BAB 15 – Lubang Jarum

Thriller Completed 8345

Pak Kadir masih meneruskan usahanya selama 3 malam. Pak Cu berserah dan bertawakal kepada Allah s.w.t. Setelah sampai di rumah Pak Ghani, dia mendapati keadaan Faridah semakin serius dan teruk.

Ketika ayat Kursi dibaca sebanyak 120 kali, Faridah bangun dan meronta-ronta mengamuk dan ingin mencekik semua orang yang ada pada malam itu. Keadaan rumah menjadi kelam-kabut. Masing-masing lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri, Pak Kadir segera mengambil air surah Yassin lalu disimbah kepada Faridah, barulah dia rebah kembali kepada asalnya.

Namun selepas itu, Faridah kembali mengamuk dan mengigit lengannya sehingga beberapa bahagian lengan terkoyak. Boleh dikatakan jika sesiapa yang ada pada malam itu pasti akan menitiskan air mata termasuklah Jalil yang sudah tidak tahan lagi meratapi penderitaan yang dialami oleh Faridah yang begitu dahsyat.

Setelah selesai membaca ayat Kursi, Pak Kadir melakukan ikhtiarnya yang terakhir. Pak Kadir mengambil kapas yang dibasahkan dengan air surah Yassin dan dikepal sambil membaca ayat-ayat penyembuh. Kapas tersebut digumpal sehingga menjadi bulat dan kemudian disumbat pada hujung pangkal buluh.

Pak Kadir mencurahkan air surah Yassin perlahan-lahan ke dalam buluh tersebut sehingga penuh. Dia membakar kemenyan dan mengasap buluh tadi sambil membaca ayat penyembuh. Faridah semakin kuat meronta-ronta dan ketika itu atap rumah yang terletak setentang dengan tempat pembaringan Faridah tercabut dan terpelanting tiba-tiba.

Seluruh tetamu terkejut dan terpaku serta tidak berkata apa-apa. Pak Kadir tahu yang merempuh atap tersebut ialah sejenis makhluk halus yang digunakan bagi melaksanakan niat jahat tersebut. Pak Kadir nampak seekor beruk besar dan bertaring panjang sedang merempuh atap sehingga tercabut.

Wajah Faridah kelihatan berubah dan dia sudah mampu menyebut dan memanggil ayah dan ibunya. Segera Pak Kadir memanggil Pak Ghani untuk menyatakan sesuatu. Bagi Pak Kadir, apa yang perlu sekarang ini ialah berserah dan berdoa sahaja kepada Allah agar Faridah dipanjangkan umur.

Ini memandangkan penyakit Faridah sudah amat kritikal. Setelah mendapat keizinan Pak Ghani, Pak Kadir meneruskan ikhtiarnya. Dia mengambil buluh runcing tadi lalu ditiup sambil membaca ayat-ayat suci.

Seketika kemudian kapas yang ada pada hujung buluh runcing tadi tercabut dan terjatuh bersama air surah Yassin. Di saat itu, Faridah meraung kesakitan dan darah mengalir keluar dari kemaluannya.

Darah hitam pekat busuk itu bercampur dengan ulat-ulat yang cukup meloyakan. Ia terlalu banyak sehingga memenuhi ruang tamu. Pak Ghani mengajar Faridah supaya mengucap dan ingat kepada Allah. Seketika kemudian, Faridah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Seluruh isi rumah ketika itu meratap hiba dengan pemergian Faridah yang sungguh menyedihkan itu. Ayam dan itik di bawah rumah habis mati bergelimpangan pada keesokkan harinya disebabkan termakan ulat beracun yang keluar bersama darah Faridah malam itu.
Faridah telah selamat dikebumikan dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Faridah. Sesungguhnya beliau benar-benar telah terseksa sepanjang hidupnya akibat sifat dengki manusia yang tidak berhati perut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience