Setibanya di masjid berhampiran rumah, ibu membawa aku ke bahagian
perempuan. Memandangkan azan isyak baru saja selesai berkumandang, aku
mengikut ibu menunaikan sembahyang isyak.
Usai menunaikan sembahyang isyak, kami duduk sebentar
sementara menanti imam masjid memulakan sembahyang tarawih. Beberapa
minit kemudian, imam masjid mula meminta para jemaah bangun untuk
menunaikan sembahyang tarawih. Aku hanya mengikut saja apa yang ibu
lakukan. Sesekali aku turut membaca surah yang pernah aku hafal.
Selesai saja mengerjakan sembahyang tarawih dan bersalaman
dengan jemaah lain, ibu mengajak aku pulang.
Aku mula bangkit dan mengekori ibu dari belakang. Keluar
sahaja di pintu pagar, ayah dan Along sudah sedia menanti dan kami
berjalan beriringan menuju ke rumah.
“Macam mana sembahyang tarawih tadi, seronok tak?” soal ayah
kepadaku.
“Seronok… esok Mia nak pergi lagi boleh tak ayah?”
“Boleh… bukan setakat esok je, hari-hari ayah dengan ibu
boleh bawak Mia,” jawab ayah.
“Yeay… yeay…” sorakku kesukaan.
Ibu menggosok-gosok bahuku sambil tersenyum.
*****
Ibu masuk ke bilik aku ketika aku sudah bersedia untuk tidur. Ibu
melabuhkan punggung di atas katil. “Mia, umur Mia dah berapa tahun?”
soal ibu sambil mengelus-ngelus kepalaku.
“6 tahun…” jawabku sepatah.
“Dah besar pun anak ibu ni. Esok ibu nak Mia puasa..” kata ibu.
“Puasa tu apa bu?” jawabku sambil mengerut dahi.
“Puasa tu maksudnya menahan diri dari makan dan minum, dari
terbit fajar hingga terbenam matahari,” jelas ibu sambil tersenyum.
Makin berkerut dahi aku. “Tak fahamlah ibu.”
Ibu menarik nafas perlahan. “Macam ni, setiap kali tiba
bulan ramadhan, seluruh umat islam wajib berpuasa. Kita tak dibenarkan
makan atau minum dari siang sampai malam. Bila masuk azan maghrib
barulah kita dibenarkan makan.” Ibu cuba menjelaskan dalam bahasa yang
mudah untuk aku faham.
“Boleh matilah kalau macam tu.”
“Kenapa pulak boleh mati?” soal ibu ingin tahu.
“Ibu cakap tak boleh makan dari siang sampai malam. Kalau
tak makan, kan boleh mati!” terangku.
Ibu ketawa mendengar jawapanku. “Mia... Mia... belum ada
lagi orang yang mati sebab berpuasa ni tau. Sebelum subuh, kita akan
bersahur dulu. Bersahur ni pun ada kelebihannya tau Mia...”
“Apa kelebihannya ibu?” Aku mula bangkit dari pembaringan
rasa teruja mahu mendengar cerita ibu.
“Kelebihan dia, dapat memberi kekuatan kepada orang yang
berpuasa pada siang hari, kita akan mendapat pahala dan kita juga akan
memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari kita melaksanakan
ibadat puasa,” cerita ibu lagi.
“Kalau macam tu, Mia nak puasalah ibu.”
Ibu tersenyum. “Memandangkan Mia baru nak belajar berpuasa,
ibu benarkan Mia berpuasa separuh hari dulu. Tahun depan, kalau dah
boleh puasa penuh, baru Mia puasa penuh.”
Aku hanya mengangguk.
“Sekarang tidur. Esok nak sahur ibu kejutkan.”
Aku membaringkan badanku semula.
Selepas mengucup dahiku, ibu mula melangkah keluar dari bilik.
*****
‘’Hishh budak ni, Mia, Mia bangun nak…”
Tidurku terganggu dengan panggilan ibu. “Mia mengantuklah
ibu.” Aku mengerengkan badan membelakangi ibu.
“Mia kata nak puasa, kan? Kalau tak sahur, macam mana nak
ada tenaga? bangun nak…” pujuk ibu.
Mataku terbuka luas. Pantas aku bangun menuruni katil lalu
melangkah keluar bilik.
“Eh, Mia nak kemana tu?” panggil ibu.
“Nak bersahurlah bu,” jawabku sambil menggeliat sepuasnya.
“Kalau iya pun nak bersahur, basuhlah muka dulu.” Menggeleng
kepala ibu melihat gelagat aku.
“Eh, lupa pulak… hehehe…” Aku melangkah ke bilik air
untuk membasuh muka dan menggosok gigi. Selesai menggosok gigi, aku
menuruti ibu ke ruang tamu. Ayah dan Along sudah sedia menanti.
“Along, baca niat puasa,” arah ayah.
Along mula membaca niat puasa, sementara aku pula cuba
merakam dalam kepalaku apa yang Along bacakan. Usai berniat, kami mula
makan.
“Along, kalau tahun ni Along puasa penuh, ibu akan bagi lima
puluh ringgit. Boleh Along puasa penuh?” Ibu bersuara.
“Kalau setakat puasa penuh, tak ada hal la ibu. Along kan
lelaki, mesti kuat punya. Lagipun, buat malu je umur dah 12 tahun tak
puasa penuh. Along sahut cabaran ibu. Janji ya bagi lima puluh ringgit
kalau Along berjayapuasa penuh?”
“Ibu janji…”
“Mia pun nak puasa penuh jugaklah. Nanti boleh dapat
duit!” Aku menyampuk. Mana adil kalau Along je yang dapat, aku pun nak
jugak!
“Mia kan kecik lagi, tahun depan barulah Mia puasa penuh,
ya?” pujuk ibu.
“Tak nak! Mia nak puasa penuh jugak. Nanti Mia tak dapat
duit macam Along.” Aku memprotes.
Ayah, ibu dan Along ketawa mendengar rengekanku.
“Betul Mia nak puasa penuh ni?” soal ayah meminta kepastian.
Aku mengangguk laju.
“Kalau macam tu, ayah tambah lagi lima puluh ringgit. Tapi
kalau sehari tak puasa, duit yang ayah dengan ibu janjikan tu dikira
batal!” kata ayah.
“Yeay… mesti banyak duit Mia nanti. Boleh beli anak patung
baru!” Aku teruja dengan tawaran ayah. Di dalam kepalaku sudah
terbayang-bayang segala macam permainan yang ingin kubeli.
*****
‘’Baiklah murid-murid siapa yang puasa hari ni sila angkat tangan,” pinta guru
tadika tempat aku bersekolah.
Aku dengan bangganya mengangkat tangan ke atas. Kemudian aku
melihat sekeliling untuk melihat siapa lagi yang berpuasa. Aik, hanya
aku sorang je yang berpuasa?
“Mia sorang je yang berpuasa hari ni, ya? Mia, mari duduk
di bawah ni. Mia main lego kat sini ya? Kawan-kawan lain nak makan.”
Cikgu Norlia menggamitku.
“Cikgu, kalau Mia duduk je kat tempat Mia ni boleh tak?
Mia nak tengok kawan-kawan makan,” pintaku. Aku malas untuk bermain
seorang diri di bawah. Pasti bosan!
“Tak boleh sayang… kalau Mia terasa lapar nanti macam mana?
Mia duduk kat bawah ni ya? Nanti lepas makan, kawan-kawan akan
menyusul,” pujuk Cikgu Norlia lagi.
“Okey…” Aku mula bangkit, melangkah ke depan lalu duduk di
atas lantai yang berlapikkan tikar.
Cikgu Norlia dan Cikgu Jannah mula menghidangkan nasi lemak
di setiap atas meja kawan-kawanku. Bau nasi lemak itu sudah cukup
membuatkan perutku berbunyi tetapi kutahan sedaya mungkin demi
mendapatkan duit seratus ringgit yang dijanjikan oleh ayah dan ibu.
“Cikgu…” Aku memanggil Cikgu Jannah yang lalu di hadapanku.
Cikgu Jannah yang sedang menatang dulang berisi air anggur,
berhenti lalu berpusing menghadapku. “Ada apa Mia?” tanya Cikgu Jannah
lembut.
“Cikgu dengan Cikgu Norlia tak puasa ke?”
“Puasa… kenapa Mia cakap macam tu?” soal Cikgu Jannah pelik.
“Tadi masa Cikgu Norlia tanya siapa yang puasa kena angkat
tangan, cikgu dengan Cikgu Norlia tak angkat tangan pun?”
Cikgu Jannah ketawa. “Mia, tadi kan Cikgu Norlia tanya pada
murid-murid je… maknanya cikgu tak termasuklah. Dahlah, main lego tu
ya.” Cikgu Jannah mula berlalu menghidangkan minuman pula di atas meja
kawan-kawanku.
Aku menyambung semula membina istana lego. Beberapa minit
kemudian, Laila, Anisa dan Lily menyertaiku bermain. “Dah habis makan
ke?” soalku pada mereka bertiga.
“Sudah,” jawab mereka bertiga serentak.
“Sedap, nasi lemak dia… rugi Mia tak makan,” kata Anisa.
“Mia puasalah… mana boleh makan, nanti Tuhan marah.”
“Kita kan kecik lagi. Mak Lily cakap, tunggu Lily besar baru
boleh puasa,” kata Lily.
“Ayah dengan ibu Mia nak bagi seratus ringgit kalau Mia
puasa penuh tau.” Aku memberitahu mereka.
“Betul ke?” soal Anisa. Matanya sudah terbeliak.
“Betullah… sebab tulah Mia nak puasa penuh. Kalau tak puasa
penuh, tak dapatlah duit tu.”
“Kalau Laila puasa jugak, dapat tak duit?” soal Laila.
Wajahnya kulihat sudah teruja.
“Dapat… nanti mintaklah kat mak Laila,” jawabku. Tangan
masih bermain dengan lego. Kali ini aku cuba membinatangga pula.
“Laila nak puasalah esok!”
“Lily pun!”
“Nisa pun nak puasa jugak!”
“Puasalah...” Aku memberi mereka semangat.
Share this novel