KHAIRI meringis sakit ketika pipinya menerima tumbukan yang paling kuat daripada lawannya itu. Terlalu sakit dan perih. Namun dia tahu, dia tidak akan mampu menyaingi kekuatan Hans Azeem. Jika hendak dibandingkan keadaan tubuhnya dengan lelaki itu, dia hanya layak digelar seekor semut merah. Tambahan pula, lelaki itu tidak berseorangan tetapi akan sentiasa ditemani oleh orang-orang suruhannya.
Pendiam, beku dan tegas; seperti itulah Hans Azeem. Lelaki itu jarang menggunakan mulutnya, tetapi lebih banyak memendam dan mendiamkan diri. Jika sesuatu hal yang ditanggung sudah terlalu parah dan payah, barulah dia akan bersuara. Sama seperti saat itu. "Aku dah bagi masa yang lama sangat pada kau, aku bagi kau muka, aku bagi kau peluang beratus kali tapi kau tengok apa yang aku dapat? Kau ingat aku tak perlukan duit??? Aku paling benci pada manusia yang suka mungkir pada janji sendiri. Sumpah, aku benci!" Hans Azeem menengking lebih garang. Tubuh Khairi didorong kasar membuat lelaki itu terbaring tanpa daya di atas rumput-rumput hijau yang sedang dipijak.
"Hans, aku minta maaf. Kau bagi aku masa sampai... "
"Aku tak bodoh, Khairi. Kau jangan cabar aku. Bayar hutang kau, sekarang juga. Kalau tak... nyawa kau yang akan melayang," ujar Hans Azeem separa mengugut. Helaan nafasnya cuba diatur kembali, setenang lontaran nadanya sebentar tadi. Menengking bukan caranya, bercakap dan mengeluarkan kata-kata juga bukan kesukaannya. Dia lebih suka diam, memendam dan terus memerhatikan, seolah-olah menunggu sesuatu masalah yang sedang dihadapi akan selesai dengan sendiri.
Ketenangan pada riak dan tingkah lelaki itu semakin membuatkan Khairi bertambah kalut dan gugup. Dia kenal Hans Azeem seperti apa. Kemuncak kemarahannya adalah saat dia tiba-tiba menjadi tenang semula. Dalam ketakutan dan keadaan yang paling terdesak, satu akal dengan tiba-tiba sahaja muncul pada otak Khairi. Walau sempat tersedar yang tindakannya itu boleh dikatakan gila dan kejam, namun kali ini Khairi benar-benar sudah bertekad. Sementelahan, barang yang hendak dia lepaskan itu pula bukan miliknya lagi.
"Aku mengaku, memang aku betul-betul tak ada duit tapi aku ada satu tawaran untuk kau. Aku berani jamin, barang tu... walaupun pernah dibeli, tapi tak terpakai. Kau tahu kan, selera aku macam mana?" ujar Khairi lagi sebelum tersenyum licik.
"YANG ni new arrival, stock dengan designnya memang terhad. Kalau cik setuju, kami akan bagi diskaun sebanyak 30%."
"Tapi sesuai ke dengan warna kulit saya?" lama membelek-belek baju kurung yang berada dalam pegangan, wanita muda itu kemudiannya menyoal kembali.
“Sesuai sangat, cik. Padanan maroon dengan kulit berwarna sawo matang akan membuatkan pemakainya berpenampilan lebih elegan dan stylish. Boleh cuba dulu, saya yakin cik akan suka. Cik cantik semula jadi, tinggal nak hiaskan sikit-sikit je lagi," kat Nurain lagi. Memuji dengan ungkapan-ungkapan yang manis memang kepakarannya sebagai seorang jurujual yang sudah hampir tiga tahun bekerja dalam bidang itu.
“Betul?” terpancing dengan kata-kata pujian itu, wanita muda tadi langsung tersenyum lebar. Di dalam hati sudah berkata yang dirinya tidak perlu untuk mencuba kerana kata-kata Nurain itu sudah cukup membuatkannya lebih yakin untuk membeli.
“Betul. Cik boleh cub… “
“Hrmmm… tak apalah. Tak perlu cuba, saya jadi beli.”
“Okey, cantik-cantik. Saya jamin, cik tak akan menyesal. Cik tunggu sekejap ya?” semakin lebar senyuman Nurain tatkala tangkapannya mengena lagi untuk kali ini.
Memuji bukan dengan kata-kata yang kosong dan auta semata-mata, tetapi berdasarkan kejujuran dan kenyataan. Nurain bijak. Dia tahu tidak semua makhluk ciptaan Tuhan itu tertampil dengan sempurna. Para pelanggan datang dalam keadaan yang berbeza-beza. Cantik, tampan, hodoh, memiliki warna kulit dan saiz tubuh yang juga berbeza namun Nurain tetap akan memuji dengan hati yang ikhlas. Dia bijak mencari dan menilai setiap kelebihan pada insan yang memiliki kekurangan.
Menjanda pada usia yang muda, bukanlah satu penghalang untuk Nurain terus bangkit sendiri. Dia sedar, dia masih mempunyai kedua-dua orang tua dengan adik beradik yang memerlukan dirinya. Dipandang serong lantaran diri hanyalah seorang jurujual adalah sesuatu hal yang sudah sebati dalam diri Nurain. Ya, pemikiran orang yang kolot memang seperti itu. Yang duduk di dalam pejabat bertemankan penghawa dingin yang sejuk, memakai pakaian yang cantik dan segak, itulah satu pekerjaan yang paling mulia di mata mereka.
Perkahwinan di antara Nurain dengan Khairi hanya bertahan selama beberapa bulan. Namun gagal dalam perkahwinan bukan bermaksud gagal dalam kehidupan. Nurain memegang prinsip, kumbang bukan seekor. Jangan pernah bodohkan diri hanya kerana cinta terhadap seorang makhluk yang bernama lelaki. Tidak pernah sekalipun otaknya terjentik dengan perasaan sesal. Dia percaya, ada hikmah di sebalik penceraiannya dengan Khairi. Buktinya kini, kehidupan Nurain jauh lebih tenang berbanding dengan sebelumnya. Apa gunanya memiliki suami jika seorang suami itu lebih layak dipanggil seekor biawak yang hidup sihat dalam rumah tangga. Pemalas, kaki judi dan yang paling menyeksakan, Khairi ialah seorang suami yang tidak normal. Segala kelemahan dan keburukan Khairi, hanya Nurain sendiri yang tahu kerana semarah mana pun dia terhadap lelaki itu, tidak pernah sekalipun dia membicarakan yang tidak baik tentang Khairi pada telinga-telinga luar. Dia masih hormat, dan dia masih ingat pada jasa dan kebaikan lelaki itu terhadap mereka sekeluarga suatu ketika dahulu.
WAKTU pulang Nurain adalah seperti biasa pada hari itu. Mungkin ada yang telah nyenyak beradu, sedang dia pula masih berada di luar kerana butik tempatnya bekerja itu biasanya akan ditutup pada pukul 9.30 malam dan dia akan tiba di rumah pada pukul 10.00 malam. Mandi, makan, mengerjakan sedikit pekerjaan rumah dan setelah itu barulah Nurain akan boleh tidur dengan tenang. Sebelah paginya pula, dia akan berangkat kerja semula seawal jam 7.30 pagi. Lambat seminit, maka terperangkap dalam kesesakanlah jawabnya. Dia lebih rela duduk berteleku menunggu di hadapan butik tempat kerjanya daripada harus menjadi penghuni sementara jalan raya yang sangat sesak pada sebelah pagi.
Nurain melangkah tenang ke arah keretanya, sesekali mengurut belakang tengkuk yang terasa lenguh. Setiap hari menghadap dan merasa hal yang sama iaitu penat namun Nurain sedar jika dia tidak bekerja, siapa pula yang akan menyara kehidupannya? Bulanan kereta, rumah sewa, segala jenis bil dan perbelanjaan sehariannya semuanya memerlukan duit. Belum lagi jika hendak dikira jumlah wang yang harus dia kirim setiap bulan ke kampung. Namun bebannya lebih ringan sejak bergelar seorang janda. Jika dulu, setiap hujung bulan Khairi akan selalu meminjam setengah daripada duit gajiannya. Kadangkala terbayar, kadangkala tidak namun Nurain jarang merungut. Sekadar mengeluh sendiri dan memendam perasaan kerana dia masih ingin bersabar dan mempertahankan rumah tangga mereka. Namun Allah berkehendak lain, dan perancangan itu Nurain kira yang paling baik dalam kehidupannya. Pada malam di mana mereka telah diserang dengan sekumpulan lintah darat, Nurain dengan Khairi telah bergaduh besar. Bergaduh, bertengkar, saling menyalahkan dan Khairi tidak sedar yang mulutnya telah terlanjur melafaz talak satu. Dilepaskan, namun Nurain tidak menangis. Malah dia berasa sangat lega dan perasaan lega itu tidak pernah dia rasa sepanjang perkahwinan mereka.
Zuppp!
Nurain tersentak dari lamunannya ketika bahunya dengan tiba-tiba sahaja dicengkam dari arah belakang. Kuat, kasar dan terasa memerihkan.
“Ain, apa khabar?”
Sempat mengeluh sebelum matanya dipalingkan ke arah pemilik suara itu.
"Abang???"
"ABANG nak bawa Ain pergi mana?! Ain tak nak, abang! Ain tak nak!" jerit Nurain dalam esakan ketika kereta yang dipandu oleh Khairi itu bergerak semakin laju. Sepanjang mengenali lelaki itu, jarang sekali dia melihat bekas suaminya itu bertingkat kalut, cuma sekali sahaja ketika mereka berdua bertengkar beberapa bulan yang lalu dan semua itu telah membuat Khairi terlanjur melafaz talak. Tetapi bukan tidak mahu merujuk dan berbaik semula, Nurain hanya sudah terlalu penat. Penat menjalani hidup bersama Khairi yang sentiasa dikejar para pemiutang.
"Abang nak bawa Ain pergi jumpa dengan orang tu! Ain kena tolong abang! Kalau tak, abang akan mati Ain!" ujar Khairi dengan riak yang sangat kalut dan tegang.
"Ain tak nak! Ain bukan pelacur, abang! Semua ni tak ada kena mengena dengan Ain! Abang yang berhutang tapi kenapa Ain yang kena tanggung?!"
"Ain jangan lupa jasa abang pada keluarga Ain dulu! Siapa yang tolong ayah awak masa orang tua tu masuk hospital dulu?? Selama ni abang tak pernah ungkit pun!" Khairi meninggikan suara. Bukan tidak menyayangi dan bersimpati terhadap wanita itu, namun keadaan yang memaksa. Dia benar-benar sudah terdesak.
"Sebab abang ni penipu! Ada bisnes besar konon! Sebab perangai abang ni lah rumah tangga kita tak bertahan lama, sebab perangai abang ni juga lah hidup Ain huru-hara! Semuanya salah abang!"
"Ya! Memang salah abang! Abang mengaku, abang bukan lelaki yang baik! Sekarang ni, baik kau diam! Kalau tak, mak bapak kau kat kampung tu yang aku bunuh! Diam!" Khairi menjerkah untuk kesekian kalinya. Sudahlah fikirannya ketika itu sedang kusut, kini mahu ditambah lagi dengan rontaan dan pekikan suara bekas isterinya.
Nurain menunduk, menangis tanpa suara. Dia kenal Khairi, lelaki itu sanggup berbuat apa-apa sahaja jika sudah marah. "Ain cintakan abang... sampai sekarang. Tapi ini yang abang... "
"Zaman sekarang cinta dan sayang tu dah tak ada makna dah, Ain. Orang hidup perlukan duit! Tak ada duit, orang akan pandang kau macam sampah! Anggap je kau buat semua ni sebab nak balas semua duit dan jasa aku pada mak ayah kau dulu." Khairi mengendurkan suara, memejamkan matanya sejenak sebelum keadaan menjadi sunyi benar.
TIBA di satu lokasi sunyi yang telah dijanjikan, Khairi terus memberhentikan keretanya. Tidak jauh dari situ, sudah kelihatan susuk sasa seorang lelaki berwajah bengis dan tegang yang sedang memeluk tubuh sambil memandang tepat ke arah mereka.
"Ain ikut orang tu nanti. Ikut je apa yang dia nak." Khairi kembali bersuara setelah sempat menelan air liur kegugupan. Berjalan ke arah luar, lokasi Nurain terus didatangi lalu tubuh wanita itu diseret kasar.
"Abang tak ada hak nak buat hidup Ain macam ni! Abang ni hanya bekas suami Ain!" Nurain membentak dengan nada yang parah menggeletar. Bencinya dia menatap wajah lelaki itu! Benci! Sumpah, dia benci!
"Abang tak ada pilihan, Ain. Abang tak mampu nak bayar hutang-hutang abang pada dia tu. Abang minta maaf!" Khairi menepis rentapan kasar bekas isterinya. Tidak sanggup sebenarnya, tetapi apa lagi pilihan yang dia ada? Pandangan Khairi kembali terhala ke arah wajah beku Hans Azeem yang sedari tadi hanya diam memerhati. "Aku lepaskan dia pada kau. Hutang kira settle. Ambil! Aku berani jamin yang kau akan puas."
Nurain meraung pilu ketika tubuhnya didorong kasar ke arah Hans Azeem. Terasa diri dengan seorang yang jalang seperti tiada bezanya sahaja. Dikutip ketika perlu, dicampak pergi ketika penikmatnya sudah bosan. "Abang, tolong Ain bang!" Nurain melaung bersama esakan namun tidak sedikitpun Khairi menoleh ke arahnya lagi. Lelaki itu hanya pergi seolah-olah tidak mahu peduli langsung.
Nurain segera menunduk takut ketika hanya dia dengan lelaki asing itu sahaja yang tersisa di situ. Malah, tangisannya juga serta merta dimatikan. Membayangkan diri bakal dikerjakan oleh pemilik tubuh yang tegap dan tinggi seperti Hans Azeem, benar-benar membuatkan Nurain semakin sahaja berasa kalut dan tidak tentu arah.
"Kau masuk kereta sekarang!" Hans Azeem mengarah sebelum dirinya juga turut melangkah masuk ke dalam kereta. Dalam ketakutan, Nurain hanya menurut. Dia tidak mampu melawan lelaki itu kerana tenaganya terlalu kuat. Malah, bisa pada pergelangan tangan yang terasa terlalu menyakitkan dia abaikan sahaja. Masing-masing hanya diam tanpa kata sehinggalah kereta yang mereka naiki itu berhenti tepat di hadapan sebuah rumah besar.
Tanpa mempedulikan Nurain lagi, Hans Azeem terus melangkah keluar dari dalam kereta itu diiringi oleh beberapa orang suruhannya. Entah sepenting apalah lelaki itu sehingga setiap pergerakannya sangat dijaga rapi oleh para lelaki yang bertubuh tegap itu.
"Sila, puan."
Nurain tersentak ketika pintu kereta di sisinya tiba-tiba sahaja dibuka oleh lelaki yang memandu kereta itu tadi.
"Saya nak balik, tolong... Tolong lepaskan saya!" Nurain merayu dengan bersungguh-sungguh. Sepasang tangan tua itu dia genggam tanpa peduli lagi kerana yang paling penting buat Nurain ketika itu adalah maruah dan harga dirinya.
"Saya minta maaf, puan. Saya tak boleh tolong. Puan masuk ya?" ujar lelaki tua dengan nada lembut namun kedengaran begitu tegas.
Nurain melangkah masuk dengan esakan halus. Berdebar dan takutnya dia ketika itu, tiada yang tahu. Tidak sanggup membayangkan apa yang bakal menimpa dirinya selepas ini. Akan dilayan seperti hamba atau seorang pelacur? Diseksa setengah mati, didera, dibelasah? Tuhan, dia benar-benar ketakutan saat itu!
Hans Azeem duduk bersilang kaki sambil memerhatikan penampilan Nurain sedari atas sehingga ke bawah. Riaknya hanya tenang namun terlihat tegang dan tegas tanpa sedikitpun senyuman. Hans Azeem memberi isyarat mata kepada orang suruhannya sebelum kembali memandang ke arah Nurain.
Menunduk hormat ke arah Nurain, Tazim kemudiannya mula membuka mulut. "Mulai dari hari ni, Puan Nurain akan tinggal di sini dan ikut semua arahan Tuan Hans Azeem. Puan bebas jalani aktiviti seharian puan macam biasa di luar tu, tapi... pastikan puan balik ke rumah ni setiap hari."
"Encik... tolong lepaskan saya! Saya merayu. Saya tak salah, saya tak... "
"Untuk pengetahuan Puan Nurain, Khairi dah jual puan pada Tuan Hans Azeem sebab dia tak mampu langsaikan hutang dia. Jadi, nak atau tak, puan kena ikut arahan kami," kata Tazim dengan tegas.
"Dia yang berhutang, kenapa saya yang kena bayar?! Korang ni semuanya pengecut! Berani dengan perempuan je!" Nurain langsung meninggikan suara sambil memandang tepat ke arah wajah beku Hans Azeem. Namun lelaki itu pula, hanya menayangkan riaknya yang sama seperti tadi, seolah-olah tidak tercabar langsung dengan kata-kata makian Nurain.
Hans Azeem bangkit dari duduknya, lalu memandang ke arah Tazim. Tidak perlu dia bersuara kerana orang-orang suruhannya akan sentiasa memahami maksud isyarat mata yang dia berikan.
“Baik, tuan.” Tazim dengan rakan-rakannya menunduk hormat sebelum segera berlalu pergi dari ruangan itu meninggalkan Hans Azeem dengan Nurain sendirian.
Hans Azeem mula menyusun langkah untuk mendekati lokasi Nurain menjatuhkan tubuh. Dalam diam, dia sangat bersimpati melihat keadaan diri Nurain. Wanita itu terlihat begitu polos dan suci. Tidak terlintas sedikitpun dalam otak Hans Azeem untuk menjadikan Nurain sebagai pelayan nafsunya kerana dia juga bukan manusia sekeji itu. Luarannya sahaja yang terlihat kejam dan garang, namun tiada siapa yang tahu Hans Azeem juga seorang pencinta agama yang baik. Mungkin tidak sempurna seperti orang lain, tetapi dia tetap akan sentiasa menjaga segala amalannya di hadapan Tuhan. Tambahan pula, Hans Azeem tahu, Nurain hanyalah mangsa keadaan dan mangsa seorang manusia yang keji seperti Khairi.
Perlahan-lahan, Hans Azeem mula menadahkan tangannya ke arah Nurain namun wanita itu pula tetap sahaja menunduk sambil menangis ketakutan.
Semakin lama esakan Nurain semakin memecah nyaring dan berleretan. Wanita itu tidak kuat lagi hendak membayangkan jika dirinya akan diperlakukan seperti seorang pelacur murahan yang tidak bermaruah. Sakit dan perih membayangkan semua itu apalagi memikirkan keadaan dirinya yang belum pernah disentuh.
“Tolong tuan, tolong jadikan saya isteri tuan yang sah. Jangan kejam pada saya, dan saya berjanji akan menjadi seorang isteri yang taat dan baik pada tuan. Saya merayu, halalkan saya!”
Share this novel
please update admin
9 .what m might
99 n