BAB 10

Crime Completed 5579

Aku berlari sekuat hati, berlari dan terus berlari dalam kegelapan malam. Aku tahu saat ini Bang Joe sudah ditangkap polis, padahal aku yang mengkhianatinya.

Maafkan aku. Aku harus melakukan semua ini untuk kebaikan semua, terutamanya diriku. Sejak azali lagi memang dadah merupakan musuh negara. Sesiapa yang terlibat dengan dadah, maka dia juga merupakan musuh negara.

Aku juga begitu, tetapi aku tidak mahu lagi meneruskannya. Siren polis semakin lama tidak ku dengar lagi. Aku mendapatkan motosikalku dan terus membelah kedinginan malam. Juga membelah hatiku yang gusar.

***

Aku meneguk kopi yang dibancuh oleh Azlina. Pandangan mataku masih terlekat pada komputer riba di hadapanku. Seketika kemudian jari-jemariku rancak menari di atas papan kekunci.

Aku perlu menyiapkan juga manuskrip novelku hari ini. Esok manuskrip yang sudah siap disemak perlu ku hantar ke kedai percetakan dan langsung pos laju ke syarikat penerbitan.

Azlina muncul lagi di dalam bilikku. Kali ini wajahnya berseri-seri daripada biasa.

“Abang, teka!”

“Teka apa?” Aku memang malas mahu berteka-teki.

“Adik dapat masuk universiti sama dengan Angah dan Alang! Surat tawaran baru sampai tadi,” Azlina segera menunjukkan surat tawaran kemasukan ke universiti yang bau diterimanya.

Alhamdulillah. Syukur aku panjatkan kepada Tuhan atas kejayaan adik-adikku, juga kejayaanku. Sungguh, duit yang halal memang ada keberkatannya.

Tidak lama selepas penangkapan Ular Putih serta Bang Joe dan yang lain-lain, ibu meninggal dunia.

Setelah itu aku berpindah ke kolej dan tempat yang baru. Aku mula kerja secara halal dengan mengambil upah bekerja di stesyen minyak. Atas nasihat Iman dan Hakimi yang sering bertanyakan khabarku di Fac, aku mengambil keputusan untuk menulis.

Aku menulis novel Islamik dan buku-buku motivasi, yang banyak aku pelajari di kolej baru.

Buku pertamaku berjudul Bebaskan Aku, ku dedikasikan untuk keluarga dan rakan-rakanku, juga si dia yang pernah ku cinta. Entah apa khabarnya sekarang.

Aku tidak membalas soalannya, sebaliknya ku kirimkan pesanan sahaja melalui Iman supaya Nur Khalisah melupakanku. Aku punya perjuangan yang lebih besar, iaitu untuk memperjuangkan Islam dalam diriku sendiri.

“Oh ya, bang. Ada satu lagi surat untuk abang,” Azlina menyerahkan sepucuk surat yang tertera namaku. Aku mengoyak hujung sampul, dan mengeluarkan isinya. Aku membaca isinya penuh khusyuk. Kemudian, aku ketawa sendiri. Aku menggeleng kepala sambil ketawa. Aku meletakkan kad kahwin itu di atas surat cinta yang pernah dia berikan padaku suatu ketika dahulu.

Walimatul urus

Fakhrul Iman bin Ghazali
dan
Nur Khalisah binti Adenan

Dan kini aku benar-benar bebas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience