BAB 9

Family Completed 5571

MASUK waktu tengah hari, Nazirah sudah beransur pulih. Peningnya masih ada cuma sudah berkurangan daripada subuh tadi. Bubur yang dimasak oleh Aimi dimakan habis sewaktu sarapan tadi. Secukup rasa dan kena dengan selera Nazirah yang sedang kesakitan. Tersenyum Aimi melihat adiknya. Sekurang-kurangnya, tidaklah terlalu risau kerana adiknya masih mampu dan ada selera untuk makan.

Aimi menjenguk Nazirah di kamarnya. Dibawakan semangkuk bubur, segelas air suam dan dua biji panadol untuk mengurangkan pening si adik. Aimi duduk di samping adiknya yang sedang berbaring. Nazirah dibantu untuk duduk dan bersandar. Aimi sekali lagi menyuapkan adiknya makan. Sebelum makan ubat, mestilah perlu mengisi perut. Aimi itu, tahu-tahu sahajalah. Kalau orang tengah sakit, tiada benda lain yang akan dia beri makan selain bubur dan ubat.

Habis makan bubur, Nazirah menelan dua biji panadol yang diberi oleh kakaknya. Sekali lagi, Aimi menyuruhnya berehat. Aimi keluar seketika untuk membawa mangkuk dan cawa yang telah kosong tadi ke dapur. Selesai dibasuh, Aimi masuk ke biliknya untuk merehatkan diri sebentar. Diambil telefon bimbitnya dan disemak emel yang baru masuk. Aimi membaca tiap butir perkataan yang tertera pada emel tersebut.

“Alhamdulillah… Alhamdulillah….” Aimi mengucap syukur. Permohonan kerjanya berjaya. Dia diterima bekerja di sebuah syarikat yang terkemuka di Malaysia. Bukan hanya satu yang menerima dan menawarkan, malah hampir kesemua permohonannya diterima dan diberikan tawaran bekerja.

Inilah masanya Aimi mengaplikasikan konsep kos lepas yang dahulu dipelajarinya ketika zaman persekolahan. Membuat pilihan terbaik dan melepaskan pilihan yang kedua, ketiga, keempat, hatta kesepuluh terbaik. Aimi mengambil buku notanya yang diletakkan di atas meja bersebelahan katilnya. Dicapai sebatang pensel.

Aimi melakarkan sesuatu dalam buku notanya. Mengambil kira beberapa perkara berkaitan pilihan kerjanya. Dia harus memilih yang terbaik dengan cara membuat perbandingan dalam pelbagai aspek, istikharah dan juga istisyarah bersama emak dan abah. Tanpa restu emak dan abah, kerja pada jawatan paling tinggi sekalipun, tak berguna. Itulah prinsip mudah Aimi. Apa sahaja yang ingin dilakukan, pasti akan mengutamakan ibu bapanya. Redha mereka sangat penting buat seorang anak agar tiap apa yang dilakukan si anak juga dalam redha Allah.

Aimi bercadang untuk berbincang dengan emak dan abahnya waktu petang nanti. Kebiasaannya, waktu petang adalah waktu mereka duduk bersantai. Kalau tidak di hadapan televisyen, di pangkin depan rumah. Kalau tak di pangkin, di kebun kecil abah. Kalau tidak ke kebun kecil abah, di bandarlah jawabnya. Tapi, memandangkan Nazirah tidak sihat, Aimi menjangkakan emak dan abahnya akan berehat sahaja di hadapan skrin yang bersuara di ruang tamu rumah mereka itu.

Selaju tangannya bergerak melakar dan menulis sesuatu di dalam buku notanya, sepantas itulah otaknya ligat bergerak dan menjawab setiap persoalan yang muncul tentang kerjayanya nanti. Aimi hanya berhenti saat azan dari masjid berdektan mulai kedengaran. Sudah masuk waktu zohor. Aimi menutup kembali buku notanya lalu diletakkan di atas meja, di tempat yang sama seperti tadi. Dia bangun dan berniat untuk menjenguk ke bilik adiknya.

Dari dalam, motor abah sudah didengari jeritannya. Abah pasti ingin ke masjid. Kalau tak bersama emak, bersendirianlah. Kalau tidak bersendirian, pasti bersama emak. Memang sudah menjadi kebiasaan buat abah sejak dari zaman mudanya untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Selagi ada kudrat katanya. Aimi keluar serentak dengan emaknya. Bilik mereka berdepanan. Emak sudah lengkap bertelekung putih. Kain telekung dibawa dalam beg.

“Ni, mak dengan abah nak ke masjid. Jaga rumah, tengok-tengokkan Nazirah tu ye?” ujar emak. Aimi hanya mengangguk. Tangan ibunya dikucup lembut dan penuh hormat.

Aimi memerhatikan emak berjalan menuju ke luar rumah. Beberapa minit kemudian, motor abah sudah tidak lagi kedengaran ngaumannya. Aimi berbalik pada niat asalnya untuk menjenguk Nazirah dan mengjaknya solat. Bilik mereka hanya bersebelahan. Aimi masuk ke bilik Nazirah. Dilihat adiknya masih enak dalam lena dan merehatkan diri. Bagi Aimi, sakit itu memang memenatkan. Tapi, apa sahaja yang memenatkan, semuanya diubatkan dengan solat dan taubat.

“Adik…. Bangun… dah masuk waktu zohor ni….” Aimi mengejutkan adiknya dengan lembut. Nazirah membuka matanya secara perlahan-lahan. Seperti subuh tadi, Aimi membantunya untuk bangun dan mengambil wudhuk. Kali ini, mereka berjemaah.

“Ya Allah… kami cuma hamba yang hina dan penuh dengan dosa. Dengan rahmat dan kasih sayang-Mu, ampunilah kami serta mak dan abah kami. Ya Allah… adikku sedang kesakitan. Tiada penyembuh selain engkau. Sakit ini hadir dengan izinmu, maka dengan keizinanmu jua ianya akan hilang. Ya Rabb… andai ditakdirkan kesakitan itu tidak hilang, pindahkanlah rasa sakit itu padaku….” Doa Aimi panjang dan menusuk jiwa. Nazirah di sebelahnya sudah menangis, memeluk Aimi sedang Aimi masih tak putus memohon dan memohon.

Selesai berdoa, Aimi mengucup ubun-ubun Nazirah. Air mata Nazirah disapu dengan tangannya. Aimi tersenyum manis. Cuba menyalurkan kekuatan agar adiknya tidak lemah untuk melawan rasa sakit yang sedang menghuni dirinya. Aimi memapah adiknya ke katil kembali. Pasti penat bila sakit ditambah tangisan. Aimi pernah merasa, cuma dia tak pernah tunjuk.
?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience