Jadi bila dah tahu tujuan hidup, apa signifikannya pula? Maksudnya, apa yang kita dapat kalau kita tahu tujuan hidup ni?
Sebenarnya, bila dah tahu, faham, hayati dan praktikkan tujuan hidup kita sebagai manusia dan Muslim, SEPATUTNYA kau automatik akan tahu di mana untuk cari ketenangan saat hati kau rasa tertekan, jiwa kau rasa stress tahap kritikal dan sebagainya. Sebab kita faham hakikat tujuan hidup ni, bukan kosong kosong kosong.
Hari ini ramai orang cari ketenangan daripada hiburan haram seperti pergi disko, konsert yang ada unsur haram dan sebagainya. Kalau anak muda, ramai yang melayan lagu-lagu dan movie macam Kpop, Running Man, Big Bang,Exo, Girl’s Generation, Katy Perry, One Direction, Justin Bibir, Hindustan, drama Melayu India Pakistan Bangla dan segala bagai.
“Eleh, cakap je la kau anti Korea.”
Laa, saya tak anti Korea pun. Sebenarnya bukan Korea Jepun je, termasuklah drama, movie atau lagu-lagu Bangla, Somalia Timur Laut, Afrika Barat Daya, dan segala bagai. Malah ada juga cari ketenangan dengan main game sampai 10 pagi, tengok bola sampai terlajak subuh, window shopping sampai tak solat zohor atau asar, makan sampai 24 pinggan setiap satu jam. Padu beb...
Kau mungkin bahagia dan tenang bila buat semua tu. Tetapi kau tak boleh tipu diri sendiri yang ketenangan dan bahagia kau jumpa tu hanya sementara saja. Sebab apa yang selalu berlaku adalah kau mencari-cari sesuatu untuk terus menenangkan jiwa dan mengisi hati kau sepenuhnya.
Bila kau faham tujuan hidup untuk beribadah kepada Allah, by default sepatutnya kau akan sedar bahawa mahu tak mahu kau memang kena kembali kepada agama, iaitu kembali pada Allah. Kembali pada Allah ni bukan maksudnya kena mati.
Tetapi dengan cara mendekatkan diri kepada Allah. Antaranya kau iktikaf di masjid atau di bilik untuk perempuan, kemudian solat dan doa sambil menangis-nangis merayu pada Allah. Menangis-nangis, bukan doa ala kadar je. Ataupun kau baca Al Quran sambil menghayati terjemahannya sambil menangis! Rasulullah sebut,
“Apabila kamu membacanya (al Quran), maka menangislah.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Serius, saya tak tipu kau.
Sebab Allah yang pemilik hati dan emosi kau, bukan diri kau. Kau sendiri tak mampu kawal emosi dan perasaan kau, apatah lagi bab hati. Tetapi Allah yang mampu buat segalanya. Bersolat, doa sampai menangis-nangis dan bacalah al Quran sambil hayati maksudnya, insyaAllah kau akan jumpa ketenangan.
Tetapi..
Memang pada awalnya kebanyakkan orang takkan rasa apa-apa sangat bila baca al Quran dan terjemahan, ataupun susah sangat nak berdoa sampai menangis-nangis. Apatah lagi nak gagahkan diri untuk iktikaf dikatsurau atau bilik seorang diri untuk yang perempuan. Tenang tu jauh sekali. Bahkan mungkin boleh jemu dan bosan.
Hati ini macam cawan kosong. Kalau kau isi dengan air kopi o, maka cawan tu akan nampak hitam pekat. Bila kau hanya letak setitis dua air mineral, ia takkan mengubah warna air kopi O itu. Cara nak ubah warna air kopi o tu hanyalah dengan kau tuang air mineral banyak-banyak, sampai melimpah ruah keluar air kopi o tu. Sampai satu masa, cawan tu akan jadi jernih semula sebab penuh dengan air mineral.
Macam tu dengan hati. Mula-mula kena paksa buat semua ni. Ikhlas tak ikhlas benda kedua. Nanti saya cerita bab ikhlas ni. Hati yang jarang merasai kenikmatan dengan iktikaf, solat, berdoa merayu pada Allah atau mendengar dan membaca Al Quran, lambat laun kau akan rasa ketenangan kalau dibuat dengan berterusan. Sebab tu antara amal yang paling afdhol adalah meninggalkan maksiat.
Kau ketahuilah, ketenangan itu adalah pabila kita mengingati Dia. Ini janji Allah, bukan janji hanya tinggal janji, atau janji yang dicapati. Ini janji Allah.
“..orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."
( surah Ar-Ra'd 13:28 )
Semoga kau dapat tahu tujuan hidup, dan dapat cari ketenangan. Doa saya buat kau semua.
Wallahu’alam
Share this novel