Ikatan cinta Harry!

Romance Completed 117449

BAB 40

            “HARI ni Kak Aya cuti lagi?” Soal Lin. Dia datang ke ruang tamu bersama sepinggan nasi goreng untuk bersarapan pagi. Semakin rajin budak ni, aku pula bertambah malas.

            Aku menyandar lemah di sofa setelah bersarapan dengan biskut dan air coklat panas. Nampaknya aku semakin relaks kebelakangan ini.

            “Bos akak cuti, jadi akak pun cuti la...” Bohong.

            Lin mengambil tempat di sebelah aku. “Kak Aya kerja apa sebenarnya?” Soal Lin benar-benar ingin tahu. Julia juga ada hari ini, dia baru balik ke rumah sewa setelah sehari semalam berada di rumah keluarganya.

            “Kenapa nak tahu?” Soal aku kembali. Budak ni tak ada kelas ganti ke hujung minggu macam ini. Bila dia ada di rumah dah bertukar jadi wartawan majalah sensasi pula.

            “Kak Aya tak baik nak rahsia macam ni. Kami kena tahu juga sedikit sebanyak hal Kak Aya. Ini demi kepentingan diri Kak Aya juga. Cuba la bayangkan ada emergency case ke, mana kami nak cari Kak Aya.” Celah Julia pula.

            “Betul kata Julia tu, Kak Aya. Kami bukan nak ketawakan kerja kak Aya pun. Semua kerja asalkan halal adalah baik di sisi Allah. Tak adanya kita orang nak cakap apa.”

            “Sejak bila pandai berhujah ni?” Aku mengangkat ke dua belah kaki dan merapatkan ke dada. Tangan aku mencapai remote untuk menukar saluran lain.

            “Kak Aya buat macam ni, mula la kami nak fikir yang bukan-bukan.” Julia mula ingin memprovok aku.

            Aku memandang wajah Julia dan Lin silih berganti. “Kerja akak bukannya baik sangat. Tapi, akak tahu jaga diri. Kau orang janganlah risau.”

            “Kerja lama Kak Aya dulu, Kak Aya cakap kerja pembantu peribadi, kan? PA kepada siapa? Kerja lama tak kan tak boleh beritahu.” Lin cuba memancing.

            Aku mengeluh. Mereka ini tidak mungkin mengalah.

            “Dengan artis.” Selamba aku menjawab.

            Lin dan Julia saling memandang dengan mulut terlopong. “Siapa?!” Serentak mereka menyoal. Bingit telinga aku dengar suara mereka yang nyaring itu.

            “Pelakon, Dayana.”

            “Da... Dayana?!” Lin tidak percaya. Matanya luas memandang aku.

            “Hah!” Julia juga seperti tidak sukar untuk mempercayainya.

            “Tak untung pun kalau tipu kau orang.” Kataku dengan selamba.

            “Jadi... tak kan orang tu adalah Kak Aya. Ada kami terbaca gosip pelakon mengamuk kerana kecewa dengan pengurus yang lari dengan PAnya sendiri. Semua orang dah tahu pelakon tu adalah Dayana.”

            “Berita dah basi tu pun kau orang boleh ingat? Dahsyat!” Aku ketawa terbahak-bahak. Aku memegang perut kerana tidak tahan ketawa melihat wajah cuak Lin dan Julia.

            Lin dan Julia sekali lagi melopong. “Biar betul Kak Aya kita ni!!”

            “Hahaha...” aku masih tidak boleh berhenti ketawa.

            “Menakutkan betul. Selama ni kita duduk serumah dengan perempuan yang dah buat Dayana, artis popular tu jadi meroyan. Patutlah pada masa yang sama Kak Aya jadi penganggur!”

            “Lin, aku langsung tak percaya walaupun benda ni betul.” Julia menggeleng kepala dengan wajah kosong.

*********

            AKU ketawa sehingga keluar air mata. Sudah lama aku tidak ketawa seperti itu, jadi aku sangat berterima kasih kepada Lin dan Julia. Apabila duduk sorang-sorang mula aku pula yang rasa nak meroyan. Lin dan Julia keluar untuk berjumpa kawan-kawan kolej mereka untuk berbincang tentang projek akhir semester. Aku mengeluh berat apabila berada keseorangan di rumah itu. Aku tidak pergi bekerja hari ini di rumah Harry kerana aku ingin membiarkan suhu kepanasan hatinya menurun dahulu. Aku tidak akan lupa yang aku sudah melepaskan amarah kepadanya semalam dengan dahsyat sekali.

            Telefon bimbit aku berbunyi di dalam bilik ketika aku sedang bersantai di ruang tamu. Aku bergegas berlari ke bilik untuk menjawab panggilan itu.

            “Assalamualaikum...” Aku memberi salam kepada Mak Cik Ani yang berada di hujung talian.

            “Waalalikumussalam, Aya. Apa khabar?” 

            “Alhamdulillah, baik. Mak cik sihat?” Aku bertanya khabarnya juga. Aku yakin mak cik menghubungi aku pasti untuk membincangkan perihal khairil.

            “Macam mana dengan Khairil, Aya. Mak cik dengar Aya dan jumpa dengan dia.” Suara mak cik kedengaran ceria.

            Aku cuba menyembunyikan keluhan halusku dari pendengaran Mak Cik Ani.

            “Maaf, mak cik. Aya rasa Aya tidak bersedia nak teruskan hubungan dengan Encik Khairil...” Luahku dengan jujur.

            “Kenapa Aya? Aya tak nak cuba berkawan dengan dia dulu ke?” Suara mak cik kedengaran sedikit kecewa.

            “Maafkan Aya. Aya rasa Aya tak bersedia lagi...”

            Akhirnya Mak Cik Ani mengerti penjelasan aku. Aku meletakkan telefon bimbitku di atas katil setelah menamatkan perbualan dengan mak cik aku yang berada di kampung itu. Lama juga aku termenung di situ. Ya, aku sudah melakukan perkara yang betul apabila menolak Khairil. Mana mungkin aku berkahwin dengan sesiapa sedangkan hati aku milik insan lain.

            Untuk mengelakkan rasa sunyi dan kepala otak aku memainkan lagu haru biru lebih baik aku keluar ke mana-mana. Aku telah membuat keputusan untuk memasak hari ini. Jadi, aku ingin keluar untuk membeli barang dapur. Sepantas kilat aku bersiap ala kadar untuk ke pasar. Skuter aku sudah siap dibaiki dan di bawa keluar dari workshop. Jadi, hari ini aku akan menunggang skuter yang sangat aku rindui ini. Perjalanan aku tidak mengambil masa yang lama kerana aku menunggang skuter, mudah untuk aku menyelit ketika jalan sesak untuk segera tiba ke destinasi.

            Aku parkir skuter di tepi jalan dan helmet baru aku kepit di badan kerana sudah serik dicuri lagi. Aku yang cuai, siapa tak mahu ambil helmet yang tidak punya tuan?

            “Nak masak apa tenghari ni...” aku sebenarnya tiada langsung idea untuk masa apa membuatkan aku lebih banyak berfikir di pasar itu daripada membeli barang.

            “Excuse me!”

            Aku baru menyedari yang aku menghalang laluan lalu bergerak ke tepi. Seorang lelaki berjalan melintasi aku. Bau harum minyak wangi lelaki itu mengatasi bau-bauan lain yang kurang enak di pasar itu. Aku tertarik untuk melihat tuan punya tubuh yang aku rasa bukan calang-calang orang kerana perfume yang lelaki itu pakai sangat bercitarasa tinggi. Aku pernah menghidunya sebelum ini, di pakai oleh seorang lelaki yang maskulin.

            “Er...” aku terkedu apabila lelaki yang melintasi aku tadi menoleh melihat aku yang sememangnya sedang melihat belakangnya.

            “Saya memang tak salah. Dapat rasa macam Aya tadi.” Ray tersenyum panjang.

            Aku hanya tersengih malu. Mesti Ray dapat menangkap pandangan aku tadi.

            “Saya pun rasa macam kenal. Tak sangka boleh jumpa kat sini.” Aku tersengih sehingga menampakkan gusi. Patutlah bau yang mahal, si pemiliknya Tuan Muda Rayyan rupanya.

            “Pembantu rumah saya ambil cuti. Jadi, apa salahnya sekali sekala masak, malas makan luar.” Ray menjelaskan bagaimana dia boleh ditemui di pasar seperti ini. Adalah hampir mustahil untuk melihat orang sepertinya, lelaki pula tu berada di tempat seperti ini.

            “Banyaknya beli, saya tak tahu nak beli apa lagi.” Ujarku apabila melihat  beg plastik yang penuh berisi barang dapur di tangannya.

            “Aya free hari ni?” Tiba-tiba keluar soalan  itu pula dari mulut Ray.

            “Ya, free...” Jawabku dengan perlahan. Ray sempat menarik aku rapat dengannya apabila ada seorang wanita yang membawa barang yang banyak hampir melanggar aku.

            “Er, terima kasih.” Ucapku kepadanya. Kami sangat rapat. Tangnnya juga masih memegang bahu aku seperti tidak mahu dilepaskan.

            “Kalau macam tu, jom kita pergi satu tempat!” Ajak Ray bersungguh-sungguh.

            “Er... macam mana dengan barang-barang tu?” Aku memuncung ke arah dua beg plastik yang dipegang oleh Ray.

            “Jomlah,” Ray terus menarik tangan aku dengan membiarkan soalan aku tergantung tiada jawapan.

            Perjalanan kami agak jauh, sehingga membawa kami ke Golden Palm Tree Villas di Sepang. Aku masih tidak dapat memahami mengapa Ray membawa aku ke sini. Ini adalah resort, tempat penginapan di atas air seperti Palm Island di Dubai. Cuma saiznya lebih kecil, dan berbentuk pokok kelapa sawit di atas air. Kami turun dari kenderaan yang diparkir di tempat letak kenderaan yang di khaskan untuk tetamu VIP. Ini adalah kali pertama aku ke sini, tempat ini tidak sesuai untuk orang yang makan ikat perut seperti aku.

            “Kenapa kita datang sini?” Aku menyoal lagi.

            “Kita akan lunch kat sini.” Jawab Ray sambil tersenyum manis.

            Nak luch sampai datang sejauh ini? Ray seperti ada rencana lain sahaja. Fikirku sendiri.

            “Itu, buggy kita dah sampai. Kita akan naik itu untuk ke Villa saya.”

            Aku melihat ke arah buggy yang dimaksudkan oleh Ray. Sejenis kenderaan yang menyerupai kereta gofl tetapi lebih besar. Seorang lelaki yang menjadi pemandu buggy itu menghampiri kami dan mempelawa kami untuk menaiki kenderaan tersebut.

            Rupanya Ray ada Villa peribadinya sendiri di resort atas air yang mewah ini. Aku mula rasa seronok apabila melihat villa-villa yang terdapat di sepanjang perjalanan kami. Sungguh cantik dan nyaman suasana di sini. Akhirnya kami tiba di villa paling hujung dan reka bentuk yang lebih mewah. Ray turun dari kenderaan itu dan menghulurkan tangannya kepada aku. Lelaki yang menjadi pemandu kenderaan itu menurunkan juga plastik-plastik yang berisi barang dapur milik Ray. Ray mengambil barang-barang itu dari lelaki tersebut seraya mengucapkan terima kasih. 

            “Kita akan masak kat sini?” Aku tanya dengan wajah yang teruja.

            “Sure!” Ray yang kelihatan gembira terus mengajak aku memasuki villa peribadinya itu.

            “Cantiknya!” Aku keluar ke balkoni dan melihat pemandangan laut yang terbentang luas. Aku menyedut sepuas-puasnya udara yang nyaman di situ. Buat seketika, segala bebanan yang memberat difikiran berjaya ditepis.

            Ray masih di dapur untuk mengeluarkan segala barang dapur yang dibelinya tadi. Kelengkapan memasak yang lengkap di dapur villa itu menunjukkan dia pernah ke sini sebelum ini untuk memasak.

            Aku kembali ke dapur untuk menyertainya. Ray sedang mengeluarkan pekakas untuk memasak dari sebuah almari.

            “Senior, pernah ke sini untuk masak?” Aku tanya juga soalan itu walaupun aku pasti jawapannya adalah ‘ya’.

            “Ada juga beberapa kali. Datang dengan family. Tempat ni walaupun nampak biasa, sebenarnya boleh dapat banyak ketenangan. Kita kena ada cara sendiri untuk menghayati sesuatu.” Jelas Ray.

            “Mana ada biasa, tempat ni memang cantik. Tenang dan damai... kalau saya ada satu villa kat sini, rasa nak terus tinggal kat sini aje.”

            Ray hanya ketawa kecil menyambut gurauanku.

            “Macam mana senior boleh dapat villa peribadi kat sini. Bukan ke kat sini resort, untuk di sewa. Mana boleh nak memasak.”

            Ray mengangkat kening sebelah. “Kebetulan papa saya ada syer dengan resort ni, janganlah risau kita tak menceroboh.” Ray ketawa kecil.

            Aku mengangguk faham. Terlupa pula keluarga Ray menjalankan perniagaan hartanah yang besar melibatkan perhotelan.

            “Barang dah siap, jom kita masak. Hari ni saya jadi ketua chef dan Aya jadi pembantu chef. Kerja pertama Aya adalah....” Ray mengeluarkan daging ayam ke atas meja. “Potong daging ayam ni kecil-kecil. Saya nak buat paprik.” arah Ray sambil mengenyit matanya.

            Aku ketawa kecil memandangnya yang kelihatan lucu, lagak seperti benar-benar seorang chef yang... gatal!

            “Okay, give it to me!” Bekas berisi ayam itu bertukar tangan.

            Cara Ray memasak di dapur memang penuh bergaya. Dia sangat fokus dan teliti apabila memasak mahupun ketika menyiapkan bahan-bahannya. Aku paling kagum apabila Ray membuat dessert dari buah pelam yang berwarna kuning. Sungguh menarik dan kelihatan sangat sedap. Aku tidak sabar untuk merasa.

            “Aya, dah gaul salad dengan sebati ke?”

            “Oh, ya. Done!” Aku mengangkat bekas untuk menunjukkan kepada Ray.

            “Perfect!” Kata Ray apabila melihat sendiri ramuan di dalam bekas itu.

            “Saya bancuh air.” Kataku. Ray hanya mengangguk. Semua masakan sudah diap dengan sempurna. Aku sangat gembira hari ini! Kami berkerjasama dengan baik sekali.

            Kami menghidangkan makanan di meja luar yang terdapat di balkoni. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut menerbangkan rambutku yang tidak terikat. Aku membuka ikatannya apabila selesai membantu Ray memasak. Bau harum yang terbit dari rambutku itu dapat dihidu oleh Ray. Wajah Ray bertukar merah apabila rambutku mengenai wajahnya.

            “Sorry.” Aku mengikat semula rambut kerana sudah diterbangkan angin seperti itu mungkin akan membuatkan Ray tidak selesa termasuklah aku.

            “Tak ada apa, rambut Aya cantik.” Ray sempat memuji. Aku pula termalu sendiri. Macam mana dia boleh kata rambut aku cantik sedangkan ada makhluk yang pernah kata rambut aku macam dawai buat penyidai di asrama sekolah.

            “Kita tak hidang dessert lagi.” Aku cuba mengalih topik kerana aku sudah mula rasa segan dengan pandangan Ray itu.

            “Aya duduklah, saya akan ambil.” Ray menarik kerusi untuk aku duduk.

            Aku duduk layak seperti seorang puteri sahaja. Rasa terharu juga.

            Ketika kami menikmati makan tengahari, tidak banyak berbual kerana kami lebih menghayati pemandangan sambil menikmati setiap suapan makanan yang terhidang.

            “Sedap! Semuanya sedap. Terima kasih untuk luch hari ni, senior.” Aku meluahkan pendapat aku dengan jujur. Ray memang tukang masak yang hebat. Apa lagi yang kurang tentang lelaki ini? Semuanya hampir sempurna. Tetapi masih tidak dapat memikat hati aku ini. Cinta itu memang buta. Aku mengakuinya.

            “Anything for you.” Ray tersengih sambil merenung ke dalam mataku. Aku tidak dapat bertentang lama, lantas kau melarikan mataku ke arah pandangan laut yang luas.

            “Boleh saya tahu, sejauh mana hubungan Aya dengan Khairil?” Tiba-tiba soalan itu pula yang diutarakan oleh Ray.

            Aku hanya tersenyum. “Dia adalah lelaki pilihan keluarga saya. Kami diberi peluang untuk berkenalan. Tetapi, nampaknya kami tidak serasi.” Aku menjelaskan kepada Ray secara jujur.

            Kemudian barulah Ray tersenyum. “Saya fikir, saya akan terus dapat kad jemputan dari Aya.”

            Aku ketawa mendengarnya. “Tak mungkinlah. Soal berkahwin bukan perkara yang boleh di ambil mudah.” Balasku.

            “Baiklah, kita lupakan ajelah tentang tu.” Kata Ray dengan tenang. Dia kelihatan berpuas hati dengan penjelasan aku tentang hubungan aku dengan Khairil.

            Aku hanya mengangguk dengan gembira. Suasana di sini membuatkan perasaan aku terasa tenang sekali.

            “Are you happy, Aya?” Soalnya kemudian.

            “Ya... tempat ni, makanan, kebaikan senior, semuanya sangat mengembirakan. Saya mungkin tak dapat membalas semua ni.”

            “Aya tak perlu bayar, cukuplah Aya gembira. Barulah saya pun senang hati.”

            Aku bangun dan berdiri di balkoni itu dan membiarkan tubuhku dihembus angin, ketenangan dapat aku raih buat seketika.

            “Sejak dari dulu... senior tak pernah membiarkan saya keseorang ketika dalam keadaan sedih. Senior pasti akan datang pada masa yang tepat. Macam satu kebetulan yang...”

            “Kebetulan yang luar biasa?” Ray menyambung. Dia turut bangun berdiri di sebelahku.

            Aku hanya mengangguk perlahan.

            “Kalau Aya tak nak ianya satu kebetulan, saya boleh berada di sisi Aya selalu, sehingga ia bukan kebetulan lagi...” Suara Ray kedengaran halus membisik di telingaku. Entah bila tangan Ray sudah berada di bahuku.

            “Aya... saya nak jadi pelindung Aya untuk seumur hidup.”

            Jantung aku seperti terhenti.

            “Saya tak boleh lepaskan Aya macam dulu lagi. Saya minta maaf sebab pergi tanpa khabar berita dulu. Semua tu kerana saya rasa itu bukan masa yang sesuai untuk saya mendapatkan Aya. Sekarang, saya dah mempunyai keyakinan itu.” Wajah Ray serius ketika meluahkan kata-kata dari sudut hatinya.

            Aku menelan liur dan kaku. Lidahku juga kelu tidak mampu bersuara buat seketika.

            “Aya boleh ambil masa berapa lama yang Aya nak, saya tak kan paksa Aya.”

            Aku hanya terdiam sepi. Tetapi Ray masih mampu tersenyum.

            “Jangan bersedih Aya... saya bawa Aya ke sini, pasti ada sebabnya.”

            Aku memandangnya untuk meminta penjelasan kerana aku sudah bertukar menjadi bisu ketika ini.

            Ray menarik aku ke dalam pelukannya. Aku ingin menolak tetapi Ray memegang aku dengan kejap.

            “Aya, saya jenis tak suka berpura-pura. Kalau saya tahu tentang sesuatu, saya tak akan berpura-pura untuk tidak tahu.”

            Kedengaran nafas Ray menjadi tidak teratur. “Aya... lepaskanlah Harry. Saya tahu Aya mencintainya sepenuh hati”

            Ketika itu jugalah aku memejam mata denga rapat, air mataku berjurai mengalir deras. Entah kenapa aku tidak dapat menahan perasaan itu kali ini. Esakan aku semakin kuat dan dada Ray sudah basah dengan air mataku. Aku melepaskan segalanya hari ini, tanpa sepatah kata, hanya emosi aku yang mampu menyuarakan apa yang terbuku di hati aku yang paling dalam.

            Bagi Ray dia tahu apa yang sebenarnya berlaku. Bukanlah terlalu sukar untuk menilai seseorang, hati Aya sudah lama berlabuh untuk Harry. Dan Ray tidak akan hanya berputus asa selagi orang yang dicintainya masih berada di depan mata.

**********   

            Hari ini Harry pulang ke Villa Taylor untuk mencari ketenangan. Dia sudah terlalu tertekan dengan masalah yang dihadapinya. Sudahlah masalah berkaitan kerjayanya masih lagi menjadi satu bebanan yang terlalu berat untuknya, kini Sallyna pula telah melakukan sesuatu yang membuatkannya rasa bertangungjawab kerana terlalu berkeras untuk menolak wanita itu.

            “Tuan muda, teh hijau ni fresh dari ladang kita.” Tam menghidangkan teh hijau ke dalam cawan kecil bercorak bunga matahari.

            Harry mengucapkan terima kasih kepada lelaki yang sudah lama berkhidmat untuk keluarga mereka itu. Harry kemudiannya menjemput Tam untuk sama-sama minum petang di taman bunga ros arwah datuknya itu.

            “Tuan muda masih memikirkan masalah tentang bersara?” Soal Tam yang sangat mengambil berat ke atas tuan mudanya itu. Dia sebenarnya banyak menyimpan rahsia tuan mudanya itu. Walaupun mereka jarang bertemu tetapi mereka selalu berhubung, sudah semestinya untuk menguruskan hal peribadi Harry.

            “Salah satunya...” Harry mengeluh berat.

            “Madam sangat bertegas kali ni, harap tuan muda akan banyak bersabar...” nasihat Tam dengan rendah hati.

            “Saya masih fikirkan hal tu...”

            “Maksudnya, tuan muda masih belum buat keputusan untuk bersara?”

            Harry termenung lama apabila isu itu diperkatakan. Tam yang menyedari perubahan wajah Harry tidak mahu lagi terus bertanya.

            “Sallyna cuba bunuh diri.” Kata Harry setelah agak lama mendiamkan diri.

            Kelihatan Tam sangat terkejut apabila mendengar perkara itu. “Bila perkara tu terjadi?”

            “Dua hari lepas. Apa saya nak buat? Adakah saya ni kejam? Kenapa orang lain boleh hidup dengan orang yang mereka cintai dan lepaskan orang yang mereka tak suka? Kenapa saya tak boleh buat salah satunya pun?” Nada suara Harry bertukar tinggi. Nafasnya pun mula tidak teratur.

            “Tuan muda... jangan salahkan diri sendiri. Cik Muda Sallyan sebenarnya yang tidak dapat menerima hakikat, tuan muda tidak cintakan dia lagi.”

            Harry bangun berdiri dari kerusi dan memegang tiang gazebo. “Saya menjaga hati dia sehingga tak pernah ucapkan saya tak cintakan dia. Bukankah saya sudah menolaknya dengan baik? Kenapa semua orang menuduh saya kejam?!”

            “Mungkin mereka tidak faham. Sikap mendiamkan diri tuan muda, hanya akan membuatkan mereka fikir tuan muda masih cintakan Cik Sallyna.” Ujar Tam bersunguh-sungguh.

            Harry mengetap bibirnya. “Sebenarnya, ada seseorang yang tahu perasaan sebenar saya. Tapi dia tetap nak larikan diri.”

            Tam memandang Harry dengan rasa simpati. Siapa sangka kisah cinta tuan mudanya ini adalah yang paling sukar pernah dia lihat selama ini.

            “Tuan muda... Cik Aya bukan nak larikan diri. Dia sebenarnya mengundur diri, kerana dia tahu, dia tak mungkin dapat bersama tuan muda.”

            “Selama ni... hanya dengan paksaan, saya dapat melihat dia di depan mata. Walaupun difikirkan kembali semua itu sangat kejam, tapi itu sahaja cara untuk bersama dia...”

            “Tuan muda, apa yang tuan muda buat ni tidak sia-sia. Cik Aya mungkin akan terus melarikan diri kalau tuan muda tidak mengikat dia. Jadi, ini bukan perkara yang kejam. Kalau semua orang tahu itu adalah cara tuan muda untuk mempertahankan cinta, mereka pasti akan faham.”

            “Betul, kalau saya tak mengikat dia. Dia akan terus melarikan diri...”

            “Tuan muda, saya dengar Encik Malik akan datang ke sini tidak lama lagi. Cubalah berbincang dengan dia.” Beritahu Tam kemudiannya apabila melihat Harry beransur tenang.

            Harry menoleh melihat Tam dengan wajah hairan. “Encik Malik nak datang ke sini? Kenapa?”

            “Mungkin dia ingin melawat anak-anak dia dan juga kawan-kawan lama di rumah ni.”

            Harry mengangguk perlahan. Mungkin dia perlu berbincang dengan ayah Nur Marhaya. Mungkin dia perlu meyakinkan ayah gadis itu dulu sebelum dapat meyakinkan anaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience