Bab 3

Romance Completed 26635

Sesungguhnya Fikri sendiri seolah-olah lupa bernafas sebaik ternampak kelibat Nurbaya memasuki MPH. Sengaja dia mengikut gadis itu tanpa disedari untuk memastikan dia memang Nurbaya yang dirindui sejak sekian lama.

“Aku rindukan kau Baya.” Perlahan dia meluahkan kerinduan itu kepada gambar Nurbaya yang tersenyum riang memakai pakaian seragam sekolah. Gambar yang menjadi peneman sejak dia kehilangan gadis itu 10 tahun lalu. Sejak dia menjadi dajal memporak perandakan hidup Nurbaya.

Sesampai di rumah, Nurbaya terus ke biliknya. Sapaan Adlina tidak dihiraukan. Dia menghempaskan diri di atas katil dengan air mata yang setia menemani sejak pertemuan dengan Fikri.

“Mak, tolong Baya mak. Baya tak mahu dia. Baya tak nak dia, mak.” Nurbaya merintih sendirian. Tanpa diminta peristiwa ketika dia masih bergelar Si Manis 17 bermain-main diingatan.

Sebagai ketua penolong pengawas, hubungan Nurbaya Zainudin dengan Fikri Ismail yang seringkali melanggar peraturan sekolah tidak pernah aman. Bukan sekali dua dia menangkap Fikri menghisap rokok, menconteng dinding, merosakkan harta benda sekolah dan menceroboh makmal.

Yang menghairankan ialah mengapa Fikri yang menjadi sasaran kemarahannya. Tidak pula Muhaimin, Iskandar dan Hadi yang turut sekepala dengannya melanggar peraturan sekolah.

Dia mahu menafikan tetapi terpaksa akur kepada kehendak hati. Nurbaya terpaksa mengaku, Fikri satu-satunya lelaki yang berjaya menggetarkan hati remajanya. Malah pada usia belasan tahun itu, dia memasang angan-angan untuk hidup bahagia dengan Fikri. Mengapa dia beria-ia melaporkan setiap kesalahan Fikri ialah kerana dia tidak mahu lelaki itu terus hanyut.

Nurbaya sendiri tidak tahu mengapa Fikri yang menjadi pilihan. Ketika pelajar perempuan lain begitu menggilai Zikri yang punya segala-galanya; rupa kerana ibunya berdarah Irish, bijak dan kaya, dia pula dalam diam-diam meminati Fikri – yang dianggap Cikgu Malik, guru disiplin mereka, sebagai pelajar paling bermasalah pernah ditemui sejak menjadi pendidik.

“Aku hairan betul dengan kau. Zikri dengan cikgu Fuad tu punyala minatkan kau, si Fikri juga yang kau suka. Dengan rambut kerinting afro tu, kulit ala kopi o pekat. Kurus kering pulak tu. Ok, aku mengakulah dia sweet. Boleh cair kalau dia senyum tapi macam mana pun, aku rasa kalau letak sebelah Zikri atau cikgu Fuad, confirm dia kalah. Kalah teruk tu.” Ujar Adlina, sahabat karibnya ketika dia meluahkan perasaan satu ketika dulu.

Nurbaya hanya mampu tersenyum dengan omelan Adlina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience