Cuti-Cuti Cinta!

Romance Completed 117449

BAB 42

            HARRY akhirnya menjemput aku makan bersamanya waktu tengahari itu. Aku memasak masakan ala kampung dan siap terhidang di atas meja. Harry menatap satu persatu setiap masakan aku kali ini. Dia nampak berselera melihat asam pedas kepala ikan yang kelihatan lazat. Bukan aku memuji diri, tetapi aku yakin dengan skill memasak aku ini. Hehe...

            Aku menyedok nasi ke dalam pingganya, melayan seperti suami pula. Hish, jangan kau tersenyum sorang-sorang, nanti tertangkap dek lelaki ini boleh malu seumur hidup.

            “Dah lama aku tak makan macam ni,” Komen Harry sebelum menyuap suapan pertama.

            “Saya tahu, sebab tu saya masakkan untuk awak.” Aku tersenyum.

            Harry makan dengan berselera sekali. Aku tidak mahu menganggunya. Sehinggalah kami selesai memakan menu utama, barulah aku ingin berbual dengannya. Ketika itu aku sedang mengupas buah kiwi untuk Harry.

            “Pasal percutian tu... saya dah jumpa tempat menarik.” Kataku sambil berhati-hati mengupas buah kiwi. Harry yang sedang meneguk air mengangkat keningnya sebelah.

            “Di mana?” Tanyanya sesudah meletakkan gelas di meja.

            “Ke Phuket!” Beritahuku dengan teruja sekali.

            Harry ketawa kecil. “Phuket? Kau biar betul... aku tidak kisah. Boleh je cuci-cuci mata kat sana.”

            Aku mencebik. Kalau yang tu nombor satu!

            “Yelah, sakit mata aku ni asyik pandang kau je.” Balasnya lagi apabila melihat wajah tidak puas hati aku.

            “Saya tak suruh awak pandang saya pun!” Luahku dengan geram. Ketika itu juga aku terhiris jari sendiri.

            “Aduh!” Aku menjerit kecil apabila melihat jari aku yang sudah luka dan mengeluarkan darah yang pekat.

            Harry lantas bangun dari kerusinya, dia menghampiri seraya menarik tangan aku.

            “Tak apa, sikit aje!” Aku cuba menarik kembali tangan aku yang berada dalam genggamannya.

            Tanpa memperdulikan rontaan kecil aku itu, Harry terus memasukkan jari aku ke dalam mulutnya. Mata aku terbeliak ketika itu. Eh, apa dia buat ni?!

            Harry mengeluarkan kembali jari aku yang luka itu, dia melihat jika masih ada darah yang keluar. Aku terdiam tidak berkutik.

            “Tunggu sekejap.” Katanya sebelum bergerak keluar dari ruang dapur.

            Ketika itu juga aku memegang dadaku yang terasa debarannya. Muka aku juga panas! Tetapi aku cuba mengawal riaksi wajah aku itu apabila Harry muncul semula bersama plaster di tangannya.

            Dia mengambil tangan aku semula dan melihat tempat luka di jari telunjuk aku sebelum membalutnya dengan plaster. Sungguh hati-hati dan cermat sekali sehingga aku langsung tidak terasa sakit. Mata aku tidak boleh beralih lagi dari merenung wajahnya yang begitu dekat dengan aku itu.

            Mata Harry menangkap renunganku itu, dan aku tidak langsung ingin melarikan mataku. Kami bertentangan agak lama. Nafasku menjadi tidak teratur kerana debaran yang di dada begitu kuat. Harry masih tidak melepaskan tanganku.

            Harry juga kelihatan tidak mahu mengalihkan pandangannya, dia semakin menghampiri aku. Entah kenapa aku terasa ingin memejamkan mata. Tetapi aku tidak berani melakukan perkara itu apabila bibir Harry semakin mendekati bibirku. Dekat.

            Seluruh tubuhku menjadi kaku apabila Harry hanya berada di kedudukan itu tanpa mahu meneruskan ataupun berganjak. Dia seperti teragak-agak. Ketika itulah aku seperti tersedar dari alam mimpi, terus aku menolak tubuhnya dengan kuat. Harry juga tersentak dengan hebat. Matanya berkelip-kelip memandang ke arahku.

            Aku sudah terasa muka aku hampir meletup kerana menahan malu. Tanpa sepatah kata aku melangkah masuk ke dalam bilik air yang berada di dapur. Aku menutup pintu dengan rapat dan menguncinya. Kemudian aku bersandar di dinding sambil memegang dadaku yang turun naik menahan getaran.

            “Gila! Kenapa aku jadi macam tu tadi?! Hampir-hampir saja!”  Aku menampar-nampar pipi aku pula untuk menyedarkan kesilapanku itu.

            “Wake up, Aya! Kau tak boleh biar dia ambil kesempatan macam ni!”

            Hakikatnya aku tidak menyalahkan Harry seratus peratus. Salah aku juga kerana melawan pandangan matanya sehingga tenggelam dalam dunia fantasi yang indah. Aku masih terasa malu yang teramat sangat sehingga tidak mampu berdepan dengannya. Adakah aku akan berkurung dalam ni sampai esok. Aduh, macam mana ni!

            Akhirnya aku membuka pili air untuk membasuh muka agar lebih segar. Aku tidak mahu terus menerus berada di alam mimpi. Wajah Harry sebentar tadi masih bermain di mataku.

            “Ahh. Tak boleh jadi ni!” Aku menyimbah lagi air menggunakan sebelah tangan yang tidak terluka ke muka aku.

            Hampir 15 minit juga aku berada di dalam bilik air barulah aku bersedia untuk keluar. Aku menjenguk di ruang dapur untuk melihat jika lelaki itu masih berada di situ. Semestinya tidak, dia juga pasti akan terasa malu dengan perbuatannya itu.

            Arghh! Tolonglah nyah semua itu dari kepala otak aku. Selagi itu aku rasa tidak boleh berdepan dengan lelaki itu lagi.

            Aku berpura-pura berlagak seperti tidak ada apa yang berlaku. Aku mengemas meja makan dan mencuci pinggan mangkuk dan meletakkannya di rak. Aku lihat buah kiwi di atas meja sudah tidak ada, mungkin dia sudah buang.

            “Baiklah, Aya! Berlagak seperti tak ada apa yang berlaku. Kau boleh!” Aku memujuk hatiku sendiri dengan semangat yang masih bersisa.

            Langkah aku atur dengan perlahan keluar dari ruang dapur. Jantungku kembali berdegup dengan rancak apabila melihat Harry berada di sofa sambil menonton TV.

            “Aku akan cakap yang aku kena balik sekarang. Itulah jalan terbaik.” Aku berbisik perlahan. Tidak jadi membincangkan hal percutian ke Phuket pada hari ini nampaknya.

            “Er... boleh saya balik sekarang? Saya dah siapkan semua kerja...” Ujarku dengan perlahan apabila menghampirinya di sofa itu.

            Harry tidak memandang ke arah aku. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.

            “Boleh tak?” Aku menyoal sekali lagi apabila melihat dia hanya membisu.

            “Emm, duduk dulu. Aku nak tahu pasal pergi Phuket tu.” Katanya dengan nada yang biasa. Seperti tidak ada apa yang berlaku.

            “Lepas tu kau boleh balik.” Sambungnya kemudian.

            Aku tidak dapat menolak permintaannya. Memandang Harry berlagak seperti tidak ada apa yang berlaku aku rasa sedikit selesa. Aku kemudiannya mengambil tempat di sebuah sofa berhampiran dengannya.

            “Er, sebenarnya saya tengok pakej perlancongan tu di internet. 4 hari 3 malam, belayar dengan kapal persiaran mewah Superstar Libra, dari perlabuhan di Pulau Pinang ke Phuket, Thailand.” Aku menerangkan dengan lebih lanjut mengenai percutian itu.

            Harry mengangkat keningnya seperti berminat. “Dia akan berhenti kat mana lagi?”

            “Rasanya di Krabi, sebelum terus ke Phuket.”

            Harry mengangguk sambil memegang dagunya. “Percutian mewah ni... kau memang pakar bab nak habiskan duit aku kan.” Harry tersengih memerli aku.

            “Saya tak suruh awak bawa saya pun. Saya carikan untuk awak.” Tegasku. Geram sungguh dengan dia ni. Sabarlah Aya...

            “Kalau kau tak pergi siapa nak angkat barang-barang aku?” Balasnya dengan selamba.

            Aku mengecilkan mata memandang dengan sakit hati. Kerana tidak mahu lama-lama memandangnya aku menoleh melihat ke skrin TV yang sedang memaparkan sebuah filem Hollywood di siaran Astro. Ketika itu jugalah ada babak bercium antara hero dan heroin di sebuah majlis tari menari. Aku tersentak. Seperti ada renjatan elektik sedang mengalir ke tubuh aku ketika itu.

            Harry pantas mencari remote untuk menukar siaran. Dia juga kelihatan gelabah.

            “Saya balik dulu. Apa-apa sila hubungi saya!” Spontan aku bangun berdiri dengan muka yang merah menyala. Malu!

            “Er, okey!” Harry akhirnya menjumpai remote yang berada di belakangnya di atas sofa itu. Wajahnya cuak.

            Aku terus melangkah luas menuju ke pintu rumah itu. Usah digambarkan betapa malunya aku ketika itu. Rasa seperti ingin menyorok muka dalam mangkuk tandas!

**********

            Dua minggu berlalu dengan begitu pantas sekali. Malam itu aku begitu sibuk mengemas pakaian untuk berangkat ke Pulau Pinang dengan menaiki kapal terbang esok pagi. Lebih mudah kalau pergi ke Phuket dengan kapal terbang daripada kapal persiaran bukan? Tetapi ini adalah percutian atas kapal yang pasti berbeza sekali. Yang lebih menarik kami akan menyambut tahun baru di atas kapal tersebut. Suasananya pasti sangat meriah. Aku tidak dapat membayangkan betapa hebatnya melancong sambil belayar membelah lautan Andaman menuju ke Phuket. Walaupun destinasinya agak dekat, tetapi aku sungguh teruja sekali.

            Dengan senyuman yang masih mekar membayangkan keindahan percutian di atas kapal nanti, aku turut menyanyi kecil sambil mengemas barang. Seperti aku sudah melupakan segala masalah aku dengan Harry, Sallyna dan Ray. Cuma satu yang membuatkan aku bersemangat, aku ingin lihat Harry gembira. Aku tidak ingin lihat dia bersedih dalam senyuman palsunya lagi. Aku tahu dia sangat berduka mengenangkan bakal bersara dari dunia sukan tidak lama lagi. Jadi, aku ingin dia melupakan perkara itu dan teruskan hidup dengan lebih baik walaupun tanpa aku di sisi. Antara Harry dan Sallyna, adakah aku benar-benar menjadi batu penghalang? Apa perasaan sebenar Harry kepada aku...

            Entah kenapa layanan Harry kepada aku walaupun kasar, pandangan matanya membuat hatiku menggebu. Apa aku merepek ni?! Tak mungkin Harry akan menyukai aku! Dia cuma ingin mengambil kesempatan! Huh!

            Sedang aku mengemas pakaian ke dalam bagasi telefon bimbit aku berbunyi lagu Man Feel Sad Too nyanyian Kim Jong Kook. Aku meletakkan kembali pakaian aku di atas katil. Aku melihat skrin telefon bimbit aku yang tertera nombor yang tidak dikenali. Siapa pula? Bisik hati kecil aku.

            “Hello, assalamualaikum.” Aku menyapa dengan sopan.

            “Waalaikumussalam.” Jawab si pemanggil yang bersuara agak tegas.

            “Siapa ni?” Aku terus bertanya kerana aku ingat-ingat lupa suara yang mungkin pernah aku dengari itu.

**********               

            “Kak Aya nak pergi bercuti?!” Soal Lin. Matanya yang bundar itu semakin luas memandang aku dari atas ke bawah bersama bagasi di sebelah.

            “Ya. Kau dan Julia jaga rumah elok-elok selama beberapa hari ni. Jangan keluar rumah lewat-lewat. Ingat pesan akak ni.” Aku sempat memberi pesanan khas dari penaja kepada adik-adik serumah aku ini.

            “Baik, Puan!” Lin tersengih sambil memberi tabik. Aku turut tersenyum melihat telatahnya itu.

            Julia yang berada di dalam bilik juga tergesa-gesa keluar untuk melihat aku.

            “Aik. Tak cakap kat kita orang pun. Kak Aya nak pergi mana ni?” Soal Julia dengan hairan.        

            Aku memandang ke arah Julia pula. “Akak nak pergi bercuti tiga ke empat hati. Jaga diri baik-baik, okey.” Aku memberi pesanan kepada Julia pula seperti ingin pergi bertahun lamanya. Aku bukan apa, aku sudah menganggap mereka seperti adik aku sendiri sebab itulah aku sangat risau akan mereka.

            “Pelik betul. Selama ni Kak Aya sangatlah tak suka pergi bercuti sebab nak berjimat cermat. Tapi kali ni nak pergi tiga ke empat hari pulak. Mesti ada apa-apa ni.” Kata Lin.

            “Betul tu, Kak Aya nak pergi mana. Bagitahu la kita orang...” Julia memujuk aku dengan suara manjanya.

            Aku ketawa kecil sambil menggeleng perlahan. “Kau orang ni... akak pergi dengan boss akak la. Anggap la percutian ni pun atas urusan kerja. Akak pergi Phuket aje.” Jelas aku untuk memuaskan hati mereka.

            Terbeliak mata Julia dan Lin sewaktu itu. Mereka seperti tidak percaya.

            “Pergi dengan bos? Ke Phuket?! Bos Kak Aya lelaki ke perempuan?!”Soal Julia bertubi-tubi pula. Sebab itulah aku malas nak beritahu mereka.

            “Janganlah risau. Akak tahu jaga diri. Akak pergi dulu. Take care.” Aku menghulurkan tangan untuk bersalam.

            Lin dengan wajah tidak puas hati dengan penjelasan aku tetap menyambut salam aku serta mencium lembut tangan aku dengan hormat diikuti oleh Julia.

            “Apapun, Kak Aya jaga diri, okey?” Kata Lin.

            “Have a safe journey, Kak Aya.” Kata Julia pula.

            Aku melambai tangan kepada mereka sebelum melangkah keluar dari rumah. Aku akan mengambil teksi terus ke LCCT di mana Harry akan menunggu aku di sana.

            Ketika berada di dalam teksi hati termenung panjang. Entah kenapa semangat aku semakin luntur setelah menerima panggilan tadi. Tidak lama kemudian aku kembali tersedar. Aku tidak boleh lemah! Aku kena menghadapi keadaan ini dengan sebaiknya. Berusahalah Aya...

            Aku melihat dari jauh Harry sedang berdiri tegak di satu sudut dengan bergaya. Jeans dan T-shirt tanpa kolar. Topi dan cermin mata hitam juga tidak pernah lekang di kepala dan matanya ketika berada di tempat yang ramai orang. Harry berdiri sambil memakai earphone di telinga. Aku menghampiri dia dan berdiri tegak di sebelahnya. Harry menyedari kedatangan aku, dia menanggalkan  earphone di telinganya semula.

            “Kenapa muka macam ayam berak kapur je. Hari tu beriya nak pergi naik kapal mewah kan.” Tegur Harry dengan nada menyindir.

            Aku mencebik. “Awak pernah tengok ke ayam berak?”

            Harry mengetap bibir geram dengan jawapan aku.

            “Jom kita pergi check in baggage dulu.” Sambungku sebelum sempat dia membalas.

            Harry akur kerana malas mahu bertekak dengan aku lagi. Kami terus bergerak menuju ke kaunter kastam.

*********

            Setelah menempuh pernerbangan tidak sampai satu jam akhirnya kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang atau juga dikenali Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Kami mengambil teksi untuk bergerak menuju ke Jeti Swettenham di mana kami bakal menaiki kapal mewah Superstar Libra di situ.

            Ketika berada di dalam teksi, aku mengambil peluang untuk melihat pemandangan bandaraya Pulau Pinang yang pesat membangun. Teringat sahabat aku Bella yang bekerja di sini. Jika aku datang seorang diri bolehlah aku singgah ke tempatnya, tetapi memandang aku datang bersama Harry aku tidak boleh singgah di mana-mana tanpa persetujuannya. Memang leceh.

            Sekali sekala pemandu teksi itu memandang ke cermin belakang untuk melihat Harry. Akhirnya lelaki itu menjenguk ke belakang apabila teksi itu berhenti di lampu isyarat.

            “Kalau tak silap saya... encik ni, Encik Harry kan?!” Soal lelaki itu dengan wajah ingin tahu.

            Aku lihat Harry tersenyum sambil mengangguk.

            “Ya, saya.” Jawab Harry tanpa berselindung.

            Pak cik itu tersenyum gembira, matanya bersinar. “Pak cik sangat kagum dengan Encik Harry! Anak pak cik pun minat sangat dengan Encik Harry sampai dia dah minat berenang sekarang ni. Dia kata dah tak mustahil anak melayu untuk memang Olimpik.” Kata pak cik itu dengan bersungguh-sungguh.

            Aku turut tersenyum, kagum dengan semangat anak pak cik itu.

            “Baguslah. Beritahu anak pak cik saya kirim salam...” Balas Harry dengan senyuman yang masih mekar.

            “Dia mesti sangat gembira! Terima kasih Encik Harry! Saya tak sangka dapat jumpa encik di depan mata.” Kata pak cik itu lagi. Kemudian dia kembali memandang ke depan apabila lampu hijau menyala.

            “Awak boleh jadi pakar motivasi lepas ni,” Aku berbisik kepadanya sambil tersengih.

            “Kau baru nak tahu?” Jawabnya dengan berlagak.

            Menyesal puji!

            Aku menjuih bibir lalu memandang ke luar tingkap. Sudah ternampak laut di persisiran pantai. Hatiku sedikit terubat. Indahnya!

            Setelah mengucapkan terima kasih kepada pak cik teksi itu dan Harry pula sempat memberi tandatangannya kepadanya, kami berjalan menuju ke jeti. Ketika itu walaupun jam menunjukkan pukul 3 petang tetapi cuacanya cukup panas. Sudah tentulah kerana berhampiran dengan laut. Harry mengangkat bagasinya sendiri, mujurlah. Aku bersyukur dalam hati.

            Bukan mudah mudah rupanya proses untuk menaiki kapal mewah ini. Mula-mula lagi kami sudah terpaksa beratur panjang untuk urusan pengesahan tiket dan sebagainya. Hampir satu jam jugalah baru kami dapat masuk ke dalam kapal mewah itu. Kapal itu akan mula belayar pada pukul 5 petang tetapi penumpang perlu masuk lebih awal. Perkara pertama yang semua penumpang buat selepas menjejak kaki di atas kapal itu adalah mencari bilik atau kabin untuk meletakkan semua barang-barang yang dibawa.

            Bilik kabin aku bertentangan dengan Harry di Deck 6. Kami masuk ke bilik masing-masing untuk melepaskan lelah. Boleh tahan juga bilik ini, tidaklah sebesar mana walaupun Executive Suite. Tetapi harganya usah cakaplah, memang tersangatlah mahal bagi aku yang tidak berduit ini. Yang paling penting ada tingkap cermin empat segi untuk seaview. Aku duduk di atas katil yang empuk. Melepaskan nafas yang berat. Apabila duduk berseorangan seperti ini fikiran aku mula melayang entah ke mana. Sedar-sedar aku terlelap dalam 15 minit. Aku terpisat-pisat bangun apabila terdengar pengumuman yang meminta kami berkumpul di Deck 4. Rupanya cuma ada taklimat ringkas di situ berkaitan keselamatan di atas kapal itu. Mereka juga menunjukkan kapal kecil yang akan diturunkan jika berlaku kecemasan.

            Selesai mendengar taklimat aku dan Harry kembali ke kabin untuk menunaikan kewajiban menghadap Ilahi. Usai solat asar aku tidak dapat berehat lagi apabila Harry sudah mengetuk pintu bilik aku.

            “Cepat bersiap. Kita pergi makan.” Kata Harry di depan pintu, ketika itu aku masih lagi lengkap bertelekung.

            Aku seraya mengangguk. Perut aku memang sudah memainkan lagu dangdut!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience