Bab 19

Romance Series 59136

“Mia,” Puan Qaisara menegur. Aku mengangkat kepala. “Rayyan kat tadika nakal ke?”

Di wajahnya terserah sifat keibuan. Dia mungkin risau akan sikap anaknya memandangkan dia selalu sibuk bekerja. Aku boleh faham perasaan Puan Qaisara. Sejujurnya, sekiranya aku di posisi Puan Qaisara, dek kesibukan bekerja, aku khuatir aku tidak mampu membahagikan masa mengikuti perkembangan anak – anak ku membesar. Sikap dan tingkah lakunya di sekolah nakal ataupun tidak. Pergaulan dia dengan rakan – rakan sekelas.

Aku takut.

Senyuman aku berikan tatkala memandang Rayyan. Aku berharap suatu hari nanti anakku seperti dia. Pandai membawa diri, dan bagi pandanganku, tidak pernah sekali aku melihat Rayyan mencari masalah di tadika. Puan Qaisara beruntung memiliki anak mendengar kata seperti Rayyan.

Atau mungkin cara didikan Puan Qaisara sendiri. Lihatlah, dia begitu lemah lembut dan teratur bicara. Jadi nampak di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.

“Akak janganlah risau. Rayyan baik budaknya. Bijak pula tu.” Aku merenung Rayyan.

“Baik dan bijak macam pak cik dia.”
Sampuk Adam dari sebelah. Ada saja dia ni. Benda baik semua nak ke dia. Ingat anak buah dia ikut gen dia ke? Perasaan melangit.

“Anak – anak selalu ikut ibu bapa, bukan ikut pak cik.” Aku cuba mengubah fakta. Sememangnya tak benar cuma aku tak mahu dia terus perasan.
Dia terdiam sejenak berfikir, “Kalau macam tu, gabungan kau dan aku, mesti anak kacak dan bijak macam aku, lawa tu ikut kau.”

Tersedak aku mendengarinya. Berani betul depan kakak sendiri dia cakap macam tu? Aku pula yang malu, takkan dia ni tak malu depan kakak dia?

“Kenapa bijak ikut kau jer?” aku mempersoal Adam. Keningku terjungkit menanti jawapan darinya.

“Sebab kau ikut sedap buat fakta sendiri tadi.” Dia mengeyitkan mata dan mengusik daguku.

Aku tersentak dan segera memandang Puan Qaisara. Tapi seperti tahu akan aksi kami, dia berlagak seperti tidak melihatnya. Namun senyuman kecil yang disembunyikan aku tahu dia perasan. Mana aku nak sorok muka aku lepas ni? Kat tadika mesti ada masa aku akan jumpa lagi dengan Puan Qaisara. Adam memang sengaja nak buat aku macam ni.

Usai urusan bersama Adam, dia langsung menghantarku semula ke rumah tepat sebelum magrib tiba. Sememangnya tidak ada berjalan ke mana kerana aku sendiri nak kena sediakan barang untuk pembelajaran dengan anak muridku esok, dan Adam asyik meminta maaf kepadaku kerana tidak dapat menemaniku lama kerana mahu menyiapkan persediaan ke mahkamah esok.

Kerja sebagai peguam susah juga, tapi kenapa aku tengok dia macam tenang jer. Orang lain bukan main serabut kertas bersepah kalau dalam drama. Dia siap boleh ajak makan dengan kakaknya. Nampak macam terurus jer.

Aku menunggu sehingga kereta Adam hilang dari pandangan, baru kakiku membuka langkah untuk masuk ke dalam rumah. Di dalam fikiran, terbayang kotak – kotak yang belum aku masukkan ke dalam bonet. Aku risau sekiranya tidak disegerakan, mesti aku akan terlupa.

Sudah menjadi kebiasaanku untuk mengemaskan segala barangan dahulu memandangkan aku ada masanya pelupa. Setelah memastikan semua bahan untuk esok diletakkan dalam beg dan kotak, aku segera mengangkat satu per satu barangan tersebut.

“Meh aku tolong,” Syafik menghulurkan bantuan.

Aku tidak banyak soal. Hanya mengangguk melihat dia mengangkat dua buah kotak sekali gus. Tenaga lelaki, semestinya mampu nak angkat. Lagipun isi dalamnya cuma helaian kertas yang sudah aku printkan, dengan barangan untuk aktiviti esok.

“Syafik,” aku menegur setelah barang selamat masuk ke dalam bonet. “Jujur dengan aku”. Dia memandangku. Matanya seperti cuba mengelak dari melihatku. Aku tahu dia sembunyikan sesuatu. “Apa yang kau nak sebenarnya?”

Mataku memandang tepat ke arah Syafik. Dia jadi terdiam. Matanya dilarikan memandang pokok bunga yang cantik dihias oleh nenek.

“Mesti nenek yang jaga.”

Komen Syafik tidak membantu untuk melupakan topik yang telah aku mulakan. Dia terdiam apabila melihat aku masih serius memandangnya.

“Bagitahu aku Syafik!”

Keluhan beratnya kedengaran. Syafik memejam mata dengan erat. Aku tahu, ada sesuatu yang penting ingin diberitahunya.

“Aku sebenarnya dah cakap dengan nenek hal ni.” Dia berhenti berbicara. Wajahnya memerhatikan wajahnya, mencari riaksiku sama ada akan mengamuk mahupun tidak. “Nenek setuju tapi aku cuma tak berani nak bagitahu kau lagi.”

Dia terdiam sekali lagi. Kali ini wajahnya ditundukkan. Aku curiga sesuatu yang tidak aku jangka akan terjadi. Tanganku spontan menggenggam hujung lengan baju Syafik. Cuba menahan sabar menanti ayat yang bakal keluar dari mulutnya.

“Apa dia?”

Syafik mengangkat semula kepalanya dan memandangku. “Aku nak bawa nenek balik kampung.”

Aku rasa seperti mahu rebah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience