Bab 19

Short Story Series 55082

Aqil memandang Shofwah yang duduk dihadapannya itu sambil menunduk seperti sedang menyusun kata-kata untuk diucapkan. Aqil menggaru belakang tengkuknya yang terasa gatal. Matanya sempat menangkap mata-mata saudara maranya yang mengintip disebalik langsir di dalam rumah. Aqil mengeluh, mengapa Shofwah harus ke sini sehari sebelum pernikahan mereka. Bukankah mereka dilarang untuk berjumpa? Akhirnya kerana tidak betah dengan kebisuan itu Aqil memulakan bicara.

"Ada apa sebenarnya ni, Shofwah? Kenapa ke sini? Bukan ke keluarga kita sudah melarang kita berjumpa sehingga hari besok tiba?" Aqil tidak senang dengan apa yang di lakukan oleh Shofwah ketika itu.

"Abang, siapa Rina Althafunisa?" Shofwah bertanya tiba-tiba setelah lama mendiamkan diri. Shofwah melihat Aqil segera mengangkat kepala dan memandangnya tepat di mata. Kelihatannya Aqil memang mengenali wanita yang bernama Rina Althafunisa padahal ketika itu di dalam hatinya dia berharap agar Aqil tidak mengenali wanita itu.

"Dari mana kamu tahu tentang Rina, Shofwah?" Aqil bertanya sambil mengecilkan matanya. Dari mana gadis itu mengetahui tentang Rina Althafunisa? Seingatnya dia tidak pernah menceritakan tentang Rina kepada Shofwah dan tidak mungkin juga Tan Sri Mansur yang memberitahu Shofwah kerana bapanya yang mahu ‘menyorokkan’ Rina sehingga waktu yang tepat barulah akan diperkenalkan kepada orang ramai bahawa wanita itu adalah isteri kepada Haikal.

"Daripada Syuhada." Shofwah menjawab jujur. Dia ingat lagi semalam Syuhada datang berkunjung ke rumahnya bersama tunang wanita itu mahu membantu-bantu apa yang patut katanya dan tiba-tiba gadis itu membuka cerita tentang seorang perempuan yang bernama Rina Altafunisa.

"Sejauh mana kamu mengetahui tentang Rina?" Aqil mula berdebar-debar kerana dia tidak tahu apa yang dikatakan oleh Syuhada kepada Shofwah tentang Rina. Dia dapat merasakan Syuhada menceritakan tentang segala-galanya tanpa ada sedikitpun yang tertinggal dari kisah Rina di universiti mereka dahulu.

"Sejauh yang abang fikirkan sekarang." Shofwah dapat mengagak kerisauan yang bermain di fikiran Aqil ketika itu. Nampaknya benar kata Syuhada bahawa tunangnya itu menyukai Rina Althafunisa.

Aqil mengeluh. Mengapa harus Syuhada menceritakan tentang keaiban Rina kepada Shofwah tanpa mengetahui apa yang sebenarnya terjadi. Kasihan Rina harus menanggung semuanya seorang diri. Dahulu dia termasuk orang yang mengaibkan Rina bahkan di depan orang ramai di dalam masjid dan kafeteria universiti mereka. Sebuah penyesalan yang tidak dapat dia lupakan selagi belum mendapat kemaafan daripada Rina.

"Abang tidak tahu sejauh mana yang kamu tahu Shofwah tetapi abang ingin kamu tahu, Rina tidak seburuk yang mereka katakan. Dia seorang wanita yang berhati mulia." Aqil menundukkan pandangannya. Setiap kali dia memikirkan Rina hatinya terasa nyilu seperti ditusuk dengan belati yang tajam sehingga mampu mengalirkan air matanya.

"Apa yang abang fikirkan tentang Shofwah? Shofwah bukanlah orang yang mudah melatah dan mempercayai kata-kata orang lain tanpa melihatnya sendiri. Sepertinya abang sangat mencintai Rina Althafunisa. Mengapa abang memilih untuk bersama Shofwah jika di hati abang ada wanita lain yang bertakhta?" Shofwah mengagahkan dirinya mengucapkan perkataan terakhir itu walaupun ketika itu hatinya turut terluka.

"Abang tidak layak dan tidak mungkin untuk bersama wanita itu. Biarkan itu menjadi masa lalu yang memberikan abang sebuah pengajaran. Sekarang kamu adalah masa depan abang. Besok kita akan berkahwin dan abang akan berusaha untuk menjaga hubungan kita sehingga akhir hayat abang." Aqil menjawab perlahan seperti kurang yakin dengan kata-katanya sendiri.

Shofwah tersenyum pahit. Dari pandangan mata Shofwah dilihat dengan jelas oleh gadis itu bahawa tunangnya itu sangat mencintai Rina Althafunisa dan tiada wanita lain yang mampu menggantikan posisi wanita itu di dalam hati Aqil walaupun dirinya sendiri. Adakah dia sanggup untuk hidup dengan lelaki yang jelas tidak mencintai dirinya? Apakah hanya disebabkan kebahagiannya dia sanggup mengetepikan perasaan orang lain? Dia bukan orang yang pentingkan diri sendiri!

"Abang, Shofwah tidak akan salahkan abang jika kita tidak jadi menikah besok. Ini lebih baik daripada kita berdua terseksa dengan hubungan yang dipaksakan." Shofwah bercakap lembut seoalah-olah sedang menghiburkan hatinya sendiri.

"Apa yang Shofwah cakap ni? Abang sudah katakan tadi bahawa Rina Althafunisa adalah masa lalu abang dan kamu yang abang pilih untuk menjadi peneman hidup abang. Sudahlah, tidak perlu kita bincangkan lagi tentang perkara ini." Aqil terkejut mendengar kata-kata Shofwah itu. Dia tidak menyangka bahawa Shofawah akan berkata seperti itu.

"Abang, Shofwah berikan abang peluang untuk bersama dengan wanita yang abang cintai. Abang jangan bimbang tentang Shofwah, biarkan Shofwah yang bertanggungjawab nanti. Shofwah hanya mahukan kebahagiaan abang. Jika abang bahagia Shofwah juga akan turut rasakan yang sama." Shofwah sudah membulatkan hatinya. Dia tidak mungkin berbahagia di atas penderitaan orang lain. Walaupun ini keputusan yang amat menyakitkan hatinya tapi dia akan berasa tenang pada masa akan datang. Dia yakin Allah pasti menggantikan sesuatu dengan yang lebih baik. Sejak daripada awal Aqil bukan miliknya lelaki itu mungkin milik Rina Althafunisa.

"Shofwah..." Aqil mengeluh.

"Mari ikut abang. Abang mahu tunjukkan sesuatu pada kamu." Aqil meminta Shofwah bangun membuntutinya naik ke tingkat dua. Aqil tidak memperdulikan lagi mata-mata saudaranya yang melihat gelagat mereka.

“Ingat Aqil, besok baru sah. Jangan pegang-pegang kat atas sana tu.” Salah seorang saudara mara Aqil menyakat sehingga membuatkan pipi Shofwah kemerah-merahan akibat malu diusik tetapi tidak Aqil. Ketika itu fikirannya hanya mahu membawa Shofwah berjumpa seseorang yang akan merungkaikan permasalahan mereka.

Shofwah yang menuruti langkah Aqil naik ke tingkat dua tanpa bertanya apa-apa sehinggalah mereka berhenti di hadapan sebuah bilik. Shofwah mengerutkan dahinya. Mengapa dia dibawa ke sebuah bilik. Apakah yang Aqil mahu tunjukkan kepadanya?

"Masuklah dan kamu akan menemui jawapannya. Di dalam bilik itu ada Mak Sofi yang akan menjawab semua tanda tanya dalam fikiran kamu. Abang tunggu kamu disini." Aqil mengundurkan langkahnya dan bersandar di tembok bertentangan dengan bilik itu sambil memerhatikan Shofwah yang teragak-agak mahu masuk ke dalam bilik tersebut.

Shofwah menarik nafas sebelum menghembusnya perlahan-lahan. Entah kenapa hatinya berdebar-debar saat mahu masuk ke dalam bilik itu. Ketika dia menolak pintu bilik itu dia terus melihat sosok badan Mak Sofi yang sedang mendukung seoranng anak kecil Mak Sofi juga kelihatan terkejut melihat Shofwah yang berada di hadapan muka pintu bilik itu.

"Cik Shofwah, bagaimana cik boleh berada di sini?" Mak Sofi bertanya menggelabah kerana menurut Tan Sri Mansur tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ke dalam bilik itu selain mereka bertiga. Ain dicutikan selama seminggu sehingga semua sanak saudara Tan Sri Mansur pulang ke rumah masing-masing.

"Abang Aqil yang mengizinkan saya untuk masuk ke dalam bilik ini makcik." Shofwah menjawab jujur kerana dia tidak mahu dianggap menceroboh.

Mak Sofi menyuruh Shofwah masuk dan menutup pintu itu semula. Tiada sesiapa yang boleh tahu atau melihat bahawa ada penghuni di dalam bilik ini. Mungkin Aqil mahu mengenalkan Shofwah dengan mereka kerana gadis itu bakal menjadi menantu Tan Sri Mansur besok.
Shofwah mendekati Mak Sofi yang mendukung anak kecil yang sedang pulas tidur. Diusap kepala anak itu dengan senyuman sebelum senyuman itu sirna apabila melihat sosok tubuh lain yang sedang terbaring di atas katil.

Shofwah mendekati pula katil itu dan melihat seorang perempuan yang sangat kurus dan cengkung wajahnya terbaring kaku tanpa sebarang pergerakan daripada tadi. Shofwah melihat Mak Sofi seperti meminta sebuah jawapan. Mak Sofi yang faham akan pandangan Shofwah itu mendekati mereka.

"Ini Rina Althafunisa. Menantu sulung dalam rumah ini." Mak Sofi tersenyum memperkenalkan Rina dengan Shofwah. Tan Sri Mansur bakal mempunyai menantu-menantu yang sangat cantik.

Shofwah terkejut bukan kerana mendengar perkataan 'menantu' yang diucapkan oleh Mak Sofi tetapi nama perempuan yang baru saja disebut itu membuatkan hatinya kembali berdebar-debar. Jadi wanita inilah yang bernama Rina Althafunisa yang dikhabarkan oleh Syuhada. Wanita yang membuatkan penduduk di universiti mereka gempar akan tentang kehamilan wanita itu tanpa seorang suami.

"Menantu?" Shofwah bertanya apabila dia teringat ada Mak Sofi bersama mereka di dalam bilik itu.

"Ya, isteri Encik Haikal dan akak ipar Encik Aqil." Mak Sofi memberitahu Shofwah tentang rahsia perkahwinan Haikal dan Rina.

"Jadi... dialah Rina Althafunisa." Sekali lagi Showfah terkejut kerana wanita itu adalah isteri kepada abang Aqil. Bagaimana mungkin?

"Cik Shofwah kenal dengan Puan Rina?" Mak Sofi mengerutkan keningnya. Bagaimana tunang Aqil itu mengenali Rina sedangkan gadis itu baru saja pulang dari Mesir selepas menamatkan pengajiannya?

"Dia kawan kepada kawan saya, Mak Sofi. Mereka belajar di universiti yang sama." Shofwah menjelaskan kepada Mak Sofi tentang bagaimana dia mengenali Rina.

Mak Sofi hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Mak Sofi melihat Shofwah yang menyentuh tangan Rina yang sejuk membeku itu walaupun tidak menghidupkan penghawa dingin.

"Apa yang terjadi kepadanya?" Shofwah bertanya ingin tahu. Dia tahu dengan hanya melihat bahawa wanita itu bukanlah sedang dibuai lena tetapi wanita itu berada di dalam lena yang panjang. Disebabkan dia seorang doktor pelatih dia tahu bahawa Rina sedang berada di dalam koma.

"Puan Rina koma selepas melahirkan Qalifh. Kasihan nasib ibu dan anak ini." Mak Sofi bersuara lirih apabila berasa kasihan dengan nasib Rina dan Qalifh itu.

"Astaghfirullahalazim. Sudah berapa lama dia seperti ini makcik?" Shofwah mengucap dan berasa simpati melihat anak kecil yang berada di dalam dukungan Mak Sofi. Kanak-kanak yang seharusnya mendapatkan pelukan hangat seorang ibu nampaknya tidak dapat dirasai oleh Qalifh.

"Genap setahun, Cik Shofwah." Mak Sofi memberitahu lagi.

Mereka menoleh apabila pintu bilik ditolak daripada luar. Aqil memandang Shofwah yang sedang duduk disamping Rina. Aqil menutup pintu semula sebelum mendekati Shofwah yang sudah kembali memandang Rina yang koma. Aqil menarik kerusi yang berdekatan dengan katil itu dan duduk diatasnya sambil matanya tidak lepas daripada terus memandang Rina.
Mak Sofi yang melihat keadaan itu segera menjauhkan diri daripada mereka dan duduk di atas sofa yang berada di dalam bilik itu kembali mendodoikan Qalifh. Terkadang mata Mak Sofi sengaja mencuri pandang ke arah Aqil dan Shofwah kerana mahu mengetahu reaksi Shofwah selepas berjumpa dengan Rina. Mak Sofi yakin pasti Shofwah sudah mengenali siapa Rina di hati Aqil ketika ini.

"Sekarang kamu sudah mengenali Rina Althafunisa, Shofwah? Biar abang ceritakan kebenarannya. Ketika dia dituduh perempuan zina, kawan-kawannya menghindari dirinya, semua orang melemparkan kata-kata nista terhadapnya tetapi tidak pernah sekalipun abang melihat dia menghina kembali. Malah jika wajahnya tidak ditutupi purdah abang yakin dia akan membalas tomahan mereka dengan senyuman. Abang juga pernah melukakan hatinya dengan mempermalukan dia di khalayak ramai dan abang berasa malu setiap kali melihat wajahnya. Inilah gadis yang mereka katakan kotor dahulu. Ternyata gadis ini wanita suci dan berakhlak mulia. Rina Althafunisa isteri kepada abang Haikal. Dia kakak ipar abang dan sekarang kamu tahu kenapa abang katakan bahawa dia adalah masa lalu dan kamulah masa depan abang?" Aqil memandang Shofwah mengharapkan pengertian daripada Shofwah.

"Mengapa dia tidak membela dirinya dengan mengatakan abang adalah adik iparnya? Mengapa dia mahu dicaci dan dihina sedangkan dia boleh mempertahankan dirinya?" Shofwah bertanya tidak mengerti.

"Abang tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka. Abang juga baru tahu bahawa dia isteri kepada abang Haikal." Aqil memberitahu menggelengkan kepala kerana dia juga tidak mempunyai jawapan untuk itu.

“Bagaimana mungkin abang boleh tidak mengetahuinya?” Shofwah bertanya semakin tidak mengerti.

“Mereka berkahwin secara rahsia dan abang juga tidak tahu apakah puncanya sehingga mereka tidak memaklumkan kepada kami. Orang yang mengetahui apa yang sebenarnya terjadi hanyalah Abang Haikal dan Rina. Selebihnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.” Aqil berkata perlahan.

“Abang Haikal tahu isterinya disini?” Shofwah bertanya lagi apabila teringat abang kepada tunangnya itu yang kini berada di luar negara kerana bekerja disana.

Aqil menggeleng. Jika Haikal mengetahui Rina disini apakah reaksi abangnya itu? Apakah Haikal akan menerima keadaan Rina yang lumpuh atau dihalaunya saja keluar wanita yang sudah tidak berguna kepadanya?

‘Apa yang terjadi kepada awak, Rina?’ Shofwah bertanya di dalam hati. Jadi apa yang dikatakan oleh Syuhada kepadanya tentang Rina sama sekali tidak benar. Itulah pentingnya kita mencari tahu sendiri kebenarannya tanpa hanya mendengar daripada sebelah pihak sahaja. Kejamnya fitnah sehingga membuatkan kehidupan seseorang itu hancur disebabkannya.
Shofwah masih mahu berlama-lama disitu. Entah kenapa dia mahu berada di sisi wanita itu. Dia mahu menunggu dengan harapan Rina akan buka matanya dan bercerita apa sebenarnya yang telah menimpa dirinya. Tiba-tiba Shofwah mendapat panggilan daripada pihak hospital tempatnya berkhidmat. Pihak hospital terpaksa menelefon Shofwah ketika itu walaupun Shofwah sedang bercuti kerana mempunyai hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

"Abang, Shofwah mahu minta diri ada kecemasan di hospital yang memerlukan khidmat Shofwah. Terima kasih kerana sudah jujur kepada Shofwah dan menerima Shofwah sebagai isteri abang." Shofwah mendekati Rina dan dipeluk tubuh itu erat.

"Bangunlah kerana banyak orang yang mencintai awak." Dia berasa tidak sedap hati tetapi dia berasa tenang apabila dapat memeluk Rina Althafunisa. Semoga Allah melindungi wanita baik ini sentiasa.

Disepertiga malam ketika Aqil selesai menunaikan solat sunat tahajud telefonnya berdering. Aqil segera bangun daripada sejadah dan melihat si pemanggil. Nama Dato' Bahrin tertera di layar skrin telefonnya dan dengan segera Aqil menjawabnya.

"Aqi...Shofwah..." Kedengaran suara Dato' Bahrin di dalam talian.

Telefon di pegangan tangan Aqil terlepas dan ketika itu pintu biliknya juga terbuka dari luar. Tan Sri Mansur melihat wajah Aqil yang pucat lesi itu dan segera memeluk anaknya itu dengan erat.

"Mari kita ke hospital segera." Tan Sri Mansur menarik tangan Aqil yang masih di dalam keadaan kebingungan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience