Keesokannya, Nediya tersedar. Dia masih merasakan kepalanya pening dan sakit-sakit. Nediya melihat Faris masuk ke bilik sambil membawa sarapan kepadanya. Nediya tidak mampu menahan rasa sebaknya itu apabila teringatkan segala kenyataan yang dikatakan oleh Faris semalam. Perit untuk dia menerima hakikat yang sebenar bahawa dia telah dimadukan dengan wanita yang tidak pernah dikenalinya langsung.
"Awak makan bubur ni dulu, sayang." pujuk Faris. Nediya tidak mahu bercakap dengan suaminya itu. Sudah cukup dia menanggung rasa makan hati ini. Tergamak suaminya melakukannya begitu. Faris sekali lagi mengulangi kata-katanya.
"Saya nak balik rumah mak." Nediya berkata ringkas sambil menahan air matanya untuk mengungkap kata-katanya itu. Dia tidak rela dimadukan oleh suaminya. Dia seakan tidak percaya bahawa perkara ini benar-benar terjadi kepadanya.
Faris membalas kata-kata Nediya itu. "Saya tidak izinkan awak pergi ke rumah mak buat masa sekarang." ujar Faris. Nediya tergamam. Dia tidak faham kenapa Faris berkata sedemikian.
"Awak tidak ada hak melarang saya balik rumah mak." Nediya berkata sambil mengesat air matanya. Faris segera meninggalkan Nediya di kamarnya itu untuk ke tempat kerjanya. Nediya menangis semahu-mahunya akan nasib yang telah menimpanya ini. Hatinya sakit setiap kali teringatkan kata-kata Faris bahawa dia sudah pun berkahwin dengan wanita lain. Apakah alasan Faris mencari wanita lain? Apakah kekurangan cinta dia terhadap Faris? Semua perkara ini bermain di benak fikiran Nediya. Nediya teringat akan wajah wanita yang kini merupakan isteri Faris. Hatinya bertambah sakit.
Share this novel