Chapter 13

Romance Completed 32270

Tiga Belas

Ayah Marha memberi isyarat untuk masuk ke simpang kiri selepas melepasi Tol Bukit Tagar. 10 minit lagi mereka sekeluarga akan tiba di UNiSEL. Poster dan banner Istiadat Konvokesyen kali ke-4 tergantung di bahu jalan. Marha berasa sungguh girang apabila dia melihat papan tanda Universiti Industri Selangor. Kereta dibelok ke kanan dan terus masuk merentasi pintu gerbang UNiSEL yang tersergam indah. Kereta penuh diparkir sepanjang bahu jalan dari Fakulti Kejuruteraan hingga ke Perpustakaan. Jalan sesak kerana majlis konvokesyen untuk sesi kedua akan bermula tidak lama lagi. Para graduan yang baru sahaja menerima skrol masing-masing berpusu-pusu keluar daripada Dewan Utama mencari keluarga mereka.

Suasana begitu meriah di perkarangan Dewan Utama UNiSEL. Pelbagai gerai dibuka di sekitar Dewan Utama. Kedai menjual bunga paling banyak sekali.

Marha meminta izin daripada ayah dan ibu untuk pergi berdaftar di kaunter pendaftaran yang terletak di belakang dewan. Ramai rakan sekelasnya sudah sampai dan berkumpul di situ. Dia memberi salam kepada mereka dan terus beratur untuk menunggu gilirannya mengambil kad alumni. Graduan TESL yang lain juga berkumpul di situ. Semua berwajah ceria.

Dalam keriuhan di kaunter pendaftaran, Marha terpandang satu susuk tubuh yang sudah berbulan-bulan tidak dia lihat. Lelaki muda itu segak berjubah konvo berwarna merah terang.

“Farhankah tu?” Desis hati kecilnya. “Ah, abaikan dia, Marha.” Dia cuba menyisih perasaan. Pandangannya dilarikan ke arah sahabat-sahabatnya yang girang berbual-bual.

“Perhatian, tolong beratur sekarang. Tolong beratur mengikut turutan nombor yang diberi.” Laung pegawai yang bertugas.

Semua graduan ISM daripada Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains dan Pendidikan mula mencari-cari kedudukan mereka berpandukan nombor yang diberi oleh pegawai bertugas semasa pendaftaran sebentar tadi. Tidak terkecuali Marha.

“Tumpang tanya, awak nombor berapa?” Marha bertanya tanpa memandang siapa yang ditanyanya. Dia panas. Peluh mengalir di dahinya dilap dengan tisu.

“407, Marha.”

“Nombor aku 406. Baguslah. Tapi...macam pernah dengar suara ni.” Kepalanya diangkat dan memandang pemegang nombor 407.

“Oh, Farhan rupanya.” Marha tersipu-sipu malu.

“Aduh, aku kena duduk sebelah Farhankah? Kenapalah aku selalu diapit dengan lelaki?” Dia melepaskan keluhan kecil.

Dia masuk ke dalam barisan dan berdiri di hadapan Farhan. Jarak antara dia dan Farhan begitu rapat. Perasaan kekok menyelubungi dirinya kerana dia tidak pernah berada di dalam situasi begitu. Marha keluar sedikit daripada barisan, mengambil sedikit jarak supaya dia selesa.

“Hari ni mungkin kali terakhir aku jumpa dia. Apa salahnya kalau aku ucap tahniah kan?” Bisik hati Marha.

“Hmm... Farhan, tahniah.” Dia agak ragu-ragu hendak berbicara dengan lelaki muda itu. Kepalannya didongakkan sedikit memandang Farhan yang agak tinggi itu.

“Terima kasih. Tahniah juga buat Marha. Lamakan tak jumpa.”

“Ya. Lama juga. Lebih kurang tiga bulan?”

Farhan menganggukan kepalanya. Tangannya membetulkan mortar board dan hood. Pandangannya dialihkan semula ke arah gadis yang berdiri di hadapannya itu.

“Everybody is looking great, isn’t it?”

“Emm.” Marha membalas pendek.

“Marha sudah isi borang temuduga GSTS? Minta negeri mana untuk posting?” Farhan bertanya semasa mereka mula bergerak masuk untuk sesi perarakan graduan.

“Alhamdulillah. Sudah isi. Interview saya minggu hadapan. Hmm.. saya minta negeri.....” Belum sempat pun Marha memberitahu, mereka sudah tiba di pintu masuk utama.

Marha mengedip matanya. Kagum. Dewan dihias indah sempena Istiadat Konvokesyen kali ini. Dia lihat begitu ramai ibu bapa yang di tempat duduk sebelah kira dan kanannya. Dia tercari-cari kelibat ibu dan ayahnya di dalam lautan manusia. Dia tersenyum manis apabila ibunya melambai-lambai ke arahnya.

“Marha minta negeri mana?” Farhan bertanya dalam nada tidak sabar.

“Rahsia.” Marha menjungkit bahunya dan berteka-teki dengan lelaki muda itu.

“Ala, beritahulah. Mahu berahsia-rahsia pula.” Muka Farhan mencuka. Marha sekadar mengukir senyuman.

Marha terus berjalan menuju ke tempat duduknya. Rasa tidak selesa menjengah kembali kerana dia terpaksa duduk di sebelah Farhan dan seorang lagi graduan lelaki yang lain. Sudah menjadi nasibnya sentiasa diapit oleh lelaki. Namanya bermula dengan huruf A dan selalunya namanya mesti di antara lelaki.

Marha melepaskan keluhan. Dia hanya memandang hadapan sahaja, memandang layar skrin. Perasaan berdebar duduk di antara lelaki cuba dikawal sebaik mungkin. Telinganya menangkap bunyi gong yang memenuhi setiap ruang dewan. Maka, Majlis Istiadat Konvokesyen kali ke-4 pun bermula. Dewan Utama mula menjadi senyap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience