BB - BAB 11

Drama Completed 308942

QAIREENA melangkah masuk ke pejabat agama itu dengan berbaju kurung moden berwarna putih yang sedondon bersama baju melayu yang dipakai oleh Taufiq.  Di sebelahnya Mak Leha iaitu pembantu rumah Taufiq yang sudah lama bekerja dengan lelaki itu dan dianggapnya seperti ahli keluarga sendiri.  Manakala Pak Abu iaitu suami Mak Leha pula mengiringi Taufiq.

"Taufiq Bin Taqiudin, aku nikahkan dikau dengan Qaireena Azalea Binti Azamudin dengan mas kahwinnya satu ribu ringgit tunai".

"Aku terima nikahnya, Qaireena Azalea Binti Azamudin dengan mas kahwinnya satu ribu ringgit tunai".  Lancar sahaja mulut Taufiq melafazkan akad itu.

Qaireena yang sedang duduk tidak jauh dari belakang lelaki itu, mengesat airmatanya yang mengalir dipipi saat mendengar lafaz akad yang keluar dari mulut Taufiq.  Sungguh dia tidak menyangka begitu jalan hidupnya.  Menjadi isteri pada usia 20 tahun dengan lelaki yang lebih tua darinya 17 tahun.  Namun dia akur dengan ketentuan Ilahi ini, sekurang-kurangnya dia tidak dijadikan pelacur dan sekaligus bergelumang dengan dosa yang dilakukan tanpa rela.

Fikirannya menerawang mengingatkan malam itu.

"Kahwin dengan saya". Kata Taufiq tanpa memandang wajah Qaireena.

Serta merta Qaireena menoleh ke arah lelaki itu, dia seolah-olah tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulut Taufiq.

"Maksud encik, wang sebanyak lapan puluh ribu ringgit yang encik gunakan untuk melepaskan saya dari along tu, perlu dibayar hanya dengan mengahwini encik?". Soal Qaireena.  Matanya melekat ke wajah Taufiq, namun lelaki itu hanya membuang pandangan ke hadapan tanpa mahu bertentang mata dengannya.

"Ya, ataupun awak mahu menjadi wanita simpanan saya? Dan pilihan terakhir yang ada untuk awak adalah kembali semula kepada along tadi untuk menjadi sumber pendapatan mereka apabila awak dilacurkan". Ujar Taufiq walaupun dia terpaksa untuk mengungkapkan kata-kata itu.

Qaireena tersenyum sinis saat mendengar jawapan dari mulut lelaki itu.  Terlalu sukar untuk mencari keikhlasan di dunia ini. Ya, mana mungkin lelaki ini mahu membazirkan wangnya tanpa mendapat apa-apa balasan.  Airmata yang kembali mengalir laju di pipinya diseka.

"Apa bezanya menjadi wanita simpanan dengan wanita yang dilacurkan? Bukankah ianya tetap sama? Melayan nafsu serakah lelaki dan mencipta dosa sendiri". Kata Qaireena.

"Wanita simpanan, awak hanya melayan saya seorang, wanita yang dilacurkan, awak perlu melayan ramai lelaki yang awak sendiri tak kenali.   Persamaan bagi kedua-duanya, awak perlu menanggung dosa yang awak cipta sendiri.   Tapi jika awak berkahwin dengan saya, segalanya akan menjadi halal malah awak mampu meraih pahala".  Terang Taufiq.

"Pilihan di tangan awak". Sambung Taufiq lagi.

Lamunannya terhenti saat menyedari yang Taufiq kini berada di hadapannya untuk menyarungkan cincin dijarinya.  Ya, segala persiapan dibuat oleh lelaki itu dalam masa sehari sahaja dan segalanya dipermudahkan tanpa ada sebarang halangan pun.

Taufiq mencapai tangan Qaireena lembut dan cincin disarungkan dijari manis wanita itu.  Setelah cincin disarungkan dijarinya, perlahan Qaireena menyalami tangan Taufiq dan dikucup, apabila dia mendengar suara Mak Leha menyuruhnya untuk melakukan perkara tersebut.  Ketika Qaireena mengangkat wajahnya, Taufiq pula mengucup dahi Qaireena lembut.  Serentak dengan itu, airmata lelakinya sekali lagi mengalir tanpa dapat ditahan.  Entah mengapa hatinya begitu sebak pada waktu itu.

Bukan niatnya untuk memaksa wanita itu menjadi isterinya, bukan juga dia sengaja mahu menghancurkan hidup Qaireena.  Tetapi dia tidak sanggup untuk membiarkan wanita itu berjuang bersendirian untuk meneruskan kehidupan mereka dua beradik.  Dengan rasa cinta dan sayang yang mula hadir dihatinya itu, dia nekad mahu menjadi pendamping dan sekaligus menjadi pelindung kepada wanita itu.  Dia tidak mahu membiarkan Qaireena melalui ujian demi ujian seorang diri lagi walaupun baginya untuk mendapatkan cinta daripada wanita itu adalah mustahil.

Selesai sahaja acara akad nikah, mereka melangkah keluar dari pejabat agama.  Qaireena masuk ke dalam kereta Taufiq.  Sewaktu datang ke situ juga dia di jemput oleh lelaki itu bersama Pak Abu dan Mak Leha.

Ketika Mak Leha mahu masuk ke tempat duduk belakang bersama Qaireena, Taufiq terus memberi isyarat pada wanita itu agar duduk di bahagian hadapan.  Mak Leha hanya menurut bersama senyuman yang terukir dibibir.  Qaireena sedikit terkejut apabila melihat Taufiq yang masuk ke bahagian belakang itu dan duduk disebelahnya.  Dia membuang pandangan ke arah tingkap yang berada disebelahnya dan cuba mengawal debaran di dada.  Dia tidak tahu reaksi bagaimana yang harus ditunjukkannya pada lelaki itu.  Situasi itu terlalu asing baginya.

"Pak Abu, kita terus ke rumah Reen untuk ambil barang-barang dia ya".  Kata Taufiq pada Pak Abu yang sudah pun menghidupkan enjin kereta.

"Baiklah Tuan".  Jawab Pak Abu dengan senyuman.

"Kenapa nak ambil barang-barang Reen pula?".  Soal Qaireena hairan sambil menoleh ke arah Taufiq.

"Sebab awak akan tinggal di rumah saya".  Jawab Taufiq.  Dia turut memandang Qaireena dan seketika mata mereka bersatu. 

"Tapi rumah tu rumah peninggalan ibu dan ayah Reen, takkan Reen nak biarkan begitu je".  Ujar Qaireena.  Dalam masa yang sama dia terus menundukkan wajahnya kerana tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.

"Jangan risau, setiap dua minggu sekali kita akan datang ke sana dan minta Mak Leha bersihkan rumah tu.  Sesekali kalau awak nak bermalam di sana kita boleh bermalam satu dua malam.  Yang pasti saya tak nak awak datang ke sana seorang diri, tak mustahil ada along lain yang sedang mencari awak.  Saya tak nak perkara yang berlaku sebelum ni berulang lagi.  Keselamatan awak adalah tanggungjawab saya sekarang ni".  Kata Taufiq panjang lebar.

Mendengarkan itu, perlahan Qaireena menganggukkan kepalanya.  Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh Taufiq, tidak mustahil akan ada along lain lagi yang akan mencari Qaireena hanya semata-mata untuk membayar hutang suami kepada ibu saudaranya itu.  Sekurang-kurangnya kini dia lebih selamat dibawah jagaan lelaki yang sudahpun bergelar suaminya itu.

~~~

Petang itu, Taufiq menemani Qaireena untuk melawat Qaisara di hospital.  Walaupun Qaireena tidak mahu Taufiq turut serta tetapi apabila dia memandang wajah serius lelaki itu, perutnya menjadi kecut dan mahu tidak mahu terpaksalah dia pergi juga bersama Taufiq.  Sebolehnya Qaireena tidak mahu Qaisara tahu bahawa dia sudahpun berkahwin dengan Taufiq, kerana dia bimbang Qaisara akan merasa bersalah terhadap dirinya. 

"Bermula daripada hari esok, saya tak nak awak bekerja sebagai penghantar makanan tu lagi".  Kata Taufiq ketika mereka dalam perjalanan menuju ke hospital.

"Tapi, Reen perlu kumpulkan duit untuk pembedahan Sara".  Jawab Qaireena sambil menoleh ke arah Taufiq yang sedang memandu.

"Kos pembedahan adik awak tu saya akan tanggung sepenuhnya, awak tak perlu risau lagi".  Ujar Taufiq tanpa memandang Qaireena.  Mata hanya difokuskan kepada pemanduannya.

"Tapi... ".  Belum sempat Qaireena menghabiskan kata-katanya, Taufiq terus memintas.

"Saya dah jadi suami awak, jadi saya berhak untuk tidak membenarkan awak bekerja lagi.  Awak boleh fokus untuk menjaga dan menemani Sara sepanjang dia berada di hospital.  Apa-apa yang awak perlukan, bagitahu je pada saya.  Lagipun saya tak nak ada along yang akan mengekori awak lagi.  Bila saya bekerja dan awak nak ke mana-mana, Pak Abu yang akan hantar dan ambil awak".  Tambah lelaki itu.

Qaireena diam seketika, cuba menghadam setiap kata-kata Taufiq.

"Awak dengar tak ni?".  Soal Taufiq sambil menoleh sekilas kepada Qaireena di sebelahnya.

"Dengar, Reen dekat sebelah ni je, takkan tak dengar pula kan".  Jawab Qaireena mendatar.

"Diam tak menjawab, ingatkan tak dengar tadi". Kata Taufiq perlahan seolah-olah bercakap dengan dirinya sendiri.

Qaireena yang mendengar hanya mencebik.

"Terima kasih sebab sudi tanggung kos pembedahan adik Reen.  Semoga Tuan dimurahkan rezeki selalu.  Hanya Allah je yang dapat membalas kebaikan Tuan pada Reen dan Sara". Kata Qaireena.

"Awak panggil saya apa?".  Soal Taufiq sambil memandang ke arah Qaireena.

"Tuan". Jawab Qaireena.

"Siapa yang suruh awak panggil saya Tuan?". Tanya Taufiq lagi.

"Saya dengar Mak Leha panggil Tuan". Ujar Qaireena sambil turut memandang Taufiq.

"Mak Leha pembantu saya, awak tu isteri saya".  Kata Taufiq.

"Habis tu nak panggil apa?".  Soal Qaireena lurus.

"Suka hati awaklah, asalkan bukan Tuan atau Encik".  Sambil menumpukan kembali pemanduannya.

"Takkan nak panggil pak cik muka ketat pula". Bebel Qaireena perlahan, namun dapat didengari oleh Taufiq.

Cepat-cepat Qaireena menekup mulut apabila dia menyedari yang Taufiq sedang menoleh ke arahnya dengan pandangan yang serius.

"Gurau je". Kata Qaireena sambil tersengih.

Mereka melangkah beriringan untuk masuk ke wad yang menempatkan Qaisara, sambil otak Qaireena ligat memikirkan bagaimana mahu memperkenalkan Taufiq kepada Qaisara dan sebagai apa.

"Eh..Kak Reen, awal sampai hari ni, Kak reen tak kerja ke?".  Soal Qaisara dengan senyuman sambil memandang Qaireena yang baru masuk ke biliknya itu.

"Tak, Kak Reen dah berhenti jadi penghantar makanan tu, sekarang Kak Reen jadi kerani.  Kenalkan ini bos baru Kak Reen, Tuan Taufiq.  Saja dia ikut datang sekali nak lawat Sara sebab dia pun kenal dengan arwah ibu".  Kata Qaireena sambil memandang ke arah Taufiq.  Membulat mata lelaki itu membalas pandangan Qaireena kerana geram diperkenalkan sebagai majikan dan sahabat kepada arwah ibu mereka. Cepat-cepat Qaireena mengalihkan pandangan ke arah Qaisara kerana tidak berani untuk memandang muka ketat lelaki itu.

"Terima kasih sebab sudi melawat Sara".  Ucap Qaisara bersama senyuman di bibir.  Taufiq turut mengukir senyuman manis ke arah Qaisara.

"Macam mana keadaan Sara hari ni".  Tanya Taufiq mesra.

"Alhamdulillah Sara okay je, cuma badan lemah sedikit dan rasa loya nak muntah kesan dari ubat kemoterapi tu". Jawab Qaisara.

'Eh...pandai pula dia senyum pada Sara, kalau dengan aku asyik tayang muka ketat je.   Senyum macam tu kan bagus, barulah terserlah ketampanan tu".  Bebel Qaireena di dalam hati.

Pandangan Taufiq beralih semula kepada Qaireena.  Apabila menyedarinya cepat-cepat Qaireena mengalihkan pandangannya kepada Qaisara.

"Kak Reen ada tak bawakan benda yang Sara pesan tu?".  Soal Qaisara sambil menoleh ke arah kakaknya itu.

"Mestilah ada". Sambil mengeluarkan snow cap dari dalam beg yang dibawanya.

Qaireena berdiri di tepi katil Qaisara, dia kemudian menyikat rambut adiknya itu perlahan.  Airmata yang mengalir saat melihat rambut Qaisara yang banyak gugur cepat-cepat disekanya, dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya di depan Qaisara.

Snow cap yang dibawanya tadi, disarungkan di kepala Qaisara.

"Nampak pelik tak?". Tanya Qaisara.

"Tak, comel je Kak Reen tengok". Jawab Qaireena dengan senyuman dibibir.

Taufiq hanya memerhatikan sahaja tingkah dua beradik itu.   Rasa sebak yang hadir dihati cuba di tahannya.  Doanya di dalam hati agar Qaisara diberikan kesembuhan dan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain. 

"Sara, malam ni Kak Reen tak dapat nak temankan Sara dekat sini.   Tapi awal pagi esok, Kak Reen akan datang bawakan Sara breakfast ya". Kata Qaireena.  Dia sudah pun melabuhkan punggungnya di kerusi yang berada di tepi katil itu.

"Kak Reen kerja malam lagi ke?".  Soal Qaisara.

"Tak, cuma Kak Reen nak siapkan sedikit kerja yang Tuan Taufiq suruh".  Jawab Qaireena.  Sekali lagi Taufiq mengerling ke arah Qaireena.   Geram bila wanita itu asyik menipu menggunakan namanya.

"Iyalah, Kak Reen jangan risau, ramai jururawat yang akan tengok-tengokkan Sara nanti.  Kak Reen siapkanlah kerja Kak Reen".  Kata Qaisara sambil mengukir senyuman.

Setelah puas berborak dan meluangkan masa bersama adiknya itu, Qaireena pulang bersama Taufiq ke rumah lelaki itu.

Apabila sampai sahaja di rumah milik Taufiq, debaran di dada Qaireena semakin laju.   Sungguh dia sangat takut untuk menghadapi malam itu.  Malam yang ditunggu-tunggu oleh setiap orang yang baru mendirikan rumah tangga.  Namun tidak bagi dirinya, kerana segalanya berlaku dalam keadaan yang mengejut, malah lelaki yang dikahwininya juga bukanlah lelaki yang dicintainya.

"Pergilah bersihkan diri dulu, lepas tu  kita makan malam bersama".  Kata Taufiq pada Qaireena.  Kemudian dia terus menapak naik ke biliknya.

Qaireena pula melangkah menuju ke bilik yang telahpun ditunjukkan oleh Mak Leha pada waktu siang tadi semasa mereka membawa barang-barang dari rumahnya.

"Awak tak sambung belajar ke selepas SPM?".  Soal Taufiq memecah kesunyian di meja makan itu ketika mereka menikmati makan malam.

"Ada, Reen dapat tawaran masuk ke matrikulasi, lepas tu Reen sambung ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan, tapi disebabkan ibu dah meninggal dunia, Reen terpaksa berhenti dan bekerja".  Jawab Qaireena sambil memandang Taufiq.

"Awak nak sambung belajar semula?  Kalau nak, nanti saya uruskan". Kata Taufiq.  Pandangannya juga diarahkan kepada Qaireena.

"Emm...tak apalah, Reen dah banyak susahkan Tuan.  Lagipun Sara belum sembuh, jadi Reen kena tumpukan perhatian pada dia". Ujar Qaireena. 

"Stop call me Tuan". Serius wajah Taufiq saat menuturkan kata-kata itu.   Dia kemudian bangun dan membasuh tangannya sebelum terus naik ke biliknya.

'Alamak, pak cik muka ketat dah marahlah, habislah kau Reen'.  Bebel Qaireena di dalam hati.

~~~

Jauh Qaireena termenung di balkoni yang terdapat dalam bilik itu.  Tiba-tiba kedengaran suara pintu biliknya diketuk.  Dia menapak untuk membuka pintu tersebut. Dilihatnya Taufiq sedang berdiri di hadapan pintu itu.

Debaran yang semakin hilang tadi kini kembali semula.  Dia kaku berdiri di pintu itu. 

"Boleh saya masuk?".  Soal Taufiq.

Qaireena mengangguk perlahan. Di dalam fikirannya pasti lelaki itu mahu menuntut haknya sebagai suami malam itu.

Taufiq melangkah masuk dan melabuhkan punggungnya di sofa yang berada disudut bilik itu.  Qaireena pula duduk di birai katil sambil menundukkan wajahnya.  

Taufiq menahan senyumannya saat melihat wajah pucat Qaireena.  Dia pasti yang wanita itu takut jika dia menuntut haknya sebagai suami.

"Nanti bagi nombor akaun awak, saya nak masukkan duit mas kahwin dan nafkah untuk awak". Kata Taufiq.  matanya masih melekat ke wajah Qaireena.

Qaireena hanya menganggukkan kepalanya. 

Taufiq kemudian bangun dan menghampiri Qaireena.  Dia turut duduk dibirai katil bersebelahan dengan wanita itu.   Debaran di dada Qaireena semakin tidak seirama apabila melihat Taufiq yang kini berada betul-betul dekat dengannya.

Tangan Qaireena dicapai oleh Taufiq.  Tersentak Qaireena saat tangan lelaki itu mencapai tangannya.  Sekali lagi Taufiq menahan senyumannya.  Geli hatinya melihat tingkah tidak keruan wanita itu.

"Kad ni awak simpan, kalau nak beli apa-apa pakai je kad ni.  Password saya dah hantar pada awak tadi, nanti tengok telefon awak".  Sambil meletakkan kad tersebut di tapak tangan Qaireena.

Sekali lagi Qaireena menganggukkan kepalanya tanpa memandang wajah Taufiq.

"Awak dah bersedia ke ni?".  Tanya Taufiq sengaja mahu mengusik wanita itu.

Qaireena angguk. Dia kemudian bangun dari katil dan meletakkan kad yang diberikan Taufiq tadi dimeja yang berada di sisi katil.  Pintu balkoni ditutup, langsir juga dirapatkan.  Dengan debaran di dada yang semakin menggila, dia menapak dan berdiri di depan Taufiq yang masih lagi duduk di birai katil.  Mahu atau tidak dia harus melalui malam itu walaupun dia sebenarnya belum bersedia.

"Reen minta maaf kalau layanan Reen sedikit kaku, tapi Reen akan cuba sebaik mungkin".  Serentak itu, satu persatu butang baju tidurnya dilepaskan perlahan.

Melihatkan itu, serta merta Taufiq menahan tangan Qaireena dari terus membuka butang baju tidurnya.  Qaireena sedikit terkejut dengan tindakan lelaki itu.  Matanya tepat memandang wajah Taufiq.

Taufiq yang masih duduk di birai katil terus berdiri, dia kemudian mengucup kepala Qaireena lembut.

"Goodnight". Ucap Taufiq dan terus berlalu keluar dari bilik itu meninggalkan Qaireena yang masih terpinga-pinga sendirian.

Happy Reading... sorry lambat update, jue tak berapa sihat semalam... Jgn lupa follow, rate dan comment ye.. Follow sekali IG jue untuk lihat gambar watak dlm novel ni ye... thank you sabar menanti update dari Jue :-)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience