BAB 5

Crime Completed 5579

“Kau nak pergi tak?” Iman menyambung soalannya.

“Aku ada assignment untuk disiapkan,” pendek aku membalas.

Jus oren di hadapanku dihirup. Sejuk anak tekak. Sesekali aku memusingkan penyedut minuman di dalam gelas. Aku memerhatikan Hakimi yang sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, cuba tidak mahu bertentang mata dengan Iman.

“Bro, sepanjang kau di sini, aku tak pernah tengok kau ikut usrah. Apa kata hari ini kau ikut aku?” Iman masih cuba memujuk.

“Bosanlah. Usrah, usrah, usrah. Apalah yang bagus sangat fasal usrah tu? Aku tak faham betul. Boleh tak kau berhenti ajak aku usrah lagi?” jujur aku meluahkan. Kali ini, aku melihat mata Iman dan Hakimi saling bertentang, seolah-olah aku baru sahaja mengisytiharkan Perang Dunia Ketiga sebentar tadi. Aku dapat melihat dengan jelas Iman sedang memikirkan sesuatu. Dia memang mempunyai akal yang panjang.

“Beginilah, Shahril. Apa kata sekali ini saja kau ikut aku datang usrah? Kalau usrah itu langsung tak menyentuh hati kau, aku tak akan ajak lagi kau datang usrah,” Iman membuat pertaruhan hebat.

“Sungguh?” aku sedikit tertarik dengan tawarannya. Selepas ini, tak perlulah lagi aku bersusah-payah mendengar bebelan budak berdua itu tentang usrah. Aku boleh bertoleransi terhadap semua perkara, kecuali yang melibatkan usrah ni.

Petang itu, seperti yang dijanjikan, aku membuntuti Iman untuk menuruti permintaannya. Aku cuma perlu bertahan untuk hari ini sahaja. Iman berjalan menuju ke Taman Rashidah yang terletak di dalam kawasan kolej. Aku sendiri tidak pernah menyedari kewujudan taman ini. Dalam perjalanan, Iman dan aku bertembung dengan orang yang paling cuba aku elakkan.

“Mahu ke mana, Iman?” soal Nur Khalisah dengan senyuman manisnya. Ah, sibuk sahaja hendak tahu urusan orang lain. Ku berdoa semoga Iman tidak lama-lama melayannya.

“Pergi usrah,” ringkas Iman menjawab. Aku dapat melihat ada reaksi terkejut yang terpapar pada wajahnya yang ayu. Wajahnya yang bereaksi macam mana sekalipun, tetap menggetarkan jiwaku. Apa yang dia hairankan sebenarnya kalau Iman pergi usrah? Mungkin dia hairan Iman berjaya membawa aku bersama-samanya. Ah, pedulikan sajalah apa yang difikirkan si Lisa ini.

“Oh, selamat berusrah!” Nur Khalisah kembali tersenyum dan berlalu pergi bersama rakan-rakannya. Aku menoleh ke belakang, memerhatikan Lisa berlalu pergi. Iman cepat-cepat menyinggung lenganku dan membawaku ke kumpulan usrah.

***

“Lambat kau hari ni,” sapa Bang Joe sebaik sahaja aku mematikan enjin motosikal. Bang Joe mempunyai parut di pipi kirinya. Katanya, dipukul orang dengan batang besi. Mungkin penampilannya itu yang membuatkan orang lain agak gentar dan menghormatinya.

“Biasalah bang. Budak kolej, banyak assignment. Eheh.” Aku berbohong meskipun aku tahu Bang Joe tidak akan termakan dengan umpanku.

“Banyak assignment konon. Ha, ni bos kita nak tambah lagi assignment kau malam ni. Aku bagi kau amaran, kerja kita memang bahaya. Kalau kecut, baik kau bungkus saja balik rumah. Kumpulan kita tidak memerlukan pengecut bertopengkan manusia. Huh!” Bang Joe meludah ke tanah.

“Tengok kakilah bang! Kau bagi saja assignment, aku boleh siapkan. Tiada masalah! Kerja apa?” dengan lagak selambanya aku menjawab. Aku langsung tidak memikirkan bahaya yang mungkin menimpa.

“Kau ingat tak lagi kumpulan Ular Putih yang pernah kenakan kita dulu?”

“Kumpulan bedebah tu? Mana boleh lupa, bang. Bukankah aku yang ditipu mereka sehingga teruk aku dibelasah yang lain?” Kotak ingatanku kembali membara. Sekiranya tubuhku boleh mengeluarkan api, pasti sudah rentung aku dibuatnya. Sungguh aku dendam. Aku tidak akan berpuas hati selagi dendamku tidak terbalas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience