MBEKKK!!!
Panggg!
Berkerut wajah Ayu ketika aku memukul kepalanya menggunakan botol mineral bersaiz besar yang sudah kosong. Haaa, padan muka! Langsung tidak reti bersabar! Cubalah bersikap baik sedikit di bulan yang mulia ini. Sesuka hati sahaja mengarah aku agar cepat memberikan makanan kepadanya. Dasar kambing tak sedar diri, tak kenang budi! Daripada beranak sehinggalah dia berpantang, aku yang menjaga dia walaupun dengan hati yang tidak berapa ikhlas. Ye lah, menjaga sekadar mahu membantu Hussien sahaja. Kasihan Hussien, sehingga ke saat ini dia masih sahaja setia membantu menguruskan penternakan biri-biri suamiku ini.
"Laaa, kenapa lagi tu Wa? Saya suruh awak bagi rumput tu pada Ayu, bukannya suruh awak pukul dia. Entah apa yang awak berdendam sangat dengan Si Ayu ni, Wa. Hampir setiap hari saya tengok awak ketuk kepala dia. Ada pula dia hilang ingatan nanti." Hussien yang baru muncul terus membebel sambil menggelengkan kepalanya.
Aku pula sekadar mencebik tak kisah. Memang aku tak kisah pun. Aku tidak tahu kenapa, tetapi jujur, setiap kali aku melihat muka Ayu, rasa cemburuku tiba-tiba sahaja kuat terasa seolah-olah Ayu itu adalah maduku yang sebenar. Kadangkala, ada juga aku terfikir mahu mengorbankan Ayu untuk dijadikan hidangan istimewa pada Hari Raya pertama nanti. Tetapi niat itu belum aku sampaikan kepada Hussien kerana aku takut dia akan meleteri aku.
"Bukannya sakit pun guna botol yang dah kosong tu. Ayu tu memang sengaja nak mengada-ada dengan awak. Sikit-sikit mbekkk, sikit-sikit mbekkk. Nasiblah bulan puasa tahu tak, jadi saya kena lebih banyak bersabar. Kalau tak... siap dia, Sen. Saya buat menu kambing golek!" aku merungut sebal sebelum memberikan rumput-rumput hijau kepada Ayu dengan perasaan yang sangat tidak berpuas hati.
Hussien sekadar menggeleng. Sempat tangannya dipanjangkan untuk mengusap kepala Ayu dengan lembut. "Ni kalau Isyak tengok awak pukul... "
"Awak je lah yang bagi dia makan, Sen. Saya tak suka tengok muka Si Ayu ni. Penyondol, perosak rumah tangga orang! Laki orang juga yang dia nak!" kataku dengan selamba sebelum bergerak ke arah kandang yang lain. Hussien pula langsung menjadi terpinga-pinga, barangkali hairan dengan omelanku tetapi aku tidak peduli. Elok lagi aku melayan Si Awa Gedik. Biarpun dia gedik, tetapi Si Awa lebih baik daripada Ayu. Penyabar, comel dan baik. Patutlah suamiku terlalu sayangkan dia.
Beginilah rutin seharianku. Setiap pagi, aku akan membantu Hussien di tempat penternakan biri-biri ini atas kemahuan diriku sendiri, sementara pada sebelah petang pula aku akan bersantai di rumah. Aku bosan kerana tidak melakukan apa-apa. Mahu bekerja, ibu mentuaku tidak bersetuju pula. Katanya, hasil penternakan biri-biri suamiku, lebih daripada cukup. Ibu mentuaku mahu aku menumpukan sepenuh perhatian pada diri dan anakku sahaja.
Lapan bulan berlalu, suamiku masih juga tidak muncul-muncul. Rindu? Ya, sangat rindu tetapi dalam masa yang sama aku tetap berkecil hati dengan tindakannya. Mengapa sehingga ke saat ini Rayyan Hakimi masih tidak kembali? Jika benar dia sudah mati, di mana kuburnya?
Lapan bulan mungkin tempoh yang singkat bagi sesetengah orang tetapi bagi aku, tempoh itu terlalu panjang dan lama. Banyak hal yang telah berlaku di dalam kehidupan kami sepanjang tempoh lapan bulan ini. Kini, aku dan Hannah sudahpun berpindah ke rumah baru, rumah yang Rayyan Hakimi kata dia buat khas untuk kami dulu. Mujurlah ibu mentuaku tidak melarang, malah hampir setiap hari juga dia akan datang untuk melawat kami. Tak jauh pun, beberapa kilometer sahaja daripada rumahnya dan setiap kali aku bekerja di tempat penternakan biri-biri suamiku, Mak Zainab jugalah yang akan menjaga Hannah. Hannah kini berusia dua tahun lebih. Semakin nakal itu pasti apalagi setelah dirinya dikurniakan sepasang kaki yang aktif.
Perkara kedua yang telah berlaku di dalam kehidupan aku adalah, sekarang ini aku sudah pandai menunggang motosikal malah motosikal jugalah yang menjadi kenderaan utamaku biarpun tanpa lesen. Syhhh, jangan diberitahu kepada pihak polis ya? Kawasan-kawasan kampung, tidak mengapalah agaknya. Lagipun bukannya jauh aku merempit. Sekadar untuk bergerak ke kedai runcit Mak Juriah, tempat penternakan biri-biri, kawasan perkuburan dan untuk ke rumah ibu mentuaku, itu sahaja. Kerana gemar menunggang tanpa lesen jugalah selalu membuatkan Mak Zainab meleteri aku, tapi seperti yang Rayyan Hakimi telah ajarkan padaku, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tambahan pula, aku tahu wanita tua itu berleter kerana peduli dan sayang sahaja.
Mak Zainab baik, sangat baik. Setiap kali aku mengadu, meluah tentang kehilangan suamiku, dia adalah satu-satunya insan yang akan memujuk, memeluk dan menenangkan aku. Mulut tuanya tidak pernah berhenti meminta maaf bagi pihak anak sulungnya. Semua itu membuat aku semakin tabah dan reda walaupun belum reda yang sepenuhnya. Aku percaya jika Allah berkehendak seperti yang aku harap, suatu hari nanti, aku, suamiku dan anakku tetap akan bersama kembali. Jika bukan di dunia, kami akan bersatu di syurga bersama dua malaikat kecil yang sedang menunggu kami.
Jumpa pada Hari Raya nanti ya? Muahhh!
Share this novel