BAB 5

Romance Completed 11857

“Apa pandang-pandang, bukan Pak Su yang buat cerita! Nenek yang cakap kat Pak Su,” Pak Su Aril seolah-olah boleh membaca fikiranku.

Aku menjeling lagi bapa saudaraku itu. Pak Su Aril pula menjeling padaku. Saling balas membalas!

“Noorin,” panggil nenek setelah lama mendiamkan diri.

Aku dan Pak Su Aril serentak memandang nenek. Menunggu kata-kata dari bibir tua itu.

“Kahwin dengan Azfar…. demi nenek,” pinta nenek tiba-tiba.

Aku melurut jatuh ke atas permaidani. Terkejut! Pak Su Aril segera merapatiku. Bapa saudaraku itu cuba memapah aku bangun kembali tetapi aku bertindak membekukan diri dari segala pergerakkan.

Tak sangka nenek akan kata begitu. Tadi nenek macam tak kisah kalau aku tak kahwin dengan Uncle Azfar, tapi sekarang…

“Mak Yam, jangan paksa Noorin. Saya okey,” celah Uncle Azfar yang kemudiannya berdiri.

“Eh, kau nak pergi mana pulak ni?”Soal Pak Su Aril bila dia melihat kawan karibnya itu sudah bangun dari duduk.

“Aku balik dulu Ril. Aku minta maaf dah buat kau bergaduh dengan keluarga kau,” pintanya dengan suara mendatar.

“Tak payahlah. Sekarang dah pukul berapa? Pukul 12 tengah malam dah ni. Tidur sini jelah,” larang Pak Su Aril.

Uncle Azfar menggeleng perlahan. Lelaki itu sudah bergerak ke muka pintu rumah. Mahu beredar.

Semua orang dalam rumah ni nak buat aku serba salah ke? Kalau aku tak tolong dan tak mahu ikut kehendak nenek samalah macam aku menderhaka! Adui!

“Sekejap,” Aku menahan lelaki itu dari keluar. Semua mata kini memandangku. Menunggu kata-kata yang keluar dari ulas bibirku.

“Demi nenek…Noorin setuju kahwin dengan Uncle,” putusku lalu beredar ke bilikku dengan hati yang hancur remuk! Masa ini aku hanya ingin melelapkan mata, melupakan segalanya.

Aku bangun dari tidur tepat jam 8.00 pagi. Mujur sahaja aku uzur dan sekarang cuti sekolah. Kalau tidak mesti aku sudah lewat ke sekolah!

Tanpa merapikan diri, aku turun ke dapur kerana perutku yang sudah kebulur minta segera diisi. Biarlah nampak selekeh pun! Bukannya ada orang lain dalam rumah ni! Cuma ada nenek dengan Pak Su je! Tambah, dengan peristiwa semalam membuatkan aku mati mood untuk merapikan diri.

“Noorin, kamu tak basuh muka ke?” tegur nenek sebaik sahaja aku melabuhkan duduk di kerusi meja makan. Aku menggeleng.

Kuih tepung bungkus yang berada dalam pinggan aku ambil dan buka pembalutnya sebelum menjamahnya.

Aku tahu mukaku saat ini macam isteri hilang suami je! Dengan rambut di sanggul bodoh begitu sahaja, seluar kotak-kotak dan baju t-shirt warna kuning yang ada gambar Garfield! Memang teruk!

“Kalau kamu macam ni sampai dah kahwin ,risau nenek nanti. Lari Azfar tengok kamu macam ni!” bebel nenek yang sudah duduk disebelahku.

Aku menjungkitkan bahu. Biarlah kalau dia lari pun! Lagi senang hidup aku!

“Eh, baik kamu naik mandi. Salin baju tu! Pakai yang molek sikit. Uncle Azfar ada kat sini tahu,” beritahu nenek. Tapi aku buat bodoh sahaja. Langsung tak ambil pusing! Aku tahu nenek sengaja je cakap macam tu, suruh aku cepat-cepat mandi. Anak dara kan kenalah kemas! Tapi sekarang, aku betul-betul takde ‘mood’…

“Pagi, mak!” tegur Pak Su Aril serentak itu aku berpaling padanya. Alamak! Uncle Azfar pun ada kat sini! Bulat mataku! Pak su Aril jugak begitu. Uncle Azfar hanya diam memandangku.

“Noorin, naik!” arah Pak Su Aril, tegas. Apa tidaknya, kepalaku langsung tidak beralas apa-apa. Menampakkan auratku pada Uncle Azfar, meskipun dia bakal suamiku!

Aku bergegas naik ke bilikku dengan mulut yang masih penuh dengan kuih tepung bungkus tadi. Tak senonoh betul!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience