BAB 14

Humor Completed 12899

MATAKU terpaku melihat ke dalam restoran di hadapanku. Kelihatan Fahrin sedang berbual mesra dengan seorang perempuan. Sekali sekala kelihatan Fahrin menyudu makanan di pinggan perempuan itu. Dan perempuan itu juga akan menyudu makanan yang berada di pinggan Fahrin.

Oh… drama apakah ini? Aku baru sahaja bersetuju untuk menerima pinangan Encik Zack. Dan aku belum pun sempat untuk membincangkan hal ini kepada Fahrin. Tetapi Fahrin sudah pun mencari perempuan lain.

Semenjak kejadian di rumah sedikit masa lalu, Fahrin tidak pernah menghubungiku. Pada mulanya aku mengandaikan mungkin Fahrin dihalang oleh Puan Khadijah. Tetapi kini….. persepsi aku terhadap Fahrin sudah berubah. Pasti perempuan itu ialah teman wanita baru Fahrin, calon menantu pilihan Puan Khadijah. Patutlah sejak kejadian itu Fahrin terus menyepi. Rupa-rupanya….

Kali ini aku bertekad. Aku akan menamatkan semuanya pada hari ini juga! Aku menghampiri meja pasangan dua sejoli itu.

“Assalamualaikum,” tegurku sebaik sahaja sampai di tepi meja tersebut.

Spontan Fahrin dan perempuan itu menoleh ke arahku.

“Fiona?” Ternyata Fahrin amat terkejut dengan kehadiranku.

“Siapa ni?” Perempuan itu bertanya kepada Fahrin.

“Ini…”

“Saya Fiona. Kawan Fahrin. Hmm… alang-alang dah terserempak ni, saya nak jemput kalian berdua ke majlis perkahwinan saya. Bila kad undangan saya siap dicetak nanti, saya akan bagi pada kalian ya. Terima kasih. Saya undur diri dulu. Assalamualaikum!” Aku terus meninggalkan mereka.

Sebenarnya satu persiapan perkahwinan pun aku dan Encik Zack belum laksanakan lagi. Aku sengaja berkata seperti itu demi memuaskan hatiku. Ah! Biarlah…. lambat laun aku akan memberitahu Fahrin juga tentang perkara ini.

Kini mak pasti sedang berbincang dengan Encik Zack tentang persiapan perkahwinan.

“Fiona! Tunggu…” Aku sudah tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Dan aku tidak akan menoleh ke belakang lagi!

Selamat tinggal, Fahrin.

Hanya aku dan Puan Khadijah sahaja yang tahu apakah perkara yang sebenarnya terjadi. Hanya kerana ais di Makmal Sains 9, Puan Khadijah telah membenci aku. Hanya kerana ais itu juga, aku kehilanganmu, Fahrin. Dan hanya kerana ais itu… aku menerima dia, iaitu Encik Zack.

Ya-Allah, aku menerima ketentuan-Mu dengan setulus hatiku. Mulai saat ini, aku akan membuka pintu hatiku khas buat Encik Zack.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience