BAB 12

Spiritual Completed 2032

“Yeay! Idin nak mintak hadiah birthday kat abang Fir. Jom!” penuh bersemangat kanak-kanak itu berteriak. Hazman tersenyum sumbing, sedaya upaya menutup kesedihannya. Sesampai sahaja di wad berkenaan, suasana menjadi sunyi sepi.

Terlepas gula-gula dari tangannya. Idin meraung dan menuju ke arah Firhan. Digenggam tangan lesu Firhan sambil kepalanya didekapkan ke dada jejaka itu. Menyaksikan kelakuan Idin, menambahkan hiba di hati Hazman. Setitis demi setitis air mata jatuh di pipi Hazman. Sekuat mana pun dirinya, ternyata dia gagal menahan emosi. Lantas didakapnya Idin lalu dihulurkan bingkisan yang telah Firhan bungkuskan sewaktu mereka sama-sama membeli hadiah dulu.

“Ini hadiah Idin, abang Fir yang bagi,” sebak Hazman menghabiskan kata-kata.

Cukup jelas telinganya menangkap suara tangisan Idin. Begitu juga esakan Aidad dan Faiz. Lalu mengalir air hangat dari tubir matanya yang terpejam rapat itu.

Selamat hari jadi, Idin. Jangan nakal-nakal tau. Faiz dan Dad pun sama. Kamu kena terus berjuang melawan penyakit. Abang terpaksa tarik dari sekarang. Tapi, jangan lupa. Abang sayang kamu semua. Kita pernah berjuang sama-sama kan? Jangan peduli apa pun penghujungnya. Yang penting berusaha…

“Abang Fir, kenapa bagi Idin hadiah lagi? Idin tak nak hadiah ni! Abang Fir… Idin nak tengok abang senyum. Idin nak tengok abang Fir buat lawak. Idin nak cubit pipi abang,” luah kanak-kanak itu. Semakin galak air mata membasahi pipinya.

“Dad nak duduk atas riba abang Fir,” hanya itu yang mampu anak kecil bertocang dua itu katakan. Selebihnya suara esakan menambah hening.

“Faiz nak gula-gula, Faiz dah degil sekarang. Abang Fir bangunlah,” rajuk kanak-kanak itu dengan harapan Firhan akan memujuknya seperti selalu.

Hazman terkesima bila melihat mesin bantuan hayat Firhan berubah nada menandakan degupan jantung sahabatnya kian lemah. Menyedari keadaan itu, Hazman bergegas menekan butang kecemasan.

Sungguh sakit, Man. Tiada sesiapapun dapat membantu mengurangkan kesakitan ini. Aku terpaksa berhenti setakat ini sahaja. Langkahku mula longlai, sahabat. Waktu aku dah sampai. Tiba masa untuk aku pergi dulu. Kaki aku sejuk sangat. Tiada selimut yang boleh menghilangkan kedinginan ini. Nafas aku makin perlahan. Aku tak boleh bernafas lagi. Sesak… aku tak dapat menghela udara, Man. Segalanya makin jauh, terpisah dariku. Aku nampak Momo, dia senyum. Wajahnya bersih dan suci. Momo, tunggu abang di sana.

Genggamlah tangan aku dengan semangat persahabatan kau, Man. Aku nak pergi bersama kehangatan kenangan kita. Andai jantungku tak berdegup lagi, bermakna aku telah dibawa menuju abadi.

Bawalah jua bersama segala kenangan indah tentang mereka. Iringilah pemergian aku dengan doa tulus suci, sahabat. Bimbinglah aku mengucapkan syahadah sebelum aku makin jauh. Ya Allah! Sesungguhnya engkau mengotakan janjiMu… semoga aku beroleh ketenangan dalam perjalanan ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience