“RUHAINI !!!” nyaring suara Puan Mastura menjerit mengejutkan anak dara bertuah dalam rumahnya.
“Ruhaini oiii… bangunlah. Dah pukul berapa dah ni!” dengan volume paling maksima suara Puan Mastura bergema dalam rumah itu. Mahu bergegar satu pangsapuri dengan kenyaringan suaranya. Rasanya, jiran setempat pun boleh terjaga dengan gegaran suaranya, namun tidak bagi seorang anak dara yang sedang terbaring selesa dalam bilik di rumah itu.
“Ruhaini … haish!!! Geram betullah aku dengan budak seorang ni. Mahu naik darah kalau terpekik macam ni hari-hari.” Pintu bilik Ruhaini tinggal nak roboh saja. Sudah bagai nak rak Puan Mastura mengetuknya. Masa-masa beginilah dia akan lupa mana dia simpan kunci pendua pintu bilik.
“Ruhaini !!!”
Akhirnya, setelah sejam terpekik dan terlolong bagai nak gila. Pintu bilik itu terkuak dari dalam. Wajah sememeh Ruhaini dipandangnya tajam.
“Kenapa mak? Haini nak tidur lima minit lagi… kejap lagi mak kejut okey.” Sempat pula Ruhaini membuat deal dengan emaknya yang sudah bengang tahap petala ke tujuh dengan perangainya.
“Ruhaini !!! Tau tak sekarang pukul berapa? Ingat tak kamu tu ada interview hari ni? Kerjanya fikir tidur saja. Mana nak terbuka pintu rezeki kalau macam ni. Cuba bawa-bawa berubah sikit perangai tu. Kita ni bukannya orang kaya. Kalau tidur, duit takkan bertambah. Makin sedikit yalah.” Bebelan Puan Mastura sama seperti mencurah minyak panas ke hati sendiri. Ruhaini sudah kembali berlingkar di atas katil.
“Ya Allah… aku mohon kesabaran dariMU… berikanlah aku kekuatan untuk melayan kerenah Ruhaini ni!” doa Puan Mastura sambil mengurut dadanya. Semput rasanya melayan kerenah anak dara yang berusia 25 tahun ini.
Share this novel