Bab 25

Drama Completed 57469

"Done top up Shrimp Bonito, Ebiko, Abalone, Chuka Hotate, Wakame Gunkan dan Mentai Sushi, bos." Nurin melapor. Menu sushi hanya akan bersiaran pada sebelah petang dan malam. Baru sebulan yang lepas Nurin menyuarakan ideanya untuk penambahan menu dan tanpa disangka ideanya berbaloi untuk dicuba.

"Wah, good job. Penat tapi berbaloi, betul tak?" Nizam menyoalnya. Nurin tersenyum. Ya, tak dinafikan dia penat namun melihat hasil air tangannya seringkali habis malah tidak mencukupi, dia merasakan satu kepuasan.

"Untung dapat pekerja yang boleh bagi idea, betul tak bos?" Amira menyampuk. Ya, dia sendiri teruja apabila ada menu baru. Ramai yang ingin mencuba.

"Memang untung sangat lagi-lagi apabila semua perkerja sanggup berganding bahu, berpenat lelah bersama." balas Nizam.

"Kalau bulan depan kita capai lebih dari target, nanti bagi bonus."

Kata-kata Nizam disambut dengan sorakan oleh mereka semua. Nizam tersenyum melihat gelagat anak-anak buahnya. Amboi, bukan main happy dengar ada bonus.

"Dah boleh rehat-rehat dulu sementara tak ada customer. Nanti nak masuk dinner kita berperang balik. Siapa-siapa yang tak sempat isi perut tu, better pergi isi perut cepat-cepat."

Kebiasaannya begitulah. Kalau selepas jam 4 dan ke atas, barulah mereka dapat bersantai-santai. Masuk dinner nanti mulalah berperang di dapur, ada yang berperang di sinki, di kaunter air malah silap hari bulan yang ambil order pun boleh tertempuh batang hidung sesama sendiri.

"Nurin, mari sekejap." Nizam memanggil Nurin. Dia memilih untuk duduk di satu tempat yang agak jauh dari pekerjanya yang lain. Hairan namun Nurin segera menuruti.

"Duduklah, buat apa berdiri tegak macam tu? Kan ada kerusi tu."

Nurin duduk. Mengambil tempat di hadapan Nizam. Diam sambil menunggu lelaki itu untuk berbicara. Kenapa Nizam memanggilnya? Dia ada buat salah ke? Apa yang tak kena? Kenapa cuma dia yang dipanggil?

Nizam menarik nafas panjang sebelum memulakan perbualan. Dia tahu Nurin tidak akan suka pada topik yang sedang dia cuba untuk ketengahkan ini namun dia harus mencuba. Sekurang-kurangnya sekali.

"Saya tahu saya tak sepatutnya masuk campur tapi... ayah tiri awak..."

Belum pun habis Nizam bercakap, Nurin segera memotong.

"Kalau tentang dia, tak payahlah awak nak bercerita." balas Nurin lalu segera bangun dari duduknya. Serta-merta riak wajahnya berubah.

"Dengarlah dulu, Nurin. Jangan buat saya rasa serba salah. Saya nak kena sampaikan pesanan. Tu dah jadi tanggungjawab untuk saya. Duduk!"

Nurin diam dan duduk semula. Dia sedar siapa yang sedang berada di depannya kini. Itu bosnya. Mahu tak mahu dia menuruti juga arahan Nizam yang memintanya untuk mendengar terlebih dahulu.

"Ayah tiri awak ada datang jumpa saya."

"Bila? Kenapa dia jumpa awak?" soalnya ingin tahu.

"Semalam. Selepas kita balik. Awak dah masuk dalam rumah dah masa tu. Saya pula baru nak buka pagar rumah then tiba-tiba dia muncul dari belakang. Tak kan saya nak halau dia. So, saya tanyalah kenapa, nak apa.."

"Lepas tu?"

"Dia bagi saya ni, katanya serahkan dekat Nurin." Nizam menghulurkan sekeping sampul surat. Apa isi kandungan sampul tersebut dia sendiri pun tak tahu. Nurin memandang cuma.

"Ambillah..." pujuk Nizam perlahan.

Perlahan-lahan Nurin mencapai sampul yang dihulurkan. Hatinya berat namun tak kanlah dia nak membiarkan Nizam menghulur tanpa bersambut. Dia menarik nafas dalam sebelum membuka sampul itu. Sekeping gambar dipegangnya kejap. Air mata mula bertakung. Sedaya upaya dia cuba untuk menahannya namun setitis dua jatuh membasahi pipi.

"Nurin, awak okay tak ni? Kenapa nangis ni?" Tanya Nizam cuak. Alamak, menangis pula si Nurin. Silap dia juga serahkan sampul tu di restoran. Macamlah tak boleh nak tunggu balik nanti padahal rumah sebelah menyebelah. Dalam diam Nizam memarahi dirinya sendiri.

Nurin mengangguk cuma sebagai jawapan kepada soalan Nizam sebelum matanya kembali menatap gambar tersebut. Senyuman yang terukir pada seraut wajah Sakinah kelihatan sangat indah walaupun pada waktu itu dia sudah pun mula sakit-sakit. Nurin sendiri tersenyum bahagia di samping emaknya. Nadzir juga ada di situ. Memeluk mereka berdua dengan gembira. Terserlah betapa bahagianya mereka. Tampak serasi bersama. Sepucuk surat terselit bersama. Perlahan dia membaca isi kandungan surat tersebut.

Assalammualaikum Nurin,

Apa khabar anak ayah? Ayah rindu Nurin. Ayah bersalah pada Nurin. Ayah nak minta maaf atas apa yang ayah dah lakukan. Ayah minta maaf atas semua salah dan silap. Ayah cuba untuk bersemuka dengan Nurin, tapi Nurin terlalu membenci ayah.

Ayah tak salahkan Nurin. Mungkin ini hukuman yang selayaknya ayah terima. Nurin, kasih sayang ayah untuk Nurin tak pernah padam. Ayah tak pernah ada anak lain selain Nurin dan ayah akan tetap anggap Nurin sebagai anak ayah walaupun Nurin membenci ayah dan tak lagi menganggap ayah sebagai ayah Nurin.

Nurin, ayah sayang Nurin dan mak Nurin. Kasih sayang ayah untuk kamu berdua membuatkan ayah jadi bodoh. Ayah takut akan kehilangan kalian. Nurin ingat waktu bengkel terbakar? Ayah cuba bangkit. Ayah dah cuba sedaya upaya tapi susahnya hanya Tuhan yang tahu. Tahun yang sama Sakinah pula jatuh sakit. Ayah masih cuba untuk tersenyum. Tak nak Nurin dan Sakinah tahu apa yang sedang ayah hadapi. Tak nak kalian risau.

Ayah buat keputusan untuk buat pinjaman. Waktu tu ayah perlukan duit untuk pastikan rawatan Sakinah tidak dihentikan. Ayah tak fikir akibatnya, yang ayah fikir cumalah kebajikan Sakinah semata-mata. Ayah takut kehilangan dia. Dialah segala-galanya. Kamu tahu kan Nurin? Ayah sangat sayangkan mak kamu. Dialah buah hati ayah. Wanita kesayangan ayah selain kamu.

Ajal dan jodoh ditangan Tuhan. Ayah akur apabila segala wang yang dilabur untuk rawatan akhirnya lebur. Kita ditinggalkan berdua tanpa rela. Ayah hilang arah seketika. Ayah sudah biasa dengan keberadaan Sakinah. Bila dia tiada, ayah hilang punca. Ayah bergelut menghadap kehilangan ini. Tapi ayah ada kamu. Ugutan bunuh yang ayah terima sama sekali tidak menggentarkan namun apabila ugutan itu menuju kepada Nurin, ayah jadi takut. Ayah sedar ayah masih ada Nurin yang sayangkan ayah. Ayah mula berusaha untuk memperbaiki semuanya namun makin lama semakin terhimpit, makin lama semakin sempit. Setiap malam, ayah berjaga. Ayah tak tidur sebab ayah takut kalau ayah tidur, bangunnya nanti Nurin dah tak ada.

Ugutan makin lama makin teruk. Katanya Nurin akan dirogol di depan mata ayah, diseksa sebelum dibunuh sebagai hukuman ayah kerana gagal melangsaikan hutang. Ayah bayangkan situasi terburuk itu dan kalaulah betul keadaan akan jadi begitu, maka ayahlah manusia yang paling gagal. Gagal kerana tidak mampu melindungi Nurin.

Ayah ambil keputusan untuk jual kamu kerana bagi ayah berpisah mati lebih perit dan sakit. Sekurang-kurangnya Nurin akan terus hidup. Ayah tahu Nurin akan marah, memberontak tapi ayah pentingkan diri. Ayah tak sanggup nak menanggung rasa kehilangan seseorang yang disayang sekali lagi. Tak sanggup nak berpisah mati lagi sekali. Bodohnya ayah waktu tu, pendek sangat akalnya.

Dylan, ya. Lelaki itu yang banyak tolong ayah. Dia kirimkan khabar Nurin walaupun dia juga yang bertegas supaya ayah tidak menuntut Nurin untuk kembali kepada ayah. Ayah percaya dia lelaki yang baik cuma sayangnya jalan hidup lelaki itu juga gelap dan tidak indah. Tapi ayah bersyukur kerana dia betul-betul menepati janji untuk menjaga Nurin.

Terima kasih Nurin kerana sudi menerima dan membaca surat ayah sehingga habis. Maafkan segala salah dan silap ayah. Ayah akur kalau Nurin menolak kehadiran ayah. Cukuplah bagi ayah untuk tahu keadaan Nurin yang semakin membaik sekarang. Jaga diri selalu. Ayah akan sentiasa doakan Nurin.

Semakin deras air mata Nurin sebaik saja selesai membaca tulisan tangan Nadzir. Tiba-tiba hatinya diterpa rindu. Segala kenangan indah mula berlegar-legar di ruangan mata. Allah, kenapa harus dia merindu pada sesuatu yang seharusnya berlalu?

"Nizam...kenapa hidup Nurin macam ni? Kenapa nasib Nurin seburuk ni? Tuhan tak sayang Nurin ke?"

"Allahu, Nurin diuji sebab Tuhan sayang.  Allah tahu Nurin kuat. Doa banyak-banyak agar Allah permudahkan segalanya." Nizam memujuk. Haih, mahu saja dia memujuk Nurin dengan menarik tubuh gadis itu ke dalam pelukannya supaya Nurin lebih tenang namun ternyata imannya masih ada untuk membatas perbuatan. Beberapa pasang mata pekerjanya yang lain memerhati.

"Bos tak baik marah Nurin sampai menangis-nangis budak tu." Husna menuduh. Nizam menjenggilkan matanya. Bertuah punya budak.

Nadzir memohon maaf sekali lagi namun kali ini tulisan tangannya pengganti diri. Selepas apa yang dilalui, patut ke Nurin melafazkan kemaafan? Tambahan lagi rindu menerpa tanpa dipinta. Apa pendapat kalian?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience