Sampai saja di taman, ramai yang sedang bermain. Aku mengajak Laila,
Lily dan Anisa duduk di papan longsor.
“Kita nak main apa ni?” soal Anisa.
“Kita main kejar-kejar nak?” cadang Lily.
“Tak naklah, nanti dahaga pulak. Kita duduk kat sini
jelah, tengok orang main.” Aku sudah menongkat dagu melihat
budak-budak lain bermain dengan cerianya. Sedang kami leka memerhati
kanak-kanak lain bermain, Devi dan Mei Ling muncul di hadapan kami
dengan aiskrim di tangan. Terliur juga aku melihat aiskrim coklat itu.
Dahlah nampak sedap!
“Kamu semua tak mahu main ke?” soal Mei Ling sambil menjilat
aiskrim yang sudah meleleh di tangannya
“Tak mahulah, kami puasa.” Laila menjawab bagi pihak kami.
“Buat apa mahu puasa? Kamu budak-budak kecik lagi maa...”
ujar Mei Ling.
“Ayah Mia cakap kalau Mia puasa penuh, ayah nak bagi seratus
ringgit.” Aku memberitahu. Seperti yang kujangkakan, Devi dan Mei Ling
pasti terkejut mendengarnya. Aku tersengih.
“Wah, itu macam ka? Banyak seronok woo... Kalau saya
dapat itu duit, saya beli aiskrim banyak-banyak...” Mei Ling sudah teruja.
“Kalau saya ha, saya mahu beli itu mercun. Hari raya ada
jual banyak mercun, boleh main puas-puas sama itu bunga api. Ayoyo,
banyak seronoklah.” Devi sudah berangan.
“Mama Lily cakap, tak elok main mercun. Kalau putus jari,
tak boleh beraya.” Lily mula bersuara.
“Kalau saya puasa, saya dapat duit jugak tak macam awak,
Mia?” tanya Devi.
“Dapat... mama Nisa cakap, dia akan bagi seringgit setiap
hari kalau Nisa puasa dari siang sampai malam. Kalau separuh hari, mama
bagi lima puluh sen je.” Anisa pula menyampuk.
“Kalau macam tu, saya mahu puasa jugaklah esok. Mesti amma
dengan appa bagi duit sama saya,” kata Devi sambil menghabiskan aiskrimnya.
“Puasalah,” kataku.
Kemudian kami semua ketawa.
*****
Petang ahad yang membosankan. Selalunya, setiap petang ahad ayah akan
membawa kami sekeluarga pergi berkelah. Memandangkan sekarang bulan
puasa, terpaksalah kami terperap di dalam rumah.
Ting tong!!!
Loceng rumah berbunyi ketika kami sekeluarga sedang
bersantai menonton televisyen. Ibu bangkit lalu menyelak sedikit langsir
tingkap untuk melihat gerangan yang menekan loceng tadi.
“Siapa Min?” tanya ayah.
“Nampak macam Saraswathy. Apa yang dia nak ya?” Tanpa
berlengah, ibu membuka pintu lalu melangkah mendapatkan Auntie Saras.
Aku mengekori ibu dari belakang.
“Ayoyo Mia... pasal apa buat anak auntie itu macam?”
tanya Auntie Saras sebaik saja ibu membuka pintu pagar utama.
“Kenapa ni Saras?” soal ibu pelik.
“Awak mahu tahu apa dia sudah buat? Anak saya si Devi, dari
pagi tak mahu makan. Tengah hari tadi dia muntah-muntah. Saya tanya
sebab apa tak mahu makan? Apa yang dia merajukkan? Dia cakap Mia suruh
dia puasa. Kalau dia puasa, saya akan kasi duit macam awak mahu kasi
pada Mia,” terang Auntie Saras. Kemudian, dia menarik nafas. Mungkin
penat bercakap tanpa henti.
“Betul ke Mia suruh Devi puasa?” Lembut suara ibu bertanya
padaku.
“Mia tak suruh Devi puasa. Mia cuma kata ayah dengan ibu
nak bagi seratus ringgit kalau Mia puasa penuh. Lepas tu Devi pun nak
puasa jugak sebab dia nak auntie bagi dia duit,” jawabku seperti apa
yang diperkatakan Devi.
Ibu merendahkan badannya agar setara dengan ketinggianku.
“Mia, Devi agama lain... perayaan dia tak sama macam kita. Kita Raya
Aidilfitri, dia Deepavali. Lain kali jangan buat macam ni lagi tau,”
nasihat ibu.
Aku mengangguk.
“Sekarang mintak maaf dekat auntie,” arah ibu.
Aku menghulurkan tangan kepada Auntie Saras. “Mia mintak
maaf auntie.”
Auntie Saras menggosok kepalaku. “Okeylah Min, saya balik
dulu. Mahu bagi Devi makan. Tadi dia tidur, lembik sangat badan dia.”
“Yalah, jalan baik-baik.” Ibu menutup semula pintu pagar dan
mengajakku masuk ke dalam rumah.
Share this novel