BAB 30: Rahsia

Drama Series 28608

SHAHIR mengecilkan matanya sambil menenung terus ke dalam mata Fatin seperti sedang mengesyaki sesuatu. Fatin membulatkan matanya. Matanya terus dibawa memandang kaki katil. Cuba mengelak dari memandang mata Shahir. Apalah masalah mamat ni?

" Betul ke awak ni isteri saya?" tanya Shahir dengan serius.

Fatin berkerut memandang Shahir. Mulutnya menganga sedikit. Dia tak percaya?!!! Punyalah penat aku nak cakap benda tu tadi dia tak percaya?! Baik aku nafikan je tadi! Luah hati Fatin.

" Suka hati awaklah nak percaya ke taknak.. Itu awak punya pasal lah.." kata Fatin sebelum matanya berpusar beralih ke kaki meja tadi. Kaki meja ini lagi sedap dipandang buat masa ini.

" Betul ke?"

Fatin dengan cepat memandang Shahir yang hanya berjarak satu sentimeter sahaja daripada mukanya. Keningnya terangkat. Terasa helaan nafas Shahir yang hangat mengenai di wajahnya yang mulai sejuk di bilik berpenghawa dingin itu. Liurnya ditelan kelat.

Tiba-tiba pintu wad dibuka laju. Kepala Doktor Hisyam menjulur keluar daripada pintu sebelum matanya membulat melihat scene drama tidak berbayar di hadapannya. Matanya dikelip-kelipkan tergamam.

Shahir yang menyedari kedatangan Doktor Hisyam terus menjarakkan mukanya daripada wajah Fatin. Fatin tersentak sebelum menoleh ke belakang. Dia tersengih sambil memandang Doktor itu.

"Eh, Doktor Hisyam.. Doktor buat apa kat sini?" tanya Fatin sebelum berkerut memandang Shahir. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang memarahi Shahir. Shahir hanya membuat muka tidak bersalah.

" Saya ada ganggu apa-apa ke?" tanya Doktor Hisyam sambil masih lagi berdiri di tepi pintu.

" Eh, takdelah. Sila masuk, Doktor." kata Shahir sambil tersenyum lebar memandang Doktor itu.

Doktor Hisyam berdehem sedikit sebelum melangkah masuk ke dalam bilik. Kakinya dibawa berdiri di sebelah kerusi Fatin di tepi katil Shahir. Senyuman terukir di bibirnya sebaik sahaja memandang wajah Shahir dan Fatin.

" Keadaan Encik Shahir sudah semakin pulih jadi dia sudah boleh keluar wad sebentar lagi. Jadi ubat boleh ambil di kaunter, ya?" kata Doktor Hisyam sambil tersenyum manis.

" Tapi macam mana dengan penyakit amnesia ni doktor?" tanya Fatin dengan muka serius.

Riak wajah doktor itu berubah. Dia tersenyum kelat sambil matanya memandang ke tempat lain. Sapu tangan yang dikeluarkan daripada koceknya dilapkan di dahinya sebelum meletaknya kembali ke dalam kocek.

" Err.. Penyakit amnesia Encik Shahir akan mulai pulih sedikit demi sedikit jadi puan mesti banyak membantu dalam kepantasan perkembangan itu." terang Doktor Hisyam.

Fatin mengangguk-anggukan kepalanya sambil matanya memandang ke bawah. Fikirannya melayang jauh. Mampukah dia untuk memulihkan kembali ingatan Shahir?

Shahir yang melihat keadaan Fatin itu berasa pelik. Tangannya bergerak menghampiri tangan Fatin yang berada di atas katilnya. Tangannya mendarat di atas tangan Fatin sebelum Fatin menariknya laju. Shahir terkejut. Tangannya diletakkan didada Abil kakinya mengundur ke belakang sebelum laju menghilang di sebalik pintu. Shahir tercengang sendiri. Riak wajah Fatin seperti sedang takut. Namun takut kepada apa? Dia tak boleh terkejut ke?

Doktor Hisyam yang memerhati situasi tersebut juga turut terkejut dengan perubahan emosi Fatin yang mengejut. Kakinya melangkah menuju ke pintu.

Fatin menyandarkan belakangnya membelakangi dinding yang berwarna putih itu. Peristiwa malam itu seperti diulang tayangkan berpuluh-puluh kali di layar mindanya. Fatin memperlahankan nafasnya. Cuba menenangkan dirinya. Matanya ditutup rapat sebelum sebutir air matanya jatuh mengalir perlahan di pipinya. Ya, sejujurnya dia masih takut. Takut dengan semua yang terjadi.

Doktor Hisyam membuka pintu membuatkan Fatin terus mengelap air matanya itu dan kemudian berdiri tegak menghadap Doktor Hisyam.

" Fatin. Awak.. ok tak?" tanya Doktor Hisyam.

Fatin tersenyum sambil mengangguk perlahan.

" Ok je. Tadi saya rasa macam nak pergi tandas tapi takpelah." kata Fatin sambil tersengih sendiri.

Doktor Hisyam mengemam bibirnya. Nafas lega dihembus perlahan sambil matanya terus memandang Fatin.

" Oo.. Itu ke? Ingatkan apalah tadi. Dahlah saya pergi dulu." kata Doktor Hisyam sambil ingin menapak pergi.

" Ehh.. Nak pergi mana?" tanya Fatin sambil menghalang Doktor Hisyam daripada pergi.

Kening Doktor Hisyam diangkat apabila mendengar pertanyaan Fatin. Dia tersengih kecil.

" Nak balik pejabat sayalah. Semua dah selesaikan?" tanya Doktor Hisyam.

Fatin hanya tersengih kelat sambil matanya memandang ke arah dinding di sebelahnya. Mestilah dia nak balik bilik dia takkan nak balik bangunan sebelah pulak.. Kau ni pun Fatin..

" Aah. Dah selesai dah. Terima kasih, doktor." kata Fatin sambil menunduk kecil.

Doktor Hisyam yang melihat kesopanan Fatin itu hanya mampu tersenyum sendiri.

" Sama-sama" katanya sebelum pergi meninggalkan Fatin sendiri.

Suasana kembali sunyi. Pandangan Fatin mula terarah kepada pintu wad Shahir. Kakinya seperti meronta-ronta untuk membuka langkah besar dan lari ke tempat lain yang dia rasakan lebih selamat namun dipaksa juga kakinya untuk menapak walaupun dengan langkah satu-persatu masuk semula ke dalam wad itu. Kelihatan Shahir sedang bersandar di katil sambil tangannya disilangkan di belakang tengkuknya.

" Kenapa kau lari tadi?" tanya Shahir sambil kepalanya mengangguk sedikit ke atas dengan kening yang sedikit berkerut.

Fatin menoleh. Keningnya terangkat. Muka takutnya tadi disembunyikan jauh. Dia tidak mahu Shahir tahu tentang perkara ini, tentang peristiwa itu. Fatin cuma takut. Takut yang Shahir akan berubah.

" Takde apa-apa. Saya saja keluar ambil angin kejap. Tadi sebenarnya nak pergi tandas tapi tak jadi pulak. So takpelah.." jawabnya sambil kakinya berjalan ke arah sebelah kiri katil Shahir.

Kakinya terhenti sebelum mula mencangkung di hadapan sebuah loker kecil milik Shahir itu. Pintu loker dibuka.

" Eh! K-kau buat apa ni?" tanya Shahir.

Badannya terangkat dan terus dipusingkan menghadap Fatin yang sedang mengeluarkan sebuah beg dari dalam loker itu. Fatin menoleh.

" Nak kemaslah. Kejap lagi kan kita nak balik rumah." kata Fatin.

" Eh, tapi aku balik dengan kau ke?" tanya Shahir dengan kening berkerut seribu.

Haih.. Blurr pula lah si Shahir ni makruh macam ni.. Dah sah-sahlah Fatin tu isteri dia.

" Memanglah. Saya kan isteri awak. Kita duduk satu rumah, satu bilik dan satu katil. Ok? Dahlah saya nak sambung kemas. Kacau je." rungut Fatin ambil tangannya lincah mengeluarkan barang-barang Shahir dan memasukkannnya ke dalam beg itu dengan kemas.

" Ok. Yang satu katil tu lagi ok." kata Shahir.

Fatin tersentak dan terus menoleh ke arah Shahir. Muka Shahir sudah ditayang dengan senyuman nakal terukir di bibirnya. Keningnya diangkat-angkat. Fatin berkerut seribu. Mulutnya mencebik.

" Gatal eh. Tadi taknak percaya yang saya ni isteri. Tiba-tiba jadi gatal macam ni. Jangan sampai saya lumur ubat gatal kat satu badan awak nanti.." kata Fatin sambil jari telunjuk menunjuk-nunjuk ke arah Shahir.

" Yelah-yelah. Gurau sikit pun tak boleh." kata Shahir sambil tersenyum sendiri.

Fatin menjeling Shahir sebelum menyambung kerjanya yang tertunggak dek gurauan Shahir tadi. Shahir hanya memerhati gerak-geri Fatin. Bibirnya mengukir senyuman yang menyimpan seribu rahsia.

"KITA buat apa kat sini?" tanya Shahir sambil kepalanya meninjau sekeling dari bawah, tepi, atas. Macam tak pernah tengok Mall.

Fatin hanya melihat gelagat Shahir yang sudah dua tapak di hadapannya. Kepalanya masih mendongak ke atas. Jakun betul lah mamat ni.

" Tadi kata lapar kan? Nak pergi makanlah ni.." kata Fatin.

Bukan Shahir sahaja yang lapar sebenarnya. Perut Fatin pun sudah beberapa kali berbunyi meminta untuk diisi. Maklumlah, orang tak makan sarapan memang macam ni tapi yang mengadu lapar si Shahir pula. Padahal dia baru sahaja habis makan tadi. Perut tong ke apa? Kalau tak kerana lapar Fatin sudah pun balik rumah. Masak kat rumah lagi jimat.

" Wah! Nak makan kat mana?" tanya Shahir dengan teruja sekali.

Fatin berkerut. Haih.. memang sah jakun. Fatin melihat sekeliling, mencari makanan yang sesuai untuk mengisi perutnya yang sudah tahap kebulur ini.

" Aku nak makan burger boleh tak?" tanya Shahir sambil memandang Fatin dengan muka ikhlas.

Fatin memandang muka penuh suci si Shahir itu. Matanya berkelip-kelip sendiri. Macam budak-budak betul lah dia ni.. Fatin meninjau untuk mencari kedai makan yang menjual burger di sekeliling itu. Matanya tiba-tiba menangkap nama 'Burger King' yang tertera di salah satu kedai di situ.

" Kita makan situlah. Jom." kata Fatin sebelum berjalan ke arah kedai itu diikuti Shahir yang tidak jauh di belakangnya.

Tiba-tiba tangan Shahir mula memegang tangan Fatin sambil dia cuba untuk mengejarnya. Fatin yang sedar akan keadaan itu terus menarik tangannya sebelum berhenti berjalan. Tangannya masih terangkat separas dengan lehernya.

Shahir yang tersentak juga terhenti. Keadaan ini berlaku lagi. Pelik. Fatin seperti takut dirinya disentuh. Shahir hanya mampu bersoal-jawab dengan hatinya.

Fatin terus pergi ke arah kedai itu tanpa menghiraukan Shahir yang sedang mengelamun sendiri. Dirinya dibawa ke dalam barisan yang sedang memesan makanan. Sekali lagi jantungnya berdegup laju. Hembusan nafas yang dalam menenangkan sedikit dirinya seperti selalu. Matanya tertumpu kepada senarai nama makanan di atas kaunter tersebut.

Sesampainya Shahir di kedai itu, Fatin sudah mula jauh dari garisan permulaan barisan itu. Lantaklah.. Shahir berjalan sambil mencari tempat duduk sehinggalah dia duduk di sebuah meja untuk dua orang. Sekarang dia hanya perlu menunggu. Harapnya Fatin tahu apa burger yang disukainya..

FATIN meletakkan dulang yang hampir penuh dengan makanan dan minuman ke atas meja sebelum duduk di hadapan Shahir.

Fatin mengagih-agihkan makanan tersebut. Burger yang diletakkannya di hadapan Shahir digapai oleh Shahir.

" Burger apa ni?" tanya Shahir sambil menunjukkan burger itu ke arah Fatin.

" Burger cheese daging." kata Fatin sambil membuka balutan burgernya.

Kening Shahir terangkat. Betul pilihan Fatin itu. Dia memang suka burger ini dari kecil lagi. Burger biasa, tiada yang istimewa. Hanya sekeping daging yang dipanggang, cheese dan beberapa sayur untuk melengkapkannya. Shahir tersenyum kecil sambil membuka balutan burgernya.

Shahir menilik Fatin sambil mulutnya mengunyah. Fatin yang sibuk menikmati burger ayamnya yang telah terlebih sos lansung tidak perasan akan renungan Shahir itu. Agaknya berapa dalam gadis di hadapannya ini mengenalinya? Namun dia lansung tidak mengenali dia. Mungkin sebab itu Shahir diberi peluang kedua untuk mengenali si dia ini dengan lebih dalam lagi.

Shahir ketawa kecil sebelum mengambil satu lagi gigitan ke atas burger itu. Kemudian matanya kembali menghinggap kepada wajah Fatin yang kini comot dengan sos cili di mulutnya. Shahir tersentak. Fatin kini mulai perasan akan mata Shahir yang merenungnya.

" Kenapa?" tanya Fatin sambil berkerut.

Shahir menunjuk ke arah bibirnya sebagai tanda yang mulut Fatin comot. Kening Fatin terangkat.

" Comot ke? Kat mana?" tanya Fatin.

Tangannya mengelap-lap di beberapa tempat di mulutnya namun yang peliknya lansung tidak mengenai kesan sos itu. Penat sudah tangan Shahir menunjuk ke arah tempat di bibirnya. Shahir berdecit sendiri. Memang mengundang sweet scene ni.. Shahir mengambil tisu yang tidak terusik di tepi meja itu.

" Meh lah biar aku tolong.." kata Shahir sebelum tangannya mula bergerak ke arah mulut Fatin.

Fatin yang melihat keadaan tersebut, berkerut sendiri. Dekat tempat orang ramai ni nak buat macam tu? No. Dia takkan izinkan perkara yang memalukan sebegini berlaku kepadanya. Hiyahh!! Dengan sepantas kilat tangannya menahan tangan Shahir apabila tinggal hanya beberapa sentimeter sahaja untuk mengenai mulutnya.

Shahir tersentak. Dia tahan tangan aku? Potong stim betullah..

" Takpelah. Aku boleh lap sendiri kot.. Heh." katanya sambil tangan kirinya mengambil tisu dari tangan Shahir.

Tangan kanannya melepaskan tangan Shahir yang ditahan tadi. Shahir terkedepan sedikit sebelum menarik tangannya daripada jatuh. Fatin menyapu tisu itu ke seluruh mulutnya tanpa meninggalkan satu bahagian pun. Akhirnya kesan sos cili itu dapat juga ditewaskan oleh Fatin. Fatin melihat kesan di tisu sebelum ketawa kecil. Malu. Tisu itu diletakkan ke tepi sebelum dia menyambung makan burgernya itu. Selepas ini mungkin dia akan selalu lap mulutnya.

PINTU rumah itu dibuka luas oleh Shahir sebelum menapak masuk ke dalam rumah itu yang berlantai jubin berwarna putih itu. Beg-beg yang dibawanya diletakkan di sebelah sofa. Badannya dihamparkan ke atas sofa itu. Empuk.

" Sedapnya dapat baring..!" pekik Shahir sambil berlingkar-lingkar di atas sofa.

Fatin yang baru sahaja melangkah masuk hanya mampu tersenyum nipis sebelum berjalan menuju ke arah Shahir. Bahagian depan badannya disandarkan ke sofa itu. Shahir terbangun apabila melihat Fatin.

" Ni rumah saya kan?" tanya Shahir.

Fatin berkerut. Soalan apalah yang dia tanya ni? Dah memang sah-sahlah dia tengah baring kat atas sofa. Takkan rumah jiran sebelah pulak?!!

" Memanglah rumah awak. Habis tu rumah siapa? " kata Fatin dengan mengakhirkan jawapan dengan soalan juga.

Shahir mengecilkan matanya sambil melihat sekeliling seperti ada sesuatu yang tidak kena. Jari telunjuk dan ibu jarinya ditaut sebelum diletakkan di dagunya. Fatin hanya melihat tingkah-laku Shahir yang pelik itu dengan kening yang berkerut.

" Kenapa?" tanya Fatin sambil mengangkat sedikit kepalanya.

" Kau tak rasa kecil sangat ke rumah ni?" tanya Shahir.

Fatin tercengang. Rumah ini sudah cukup besar untuk mereka berdua. Dia expect nak rumah banglo dua tingkat ke?

" Eh, mana ada. Kita berdua je kat dalam rumah ni. Muatlah tu. Nak besar macam mana lagi?" tanya Fatin.

Shahir mengecilkan matanya sambil melihat Fatin.

" Kita berdua je? Habis tu yang lagi lima nak campak mana?" tanya Shahir dengan muka serius.

Fatin menganga luas. Shahir ni amnesia ke.. otak dia memang dah takde? Agaknya waktu jatuh tangga tu otak dia tercicir sekali kot.

" Maksud awak? Siapa lagi lima orang?" tanya Fatin.

Shahir mendekatkan mukanya dengan muka Fatin.

" Anak-anak kita?" jawab Shahir sambil tersenyum nakal.

Mata Fatin membulat. Air liurnya ditelan kelat. Mak aii.. Belum dapat anak lagi dah fikir lima orang anak? Gatal tahap maksima ni!

" Gatal eh. Dahlah. Teruskanlah mengarut kat sini , dan saya nak naik atas. Bye.." kata Fatin sebelum menapak naik.

" Eh. Tunggulah!" pekik Shahir sambil terkocoh-kocoh mengangkat beg-beg yang diletakkan di sebelah sofa itu.

FATIN menyapu perlahan losyen pelembab ke tangannya di hujung katil sambil menghadap cermin. Dia hanya fokus kepada perkara itu sehingga dia tidak sedar akan keadaan sekelilingnya. Tiba-tiba dua pasang tangan menyergah bahunya. Fatin terkejut dan lantas dia bangun dari katil itu dengan sepantas kilat. Dia menoleh ke belakang dan melihat Shahir sedang ketawa kecil melihat reaksinya. Nafasnya mula tidak teratur semula. Jantungnya berdegup laju lagi dan kali ini lebih daripada biasa.

Shahir mula berasa pelik melihat reaksi Fatin yang seperti takut kepadanya. Reaksi yang sama seperti di hospital dan di Mall tadi. Mesti ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Patutkah dia tanya tentang itu atau hanya membiarkan ia berlalu seperti angin kosong?

Fatin yang sudah mula terkawal sedikit mula sedar. Dia terus berjalan ke tepi katil di sebelah Shahir dan membaringkan dirinya di situ. Badannya dipusingkan ke arah bertentangan daripada Shahir. Shahir hanya memerhati gerak
-geri Fatin. Memang ada yang tidak kena.

" NAZIHAH. Nazihah. Nazihah." kejut Shahir sambil menggoncang lembut bahu Fatin.

Fatin mula membuka matanya. Keningnya berkerut sambil memandang Shahir yang sudah bersedia untuk menunaikan solat fardhu subuh.

" Apa?" tanya Fatin. Masih mamai.

Shahir tersenyum nipis melihat gelagat Fatin.

" Jom bangun subuh." ajak Shahir sambil tersenyum memandang Fatin.

" Bukan." kata Fatin.

Fatin bangun dan duduk sambil kakinya masih melunjur di dalam selimut. Tangannya ditahan tegak ke atas katil untuk menopang dirinya.

" Apa awak panggil nama saya tadi?" tanya Fatin.

Kening Shahir terangkat.

" Nazihah? Tu nama awak kan?" tanya Shahir sambil membuat muka pelik.

Fatin hanya memandang wajah Shahir. Ya, itu ialah namanya namun dia tidak sangka nama itu akan keluar lagi daripada mulut Shahir setelah apa yang jadi. Fatin jangka yang nama itu mungkin akan terus hilang bersama ingatan Shahir yang lain. Fatin tersenyum nipis sambil memandang muka Shahir.

" Jom." kata Fatin sambil bergerak bangun dari katil itu sebelum berjalan ke bilik air.

"AAMIIN.."

Kata Shahir sedikit kuat selepas membacakan doa tadi manakala Fatin di belakangnya pula mengaminkan perlahan sahaja semasa meraup mukanya yang tampak putih di bawah lampu bilik itu. Tiba-tiba tangan Shahir dihulurkan di hadapannya. Fatin tersentak. Muka Shahir ditilik sebentar. Dia sudah berubah. Sudah banyak berubah daripada sebelum ini dan harapnya dia takkan kembali ke dia yang lama. Fatin tersenyum sendiri tanpa dia sedari.

" Nazihah?" panggil Shahir.

Tangannya sudah hampir kebas menunggu Fatin untuk menyambut tangannya. Aduhai..dia ni berangan ke? Shahir hanya tersenyum sambil menunggu. Fatin berkerut sedikit.

" Saya nak tanya boleh?" tanya Fatin.

Shahir mengeluh sendiri. Nanti jelah salam.. Tangannya diletakkan di atas pehanya.

" Boleh." kata Shahir sambil tersenyum.

" Kenapa awak panggil saya Nazihah, eh? Yalah, semua orang panggil saya Fatin tapi macam mana awak boleh terfikir nak panggil saya dengan nama tu?" tanya Fatin sambil berkerut sendiri.

Soalan ini pernah diajukan kepada Shahir dahulu tetapi itu Shahir yang lama. Bagaimana dengan Shahir yang baharu?

Shahir memandang Fatin sambil mengecilkan matanya.

" Sebab saya rasa nama tu lebih sesuai dengan awak. Manis. Comel. Macam awak." kata Shahir sambil tersenyum.

Nazihah? Huh.. Ada juga perkara yang tidak berubah. Fatin tersenyum nipis sebelum mengambil tangan Shahir dan menundukkan dahinya ke atas tangan Shahir. Husyuk. Shahir tersenyum nipis. Tidak lama kemudian dahinya diangkat semula.

" Saya nak tanya awak pulak eh. Kenapa awak macam takut?" tanya Shahir sambil berkerut sedikit.

Fatin berkerut.

" Takut?" tanya Fatin kembali. Apa maksud takut?

" Yalah. Bila saya macam terpegang awak ke awak mesti takut. Kenapa? Ada apa-apa yang jadi dulu ke?" tanya Shahir dengan lebih teliti.

Fatin tergamam. Takut. Sekarang dia faham apa yang Shahir maksudkan. Tak. Dia tidak boleh tahu tentang perkara itu. Belum masanya lagi. Bukan sekarang.

" Takde apalah. Um.. Dah lah saya nak baring kejap. Tiba-tiba rasa pening pulak. Saya pergi dulu. " kata Fatin sambil tersenyum kelat sebelum bangun lalu membuka telekungnya.

Telekungnya dilipat memanjang sebelum disidai di atas penyidai kayu di sebelah katilnya. Punggungnya dilabuhkan di atas katil sebelum badannya ditelentangkan ke atas katil. Badannya diiringkan.

Shahir yang melihat Fatin itu hanya mampu mendiamkan dirinya. Dia bangun kemudian melipat sejadahnya dan menyidainya di atas penyidai tadi. Shahir baring di sebelah Fatin.

Fatin hanya membiarkan Shahir di sebelah sebegitu. Dia tidak mahu perkara ini berlanjutan. Dia tidak mahu Shahir tahu. Ya, dia takut. Takut Shahir yang sekarang hilang dan diganti dengan Shahir yang lama.

Namun sampai bila? Sampai bila dia mahu merahsiakan sesuatu yang dia sendiri tahu kebenarannya?

BERSAMBUNG..

LAGU: I WANT YOU TO LOVE ME
(ALIF SATAR)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience