BAB 3

Family Completed 7198

“MACAM MANA?” soal Kax pada Adra usai berjemaah Maghrib bersama. Waktu ini mama dah keluar daripada bilik solat untuk ke dapur menyediakan makan malam. Boleh nampak Kax dan Adra.

Kax tarik kopiah. Diraup rambut beberapa kali sambil mengerling pada Adra yang nampak suci bertelekung putih pemberian mama.

“Alhamdulillah, baik…” Adra menjawab sambil membelek buku sirah Maryam yang Kax berikan. Bagaimana Maryam menghadapi tohmahan kerana mengandung tanpa suami atas kehendak Allah, lantas dipulaukan. Apatah lagi dia yang memang berbuat kesalahan tapi masih ada yang sudi membantu. Tidakkah dia patut berterima kasih?

“Ada cuba telefon keluarga Adra?” tanya Kax jujur. Tiada berselindung kerana setiap hari dia ingatkan Adra tentang orang tua.

Cuba cari kemaafan ibubapa. Andai diherdik-dimaki, cuba lagi. Seperti mana dia pujuk mama izinkan Adra tinggal di sini sementara semangat dan jiwa Adra pulih.

“Ada telefon tapi…” Suara Adra mati. Dia ingat semalam dia telefon mummy tapi mummy letak begitu saja saat dia mengucapkan salam. Hina sangatkah salam pesalah macam dia? Teruk sangat ke? Kalau ini dikatakan kifarah, dia reda terima.

Kax angguk, mengerti. “Jangan putus asa. Mama abang cakap, marah orang tua ni sebab sayang. Kalau kata parents Adra tak marah masa tu, Adra mungkin tak jadi orang dah. Dah rasa susah dan berdosa, barulah kita sedar diri yang kita ni manusia yang selalu silap,” ujar Kax sinis.

Adra ketap bibir. Hatinya pedih disindir dan dia dah biasa begitu. Lagipun, sinis Kax patut. Manusia ni kalau tak jatuh, tak terngadah. Dah jatuh terhantuk barulah tahu sakitnya. Adra berpaling ke belakang. Melihat pada mama yang ada di dapur. Dia pun mahu bantu tapi, dia masih mahu berbual dengan Kax sesaat dua lagi. Adra pandang Kax dan hatinya tersenyum lebar biarpun bibir bergetar pilu.

“Adra nak tanya ni. Mama abang ikhlas ke bagi Adra tinggal sini sementara?”

Kax senyum tanpa memandang Adra. “Kalau tak ikhlas, dia dah halau Adra keluar dah. Masa tu abang tak boleh buat apa-apa lagi…” Matanya naik memandang Adra. Kening lebatnya terjongket sedikit. “Kenapa? Tak selesa?”

Adra angguk. “Rasa menyusahkan…” Segaris senyuman kelat terlakar. Hatinya berbisik. Mama abang tak suka Adra.

“Abang nak tanya Adra pulak…” Kax selesa biasakan dirinya abang. Lagipun, Adra baru menjejak 21 tahun. Dia sudah mencecah 26 tahun. Beza jauh. “Abang ni dah biasa tengok orang jatuh bangun untuk pelbagai sebab. Masa abang dekat Australia beberapa tahun, bukan sekali dua dan bukan seorang dua abang tengok kawan-kawan abang, Melayu, Muslim – kalah pada nafsu. Jatuh tersungkur tapi masih tak insaf. Kalau kata insaf pun, dua hari je.

Nikmat hidup katanya.” Nafas dihela dalam sebelum menyambung. “Nikmat hidup ni, apabila kita bahagia dalam reda Tuhan. Abang tahu Adra sesal sungguh. Dosa kita ni, kadang-kadang Allah balas dekat dunia dan kalau tak pun, di akhirat. Kalau kata dunia dah menderita dengan dosa sendiri, dekat akhirat nanti apatah lagi. Kita tak tahu sakitnya azab Allah macam mana tapi kita percaya yang azab itu menyakitkan. Abang harap, Adra istiqamah.

Kukuhkan hati demi Allah. Jangan toleh belakang lagi. Tinggal segala yang buruk dan menjijikkan tu. Abang ni penyebab je yang Allah hantar. Mungkin…” Kax mencebek. Dalam hati menyimpan senyum. “Tapi, diri Adra sendiri dan Allah jelah yang boleh bantu. Mama dan abang, hanya boleh bagi semangat dan nasihat. Adra ni dah kira beruntung tahu, sebab jumpa abang…” Ceh, perasan sendiri. Kax ketawa.

Hati Adra tersentuh. Dia angguk berkali-kali. Birai matanya basah. “Terima kasih dekat abang dan mama abang. Tapi, Adra tak boleh selamanya ada dekat sini. Sampai masa, Adra akan keluar dan hidup sendiri…” Senyuman tergaris hambar. Tapi, sudah cukup membuatkan Kax terpaku sesaat.

“Kalau kata nak dok selamanya pun, apa salahnya,” balas Kax selamba lantas dia bangkit keluar daripada bilik solat. Menghampiri mama yang sedang menyediakan makan malam.

Adra terpaku. Mencari makna kata-kata Kax padanya yang sudah terlalu pudar warnanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience