Chapter 5

Horror & Thriller Completed 11904

Bab 5: Meracau

Kawasan sekitar Bukit Tunku amat sunyi dan lengang. Apatah lagi jika sudah lewat malam. Jarang kereta lalu lalang disitu. Jelas kedengaran bunyi-bunyian malam yang ceria menghiasi malam gelita. Amat tenang untuk didengari, seolah-olah menjadi makanan jiwa di waktu keresahan.

Nelly menukar siaran rancangan sambil membetulkan kedudukannya di sofa ruang tamu rumah tersebut. Ali telah keluar berjumpa rakan-rakannya seperti biasa. Tinggal Nelly dan Mak Ilah berdua di rumah itu. Mak Ilah sudah masuk tidur memandangkan jam sudah menunjukkan hampir pukul 12.30 malam. Nelly terus menukar siaran kerana tiada cerita yang menarik untuk dilayan. Akhirnya dia mematikan televisyen dan menuju ke biliknya. Lagipun dia amat keletihan selepas apa yang berlaku pada hari sebelumnya. Apabila Nelly tiba di depan pintu, dia terdengar bunyi seperti seorang perempuan sedang bercakap dari dalam bilik. Suaranya sedikit lembut tetapi masih boleh ditangkap bibit-bibit ayat yang diucapkan.

“Kujarat kimuna sisih ubut keladan! Kujarat kimuna sisih ubut keladan!”

Nelly mendengar seperti suara seorang perempuan membaca sesuatu ayat yang tidak dapat difahami. Dia cuba mendengar dengan lebih teliti lalu merapatkan dirinya di pintu.

“Kau akan mati....akan ku kerat urat jemari...kau akan mati......”

Nelly tersentak dengan apa yang didengarinya. Tiba-tiba, pintu bilik itu terbuka dengan perlahan. Lutut Nelly terasa lembik seperti hilang kekuatan. Badannya menggeletar hilang punca. Fikirannya bercelaru disalut resah. Dia kaku di hadapan pintu tersebut. Puas matanya meliar mencari punca suara tadi tetapi tidak kelihatan kerana bilik itu gelap gelita tanpa cahaya. Nelly mengagahkan kakinya melangkah ke dalam bilik untuk memetik suis lampu yang terletak bersebelahan bilik air. Dalam langkah keempat, kaki Nelly tersepak sesuatu yang bulat seperti bola. Dia cepat-cepat mencapai suis.

Aghh..tak hidup pulak lampu ni... dengus Nelly dengan resah di dalam hati. Berkali-kali Nelly cuba menekan suis lampu tetapi gagal. Tanpa diduga, bunyi loceng kaki kedengaran betul-betul dibelakangnya. Semakin lama bunyi itu semakin dekat. Nelly kaku, peluh ketakutan mula membasahi dahi. Mengalir air mata Nelly akibat terlalu takut. Makin dekat.

Ting..ting.....ting...ting ting ting....ting!

Bunyi loceng kaki itu berbunyi rancak seperti ada yang memakainya sambil menari.

Ting! Ting! Ting!

Semakin laju iramanya, semakin dekat bunyi itu dengan tempat Nelly berdiri. Nelly ingin menjerit sekuat hati tetapi tiada suara yang keluar dari mulutnya. Dia juga cuba untuk menggerakkan kakinya tetapi gagal. Bunyi itu tiba-tiba terhenti di belakang Nelly. Kesunyian sekali lagi memecah ruang bilik. Dengan tidak disangka, Nelly terasa satu tepukan dibahu kanannya dan dia terus rebah tidak sedarkan diri.

Tidak berapa lama kemudian, Nelly terjaga dan mendapati dirinya terbaring di dalam bilik air, bersebelahan tab mandi. Kepalanya terasa berat. Matanya berpinar. Lampu bilik terang benderang terpasang. Begitu juga dengan lampu di dalam bilik air.

Apa yang berlaku tadi? Kenapa aku terbaring di dalam bilik air? Bisik Nelly di dalam hati.

Nelly bangun perlahan kerana kepalanya masih terasa berat dan juga sedikit pening. Dia bergerak menuju ke katil dan merebahkan dirinya di bahagian kanan katil. Tiba-tiba Iphone milik Nelly berbunyi menandakan ada mesej. Dia mencapai lemah Iphone itu lalu membaca mesej yang diterima dari nombor tidak dikenali.

“Pandang sebelah kanan..........”

Iphone miliknya terlepas dari genggaman. Jantungnya lagi sekali berdegup laju, tangan menggeletar, fikiran bercelaru. Dia dengan perlahan menggerakkan kepalanya untuk menoleh ke kanan. Sekujur mayat dibalut rapi dengan kain kapan berada betul-betul disebelahnya. Ikatannya dengan tiba-tiba terbuka satu persatu. Nelly sekali lagi pengsan.

........................................................................................................................................................................................

“Nelly.. Nelly.... bangun.. kenapa kau terbaring kat lantai ni?,” ujar Ali dengan lembut sambil mengejutkan Nelly. Ali mendapati yang Nelly terbaring di lantai berhadapan bilik air. Yang peliknya, Nelly terbaring dalam kedudukan lurus kaki, dan kedua-dua tangannya pula di atas perut. Seperti mayat. “Hurm..............entah..” balas Nelly lemah sambil memegang dahinya. Dia terasa pening. “Kau tak sihat ni Nelly, jom aku bawa kau jumpa doktor.” balas Ali berbaur nada kerisauan. “Aku okay, tak yah pegi klinik.” Ucap Nelly dengan lemah. Ali memapah Nelly ke sofa di dalam bilik berkenaan. Ali menyambung, “Tak boleh, aku bawak kau pegi klinik gak malam ni. Lewat pun aku peduli ape.” Nelly tidak berdaya untuk membantah lagi lalu mengangguk tanda setuju.

Ali memberitahu Mak Ilah yang dia ingin membawa Nelly ke klinik berdekatan. Sedang Ali menghidupkan enjin kereta, dia menerima satu panggilan.

“Ali, hang kat mana? Aku nak mintak tolong hang ni,” kedengaran Fil begitu risau. “Aku nak bawa Nelly pergi klinik ni, kenapa Fil?,” jawab Ali dengan tenang. “Adik aku, Fiza, mengada-ngada pi Highland Tower dengan kawan-kawan dia. Pastu dia call aku cakap kawan-kawan dia tinggai dia kat situ!,” Fil menyambung. “Dah la pukui 2 pagi ni, tak kan aku nak pi sana sorang, tak mau aku. Jom Ali, teman aku sat ambik Fiza. Aku risau ni,” Fil menjelaskan dengan terperinci situasi yang menimpa nya. Fil adalah kawan Ali semenjak sekolah menengah. Ali berasal dari utara tanah air, Pulau Pinang. Keluarga Fil berpindah ke Kuala Lumpur semasa Fil berumur 14 tahun. Fil adalah seorang yang ramah dan pandai berjenaka. Walaupun Fil bukan dari keluarga orang berada seperti Ali, dia amat rapat dengan Ali dari sekolah hinggalah sekarang. Ali pula tidak kisah berkawan dengan Fil walaupun latar belakang mereka terlalu berlainan. Itulah istimewanya Ali. Tidak seperti anak orang berada yang selalunya akan berlagak dan tidak mahu berkawan dengan orang seperti Fil.

“Macam ni lah Fil, aku bawak Nelly pegi klinik jap lepas tu aku amek kau, amacam bro?” balas Ali dengan pantas. “Lagipun aku rasa Fiza okay je tu. Entah-entah dorang nak kenakan kau,” sambung Ali sambil memasukkan gear reverse dan keluar dari kawasan perkarangan rumahnya. “Harap-harap la depa nak pekena aku ja. Hang mai cepat sikit! Aku tunggu!“ Fil membalas lantas mengakhiri panggilan.

Sampai di sebuah klinik 24 jam, Nelly diperiksa oleh doktor yang bertugas pada malam itu, Doktor Riduan. Mengikut nya, Nelly sihat seperti biasa. Tidak ada simptom demam atau apa-apa alergi. Doktor Riduan memeriksa berulang kali untuk memastikan keadaan Nelly. Nelly tidak puas hati dengan jawapan doktor lalu menyampuk, “ Tapi doktor, saya pengsan 2 kali. Lepas tu saya rasa badan ni lemah sangat.”

“Awak ada ambil pain killer?,” tanya Doktor Riduan sambil matanya fokus memandang Nelly menunggu jawapan.

“Urm, ade,” jawab Nelly lalu tunduk sambil mengenggam tangannya dengan kuat. Lampu kalimantang di dalam bilik doktor amat terang sehingga membuatkan matanya silau.

Mesti doktor ni nak salahkan aku sebab makan banyak pain killer, bebel Nelly di dalam hati.

Doktor menyambung lagi, “Salah satu kesan sampingan pain killer adalah berhalusinasi. Pesakit akan mula berhalusinasi, dalam erti kata lain, pesakit akan nampak benda-benda pelik,” jelas Doktor Riduan. Nelly tunduk tepat memandang beberapa helai kertas di atas meja doktor tersebut. Dia hanya diam membisu kerana sudah malas ingin membalas kenyataan doktor tersebut. Berhalusinasi your ass, dengus Nelly di dalam hati memaki hamun. Dia terlalu marah sehingga tidak boleh memandang mata doktor tersebut. Genggaman tangannya makin kuat.

“Saya bagi beberapa ubat untuk awak. Ambil ubat ni bila perlu,” Doktor Riduan menyambung lagi sambil mencatat nama ubat di atas satu kertas.

Nelly mengangguk dan terus bangun menuju ke pintu bilik doktor. Nelly marah dan kecewa kerana doktor itu menuduhnya berhalusinasi. Dia tahu apa yang dia lihat. Dia yakin.

Dan dia bukan berhalusinasi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience