Bab 4

Romance Series 72307

3 tahun lalu...

“Abang nak buat Grab juga ke malam ni?” soal Rhea saat melihat suaminya itu sudah bersiap.

Jam sudah menunjukkan pukul lapan malam. Nampaknya malam ni dia ditinggalkan lagi...

Hayyan senyum segaris seraya mengangguk. “Tak lama lagi anak kita akan lahir. Abang perlu kerja keras. Nanti banyak nak pakai duit.”

Rhea menghela nafas perlahan. Wajahnya terus berubah suram. Kadang-kadang dia rasa dirinya tak berguna. Tak dapat nak tolong suaminya itu. Kasihan Hayyan... Perlu bekerja lebih masa untuk mencari rezeki buat mereka.

Siang Hayyan bekerja di sebuah bengkel milik kawan baiknya. Jika ada kelapangan, Hayyan akan membuat perkhidmatan Grab. Dapatlah tambah sikit-sikit pendapatan.

Mereka bukan nak hidup mewah. Cukuplah dapat sediakan segala keperluan utama. Kalau boleh Hayyan mahu hidup Rhea selesa.

“Kenapa ni?” Hayyan mara menghampiri Rhea yang sedang duduk di sofa itu. Dia duduk bertinggung di hadapan isterinya itu.

Rhea diam. Hanya bola matanya bergerak-gerak memandang Hayyan.

“Kenapa sayang?” Lembut Hayyan menyoal. Kedua belah tangannya menggenggam erat tangan Rhea.

“Kesian abang... Rhea minta maaf Rhea tak dapat nak tolong abang. Lepas anak kita lahir nanti, boleh abang izinkan Rhea kerja? Rhea nak bantu keluarga kita juga.”

“Sayangku Rhea... Janganlah fikir macam tu. Dah memang tanggungjawab abang untuk cari nafkah.”

“Tapi Rhea nak tolong abang...”

Hayyan senyum. Pipi Rhea diusap perlahan. “Tolong bagi semangat dekat abang je.”

“Terima kasih untuk semuanya abang... Rhea bangga ada suami macam abang.”

Berseri-seri wajah Hayyan mendengar ujaran isterinya itu. “Sayangku Rhea... Abang sayangkan Rhea. Dah, jangan sedih-sedih. Jangan tunggu abang balik. Kalau Rhea mengantuk, tidur dulu. Okey? Kalau ada apa-apa telefon abang.”

Rhea mengangguk perlahan. “Nak peluk sikit,” pintanya.

Hayyan tergelak kecil. “Peluk banyak pun boleh.”

Rhea terus memeluk tubuh suaminya itu. Tangannya dilingkarkan ke leher Hayyan. Kepalanya disandarkan pada dada lelaki itu. Tempat ternyamannya.

Hayyan mengucup lembut puncak kepala isterinya itu. “Abang sayangkan Rhea. Sayang sangat-sangat.”

Rhea tersenyum mendengarnya. “Panggil sayangku Rhea. Rhea nak dengar lagi abang panggil macam tu.”

“Sayangku Rhea...”

Hati Rhea bagai diselimuti kehangatan mendengarnya. Dia suka setiap kali Hayyan memanggilnya begitu.

“Baby... Jaga ibu tau. Kalau ibu tidur lambat, beritahu ayah. Biar ayah cubit pipi ibu.” Telapak tangan Hayyan mengusap lembut perut Rhea.

Kurang daripada sebulan sahaja lagi anak mereka akan lahir. Sebenarnya Hayyan risau juga untuk meninggalkan Rhea sendirian di rumah setiap kali dia keluar bekerja. Tapi dia tiada pilihan lain.

Rhea tergelak kecil mendengar usikan suaminya itu. “Berani ke nak cubit pipi Rhea?”

“Abang nak cubit pun tak sampai hati. Comel sangat.” Wajahnya dirapatkan dengan wajah Rhea. Dilabuhkan ciuman di pipi isterinya itu.

Rhea senyum. Kedua belah tangannya dilekapkan ke pipi Hayyan.

“Kerja elok-elok. Kalau abang penat, balik rumah terus. Jangan paksa diri.”

“Ya, sayangku...” Hayyan langsung bangun.

“Abang pergi dulu. Jangan tunggu abang tau,” pesannya lagi. Dia sendiri tak pasti dia akan pulang jam berapa. Kalau banyak pesanan makanan masuk, lewatlah dia pulang malam ni.

Rhea menghantar Hayyan sehingga ke muka pintu. Sebaik motosikal yang ditunggang Hayyan hilang daripada pandangan, dia masuk kembali ke dalam rumah.

Sunyinya bila Hayyan tiada. Tapi nak buat macam mana, inilah pengorbanan...

Rhea benar-benar bersyukur mempunyai suami seperti Hayyan. Sungguh, dia bahagia hidup bersama dengan lelaki itu. Hayyan boleh dikatakan sempurna di matanya. Tiada cacat celanya.

Suaminya itu melayaninya dengan baik sekali. Bukan hanya itu, Hayyan juga sangat memahaminya. Lelaki itu berusaha keras untuk membahagiakannya.

DUM!

Bunyi petir menyambar mengejutkan Rhea daripada lenanya. Dia tersentak. Tak lama kemudian, hujan turun dengan begitu lebat sekali.

Rhea bangun daripada pembaringannya. Telefon bimbit dicapai. Sudah pukul sepuluh malam. Hayyan masih belum pulang.

“Ya ALLAH... Kau lindungilah suamiku,” doa Rhea. Dia risaukan keadaan Hayyan. Hujan di luar semakin lebat. Disertai dengan kilat sabung-menyabung.

Rhea tak dapat nak lelapkan matanya kembali. Selimut diselak. Baru dia ingin turun daripada katil, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan masuk.

Hatinya berdebar melihat nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefonnya. Tanpa menunggu lama, dia terus menjawab panggilan itu.

“Assalammualaikum puan. Saya nak maklumkan yang suami puan terlibat dalam kemalangan. Sekarang ni suami puan dalam perjalanan ke hospital.”

Hampir terlepas telefon di tangannya. Seluruh tubuh terasa lemah. Bibirnya menggeletar.

Ya Allah... Hayyan!

SELEPAS mendapat panggilan telefon tadi, Rhea bergegas ke hospital. Gigih juga dia memandu dalam keadaan hujan lebat tadi.

Air mata mengalir membasahi pipinya. Rasa bersalah membelit tangkai hati. Andai saja Hayyan tidak keluar bekerja tadi, tentu lelaki itu baik-baik saja. Kalau dia dapat ulangi masa, dia akan halang Hayyan daripada bekerja malam ini.

Rhea duduk di ruang menunggu. Hayyan masih lagi di dalam bilik rawatan. Tubuhnya masih menggigil. Rasa macam tak percaya dengan apa yang baru saja terjadi. Bibirnya tak putus-putus berdoa semoga suaminya baik-baik saja.

Tangannya naik menyentuh perutnya yang terasa senak. Dahinya berkerut halus.

“Sayang, jangan keluar sekarang. Kita tunggu ayah dulu...” ujarnya perlahan seakan memujuk.

“Rhea!”

Rhea langsung menoleh ke arah pemilik suara itu. Wanita itu datang menghampirinya.

“Along.” Makin kuat tangisan Rhea saat melihat kakak iparnya itu. Sempat dia menghubungi Hayati tadi. Memaklumkan pada wanita itu tentang apa yang berlaku pada Hayyan.

Hayati menarik Rhea ke dalam pelukannya. Belakang tubuh adik iparnya itu diusap-usap perlahan seakan memberi kekuatan.

“Rhea, kita doa semoga Hayyan baik-baik je okey?”

Rhea mengangguk lemah.

“Rhea jangan stress. Kesian baby.” Hayati risau melihat keadaan Rhea yang sudah sarat mengandung itu.

“Mak tak datang?” soal Rhea.

Hayati menggeleng perlahan. “Along tak beritahu mak. Dia tengah tidur. Along takut mak terkejut.”

Rhea mengangguk faham. Tidak lama selepas itu, doktor yang merawat Hayyan menghampiri mereka.

“Doktor, macam mana keadaan suami saya?” soal Rhea tidak sabar.

Doktor itu diam. Sayu hatinya melihat wanita yang sarat mengandung itu. Tak tergamak ingin memaklumkan keadaan pesakit yang dirawatnya itu.

“Doktor...” Jantung Rhea bagai nak tercabut bila melihat doktor itu hanya diam. Bagaimana dengan Hayyan? Adakah suaminya itu baik-baik saja?

“Puan ikut saya berbincang dalam bilik saya boleh?”

Tanpa berfikir lama, Rhea langsung mengangguk setuju.

LULUH hati seorang isteri melihat keadaan suaminya yang terbaring kaku di atas katil. Tubuh Hayyan berselirat dengan wayar.

Air mata Rhea merembes laju. Teresak-esak dia menangis di sisi lelaki itu.

“Abang...” Rhea hampir rebah. Mujurlah dia sempat berpaut pada besi katil Hayyan.

Rhea rasa dunianya seakan terhenti buat seketika. Kata doktor keadaan Hayyan kritikal sekarang ini. Kecederaan yang dialaminya sangat teruk. Terutama di bahagian kepala.

“Abang... Tolong bangun...” Rhea mengongoi.

Melihat kesan lebam dan luka di wajah Hayyan menambahkan perit di dada. Kasihan Hayyan... Pasti sakit.

Ya ALLAH, kau angkatlah kesakitan yang ditanggung suami aku...

“Abang, Rhea tunggu abang bangun. Abang dah janji nak temankan Rhea bersalin kan. Jadi abang kena bangun cepat. Rhea rasa tak lama lagi anak kita akan lahir.” Rhea bercakap seolah-olah Hayyan mendengarnya.

BERKERUT-KERUT dahi Rhea menahan sakit. Tahu-tahu saja dia sudah terbaring di wad bersalin waktu ini. Ya, sudah tiba masanya anak sulung mereka lahir.

Apa yang membuatkan Rhea kecewa, Hayyan tiada di sisinya saat ini. Lelaki itu tidak dapat menunaikan janjinya untuk menemani Rhea bersalin.

“Puan, teran puan...”

Sungguh Rhea rasa tidak berdaya. Tenaganya sudah habis. Jika Hayyan berada di sisinya waktu ini, pasti lelaki itu akan menyalurkan kekuatan buatnya. Tapi sayang... Takdir berkata lain. Mereka hanya mampu merancang.

Hayyan masih lagi tidak sedarkan diri. Sudah seminggu berlalu selepas dia kemalangan. Keadaannya masih sama. Tiada perubahan.

Tidak lama selepas itu tangisan bayi kedengaran. Rhea mengucap lafaz syukur. Air mata mengalir di hujung matanya yang hampir terpejam itu.

‘Abang, anak kita dah lahir...’

RHEA meminta jururawat membawanya ke wad yang menempatkan Hayyan. Walaupun suaminya itu masih belum sedar, Rhea tetap membawa anak mereka berjumpa dengan Hayyan.

“Abang, abang tak nak bangun ke? Abang tak nak jumpa Armel?” Sebak mencengkam dada Rhea. Sedaya-upaya dia menahan air matanya daripada mengalir. Dia sudah penat menangis.

“Abang kena bangun cepat. Abang dah janji nak temankan Rhea bersalin. Tapi abang tak tunaikan... Abang kena tunaikan janji abang untuk sama-sama jaga Armel, kalau tak... Rhea tak nak kawan abang...” Rhea tak mampu menahan lagi. Tangisannya terhambur juga. Teresak-esak dia menangis di sisi Hayyan. Tubuh Armel dibawa ke pelukannya.

Adakah ini maksud pesanan terakhir Hayyan sebelum dia terlibat dengan kemalangan tempoh hari?

“Jangan tunggu abang tau.” Terngiang-ngiang di telinga Rhea pesanan terakhir Hayyan kepadanya.

Mata dipejam rapat. Hiba hatinya menelan takdir ini...

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience