BAB 14

Crime Completed 6851

“Saya dah tahu, Han kat hospital sekarang dan awak nak jumpa dia, kan?” Kan aku dah cakap! Ish, aku hilang suara. Apa aku nak cakap atau react ni? Geleng atau angguk ni?

“Qaseh, pertama kali saya nampak Han pandang awak, saya tahu ada perasaan istimewa pada dia untuk awak. Sejak itu, entah kenapa, hati saya rasa tak tenteram. Saya rasa dia pesaing saya dan, saya perlu merebut dia dari awak. Tapi, saya nak awak tahu yang awak berhak untuk buat pilihan. Saya jugak nak awak tahu, apa saja pilihan yang awak buat, saya akan sentiasa mencintai awak dan akan tetap menunggu awak di sini..” Dia bercakap sepatah lalu berpaling pergi. Aduh, dia ni memang suka buat aku rasa bersalah lah!

“Karl..?” Dia berhenti lalu berpaling menghadap aku.

“Terima kasih sebab memahami. Apa-apa pun yang jadi, saya jugak nak awak tahu yang saya pernah menyintai awak.” Karl seperti biasa tetap senyum. Dia mengangguk, begitu juga aku. Ah, lantaklah.. yang penting jumpa Jehan dulu! Aku segera menarik kain baju pengantin yang meleret yang masih tersarung ditubuhku lalu menarik sekali tangan Bob supaya membawa aku pergi.

Sampai di wad yang dimaksudkan, Bob menunggu di luar dan aku perlahan-lahan menolak daun pintu untuk masuk ke dalam. Sesaat kemudian, aku keluar balik dengan linangan air mata. Bob angkat kening, kenapa?

“Bob, apa ni? Katil dia kosong!”

“Haa?!” Segera dia menerpa ke arah kaunter jururawat. Aku sudah terduduk sambil menekup muka. Kepala sudah fikir yang bukan-bukan. Aku dah terbayangkan Han yang sudah tiada lagi. Betapa aku mengabaikan persahabatan kami, banyaknya maaf yang tertangguh perlu dipinta darinya. Airmata terasa murah waktu itu. Mencurah-curah seperti air hujan yang turun. Aku tak sanggup meratapi kematian Han!

“Qaseh, jangan risau. Dia masih ok cuma dah discharge. Walaupun keadaan dia tak membenarkan dia untuk keluar, tapi dia berkeras jugak. Dia tinggalkan ini untuk kau..” Bob serahkan aku sepucuk surat. Diluar sampul surat tu, terpampang nama aku. Aku dengan rakusnya terus membuka sampul dan membaca kandungan surat itu.

Salam, Qaseh.

Aku tahu, kau dah tahu segalanya dan akan datang cari aku di sini. Aku kenal kau, dan aku tahu, Bob tu bukan boleh percaya sangat kalau bab berahsia!

Biar aku terangkan pada kau dari mula. Kau pasti dah maklum yang aku kehilangan mak ayah aku waktu aku berumur 10 tahun, sebab accident. Mungkin yang ini kau tak tahu. Aku baru tahu yang mak ayah aku pergi bukan sebab kemalangan. Tapi, dibunuh dan diperlaku seperti kemalangan. Sekarang, pembunuh mak ayah aku kembali untuk mendapatkan aku dan nenek aku pula.

Dulunya dia kenalan arwah ayah. Tapi, segalanya berubah demi dendam pada arwah ayah aku yang pernah melaporkan kepada polis mengenai kegiatan haramnya.

Mulanya, dia mencari orang yang aku sayang sebagai amaran. Ratna.. dia tahu hubungan aku dan Ratna. Demi keselamatan Ratna, aku terpaksa memutuskan hubungan aku dengannya. Kemudian, kau Qaseh. Ingat tak lagi pada kejadian langgar lari motor tu? Dialah dalangnya.

Bila dia nampak aku mulai menjauhkan diri dari kau, dia pun mulai menyerang nenek dan aku. Aku, tak sempat nak selamatkan nenek. Dan aku tak mahu itu semua terjadi pada kau walaupun sedalam mana sayang aku pada kau.

Ya, sekarang aku mengaku aku cintakan kau. Aku pernah rasa begitu 10 tahun dulu. Tapi, aku cuba menepis sebab aku tahu perasaan kau pada aku. Kita kawan.. ayat yang kau selalu ulang itu sedarkan aku. Aku cuba hindarkan dan padam, tapi makin aku cuba lupakan, makin sayang aku pada kau. Aku cuba untuk menyintai orang yang menyintai aku, Ratna. Tapi, aku kalah lagi pada perasaan itu. Aku memutuskan untuk tidak menipu diri sendiri lagi.

Sekarang, biar aku tinggalkan semua ni. Aku tinggalkan demi menuntut bela pemergian orang yang aku sayang. Untuk kau, kembalilah pada Karl. Kalau pun kau cari aku, aku tahu kau hanya kasihankan aku, bukan cinta. Cintailah dia yang menyintai kau. Kau akan bahagia dengannya.

Mengenai aku, tak perlu kau fikir. Anggap saja aku dah tiada. Cukup dengan kau dah bahagia, buat aku bahagia. Inilah cara aku menyintai kau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience