Aidil memandang sayu wajah puan Kartini yang sedang terlantar di atas katil hospital, dan masih tidak sedarkan diri. Doktor telah mengesahkan bahawa ibunya telah menghidap penyakit serangan jantung. Namun, masih di tahap yang ringan. Walaupun begitu, Aidil tetap saja merisaukan keadaan ibunya. Anak mana yang tidak sayang ibu, kan? Patutlah tadi tergerak hati untuk balik ke rumah. Rupanya, ibunya sudah terlentang di atas lantai ruang tamu.
Dia mencapai telefon pintar miliknya sebelum menghubungi isterinya. Dari tadi isterinya itu tiada khabar meskipun pesanan telah dihantar. Entah kemana saja wanita itu pergi. Panggilan yang boleh dikatakan berpuluh-puluh, juga tidak disambut. Menghubungi isteri sendiri seperti sedang menghubungi artis terkenal. Susah sangatkah hendak jawab call?!
Aidil kembali duduk. Sedikit kesal dengan perangai Ria Neldia apabila panggilannya ditolak sebentar tadi. Pesanan yang dihantar hanya dibaca tanpa sebarang respon. Hati Aidil bagai dicakar-cakar saat ini. Neldia sedikit pun tidak menghiraukan keadaan puan Kartini. Kecewa. Sangat kecewa.
“Aidil...” panggilan daripada puan Kartini dapat di dengar meskipun suara itu agak perlahan. Tangan wanita itu mula bergerak ingin mencapai kelibat anaknya. Segera Aidil mencapai dan menggenggam erat tangan yang dikasihinya itu.
“Ibu nak air ke? atau ada rasa sakit dekat mana-mana? Tunggu sekejap, Aidil panggil doktor dulu,” sedikit huru-hara lelaki itu. Gusar hatinya melihat wanita itu menderita menahan sakit. Wanita itu yang membesarkan dirinya. Sejahat mana pun, wanita itu tetap syurganya. Tidak dapat dijelaskan dengan bait-bait perkataan bertapa besar kasih dan sayangnya terhadap Puan Kartini.
“Tak perlu panggil doktor. Ibu tak rasa sakit pun. Kepala ibu je pening sikit. Eh, kamu seorang je? Neldia mana?” tanya Puan Kartini selepas mencegah anaknya daripada memanggil doktor.
“Aidil tak tahu Neldia dekat mana. Dia tak ada cakap pula dengan Aidil pergi mana. Banyak kali cuba call, tapi dia tak angkat. Ibu jangan fikir pasal dia. Kesihatan ibu lagi penting,” ujar Aidil penuh prihatin terhadap kesihatan ibunya.
“Ibu nak makan? Aidil ada beli makanan ni. Aidil suapkan, ya?” dia mula membuka bungkusan makanan yang terdapat di atas meja bersebelahan dengan katil pesakit.
“Ibu tak lapar lagi, Aidil. Duduklah, dulu. Sebenarnya, ada benda ibu nak cakap dengan kamu...” sengaja puan Kartini tidak meneruskan ayatnya.
Hasrat Aidil untuk memberi makan kepada ibunya berhenti serta-merta. Dia melabuhkan semula punggung pada kerusi itu. Tiba-tiba, rasa ingin tahu melonjak-lonjak di dalam hati. Riak wajah dan nada puan Kartini sebentar tadi, seakan-akan ingin menyampaikan sesuatu perkara penting. Mula timbul seribu satu soalan di ruang minda lelaki itu.
Wajah ibunya ditenung lama. “Pasal apa, ibu?” tanya Aidil, sudah tidak sabar.
Puan Kartini mengeluh perlahan sebelum menjawab. “Pasal isteri kamu. Perangai dia dah buat ibu kecewa. Tak sangka dia boleh buat macam tu...” Nada puan Kartini semakin lama semakin kendur. Terkejut, terkilan dan kecewa. Semua bercampur dalam satu adunan. Tak habis fikir wanita itu dengan tingkah Ria Neldia. Perasaan sayang kepada menantunya tidak lagi kekal dalam dirinya. Sedikit demi sedikit, perasaan benci mula terbit di sanubari.
Berkerut dahi Aidil saat mendengar luahan ibunya. “Apa Neldia buat dengan ibu? Dia berkasar dengan ibu? Dia pukul ibu?” soal Aidil bertubi-tubi.
“Tadi, ibu tanya pasal zuriat. Tiba-tiba, dia berkasar dengan ibu. Tak sangka sangat dia boleh sensitif pasal zuriat ni. Ibu bukan apa, orang lain dah dua anak, kamu berdua tanda-tanda nak ada anak pun tak ada lagi. Yelah, macam mana nak ada anak, kalau perempuan tu tak bersedia lagi,” bebel Puan Kartini panjang lebar dan sengaja menekan nada diakhir ayat.
“Jadi, ibu dah tahu? Maafkan Aidil sebab sorok pasal benda ni. Aidil pun tak tahu nak buat macam mana lagi...” balas Aidil. Hatinya sudah tidak senang dengan perkara yang baru saja disampaikan oleh Puan Kartini. Kalau betul sensitif dengar perkataan zuriat, tak kan sampai nak berkasar dengan ibu mentua sendiri? Dia sendiri tahu bagaimana keakraban ibunya dengan Neldia. Tak kan boleh sampai jadi macam ni?
“Baik kamu nasihat isteri kamu tu. Tak lama boleh mati ibu dibuatnya,” ujar puan Kartini dengan tegas.
Aidil mengangguk. “Aidil cuba nasihat dia. Aidil minta maaf sangat atas perbuatan Neldia...”
“Kalau kamu tak boleh nasihatkan dia, tahulah ibu kerjakan dia macam mana! Uhuk, uhuk” Aidil segera memberi air putih kepada puan Kartini.
“Dahlah tu, ibu. Biar Aidil selesaikan semua ni. Ibu kena rehat,” pesan Aidil.
Siang berhenti bekerja, malam pula menyusul. Dunia diterangi oleh cahaya rembulan dan cahaya lampu yang terang bersinar disekitar kawasan perumahan itu. Di suatu sudut ruangan, terlihat seorang lelaki masih gigih menunggu kedatangan isterinya meskipun sudah larut malam. Dia pasti, tidak lama lagi wanita itu akan pulang sebentar saja lagi.
Luahan puan Kartini siang tadi. masih segar melekat pada ingatan seorang Aidil Hakimi. Apa yang didengarnya berkenaan sifat Neldia sudah dapat didefinisikan sebagai manusia tidak beradab. Sesekali, Aidil merengus kasar apabila teringat kata-kata puan Kartini. Tidak dapat dinafikan lagi, dia telah gagal menjadi seorang suami untuk membimbing isterinya sendiri.
Dalam menyalahkan diri sendiri, terselit juga api kemarahan yang terbungkus rapi di dalam hati. Semoga saja dirinya dapat mengawal emosi. Risau juga kalau dirinya terlalu emosi sehingga bersikap dayus kepada isterinya. Cukuplah dia pernah bersikap dayus terhadap Putri Hanis. Sampai saat ini, dia masih gagal untuk memaafkan kesalahan sendiri meskipun bekas isterinya itu sudah memaafkannya.
Sedang meladeni perasaannya, kedengaran tombol pintu rumah seakan dipulas dari luar rumah. Nampaknya, isterinya sudah pun balik. Jam di kerling sekilas, sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Pintu tersebut dikuak luas. Terlihatlah figura seorang Ria Neldia sedang melangkah masuk berserta wajah seolah-olah tiada beban di pikul. Entah dari mana saja wanita itu. Tajam pandangan Aidil saat itu. Rahangnya sudah bergerak menahan amarah yang terbuku.
“Eh, you tunggu i ke? Ala, lupalah nak mesej you tadi,” ujar Neldia seolah-olah tiada apa yang berlaku di dalam rumah tu. Pintu ditutup rapat sebelum menapak menghampiri suaminya.
“Mana you pergi? Call tak sambut, mesej pun tak balas. Ibu masuk hospital, sikit pun you tak kisah. Menantu jenis apa you ni?!” marah Aidil. Sedikit demi sedikit, amarah itu terlepas dari penjaranya.
Neldia mencebik. “Ibu bukan sakit teruk pun, kan? Lagipun, doktor ada. Biarlah diaorang buat kerja jaga dan rawat ibu,” Selamba wanita itu menjawab.
“Tak teruk? Ibu disahkan kena serangan jantung, you kata tak teruk?! Kalau ibu mati tadi, you boleh ganti ke nyawa dia?! Kalau ibu mati, memanglah you tak sedih. Sebab hiburan you lagi penting daripada ibu! Tak tahu nak cakap apa lagi dengan perangai biadab you ni!”
“Sekarang ni you nak salahkan i ke?” tanya Neldia, tidak berpuas hati. Keluhan kasar dilepaskan saat itu juga.
“Tak kan i nak salahkan cicak pula! Ibu dah ceritakan semua pada I. Jadi, you jangan nak berdalih. Disebabkan sikap you, ibu masuk hospital. I tak pernah ajar you berkasar dengan ibu tau!” tegang saraf-saraf di otak Aidil saat itu. Neldia selalu saja mengikis tahap kesabaran dirinya.
Wajah menyampah ditayangkan oleh Neldia. Dia menarik nafas dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. “Pandai rupanya ibu mengadu dengan you. Haih, manja sangat! Tapi, you kena tahu satu benda ni, i tak akan berkasar kalau ibu tak mulakan dulu tau?” Dia berhenti buat seketika.
“You tahu kan, i tak suka soalan tentang zuriat. I dah jawab baik-baik dengan ibu. Tapi, dia? Ish, tak faham betullah! Memang patut ibu diberi pelajaran macam tu! Ikut kan hati...arghh!” menjerit Neldia dibuatnya saat Aidil mengangkat tangan ingin menampar dirinya. Nasib saja Aidil masih boleh mengawal perasaan pada masa itu. Lelaki itu merengus kasar. Terasa getaran cemas yang menyelimuti dirinya.
“I paling benci orang berkasar dengan ibu i. You jangan main-main, Neldia!” jari telunjuk Aidil menuding kepada Neldia saat itu. Seolah-olah memberi amaran keras kepada isterinya.
“Abang... Is everything okay?” kedua pasangan yang berada di ruang tamu segera menoleh ke arah wanita yang baru sahaja memunculkan diri. Wanita berbadan dua itu perlahan-lahan menghampiri lelaki itu. Tangan Aidil mula melingkar pada pinggang dan sebuah ciuman dihinggapkan pada dahi wanita itu.
Usah dikata perasaan Neldia saat itu. Melihat kemesraan yang berlaku di depan mata merupakan kejutan besar bagi seorang Ria Neldia. Detak jantungnya tidak teratur saat ini. Tidak tahu mana satu yang ingin mendahului. Marah atau menangis?
“Kenapa bangun ni? Maaf kalau suara abang mengganggu lena sayang. Dah pergi sambung tidur semula,”
Neldia menggeleng seolah tidak percaya. Panas telinga mendengar perkataan 'sayang' yang keluar dari mulut suaminya. Senyuman yang terukir pada wajah lelaki itu, sudah menciptakan satu luka besar di hati Neldia. Jujur, dia tidak kuat!
“Who is she?” tanya Neldia dengan perasaan terkilan yang masih tersisa. Naik turun nafasnya menunggu jawapan.
“Faresha, isteri I,”
*****
Happy reading everyone <33
Share this novel