Bab 29
“Balik terus uncle! Kesian mak saya, setiap kali telefon suruh balik, kerja di KL saja. Bukan tak ada kerja di sini, kata mak. Sebenarnya saya pun dah seronok juga kerja di sana.”
“Betul kata mak kau. Kerja banyak di sini. Di syarikat uncle pun kau ada kerja, kalau kau mahu. Uncle bila-bila masa saja dengan tangan terbuka menerima kau, Fendi! Kau specific dalam bidang apa?”
“Akaun,” jawab Affendi dengan cepat.
“Bagus. Bagus! Uncle akan lantik kau jadi akauntan syarikat. Bila kau nak mula kerja?”
“Minggu depan uncle, itu pun kalau uncle tak kisah… Saya ingat nak rehat dua tiga hari temankan mak di rumah.” jawab Affendi.
“Wah! Anak yang baik ni!”
“Taklah, uncle. Dah lama tinggalkan dia. Sementara ada masa ni saya temankan dia. Ni pun keluar sekejap, jumpa uncle. Tak sangka pulak dapat kerja! Saya tak bawa apa-apa ni uncle!” jawab Affendi sambil tertawa kecil.
“Tak apa. Itu boleh diaturkan kemudian. Uncle akan keluarkan surat tawaran nanti… Agaknya berapa gaji yang kau harapkan daripada Omara Holdings?” tanya Datuk Omar.
“Terpulang pada uncle. Saya tak kisah…. Lagipun saya bujang lagi, bukannya ada anak isteri.”
Datuk Omar tertawan pada kesederhaan dan sikap rendah diri Affendi. Apakah anak lelaki tunggalnya itu juga akan bersikap seperti teman baiknya ini? Entahlah! Dia tidak tahu. Apa yang dia tahu, anak lelakinya itu seorang anak yang baik dan penurut. Dia agak penakut serta pendiam orangnya.
Datuk Omar merenung wajah Affendi. Dia rasa teruja. Entah mengapa memandang Affendi, dia terasa seperti Zakuan sudah kembali. Aneh… mengapa dia harus berfikiran begini?
Dalam girang tiba-tiba wajah Datuk Omar jadi muram. Kehadiran Affendi hari ini juga membuat dia terkenang pada anak tunggalnya yang hilang di dalam hutan sepuluh tahun lalu. Kehilangan yang masih menjadi misteri hingga kini…
“Uncle! Kenapa uncle?” tanya Affendi gusar apabila dilihatnya riak wajah Datuk Omar berubah benar, dari girang menjadi muram secara mendadak.
“Tak ada apa-apa… Uncle terkenang pada Zack. Bila tengok kau datang hari ni, tiba-tiba teringatkan dia pulak. Kau orang berdua kawan baik.”
Affendi mengeluh.
“Ya… Kami sangat rapat dulu,” akui Affendi.
“Kau rasa, dia masih hidup Fendi?”tanya Datuk Omar dengan suara yang payah.
“Tak tahulah, uncle. Susah nak cakap.”
“Yalah! Dah sepuluh tahun. Kalau mengikut akta orang hilang, setahun sahaja kalau tak muncul dianggap mati.” Kata Datuk Omar dengan nada sedih.
“Fendi, kaulah orang yang paling tepat untuk uncle serahkan syarikat ni selagi Zack tak ditemui. Sebagai permulaan, uncle lantik kau jadi penolong pengarah. Macamana?” tanya Datuk Omar, meminta pandangan Affendi.
Namun sebenarnya dia tidak memerlukan pandangan daripada anak muda itu. Dia sudah pun menyiapkan surat, hanya perlu ditandatangani sahaja oleh Affendi.
Affendi menelan air liur. Baru sebulan lalu dia ditawarkan dengan jawatan akauntan, kini dia menjadi penolong pengarah pula. Pastilah keputusan ini akan menimbulkan keributan! Irfan tidak akan menyenangi tindakan Datuk Omar ini. Pasti Airiel juga menyebelahi kawan baiknya, Irfan. Patutkah dia menurunkan tandatangan?
“Sain sajalah Fendi. Kau takkan rugi apa-apa. Malah kau untung. Percayalah, Fendi.”
Affendi meneliti surat yang terbentang di hadapannya, kemudian menurunkan tandatangan dengan tertib.
“Satu perkara lagi, mahu ke kau berjanji dengan uncle, akan cari Zack?”
Affendi terdiam. Mencari Zakuan? Perkara itu terasa sangat mustahil!
Di mana nak cari Zakuan yang hilang sepuluh tahun lalu? Semasa dia baru hilang dahulu pun pihak berkuasa gagal menjejakinya. Inikan pula masa yang sudah beranjak ke sepuluh tahun.
“Kalau ada izin daripada Tuhan, pasti saya akan dapat mencari dia, uncle.”
Affendi menjawab setelah terdiam sejurus lamanya.
“Alhamdulillah,” jawab Datuk Omar.
“Kalau sehari dua ni uncle mati sekali pun, uncle takkan ralat… takkan mati dengan mata separuh terbuka.”
Astaghafirullah… kenapa uncle Omar asyik bercakap tentang kematiannya sahaja? Fikir Affendi dengan hati yang gundah. Dia bimbang kata-kata itu menjadi kenyataan
“Mengapa dalam hidup ni, kita tak suka masalah menimpa diri kita. Tapi kalau orang lain ada masalah, kita suka mendengar masalah orang lain… Kita suka orang lain ditimpa masalah yang pelik-pelik, yang tak masuk dek akal,” kata Amalina sambil merenung jauh.
Hashim ketawa sambil menggelengkan kepalanya.
“Apa maksud kau ni? Selalunya kau happy je, kenapa sekarang kau nak fikir masalah orang lain?”
Amalina memandang ke wajah Hashim yang asyik menghirup sup tulang. Teh O suam masih tinggal separuh gelas. Dia memesan gelas besar. Hendak minum banyak selepas penat bekerja sepanjang hari.
...bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah Amalina bertemu semula dengan Leo? Adakah Affendi boleh dipercayai?
Share this novel