BAB 10

Romance Completed 9878

Dia mengerling cermin sisi. Selepas memastikan tiada kereta berhampiran, dia memberi isyarat untuk memotong. Tanpa membuang masa, dia melewati tiga buah kereta yang tadinya berada di hadapan kereta yang dipandunya.

Setelah dua puluh minit terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas, barulah dia tiba di Hotel Equatorial, tempat Danish bekerja. Dia memarkir kereta di tempat yang disediakan sebelum bergegas ke kaunter pendaftaran masuk.

“Puan, boleh saya bantu?” Tegur salah seorang pekerja di kaunter tersebut.

“Saya nak berjumpa dengan Encik Danish,” ujar Izyan Hasna sambil matanya sempat mengerling ke tepi. Barangkali Danish ada di kawasan berhampiran. Tidak perlulah dia bersusah payah ke pejabat lagi.

“Maaf, puan. Boleh puan berikan nama penuh Encik Danish supaya senang saya nak periksa dalam database kami?”

“Errr… Encik Danish tak tinggal di hotel ni tapi, dia bekerja di sini. Saya dah cuba call dia banyak kali tapi, dia tak jawab. Saya ada hal penting nak berbincang dengan dia. Boleh tolong panggilkan dia ke sini?”

“Erm… maksud puan, Encik Danish Bakri?”

Izyan Hasna diam. Otaknya ligat berfikir, cuba mengingati siapa nama ayah Danish.

“Puan?”

“Errr… ya, Danish Bakri.” Hentam sajalah!

“Kalau Encik Danish Bakri yang puan cari, rasanya dia masih berada di kafe. Saya ada ternampak dia ke sana tadi.”

“Oh, terima kasih!” Wajah Izyan Hasna serta-merta berubah ceria. Lega rasanya jika dia dapat bertemu dengan Danish hari ini. Bolehlah dia memohon kemaafan lelaki itu. Selagi mereka tidak bersua muka, hatinya tidak tenang.

Tanpa berlengah, dia membuka langkah menuju ke kafe. Di dalam hati, dia sudah berkira-kira bagaimana harus dilakukan bagi memohon kemaafan Danish. Saat dia melangkah masuk ke dalam kafe tersebut, matanya segera menangkap sesusuk tubuh tinggi lampai milik Danish. Lelaki itu sedang berjalan menjauhi seorang perempuan yang kelihatan begitu sofistikated.

“Danish, wait! I really wish that we could get back together. I know, it was my fault. But, please understand me. It was hard for me as well.” Tutur perempuan tersebut.

Danish tidak menghiraukan perempuan tersebut sebaliknya, dia meneruskan langkah ke pintu. Di situ, mereka bertembung, dia, Izyan Hasna dan perempuan itu.

“Izyan!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience