba di bawah bantal mencari telefon bimbitnya.
Jam 10 pagi! Bulat mata Teja ketika itu! Dia pantas bangun tetapi kepalanya pula terasa sakit dek bangun dengan mengejut.
Setelah terasa kepalanya ringan kembali, dia memeriksa pesanan masuk di dalam Telegram.
-Teja, jadual awak pagi ni kosong. Jemmy batalkan jadual shooting pagi ni sebab hero awak MC.- Qistina
“Ciss!! Tak habis-habis MC! Bila nak habis shooting kalau macam ni. Patutlah si Noorul tak panggil aku. Hmm...tapi dapatlah tidur lama sikit...” keluh Teja.
Dia pulang ke rumah jam 4 pagi setelah selesai penggambaran di luar daerah. Sepatutnya jam 11 pagi ini ada penggambaran lagi bagi drama 25 episod. Tidur tidak cukup itu biasa, dia pernah seminggu tidak cukup tidur sehingga jatuh pengsan di set penggambaran. Perkara itu biasa dan sangat biasa, tetapi netizen tidak pernah tahu betapa peritnya seorang artis itu hendak mendapatkan rezeki. Mereka bukan hanya nampak glamor semata-mata, tetapi setiap penat lelah mereka adalah di sebalik tabir. Namun, Teja Aryana enjoy dan menyukai kerjaya itu.
Apa lagi kerja yang dia boleh buat? Dia bukan ada ijazah atau pandai berniaga. Pernah cuba tetapi berkali-kali ditipu. Perit sangat perit hidup dalam dunia glamor ini. Paling sukar untuk mempercayai sesiapa.
Teja duduk di sofa setelah selesai mandi sambil menonton drama lakonannya di kaca TV. Kebetulan pula dramanya ditayangkan walaupun hanya ulangan. Sesekali Teja ketawa melihat wajahnya di skrin.
“Buruknya aku menangis...ya Allah!” kutuknya pada diri sendiri.
Ting!
Kedengaran loceng Penthousenya berbunyi. Ah! Kalau si Noorul dan Qistina mereka berdua sudah tahu password.
Benar, Noorul muncul bersama seseorang di belakangnya.
“Cik Teja!!” tegur Noorul dengan riang. Di tangannya terdapat bungkusan makanan di kiri dan kanan.
“Laura!!” jerit Teja apabila melihat sahabatnya Laura turut datang bersama Noorul.
“Kami jumpa di bawah tadi, aku memang datang nak melawat kau, Teja. Eee... rindu!!” jerit Laura lalu mereka berdua berpelukan erat sambil melompat riang.
Noorul turut tersenyum melihat dua sahabat sejati itu. Teja Aryana tidak punya ramai sahabat, kawan-kawan di waktu senang dan sekadar mahu enjoy tu ramailah.
“Nasib baik aku takde shooting siang ni...baru dapat lepak kat rumah.” kata Teja bersama satu perasaan lega.
Mereka duduk bersebelahan di atas sofa. Laura mengambil bantal kecil lalu dipeluk ke dada.
“Aku dengar kau kena diet. Tu aku beli roti wholemeal kat kau dengan pisang Cavendish. Hadaplah kau!” seloroh Laura.
Noorul mengangkat pisang lalu dikupas sebiji kepada Teja.
“Aduhaii...boleh pengsan aku atas runway malam ni!” keluh Teja sambil mengambil pisang di tangan Noorul.
“Alah...ramai je yang nak sambut kau kat situ...” usik Laura sambil tersengih suka.
“Please laa...aku sanggup patah kaki dari kena sambut.”
“Sembang, gajah boleh terbang!” Laura terus ketawa.
“Cik Pematah Hati...telefon aku ni sikit nak meletup sebab skandal-skandal kau telefon tau. Suruh aku pujuk engkau!” bahas Laura lagi.
Teja mengunyah pisang walaupun hampir loya juga kerana dia mahukan nasi!
“Alah...aku tak pernah bagi diorang harapan. Diorang yang terlalu berharap. Bukan salah aku...” kata Teja dengan selamba.
Noorul tersengih sahaja mendengar perbualan Laura dan Teja. Laura adalah seorang pembaca berita dan telah bertunang dengan seorang ahli perniagaan. Perkenalannya dengan Teja sejak di awal karier Teja Aryana ketika wanita itu menjadi wartawan hiburan. Oleh itu, sepak terajang dunia hiburan sememangnya di dalam tangan Laura. Beza usia antara Laura dan Teja adalah 5 tahun, namun mereka lebih suka berbual dengan santai.
“Teja! Pasal kes tu...betul ke?” soal Laura dengan serius kali ini.
Teja mengerling sekilas kepada Laura.
“Ya, aku dah dapat surat mahkamah. Tak lama lagi aku kena naik mahkamah. Satu Malaysia akan tahu aku bankrup nanti.”
Laura terus melepaskan keluhan berat.
“Eee...tak guna punya Azlan! Kau tu kenapa lembut hati sangat dengan diorang? Diorang dah eksploitasi kau dari dulu kut! Kau bekerja keras sampai sakit-sakit, semata-mata nak bayar hutang diorang! Hal ni memang aku tak setuju dengan kau!” marah Laura.
“Kalau aku jumpa Azlan memang aku tanam dia hidup-hidup!” sambung Laura lagi melepaskan amarahnya di pihak Teja Aryana.
“Dia dah lari...entah ke mana dia sembunyi. Akulah kena tanggung sekarang...” balas Laura.
“Kau tau tak, kalau kau muflis, kau tak boleh ke luar negara, sedangkan kerja kau sebagai pelakon memang selalu kena shooting kat overseas. Setelah kau diisytiharkan muflis, kau akan berada dibawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). KPI akan mentadbir semua asset kau dan mengendalikannya untuk membayar hutang. Jadi setelah muflis, kesemua aset kau akan diletakkan dibawahan pengendalian KPI. Ehh, ayah dan pak cik kau tak fikir ke semua ni? Aku orang luar ni pun tak dapat bayangkan tahu tak!” luah Laura.
Teja tiba-tiba terasa air matanya bergenang. Dia tidak dapat menghabiskan pisang itu.
Laura terus berganjak merapati Teja Aryana lalu menarik wanita itu dalam pelukannya.
“Aku akan habis, kan? Segala yang aku usahakan selama ni? Tolong beritahu aku? Apa yang aku harus buat sekarang? Aku bekerja bagai nak mati semata-mata untuk bayar hutang orang lain yang gunakan nama aku sebagai penjamin!”
“Semuanya tak berakhir semudah tu. Aku cuma luah perasaan je. Kau akan bangkit semula...ramai rakan-rakan artis yang bankrup dapat bangkit semula. Cuma...kes kau ni terlalu menyakitkan hati. Diorang bankrup sebab tak pandai uruskan wang, tapi kau kena anaiya!”
Teja terus melepaskan pelukan. Dia menyeka air mata lalu memandang Laura tepat. Ini bukan masa untuk meratap!
“Apa aku harus buat, Laura? Please help me!”
Laura terdiam. Dia membalas renungan Teja Aryana yang benar-benar terdesak itu.
“Marry a super rich man!” terpacul cadangan spontan itu dari mulut Laura.
“Gila! Sama je macam ayah aku kau ni. Tak habis-habis kena cari lelaki kaya untuk selesaikan masalah.”
“Sayang! Kau ingat...ramai-ramai kawan artis kau tu kahwin dengan lelaki kaya sebab cinta ke? Kebanyakan sebab duitlah...sebab itulah muka tak siap pun diorang tak kisah! Teja...masa inilah kau kena gunakan kelebihan kau. Kau fikir siapa lagi boleh tolong kau? Kau nak bayar macam mana hutang-hutang tu semua? Kau kerja teruk-teruk tapi kau tak dapat apa. Semuanya kena bayar hutang. Itupun kalau kau masih dapat job lepas ni...” ujar Laura panjang lebar.
“Arghh!! Serabutlahhh...” jerit Teja lalu dia sembam muka di bantal peluk.
“Aku just bagi cadangan okey...aku sayangkan kau. Aku tak nak tengok hidup kau hancur. Sebelum kau jatuh kau kena cari masa depan yang kukuh. Sementara kau masih berada dalam list VVIP.” kata Laura lagi. Ya, Teja Aryana berada dalam list teratas para VVIP yang mahu menyuntiknya menjadi isteri mahupun perempuan simpanan.
Teja terus mengangkat muka memandang Laura.
“Kau rasa...siapa?” tiba-tiba Teja terpaksa mengutarakan soalan itu.
Laura tersengih meleret mendengar soalan Teja Aryana.
“Datuk Azman dah lama tergila-gilakan kau, Tuan Halim Pengerusi AWIRA pun dah lama menduda sebab tunggu kau, belum lagi menteri-menteri. Yang muda-muda anak VVIP pun bersepah dm kau ajak keluar. Tunggu kau cakap ye je...”
“Ahh... bosanlah diorang! Aku nak...” Teja mengetap bibir lalu memandang ke hadapan.
“Kau nak yang macam mana? Aku boleh tolong!” janji Laura yang kelihatan bersemangat.
“Lelaki edisi terhad...”
Serentak Laura dan Noorul ketawa.
“Kalau dah nama pun edisi terhad, mana nak cari kat Malaysia ni? Kalau ada pun aku ambil dulu! Buat apa bagi kau!” seloroh Laura sambil ketawa.
Teja terus menampar bahu Laura.
“Aku tak kira kau kena carikan jugak! Siapa suruh kau cadang tadi kan?!”
“Hmm...” Laura menggaru dagunya.
“Rasanya... stok limited edition ni ada...tapi...kau kena try hard sikit la...”
“Come on lah...ini Teja Aryana tau...” balas Teja dengan wajah lagaknya.
Laura tersenyum melihat Teja kembali bersemangat.
“Okey...we will see...” ujar Laura sambil mengangkat kening.
Teja terus menyilang kaki kanan ke atas paha kiri. Dia tersengih kepada Laura. Adakah ini pilihan terakhir?
*******
Share this novel
versi takde ke?
jahatnya ayah dia. pemalas nak kerja. memeras anak pulak. lagi ajak adik sekali menyusahkan anak. apa punya ayah la ni