Kisah 2 : Mari Cari Aku

Horror & Thriller Series 7260

SETIAP hari yang aku lalui adalah sama seperti biasa. Aku bangun pagi, bergegas ke tempat kerja dan pulang lewat malam dek kerja yang menimbun di pejabat. Hampir setiap hari aku terpaksa mengorbankan diri untuk mencari rezeki. Apatah lagi aku adalah anak tunggal. Ya, aku tidak mempunyai adik-beradik. Aku tinggal bersama ibuku setelah ayah meninggal dunia sewaktu aku masih kecil. Semenjak itu, aku dan ibuku meneruskan kehidupan berdua.

Pada enam bulan yang lepas, sesuatu yang tidak disangka telah berlaku. Pada waktu itu, aku sedang tekun membuat kerja di meja pejabat. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Kebanyakan pekerja sudah pulang ke rumah, ke pangkuan keluarga masing-masing.

Hanya aku yang masih tersadai di pejabat yang tidak putus dengan kerja. Aku terpaksa menyiapkan laporan yang penting pada malam itu. Keletihan yang dirasa memang tidak dapat digambarkan lagi. Tetapi, aku sudah menjadi terbiasa kerana hampir setiap hari aku terpaksa pulang lewat.

Aku menjeling ke arah jam dinding yang berdekatan dengan meja. Selalunya, pukul 10.00 aku akan pulang. Malangnya, aku mempunyai satu lagi laporan yang terlalu penting untuk disiapkan pada malam itu juga. Jadi, aku membuat keputusan untuk duduk di pejabat sehingga siap laporan.

Selepas laporan siap, aku cepat-cepat mengemas barang dan menuju ke lif untuk turun ke tempat parkir. Tepat pukul 1.30 pagi, aku sampai di rumah. Kelihatan seluruh rumah gelap-gelita ditelan malam. Aku tidak pelik kerana memikirkan kemungkinan yang bekalan elektrik mungkin terputus, seperti malam yang sebelumnya.

Kebiasaannya ibu akan masuk tidur begitu awal. Jadi, dia tidak akan menyedari yang bekalan elektrik terputus. Cuaca di luar pula agak tenang dan berangin. Mungkin ibu sudah lena diulit mimpi.

Aku mengambil beg yang diletakkan di dalam kereta dan perlahan-lahan berjalan masuk. Keadaan di dalam rumah amat gelap-gelita pada waktu itu. Aku terpaksa menggunakan aplikasi ‘lampu suluh’ yang terdapat di dalam handphone untuk menyuluh sekeliling. Aku masuk ke dalam ke bilik dan meletakkan beg galas di atas meja. Bilik aku terletak bersebelahan dengan bilik ibu.

Selepas mandi, aku terdengar handphone berbunyi menandakan ada mesej baru. Aku cepat-cepat mengambil handphone dan membaca mesej. Ianya daripada ibu. Ibu ingin meminta tolong aku mengurut kakinya yang lenguh.

Oleh kerana ibu tidak suka meninggikan suara untuk memanggilku, dia akan menghantar mesej untuk aku ke biliknya. Baginya cara itu adalah lebih mudah walaupun bilik kami bersebelahan. Katanya, teknologi dicipta untuk memudahkan orang. Aku sudah biasa dengan cara ibu.

Aku cepat-cepat meletakkan handphone di atas katil dan terus bangun menuju ke bilik ibu. I tossed the phone on my bed. Aku mengetuk pintu dengan perlahan.

“Ibu, Amir masuk ni.” Ibu kemudiannya menjawab dengan lembut. “Ya anak ibu, masuklah.” Aku membuka pintu dan masuk ke dalam. Keadaan waktu itu agak gelap tetapi aku sudah menghafal selok-belok rumah itu. Aku cuba berjalan dengan berhati-hati agar tidak melanggar perabot di dalam bilik ibu.

Aku duduk di kaki katil dan perlahan-lahan menyentuh kaki ibu. Aku mula mengurut kaki kanannya. Setelah beberapa minit, aku mendengar nada dering handphone berbunyi di bilikku. Aku terkejut dan segera bangun dari katil ibu untuk menjawab panggilan.

“Ibu, Amir datang balik jap lagi.”

Sebenarnya, aku sedang menunggu panggilan daripada Syahida, teman wanita aku pada masa itu. Syahida berkata dia akan menghubungi aku selepas pukul 2.00 pagi. Aku mengambil handphone dan terus menuju ke bilik ibu. Aku duduk di atas katilnya dan menyambung mengurut kaki ibu dengan tangan kanan sambil tangan kiri memegang handphone.

“Amir. Amir. Dengar ni, datang Hospital Setia. Paksu nak kau datang ke sini sekarang. Ada hal penting,” kata pak su dengan cemas. “Kenapa ni pak su? Ada hal apa? Mak su masuk hospital ke?” Aku bertanya kepada pak su.

“Nak Amir bawak mak Amir sekali?” Aku menyambung sambil tangan kananku mengurut kaki ibu. “Amir! Apa kau mengarut ni? Datang dulu hospital, nanti pak su cerita, datang sekarang!” Pak su membalas. Suaranya makin cemas.

“Pak su, kenapa ni? Apa yang dah jadi? Bagi tahulah dulu, susah hati macam ni.” Aku membalas tidak berpuas hati dengan jawapan paksu. “Ya Allah..paksu cakap datang dulu. Baiklah, paksu bagitau, tapi kau kena kuat.” Pak su berkata dengan resah. Aku membalas pendek, “Ya, pak su, bagi tahulah.”

“Mak kau... Mak kau dah tak ada. Polis jumpa mayat arwah dalam kereta di tempat parkir Pasar Raya Mada. Waktu kematian disahkan polis pukul 10.00 malam. Polis masih mencari sebahagian dari anggota badan mak kau.” Pak su memberitahu. Aku tergamam.

Jantungku bagaikan ingin meletup. Aku sebak. Air mata yang tidak dijemput mengalir bercucuran di pipi ku. Tiba-tiba aku terasa sesuatu di tangan kananku bergerak-gerak. Pak su menyambung, “Polis juga menjumpai satu nota di tepi mayat yang menyatakan,

‘Di mana ada kaki nya, di situ ada aku’.

Aku menarik tanganku dengan pantas. Kaki siapa yang aku sentuh sebentar tadi? Dengan terketar-ketar, aku membuka aplikasi lampu suluh di handphone ku.

Yang ada di atas katil cuma kaki ibuku yang dikerat. Tiada badan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience