BAB 4

Humor Completed 434

Hari ini Jamlus ingin mengajar Kim selok-belok agama yang sudah lama
ditinggalkannya. Sejak terjebak dalam dunia lesbian, Kim sudah tidak
pernah mengerjakan solat. Bila ditanya, dia hanya boleh membaca
Al-Fatihah, sedangkan bacaan-bacaan lain dalam solat sudah pudar dari
ingatannya. Berpuasa Ramadhan pun hanya jika bersama rakan-rakan
lessynya yang masih patuh pada sebahagian ajaran agama.

Kim tampak lebih ayu kali ini bila mengenakan baju kurung putih. Seputih
hatinya yang ingin kembali ke pangkuan rahmat Tuhan. Dia membawa bersama
kain telekung yang baru dibelinya semalam. Hanya Jamlus yang menjadi
harapannya untuk dia kembali mengenal dirinya, kembali mengenal Tuhan.

Selesai mengerjakan solat Zuhur berjemaah, Jamlus mengajar Kim membaca
Al-Quran. Agak bagus bacaannya untuk seseorang yang sudah begitu jauh
terpesong dari jalan agama.

Banyak kisah hidup mereka yang dikongsi bersama. Jamlus adalah bendahari
NGO ‘Justice For Palestine’ yang bermatlamat mengumpul dana untuk
membawa kes-kes pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel ke mahkamah
pengadilan antarabangsa. Sementara Kim pula adalah setiausaha gerakan
‘Persatuan Wanita Insaf’ yang memperjuangkan isu-isu keganasan
rumahtangga, disamping menjadi admin untuk Fac group ‘The
Other Eve’ yang berorientasikan homoseksualism.

Melalui Fac, Kim mengenali Jamlus sebagai figura tempatan yang
lantang bersuara. Malah dia juga adalah salah seorang daripada
berpuluh-puluh ribuan followers Jamlus dalam media sosial itu.

Satu ketika Jamlus memandang dalam-dalam akan wajah Kim. Agak berbeza
sedikit dari profil wajahnya yang terdahulu. Ada sesuatu yang bermain
dalam fikirannya bila melihat wajah itu. Perlahan-lahan dia mengangkat
tangannya, lalu menyentuh pipi gadis itu. Kim sedikit tersentak, lantas
tangan itu dialihkan ke telinga kanannya.

“Lebih elok kalau telinga yang ni pun diletakkan subang sekali. Barulah
sempurna,” katanya.

_Fac_

6 notifications

Lestari likes your profile picture.

Lestari likes your profile picture.

Lestari likes your cover photo.

Lestari likes your status.

Lestari likes your cover photo.

Lestari likes your profile picture.

Dealova tersenyum sendiri. Dia sedar akan dirinya. Punya ramai
followers. Peminatnya datang dari segenap strata masyarakat. Lelaki
dan perempuan, straight dan gay, butch dan femme, Islamist dan
sekular. Dia menerima semuanya tanpa diskriminasi. Semua manusia adalah
sama selagi warna darahnya sama, begitu prinsipnya.

1 notification

Lestari commented on your profile picture

Kim melangkah masuk ke Kelas Seni Kraftangan Dear Lover untuk berjumpa
dengan pemiliknya. Dia juga ingin belajar cabang seni yang sinonim
dengan sifat feminin sebagai geraklaku simbolik yang dia sudah
meninggalkan dunia lama. Jamlus tersenyum menyambutnya.

Mereka berborak diiringi tawa riang tujuh orang pekerja kurang upaya di
situ yang cuba mengajar Kim langkah demi langkah seni kait-mengait.

“Ada sesuatu yang akak nak tunjukkan,”

“Ini dia.”

“Adik angkat akak... ” katanya sambil menghulur sekeping foto.

Kim mengambil foto tersebut. Memang tampan. Dan yang lebih penting, kata
Jamlus , adalah usahanya untuk mencari calon isteri sebelum mencecah usia
40 tahun. Tak banyak yang Jamlus ceritakan perihal lelaki dalam foto
tersebut, selain dari kisah mereka melakukan aktiviti sukarela bersama
dengan MERCY Malaysia di Palestin suatu masa dulu. Dan yang lebih utama
lagi, kata Jamlus , nama Kim sudahpun diusulkan kepada tuan empunya foto.

“Entahlah, kak.” ringkas jawapan Kim.

Masih belum terlintas untuk hatinya dimiliki oleh sesiapa. Jelas
terbayang dalam ingatannya, saat cintanya ditolak mentah-mentah melalui
pesanan-pesanan ringkas dalam media sosial. Ditolak kerana keadaan
fizikalnya yang pada ketika itu cukup mengharukan. Dia cuba menghalang
perasaan itu dari muncul kembali, perasaan yang telah mencetuskan
revolusi dalam dirinya sehingga membuatkan dia terjebak dalam kancah
kesongsangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience